28 Apr 2009

LANJUTAN TULISAN NIK ABDUH : AWAS PERANGKAP UMNO

Nampaknya isu muqabalah dan kerajaan perpaduan masih lagi panas di pasaran. Kenyataan terakhir Nik Abduh di dalam blognya telah menghangatkan lagi suasana pemilihan barisan pimpinan di peringkat kawasan yang sedang berlangsung sekarang dan diikuti dengan dewan-dewan dan seterusnya di peringkat PAS Pusat pada muktamar pada bulan Jun nanti. Saya ada mengikuti pandangan pelbagai pihak samada yang menyokong atau membantah tulisan Nik Abduh dan merasa terpanggil untuk melontar beberapa cetusan idea saya yang mungkin tak pernah tinggi nilainya.

Pertamanya saya sangat mengalu-alukan pendekatan perbincangan, syura, percambahan minda, penghujahan, perdebatan dan apa saja yang sewaktu dengannya di dalam kita membicarakan perkara-perkara penting di dalam jamaah asalkan ia berpaksikan kepada pembudayaan ilmu. Dan sudah sewajarnya penggunaan kata-kata kesat, pembohongan dan penyelewangan fakta tidak termasuk di dalam etika perbincangan apatah lagi jika ia dibuat di dalam konteks sebuah gerakan Islam.

Kita tidak boleh menyekat perkembangan budaya yang sihat ini kerana ia menjadi teras kekuatan pembangunan keilmuan Islam sejak zaman berzaman. Perbedaan pendapat tidak wajar dianggap sebagai tidak berakhlak atau tidak wala’ kepada kepimpinan.

Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) sendiri, apabila ditanya berhubung isu kerajaan perpaduan dan muqabalah, pernah berkata bahawa isu sebesar ini (yakni berkaitan dengan UMNO dan BN) perlu dibawa berbincang di dalam EGM (Mesyuarat Agung Khas) kerana kita perlu mendapat pandangan akar umbi kita. Saya yakin ini kehendak majoriti ahli PAS yakni supaya kita berbincang dengan teliti dan mendengar pandangan semua pihak sebelum kita buat keputusan yang amat besar ini.

Saya tidak nampak permintaan ini sebagai amat tidak munasabah atau sebagai tidak wala’ kepada kepimpinan sedangkan pimpinan kita selalu bercakap kita perlu menegur pemimpin jika kita dapati atau mengesyaki mereka melakukan kesalahan.

Tradisi menegur pemimpin ini bukanlah perkara baru dan ia sarat di dalam seerah Nabi saw dan seerah Khulafa’ Ar-Rashidin rh. Ucapan Saidina Abu Bakr ra ketika dilantik menjadi Khalifah Islam yang pertama telah menyatakan bahawa beliau bukanlah yang terbaik dari kalangan ramai. Jika beliau melakukan yang betul maka taatinya dan jika ia melakukan yang salah maka betulkannya.

Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Saidina Umar ra sendiri pernah diunjukkan dengan pedang oleh seorang sahabat apabila beliau meminta menegurnya jika beliau berbuat salah.

Fenomena ini jelas menunjukkan betapa penting kita kembali bersama-sama menghayati tradisi pembudayaan ilmu dan konsep syura sebenar sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para sahabah rh agar kita dapat membuahkan pandangan dan keputusan terbaik dan diikuti tindakan yang bersepadu daripada semua lapisan ahli kita.

Elakkan merendah-rendahkan pandangan orang lain dengan cara yang menghina dan bersifat peribadi. Bukankah Rasulullah saw ada bersabda bahawa sampaikan daripadanya walaupun satu ayat? Adakah golongan tertentu (yakni yang ada sijil belajar agama) saja yang berhak bercakap tentang Islam? Siapalah kita untuk berkata si pulan dan si pulan ini saja yang berhak bercakap tentang Islam dan yang selainnya tak layak sedangkan mempelajari Islam itu tanggungjawab semua yang mengaku mukmin muslim? Jika ada individu tu bercakap benda yang salah maka tegurlah di bahagian mana yang salah bukan dengan cara ‘shoot the messenger’ (yakni hukum si yang becakap).

Kita mesti ada keberanian untuk memenangkan pandangan kita melalui penghujahan yang kukuh dan meyakinkan, dan bukan dengan serangan peribadi dan penggunaan kata-kata yang tidak wajar. Kecenderungan untuk ‘mensekularisasikan’ agama yakni bab agama adalah hak ‘ustaz-ustaz’ saja dan orang lain tidak boleh langsung membicarakannya amatlah merbahaya dan tidak selaras dengan tuntutan agama kita.

Saya yakin ramai dari kalangan kita yang tidak belajar Islam secara ‘formal’ (yakni tanpa sijil) tetapi telah mempelajari dan mendalami agama secara tidak formal di merata tempat tanpa jemu dan secara berterusan dalam hidup mereka. Mungkin ini tidak melayakkan mereka bergelar ulama’ tetapi dalam masa yang sama tidaklah boleh dijadikan alasan untuk menghalang mereka daripada membicarakan bab-bab yang berkaitan agama setakat kemampuan ilmu yang ada pada mereka. Inilah tradisi keilmuan sebenar yang dituntut oleh Islam.

Oleh itu muhasabah dan munaqashah kita adalah proses berterusan sesama kita dari semua lapisan di dalam membentuk keputusan dan tindakan.

Muktamar Agung PAS tahun lepas, yang merupakan badan tertinggi PAS, telah membuat keputusan supaya kita memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Jadi selagi tidak ada mesyuarat agung khas atau pertemuan lain yang sama taraf dengannya diadakan untuk membuat keputusan yang lain, maka adalah ‘haram’ kita membuat kerja yang bercanggah dengan keputusan ini.

Malangnya ada di kalangan kita yang tak faham etika bersyura dan telah bertindak di sebalik keputusan ini. Harap jangan salahfaham apa yang saya cuba bangkitkan ini. Saya tidak kata keputusan ini baik atau tidak baik. Apa yang saya ingin tekankan ialah aspek displin syura.

Jika kita rasakan bahawa keputusan muktamar berhubung isu Pakatan Rakyat didapati tidak begitu sesuai maka bawa semula ke muktamar agung khas dan kita bincang semula dan buat keputusan lain. Lepas tu apa keputusan pun yang diputuskan bersama semua kena terima dan laksanakan. Inilah apa yang saya maksudkan dengan akhlak bersyura yang nampak masih longgar di dalam jamaah kita.

Keduanya, keyakinan banyak pihak bahawa kita (yakni Melayu Islam) akan lebih selamat jika kita bergabung dengan UMNO adalah satu pandangan yang amat merbahaya kepada keutuhan jamaah.

Ini berdasarkan kepada kajian semasa dan pengalaman lepas berinteraksi dengan UMNO. Bayangkan di kala kita dengan slogan ‘PAS For All’ atau ‘PAS Untuk Semua’ telah berjaya memecahkan tembok yang memisahkan antara PAS dengan golongan bukan Melayu (hakikat yang diakui semua), wajarkah dalam nafas yang sama ‘berkhalwat’ dengan UMNO bagi tujuan membentuk kerajaan haram yang dibenci oleh majoriti ahli dan penyokong kita sendiri.

Bayangkan jika usaha ini berjaya dilakukan, apakah yang akan berlaku? Awal-awal lagi masyarakat bukan Melayu akan meninggalkan kita atas pengkhianatan ini dan kita tidak akan mendapat kepercayaan mereka lagi untuk satu jangka masa yang amat lama.

Ahli-ahli PAS malah PAS sendiri berkemungkinan akan berpecah teruk menyebabkan kita lemah dan lesu. Jika kita berjaya memerintah dengan UMNO pun, dan dikurniakan dengan pelbagai jawatan penting, kita tetap akan menjadi kuda tunggangan mereka kerana dari segala segi kita memerlukan mereka untuk terus berkuasa. Bayangkan selepas setahun dua apabila mereka dah ada kekuatan, kita akan lihat tembelang sebenar UMNO dan di kala itu apa yang PAS boleh buat?

Berdasarkan pengalaman lepas, apabila UMNO rasa mereka dah kuat dan PAS tak diperlukan lagi, mereka akan cari jalan bagaimana untuk menendang kita keluar. Di kala itu kita akan tersungkus ke tanah tanpa ada sesiapa yang sanggup menyambut kita. Ini tidaklah menghairankan kerana siapa yang nak sambut orang yang pernah bergelar pengkhianat?

Saya tidak menyatakan bahawa tidak boleh ada muqabalah atau muzakarah atau perpaduan atau sebagainya dengan UMNO atau BN. Apa yang saya katakan ialah kita perlu berdiri atas platform PR di dalam mendepani pendekatan politik sebegini kerana kita sudah ada persefahaman dengan parti komponen PR.

Maknanya jika BN ingin berbincang tentang usaha bersama menanggani kemelut ekonomi atau yang sewaktu dengannya maka kita akan pergi atas PR. Dengan cara ini kita dapat mengelakkan salahfaham sesama kita dan dalam masa yang sama menjaga kewibawaan parti kita. Perbedaan pendapat dan pandangan antara parti di dalam PR adalah biasa dan macamana biasa juga boleh diselesaikan melalui perbincangan dan permuafakatan.

Malah di dalam BN pun mereka sering berbeda pandangan atau bergaduh sesama sendiri. Adakah kita sudah tak pandai nak berbincang dan berpakat dengan orang lain dan apabila ada masalah sikit kita terus nak ‘abandon the ship’? UMNO ini bukan saja terkenal di dalam menekan dan menipu parti lain tetapi sesama mereka pun mereka bergigitan dan bercakaran. Tengok hukuman terpilih yang mereka buat ke atas Isa Samad dahulu dan baru-baru ini Ali Rustam. Lihat bagaimana mereka ‘mengenakan’ Khairy Jamaluddin apabila barisan Kabinet dibentuk.

Ketika kita sibuk tengah bincang isu muqabalah dan kerajaan perpaduan pun UMNO siap rampas kerajaan Perak yang bermenteribesarkan PAS! Pendek kata banyak lagi boleh kita ceritakan di sini tentang kisah pengkhianatan UMNO. Mungkin kita boleh sambung di lain masa dan ketika.

Pengajarannya ialah kita perlu berhati-hati dengan UMNO kerana UMNO telah seringkali mengkhianati kita dan umat Islam. Apa saja pendekatan yang bertujuan mendekati UMNO atau apa saja perlu dibincang dengan teliti dan dimaklumi oleh akar umbi bagi mengelak persengketaan sesama kita. Kenyataan pimpinan yang dikeluarkan perlulah berhemat dan dibuat dengan penuh hikmah. Janganlah kebencian kita kepada seseorang menyebabkan kita berlaku zalim terhadapnya. Kesimpulannya kita semua akan berdepan dengan Allah rabbul jalil untuk dipertanggungjawabkan atas segala percakapan, tulisan dan tindak-tanduk kita. Moga Allah mengampunkan kita semua.

Anak Bapa: Islam mengajar kita ”Kalau Islam kuat, Melayu, Cina dan India (malah apa bangsa sekali pun) akan selamat ......”. Segelintir pimpinan PAS pula berpandangan ”Kalau Melayu kuat, Islam dan bangsa-bangsa lain akan selamat ......”. Apa pandangan anda? -anakbapa


1 ulasan:

greenismycolour berkata...

Islam adalah 'formula' yang telah diadunkan oleh Allah Taala, Pencipta sekalian alam. Mana mungkin ada 'formula' lain yang lebih baik dari 'formula'Nya?