7 Feb 2009

Kerajaan Haram BN Di Perak Tidak Kekal Lama

Kerajaan haram yang ditubuhkan oleh Barisan Nasional hasil dari coup de tat (rampasan kuasa) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri diramalkan tidak akan dapat bertahan lama.

Para pemimpin dan pengalisis politik tempatan berpendapat, dengan terdedahnya banyak perkara ekoran dari rampasan kuasa yang kotor yang dilakukan oleh Najib yang bakal menjadi PM yang ke 6 bulan depan menjadikan episod kemelut politik Perak tidak mudah untuk dibendung dan akan terus menjadi barah yang mengundang lebih banyak keburukan selagi pilihanraya tidak diadakan di Perak.

Persoalan yang timbul ialah berbalik kepada perkara asas di dalam pemerintahan sesebuah kerajaan - iaitu - pendaulatan rakyat sebagai kata pemutus terhadap sesutau kemelut.

Naib Presiden PAS, Husam Musa menyifatkan rampasan kuasa yang berlaku di Perak membuktikan bahawa pimpinan Umno-BN termasuk dalam golongan lanun kerana tidak menghormati dan mengikuti Perlembagaan negeri Perak.

Katanya, mereka mengambil orang yang dituduh terlibat dengan rasuah sebagai orang yang menyokong pembentukan kerajaan (BN) sebagai tekanan dan cara yang mereka lakukan betul-betul lanun.

PAS tidak akan mengiktiraf kerajaan baru negeri Perak yang diterajui Barisan Nasional (BN), kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula

Katanya, beliau berpegang pada pendirian bahawa pilihan raya patut diadakan semula bagi memberi peluang rakyat memilih kerajaan mana yang mereka mahukan.

"ni bukan soal Melayu (menderhaka) tetapi dalam Islam, raja atau rakyat, orang bandar, orang kampung, tak kira raja, tok guru, setaraf semuanya dan mereka bertanggungjawab kepada Allah di akhirat kelak," katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan Datuk Seri Mohamad Nizar bin Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak sehinggalah beliau meletakkan jawatan atas kerelaannya sendiri atau melalui usul undi tak percaya padang sidang Dewan Undangan Negeri.

"Usul tidak percaya dalam persidangan DUN sahaja yang boleh menyingkirkan Nizar dari jawatan itu. Selain daripada itu, tak kiralah berapa banyak angkat sumpah dijalankan, lompat melompat. sidang akhbar atau perisytiharan, atau apa jua iklan, paparan, sogokan atau tindakan yang dibuat ke atas persoalan itu tidak akan terpakai," katanya.

"Perlembagaan tiada memperuntukkan kuasa untuk menyingkirkan Nizar dengan apa cara sekalipun, termasuk petisyen atau arahan daripada sesiapa juapun," tegasnya yang merujuk titah Sultan Perak yang meminta Nizar meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Beliau menambah, kerajaan yang sah dari segi perlembagaan adalah yang diberi mandat oleh rakyat, dan hanya rakyat yang menentukannya. Untuk menyingkirkan dan menubuhkan kerajaan baru tanpa melalui pilihanraya atau usul undi tak percaya adalah bererti melanggar perlembagaan, melanggari undang-undang bererti berisiko menubuhkan kerajaan haram.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata cara pembentukan kerajaan baru di Perak telah menimbulkan persoalan dan seterusnya mengenai kesahihan kerajaan negeri yang baru itu.

Sehubungan itu, Suhakam berpendirian hanya pilihanraya bebas dan adil dapat menyelesaikan ketidaktentuan politik di negeri tersebut.

Menurut Tun Mohamad Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara, jalan yang betul untuk menabalkan menteri besar baru adalah dengan menjatuhkan dulu menteri besar yang ada melalui undi tidak percaya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

Setelah jatuh dan kumpulan yang baru mendapat undi percaya barulah dia sah untuk mendapat perkenan Sultan dan dilantik sebagai menteri besar.

Editor Siasah Zulkifli Sulong di dalam kolumnya di malaysianinsider menyatakan ekoran pilihan raya Kuala Terengganu, semua pihak mengaku Umno dan BN perlu membuat perubahan besar-besaran. Najib sendiri mengaku tentang keperluan itu. Apakah perubahan itu? Bagi saya, berubah dari persepsi buruk rakyat kepada yang baik di mata rakyat.

Apakah masalah paling besar kepada Umno di mata rakyat. Bagi saya, amalan korupnya. Dari pemimpin tertinggi sehinggalah ke pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dinilai sebagai korup.

Najib boleh berkata, apa yang dibuat Umno, iaitu mendapatkan Adun Pakatan adalah sama sahaja dengan apa yang cuba dibuat Pakatan pimpinan Anwar Ibrahim dari projek 16 September hinggalah penyertaan Datuk Nasarudin Hashim ke dalam PKR.

"Jika Pakatan buat boleh, bila Umno buat korup?" Najib boleh kata begitu.

Tetapi, jika dilihat kepada nature kes-kes itu jelas. Misalnya kes Jamaludin Mat Radzi dan Osman Jailu. Kedua-duanya sedang didakwa kerana rasuah. Menjelang beberapa hari sebelum kesnya disebut lagi untuk dibicarakan iaitu pada 10 Februari, kedua-duanya hilang. Timbul semula hanya di Putrajaya dan mengiytiharkan keluar dari PKR menjadi calon bebas. Kemudian membuat pengakuan kepada Sultan Perak menyokong BN untuk membentuk kerajaan baru.

Saya yakin, jika Gerak masih lagi badan bebas, kumpulan NGO anak buah Ezam Mohd Noor ini akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Gerak akan mendakwa terdapat unsur-unsur rasuah yang jelas bagaimana Jamaludin dan Osman ini boleh menyokong BN hatta untuk menjatuhkan bekas kerajaannya.

Antaranya, jika didapati bersalah Jamaludin dan Osman akan hilang segala-galanya; jawatan Exco, Adun bahkan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun. Dari kehilangan semua ini, baik sokong BN.

Namun, kini Gerak tidak bergerak. Mereka sudah kenyang dengan isu 46 ekor lembu korban di Bandar Tun Razak sahaja.

Oleh itu Zulkifli berkesimpulan: walaupun Umno dilihat menang dalam kes ini iaitu mendapat kerajaan Perak tetapi ia umpama pepatah Melayu sahaja, menang secupak, rugi segantang. Berjaya rampas negeri Perak tetapi besar kemungkinan akan hilang selama-lamanya di mata rakyat kerana Umno sememangnya gagal bahkan sememangnya tidak mahu berubah.



1 ulasan:

Ahmad Saabun berkata...

Tuan, jemput datang kesini. Saya sekadar menyediakan 'pelantar' yang memungkinkan mudahnya kita untuk bertemu sesama kita.
www.mandatrakyat.blogspot.com