31 Jan 2009

Kes Kugan : Keadilan Yang Terlacur (1)

Ahli Parlimen Kapar, S. Manickasagam telah membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberi kenyataan palsu bersabit kematian Kugan Ananthan minggu lalu. Masyarakat mempercayai bahawa pemuda berusia 22 tahun tersebut telah didera sehingga mati semasa beliau di soalsiasat oleh Polis Selangor berhubung kes curi kereta.

Beliau juga mendesak agar Ketua Polis Selangor tersebut dipecat

Pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (melalui kenyataan Menterinya) nampaknya berusaha sedaya upaya untuk melakukan "cover-up" terhadap kes tersebut dengan mengecap awal-awal Kugan Ananthan sebagai penjenayah curi kereta sekalipun beliau belum lagi di dakwa dan dibuktikan kesalahannya.

Rakyat masih tertanya-tanya mengapa setakat ini belum ada tindakan diambil terhadap laporan polis yang dilakukan oleh S.Manickavasagam tersebut.

Malah Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar telah pergi lebih jauh. - dengan tentunya merujuk kepada kes Kugan ini, beliau tidak mahu masyarakat menganggap mereka yang melakukan jenayah sebagai hero dan polis yang menguatkuasakan undang-undang pula sebagai syaitan.

Namun yang nyata tindakan polis yang menyebabkan kematian Kugan disamping usaha pihak pegawai kanan polis untuk menutup hal kezaliman anggotanya - itulah yang telah menjadikan Kugan sebagai hero. Malah kenyataan dan sikap Syed Hamid sendiri yang memperlihatkan prinsip "innocent until proven guilty" tidak dijunjung dan dihormati itulah juga yang menyumbang kepada pengangkatan Kugan sebagai hero.

Kenyataan Syed Hamid terbabas lansung dari garis keadilan yang diajarkan oleh Islam. Prinsip pertama yang disebut dalam al-Quran ialah prinsip keadilan mutlak. Iaitu keadilan yang dilaksanakan tanpa mengira kelompok manusia. Sama ada mereka beragama Islam atau pun bukan, semuanya dipandang sama.

Berdasarkan itulah maka Nabi Muhammad s.a.w. telah melaksanakan prinsip keadilan kepada masyarakat tanpa mengira sesiapa, sama ada mereka itu orang bawahan atau atasan. Satu ketika, berlaku satu peristiwa dimana seorang perempuan daripada suku bangsawan Quraisy telah meminjam harta barang-barang kemas sahabat-sahabatnya tetapi dengan sengaja enggan memulangkannya semula.

Diadukan kepada Nabi Muhammad kes itu, disiasat dan didapati benar perempuan ini telah melakukan satu kesalahan mengambil harta orang tanpa mengembalikannya. Nabi kemudiannya menghukum perempuan tersebut dengan hukuman hudud.

Mendengar itu, maka berlakulah satu usaha daripada kalangan bangsawan Quraisy untuk memujuk Nabi supaya menarik balik hukuman tersebut atas alasan menjaga nama baik golongan bangsawan. Mereka lalu mengutus Usamah bin Zaid untuk untuk berunding dengan Nabi supaya menarik balik hukuman tersebut.

Bila Usamah mengadap Nabi dan menyatakan tujuan itu, dengan tiba-tiba Nabi baik berang. Baginda marah dan terus menyampaikan ucapan yang terkenal. Kata Nabi: “Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum daripada kamu kerana dasar keadilan mereka bila orang-orang atasan, bangsawan atau orang di kalangan yang berkuasa melakukan sesuatu jenayah, maka mereka memaafkannya tanpa apa-apa hukuman.

”Kalau orang-orang lemah bukan dari kalangan bangsawan atau minoroti yang melakukan jenayah itu, maka mereka segera melaksanakan hukuman hudud. Demi Allah ,sekiranya anak perempuanku Fatimah yang mencuri, aku sendiri yang akan potong tangannya.”

Inilah keadilan dalam Islam. Keadilan yang tidak memandang bulu, tidak memilih kes serta tidak mendahulukan sesuatu kes dan membelakangi kes yang lain. Jauh sekali untuk mengada-adakan kes yang tidak ada. Atau sengaja menghukum sesaorang itu dengan hukuman yang berat, direkaciptakan kes-kes, dipalsukan beberapa kenyataan dan keterangan hingga membolehkan kehendak mereka terlaksana.

Prinsip kedua yang Islam terima pakai ialah ‘yang menuduh hendaklah membawa bukti dan yang kena tuduh hendaklah menafikan dengan bukti-bukti yang sebaliknya.’

Dalam sebuah hadis disebut: “Keterangan dibebankan kepada orang yang mendakwa. Kalau tidak mempunyai bukti, sumpah diterima sebagai keterangan daripada orang yang dituduh bahawa dia tidak melakukan kesalahan itu. Atau dia boleh membawa bukti bagi meragukan keterangan-keterangan yang dibawa oleh orang yang menuduh.”

Hakim dalam Islam tidak campur tangan dalam hal pembuktian. Dia hanya mendengar siapa yang kuat hujahnya. Berdasarkan itulah hukuman akan dilaksanakan. Bukan dengan cara hakim bertindak sebagai pendakwa atau hakim bertindak lebih daripada pendakwa.

Di zaman Khalifah Ali bin Abi Thalib, berlaku satu kes dimana Ali telah kehilangan baju besi. Didapati baju besi itu ada dalam simpanan seorang Yahudi. Ali melaporkan ke mahkamah, diambil tindakan dan dibicarakan.

Yahudi ini menyangka bahawa tentulah dia akan kalah dalam kes ini kerana beliau seorang Yahudi. Yang membuat pertuduhan pula ialah seorang khalifah dan dibicarakan di depan seorang hakim yang dilantik oleh khalifah tersebut.

Dalam perbicaraan itu, Ali gagal membuktikan kepada mahkamah tanpa sebarang keraguan bahawa baju tersebut kepunyaan nya. Kata lelaki Yahudi tersebut, “baju itu ada pada aku, maka akulah yang ampunya”.

Akhirnya mahkamah memutuskan bahawa dakwaan Ali tidak sabit dan baju besi itu bukan kepunyaan Ali tapi kepunyaan Yahudi tersebut. Maka bersurailah majlis. Kemenangan diberikan kepada yahudi tersebut kerana bukti Ali meragukan dan tidak kukuh.

Yahudi yang pada mulanya meletakkan sangkaan bahawa dia tidak akan menang kes tersebut, telah menyatakan keadilan Islam itu mengatasi agama dan bangsa. Dia pulang semula kepada mahkamah dan berkata, “aku amat menghargai keadilan yang diberikan dan sekarang aku ingin mengaku apa yang sebenarnya.

”Sebenarnya baju ini baju Ali, aku ambil. Sengaja aku berbuat sedemikian untuk melihat keadilan dalam Islam.”

Kata hakim, “kami hanya menghukum berdasarkan yang zahir manakala yang batin, yang kami tidak lihat kami serahkan kepada Allah s.w.t.

Inilah contoh satu bentuk keadilan yang memuaskan semua orang. Walaupun untuk Yahudi kalau haknya jelas, maka Islam beri kapadanya. Undang-undang tidak digunakan untuk memuaskan nafsu pemerintah atau memuaskan nafsu orang-orang yang mendakwa.

Tetapi malang di dalam negara kita, Menteri Dalam Negeri mungkintidak pernah membaca kisah ini.








Tiada ulasan: