Kini mereka merasai, iaitu sekumpulan 15 orang wartawan yang sedang membuat liputan satu kes bunuh telah dimaki dan diusir dengan panggilan "anjing" oleh seorang pegawai polis berpangkat ASP di Baling, Kedah.
Jika sebelum ini pihak polis mengkasari dan menzalimi rakyat terutama anggota pihak pembangkang dan tidak mendapat liputan dengan adil dari para wartawan, sampai juga masanya kini wartawan pula menerima nasib akibat dari kebiadaban para pegawai Polis DiRaja Malaysia.
Bernama hari ini melaporkan para wartawan seramai 15 orang telah membuat laporan di Balai Polis Tawar di Baling terhadap seorang pegawai polis berpangkat ASP kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka ketika sedang membuat liputan satu kes bunuh.
Laporan yang dibuat oleh jurukamera sambilan NTV7 Muhammad Ridzuan Osman, 21, di Balai Polis Tawar, Baling itu adalah kerana pegawai berkenaan mengusir wartawan dari tempat kejadian dengan perkataan "anjing".
Pegawai polis berkenaan juga didengar mengarahkan anggotanya melepaskan anjing pengesan dari Unit Anjing (K9) untuk tujuan menghalau wartawan.
Kejadian itu berlaku selepas Ketua Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Zakaria Ahmad mengadakan sidang akhbar di tempat kejadian.
Dalam kejadian itu, polis menemui mayat dua lelaki di Ladang Kelapa Sawit Bukit Hijau pada pukul 10.43 pagi tadi dan kumpulan wartawan itu yang berada di tempat kejadian sejak pukul 8 pagi tidak dibenar merakamkan gambar walaupun berada di luar kawasan larangan polis.
Ketika jurufoto dan wartawan cuba merakam gambar apabila mayat berkenaan dimasukkan ke dalam kenderaan polis, pegawai polis itu menjerit "jangan masuk anjing" dan "lepaskan anjing".
Wartawan Kosmo, Othman Yahya, 45, berkata sepatutnya pegawai berkenan mencontohi Mohd Zakaria yang melayani wakil media dengan baik.
Wartawan akhbar Tamil Nesan, ML Maran, 56, berkata selama bertugas sebagi wartawan inilah pertama kali dia berdepan dengan seorang pegawai polis yang tidak menghormati tugas wartawan.
Pengerusi Kelab Media Kedah Mohd Zahari Morad berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai insiden itu esok.
Dan insiden kebiadaban polis ini bukan satu kes yang terpencil. Seperti yang selalu kita utara dan dedahkan, terdapat ramai kakitangan polis yang telah meletakkan undang-undang di dalam tangan mereka, bertindak sesuka hati dengan menyepak, menendang, menampar, membelasah orang terbanyak.
Saya telah mendedahkan hal kezaliman dankeganasan polis ini berkali-kali. Di negara ini, kita menyaksikan beberapa pegawai-pegawai polis yang bertindak ultra vires, malah keterlaluan. Bertindak melangkaui bidang kuasa mereka. Bertindak seolah-olah mereka paling berkuasa di negara ini.
Di dalam satu tulisan saya sebelum perhimpunan BERSIH 10 November lalu, saya telah meminta pihak polis untuk tidak panik dan supaya bekerjasama dengan rakyat.
Namun malang sekali, masih terdapat pegawai polis yang sumbang dan sumbing seperti Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abd Rahman (gambar) yang telah mengarahkan gas pemedih mata ditembak ke arah rakyat terbanyak terutama di Masjid Jamek.
Inilah binatang zaman moden, memaksa orang lain mematuhi undang-undang sedangkan diri mereka lupa bahawa mereka juga tertakluk kepada undang-undang.
Kita meminta polis lebih bertamadun, lebih profesyenal di dalam menjalankan tugasnya bukan menghalau wartawan dan rakyat serta mengherdik mereka apatah lagi mengkasari mereka.
Ini semua perlu dihentikan segera dan polis yang terlibat perlu dilucutkan pakaian polisnya untuk dimasukkan segera ke penjara kerana selagi mereka ada, imej negara tercalar dimata dunia seperti apa yang berlaku lewat peristiwa 10 November 2007.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan