20 Jun 2013

Jalankan Undi Rahsia Untuk Jawatan Speaker Atau Hadapi 'Perang Besar'

Blok pembangkang memberi amaran untuk memberi tentangan keras sekiranya pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 24 Jun tidak dijalankan melalui secara undi rahsia.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Parlimen akan berdepan dengan "perang besar" dari blok pembangkang sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.

"Kalau kamu gagal bersikap jujur dalam Parlimen, kamu nak langgar pemilihan Speaker, kamu berdepan dengan perang besar pada 24 Jun ini," katanya.

Beliau mensasarkan amaran tersebut kepada sekretariat Parlimen, yang akan menjalankan pengundian tersebut.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Anwar sekali lagi menekankan bahawa gabungan parti itu mahu bekas hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Kadir Sulaiman dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pakatan juga akan mencadangkan ahli parlimen Tumpat Datuk Kamruddin Jaafar untuk jawatan timbalan speaker.

Anwar berkata Pakatan dimaklumkan tempoh speaker bagi sesi lalu akan tamat pada 23 Jun ini.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat secara konsensus meminta beliau menyambung sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat

Anwar turut mengulangi bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat akan hadir dalam majlis angkat sumpah bagi menghormati Yang di-Pertuan Agong yang akan merasmikan sesi parlimen kali ini. -mk


PR cadang MP Tumpat sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat


Pakatan Rakyat memutuskan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Keputusan tersebut diputuskan pada mesyuarat mingguan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan demikian pada sidang media, percaya langkah itu sejajar dengan peningkatan bilangan komposisi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi kualiti amalan demokrasi di negara ini.

"Pada mesyuarat tadi kita telah memutuskan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Tumpat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi sesi kali ini.

"Kita berharap bagi membantu Yang Dipertua dalam urusan mengendalikan persidangan seorang timbalan hendaklan dipilih dari kalangan seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat," jelasnya.

Dalam pada itu beliau mengulangi Pakatan Rakyat juga turut bersetuju untuk menamakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua bagi Parlimen Ketiga Belas.

Menurutnya surat cadangan bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu telah dihantar oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 10 Jun lalu.

"Bagi memantapkan lagi proses demokrasi negara ini dan memastikan perbahasan di Dewan Rakyat berlangsung dengan telus dan adil, Pakatan Rakyat mencadangkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Yang Dipertua.

"Cadangan ini apabila kita melihat ketelusan beliau yang tidak memihak dengan mana-mana politik atau pihak dan kami yakin beliau dapat menjalankan tugas dengan baik pada persidangan kali ini," sambungnya.

Anwar berkata, Pakatan Rakyat menegaskan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat mesti dilantik dari kalangan seorang yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat.
- HD

[BLACK 505] Final Countdown Malam Esok Di KLSCAH


Gabungan ‘Suara Rakyat 505’ mengadakan siri jelajah ke seluruh negara dengan menganjurkan flashmob bermula 15 Jun lalu dan kemuncaknya adalah pengiraaan detik akhir (final countdown) pada malam esok, 21 Jun. Malam kemuncak itu akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di mana hadirin akan diberi penerangan bagi menghadapi himpunan di Padang Merbok keesokan harinya. Menurut kenyataan dikeluarkan Suara Rakyat 505, gabungan itu juga akan menubuhkan sebuah pasukan sukarela bagi menggembleng kekuatan rakyat pada himpunan itu. “Kami menegaskan bahawa hak untuk berhimpun secara aman adalah hak rakyat yang diperuntukkan oleh perlembagaan, khususnya bagi menyuarakan kepincangan yang berlaku dalam negara. “Hak ini tidak wajar dicabuli dan tidak boleh dihalang oleh pihak berkuasa termasuklah DBKL. Justeru, kami tetap akan teruskan perhimpunan di Padang Merbok walaupun mendapat halangan DBKL,” kata penganjur.

[WASPADA] Jangan Mudah Terpedaya Dengan Kenalan FB


Marang - Terpesona dengan kenalan cinta Facebook, seorang jurujual perempuan berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol lelaki yang dikenalinya melalui laman sosial itu di sini, Isnin lalu.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Marang, Terengganu itu mula mengenali lelaki terbabit kira-kira dua bulan lalu dan suspek mengajak mangsa keluar makan bersamanya kira-kira jam 11 malam.

Bagaimanapun lain pula jadinya apabila suspek membawa mangsa ke sebuah bangsal di Kampung Bukit Parit di Marang untuk melakukan adegan ‘ringan’ sebelum mengajak mangsa melakukan hubungan seks.

Mangsa menolak ajakan itu, namun suspek tetap berdegil dan tidak mempedulikan rayuan mangsa dan bertindak merogolnya.

Lebih malang, seorang lagi lelaki yang dikenali suspek tiba-tiba muncul selepas itu dan turut merogol mangsa secara bergilir-gilir termasuk meliwat mangsa.

Suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang ke Kuala Terengganu kira-kira jam 2 pagi pada Selasa lalu.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Polis juga telah menahan seorang individu di Kampung Bukit Parit, di sini untuk siasatan lanjut. -SH

Pelatih PLKN Lahir Bayi Lelaki Di Tandas Kem

Muar - Seorang pelatih yang sedang menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Sri Ledang, Jementah, Segamat melahirkan seorang bayi lelaki dalam tandas kem tersebut hari ini.

Pengurusan kem tersebut yang menyedari remaja berkenaan melahirkan bayi dalam tandas pada kira-kira pukul 3 pagi segera mengejarkan ibu berusia 18 tahun itu bersama bayi seberat 2.7 kilogram ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.

Bagaimanapun, bayi lelaki tersebut meninggal dunia tidak lama selepas itu, manakala keadaan ibu muda terbabit dalam yang sedang dirawat tidak membimbangkan.

Pengarah hospital Dr Selahudeen Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan ada menerima seorang pesakit remaja bersama bayi lelaki.

"Kita akan menjalankan bedah siasat ke atas bayi itu esok untuk mengenalpasti punca kematiannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut. - Bernama

Mahkamah Diminta Batal Lantikan 5 Senator


Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran semalam memfailkan permohonan untuk Semakan Kehakiman terhadap lima ahli BN yang memegang jawatan dalam Kabinet.

Menurutnya, semakan itu dibuat berikutan kes Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul Low Seng Kuan yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak sah mengikut undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Sementara tiga timbalan menteri yang dilantik dalam Kabinet, Waythamoorthy Ponnusamy, Dr Loga Bala Mohan Jaganathan dan Ahmad Bashah Md Hanipah tidak berhak menyandang jawatan tersebut mengikut undang-undang yang sama.


Tambahnya, pelantikan jawatan di Kabinet perlu dipilih daripada ahli Dewan Negara atau ahli Parlimen yang menang pilihan raya lalu atau mengangkat sumpah sebagai Senator.

"... jelas menunjukkan undang-undang tersebut seseorang yang dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri perlulah menjadi ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat atau seorang senator.

"Mengikut pelantikan kelima-lima orang ini, nampaknya kehendak Perlembagaan tidak diikuti dan saya hairan walaupun PRU sudah kali ke-13, berapa ratus menteri telah dipilih dan dilantik, kesilapan demikian boleh dilakukan lagi," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kulasegaran yang juga naib presiden DAP berkata, melalui permohonan itu kesemua mereka yang terlibat perlu mengembalikan semula anugerah, keistimewaan dan kelebihan kewangan yang diperolehi semasa dilantik menjadi ahli Kabinet.

"Mereka perlu kembalikan segala kelebihan yang diperolehi selepas dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri selepas menerima notis tujuh hari selepas tarikh perintah diperolehi," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa pihak ekemnterian dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak memohon maaf kepada rakyat kerana kesilapan yang dilakukan mengenai perkara tersebut selepas mengetahuinya.

"Saya berharap selepas menteri yang terlibat atau Najib mendengar perkara ini, mereka akan meminta maaf kepada rakyat.

"Ini adalah kes pertama pada pengetahuan kami, ia tak pernah berlaku sebelum ini, ini memalukan," katanya.

[VIDEO] Berkumpul Di 7 Check Point Sebelum Ke Padang Merbok Pada 22 Jun


Peserta perhimpunan aman #Blackout505 Sabtu ini diseru agar berkumpul di tujuh ‘check point’ sebelum bergerak bersama pemimpin Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) ke Padang Merbok pada hari tersebut.

Tujuh ‘check point’ tersebut adalah :

1) Brickfields diketuai Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arulchelvan dan Pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Marina Chin.

2) Masjid Negara – Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, MP Shah Alam Khalid Samad

3) Jalan Pudu – Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, Setiausaha Organisasi Parti DAP, Anthony Loke, Ketua Gerakan anti Lynas, Wong Tack, Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin.

4) Jalan Raja Laut (ibupejabat Pas) – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

5) Jalan Raja Laut (Sogo) – Naib Presiden PKR Tian Chua, bekas-bekas pesara tentera

6) Universiti Malaya – aktivis mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan

7) Pekeliling – Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub dan NGO ANAK.

Kumpulan-kumpulan tersebut akan bergerak ke Padang Merbok selepas solat Zohor dan bergabung di padang tersebut kira-kira jam 2.00 petang.

Demikian menurut MP Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini pagi tadi.



19 Jun 2013

"Hasad Dengki" Untuk Gagalkan Black 505, Larian Olimpik Tukar Tempat!

Konspirasi' tukar tempat larian olimpik?

Pertukaran saat akhir tempat Larian Hari Olimpik pada Ahad depan dari Dataran Merdeka ke Padang Merbok oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengejutkan sesetengah pihak.

Malah, ada di kalangan pengguna Internet yang mengaitkannya dengan "konspirasi" bertujuan memberi alasan terbaik kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menolak permohonan menggunakan Padang Merbok untuk perhimpunan Black 505 anjuran Pakatan Rakyat.

Tengah hari ini, MOM mengumumkan di Facebook mereka bahawa tapak acara larian mereka yang ditetapkan pada tahun lalu ditukar.

"Sila ambil perhatian bahawa tempat untuk Larian Hari Olimpik yang dijadual pada 23 Jun 2013, Ahad pada 7.30 pagi ditukar akibat keadaan yang tidak dapat diduga.

"Tempat baru untuk Larian Olimpik 2013 kini di Padang Merbok, Jalan Parlimen, Kuala Lumpur. Segala kesulitan amat dikesali," menurut mesej di Facebook MOM.

Semakan Malaysiakini di laman web majlis itu dan juga McDonald's sebagai penaja acara jelas menyebut tempatnya di Dataran Merdeka. -mk



Ulasan GB

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan.

Orang/pihak yang berhasad dengki akan tetap gagal dan kecundang!

Black 505 22 Jun: Wakil Rakyat Menang Wajib Turun – Pengerusi Sekretariat


Pengerusi Sekretariat Black 505, Datuk Johari Abdul menyeru agar wakil rakyat Pakatan Rakyat yang menang dalam Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu menjadi barisan hadapan dalam kebangkitan rakyat melawan penipuan pilihan raya BN.

Katanya, jika pihak yang kalah atau yang tiada kena mengena dengan pilihan raya menuntut SPR dibebaskan dan pilihan raya dilaksana secara adil, maka rakyat akan menghukum BN dalam PRU akan datang.

“Saya bertemu dengan ramai orang dan mereka berkata mahu melihat wakil rakyat Pakatan yang menang mengetuai penentangan penipuan pilihan raya.

“Wakil rakyat yang menang tidak boleh berdiam diri. Kalau mereka menjadi barisan depan, maka lebih ramai rakyat akan turun dan menyokong perjuangan ini.

“Anak muda Melayu, Cina, India tidak lagi takut untuk berhimpun. Marilah kita meraikan perubahan baru ini,” katanya.

Johari juga meminta peserta perhimpunan pada 22 Jun berpakaian hitam sebagai lambang kematian demokrasi.

Menurutnya, peserta akan berarak dari beberapa tempat berkumpul seluruh Kuala Lumpur mulai pukul 2 petang dan tiba di lokasi utama Padang Merbok pada pukul 3 petang. -KD

Pengendali Laman Jiwang.Org Ditahan Pihak Berkuasa

Pengusaha laman web popular muat turun dan muat naik muzik secara haram, www.jiwang.org (JWG), yang mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit sejak tahun 1997, akhirnya ditahan pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Kelantan.

Pengarah Penguatkuasa Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas sepasukan penguat kuasa menyerbu kediamannya di Kubang Kerian pada 11 Jun lepas.

"Laman web yang menawarkan perkhidmatan muat turun dan muat naik lagu-lagu Melayu telah mengaut keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit berdasarkan servis iklan dan sumbangan daripada mereka yang menjadi ahli laman web JWG.

"Lelaki itu mengaku pernah memperoleh pendapatan lumayan, iaitu mencecah RM10,000 sebulan pada tahun 2006, tetapi pendapatannya merosot kepada RM1,500 sebulan sekarang setelah muncul pesaing yang menggunakan modus operandi yang sama dengan JWG," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sheikh Raffie Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Tan Ngiap Foo.

Roslan berkata, pasukan penguat kuasa juga merampas peralatan ICT bernilai RM30,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hakcipta 1987 yang membawa hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, Bahagian Penguat Kuasa akan mengeluarkan notis halangan kepada SKMM bagi menghalang akses laman web JWG seperti yang diperuntuk mengikut Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Ngiap Foo berkata, industri muzik menanggung kerugian kira-kira RM10 juta dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini berikutan laman web yang menawarkan muat naik dan muat turun lagu di negara ini.

"Saya berterima kasih kepada KPDNKK yang membuat serbuan sebegini. RIM akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pengusaha laman web JWG bagi menuntut ganti rugi yang ditanggung industri muzik," katanya.

Beliau juga berkata, RIM telah mengenal pasti laman web yang menawarkan perkhidmatan serupa kepada pengguna bukan sahaja dari Malaysia malah Indonesia dan Brunei.

Dalam perkembangan berkaitan, Roslan berkata, KPDNKK sedang menyiasat sekurang-kurangnya 32 laman web yang menawarkan muat turun dan muat naik muzik serta filem percuma secara haram di negara ini.

Beliau berkata, sebanyak 30 aduan diterima berhubung laman web dikategori sebagai 'jerung siber' yang menyumbang kepada pelanggaran hak cipta.

"Siasatan awal mendapati laman sesawang ini beroperasi di dalam dan luar negara. Kita akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, SKMM dan pemilik hak cipta untuk menjejaki serta melumpuhkan jerung siber ini agar tindakan tegas dapat diambil ke atas mereka," katanya.

Roslan turut mengingatkan semua agensi kerajaan melalui Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Keselamatan Komputer Malaysia (MyCert) supaya mengambil langkah berjaga-jaga serangan siber ke atas laman sesawang kerajaan selepas laman JWG dihalang akses.

"Ini adalah berdasarkan pengalaman pada tahun 2011 yang menyaksikan beberapa laman sesawang kerajaan digodam setelah 10 laman sesawang yang melanggar Akta Hakcipta 1987 dihalang akses," katanya. -Bernama

[VIDEO] Saksikan Usul Bincang Perobohan Pasar Payang Ditolak Sidang DUN

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu menolak usul khas berhubung projek pembinaan Pasar Besar Kedai Payang baru yang dikemukakan Adun PAS semalam.

Mohd Zubir Embong menolak usul yang dikemukakan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) atas alasan usul itu tidak perlu disegerakan.

Syed Azman sewaktu mengemukakan usul di bawah peraturan mesyuarat fasal 30 itu berkata, perobohan Pasar Besar Kedai Payang yang berusia 80 tahun bagi memberi laluan kepada projek mega dibina atas tapak pasar yang sedia ada akan memberi implikasi yang amat besar kepada sejarah dan pembagunan negeri Terengganu.

"Kontrak bernilai RM400 juta ini dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

"Yang lebih penting majoriti warga Terengganu membantah keras rancangan projek mega ini. Lebih-lebih lagi Terengganu berhadapan dengan banyak projek nazak yang terbengkalai seperti keruntuhan yang berlaku di Stadium Sultan Mizan yang bernilai hampir RM300 juta," katanya.

Tambah beliau, sejak akhir-akhir ini, banyak warisan Terengganu dirobohkan atas nama pembangunan.

"Di sekitar Kuala Terengganu sahaja telah menyaksikan perobohan Istana Kolam, Pasar Kedai Binjai, Pasar Tanjung, Menara Jam Besar dan yang terbaru ialah Kampung Ladang yang terkenal dengan pusat industri tembaga dan batik yang terus hilang dari peta sejarah," katanya.

Sewaktu usul tersebut mula dibacakan, dewan menjadi kecoh kerana Zubir enggan membenarkan usul tersebut terus dibacakan.

Namun Syed Azman terus membaca usul sehingga habis kerana berpendirian notis berhubung usul tersebut sudah dalam makluman Speaker.

Zubir beberapa kali mengarahkan Syed Azman duduk namun tidak dihiraukan.

Suasana tersebut mengundang Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) yang juga ketua pembangkang bangun menegur tindakan Speaker.

Bercakap pada sidang media di luar dewan, Syed Azman menyatakan rasa kesal dengan sikap Zubir yang dilihat mengenepikan peraturan mesyuarat.

"Dewan dilihat seperti mengenepikan peraturan mesyuarat yang diamalkan di mana-mana persidangan di mana-mana negara pun.

"Sidang hari ini menunjukkan permulaan yang tempang apabila Yang Di-Pertua sendiri gagal mematuhi peraturan mesyuarat.

"Sepatutnya beliau harus membenarkan saya membaca usul saya sehingga habis walaupun panjang kerana ini termasuk dalam peraturan mesyuarat," tegasnya.

Speaker perlu buat kerja rumah

Sementara itu pada sidang media yang sama Abdul Wahid berkata, Zubir sebagai Speaker yang baru harus belajar daripada Speaker terdahulu.

"Kita faham beliau orang baru dan belum biasa tapi beliau harus baca buku peraturan mesyuarat dan bertanya dengan orang lama kalau tida faham.

"Menyekat Adun bersuara tidak seharusnya berlau. Saya harap Speaker dapat teliti semula buku pertauran mesyuarat dan hal seperti hari ini tidak berulang lagi,"
katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, isu itu penting untuk dibincangkan dalam sidang Dun kerana membabitkan kepentingan rakyat.

"Semalam Tuanku Sultan Mizan bertitah mennyentuh mengenai projek-projek yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Pembinaan Pasar Payang baru ini adalah satu contoh projek yang membazir dan mengenepikan penduduk dalam negeri sendiri," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pasar Payang. -HD


Rakyat Didahulukan? BN Menang, Tambang Bas Pun Naik!


Tahniah diucapkan kepada para penyokong UMNO/BN... kerana undi kalian umat Melayu/Islam yang nak beraya Aidil Fitri balik kampong halaman menggunakan perkhidmatan bas akan kena bayar lebih 10% dari kadar semasa.

Inilah hebatnya UMNO yang memperjuangkan Ketuanan Melayu.. Slogan Rakyat di Dahulukan.. Tradisi Membela Rakyat...

Ikut hukum akal logik...yang balik kampong beraya pada Aidil Fitri ini hampir 100% orang Melayu beragama Islam.. Yang majoriti menyokong UMNO/BN pada PRU 13 lalu juga adalah warga Melayu/Islam yang duduk di luar bandar, kampong-kampong tradisional dan Rancangan Felda.

Sudah pasti menjelang tiba Aidil Fitri warga kota yang tidak berkemapuan nak balik kampong terpaksa guna khidmat pengangkutan bas..

Adakah cara begini UMNO membalas budi baik masyarakat Melayu/Islam yang berkerja keras mau memenangkan UMNO/BN?..TEPUK DADA TANYA IMAN... CUITKAN MINDA TANYA AKAL LOGIK.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan kenaikkan harga tambang bas 10 peratus akan berkuatkuasa pada 8 Julai depan dalam tempoh musim perayaan yang bakal menjelang pada Ogos depan.

Menurut SPAD, pengendali bas ekpress dan tambahan bagi perayaan Aidilfitri kali ini dibenarkan menaikkan kos berkenaan dalam tempoh yang telah ditetapkan sehingga 8 Sepetember 2013.

Suruhanjaya itu juga berkata, langkah itu dapat membantu dan menampung kos pengoperasian syarikat yang perlu menyediakan perkhidmatan tambahan berdasarkan permintaan tinggi daripada pengguna, terutamanya semasa musim perayaan. -omakkau


[RENUNGAN] 6 Sebab Beruntungnya Perempuan Mempunyai Rahim


1.) Dia bekerja dengan Allah jadi 'kilang' manusia. Tiap-tiap bulan dia diberi cuti bergaji penuh. 7 sehingga 15 hari sebulan dia tak wajib sembahyang tetapi Allah anggap diwaktu itu sembahyang terbaik darinya.

2.) Cuti bersalin juga sehingga 60 hari. Cuti ini bukan cuti suka hati tapi, cuti yang Allah beri sebab dia bekerja dengan Allah. Orang lelaki tak ada cuti dari sembahyang. Sembahyang wajib baginya dari baligh sehingga habis nyawanya.

3.) Satu lagi berita gembira untuk wanita, sepanjang dia mengandung Allah sentiasa mengampunkan dosanya. Lahir saja bayi, seluruh dosanya habis. Inilah nikmat Tuhan beri kepada wanita, jadi kenapa perlu takut nak beranak? Marilah kita pegang kepada tali Allah. Seandainya wanita itu mati sewaktu bersalin, itu dianggap mati syahid. Allah izinkan terus masuk Syurga. Untuk orang kafir dia tak dapat masuk Syurga tapi Allah beri kelonggaran siksa kubur.

4.) Untuk peringatan semua wanita yang bersuami: Seluruh kebaikan suaminya, semuanya isteri dapat pahala tetapi dosa-dosa suami dia tak tanggung.

5.) Di akhirat nanti seorang wanita solehah akan terperanjat dengan Pahala extra yang banyak dia terima di atas segala kebaikan suaminya yang tak disedari. Bila dia lihat suaminya tengah terhegeh-hegeh di titian Sirat, dia tak nak masuk syuga tanpa suaminya, jadi dia pun memberi pahalanya kepada suami untuk lepas masuk syurga. Didunia lagi, kalau suami dalam kesusahan isteri boleh bantu tambah lagi di akhirat. Kalau seorang isteri asyik merungut, mulut selalu muncung terhadap suami dia tak akan dapat pahala extra ini.

6.) Manakala suami pula mempunyai tugas-tugas berat di dalam dan di luar rumah, segala dosa-dosa anak isteri yang tak dididik dia akan tanggung di tambah lagi dengan dosa-dosa yang lain. Di nasihatkan kepada semua wanita supaya faham akan syariat Allah agar tidak derhaka denganNya. Dan semua lelaki fahami hati naluri seorang wanita dan isteri agar tidak derhaka denganNYA. -darulislamiyyah

18 Jun 2013

Pengakuan SPR Bukti Mereka Bersalah, Perlu Letak Jawatan - A.Samad Said

Datuk A Samad Said mengatakan pengakuan dilakukan oleh pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kesal kerana kegagalan dakwat kekal untuk berfungsi dengan baik semasa Pilihan Raya 2013 membuktikan badan penggendali pilihan raya itu bersalah.

Menurut pengerusi bersama Bersih 2.0 itu, pengakuan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf membuktikan pilihan raya umum 5 Mei tidak berjalan dengan baik dan oleh itu beliau seharusnya berundur.

“Bunyinya agak tidak sedaplah. Tetapi secara hormat, sesudah mengetahui beberapa kesilapan, eloklah dia undur, letak jawatan,” kata beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad apabila ditemui oleh The Malaysian Insider pagi ini.

“Jadi dia harus, harus lakukan itu. Jadi pengakuannya itu, bagi saya ialah satu penerimaan bahawasanya apa yang berlaku itu memang betul dia bersalah,” tambah beliau lagi.

Dalam wawancara bersama sebuah akhbar berbahasa Melayu yang disiarkan semalam, pengerusi SPR menyatakan kekecewaan berhubung dengan kegagalan penggunaan dakwat kekal.

"Kalau orang tanya saya sekarang ini, apakah perkara yang paling menyedihkan dalam hidup saya, saya akan jawab dakwat kekal," katanya kepada Sinar Harian.

Pak Samad yang juga seorang Sasterawan Negara mempersoalkan mengapa SPR tidak menguji keberkesanan dakwat kekal sebelum membenarkan ianya digunakan dalam Pilihan Raya 2013 lalu.

“Tidakkah SPR mengujinya dulu? Dia terus sahaja untuk mempercayai. Itu tidak boleh saya fikir ini sebab untuk memberi hak ni, memberi kuasa.

“Saya harap dia berkata itu jujur, sebab itu adalah pengakuan dia bahawasanya memang pilihan raya itu tidak murni,” katanya.

Pengerusi bersama Bersih 2.0 itu juga turut menyarankan kepada penyokong-penyokong mereka agar beramai-ramai menghadiri perhimpunan #Black505 yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat (PR) di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun.

“Kita menyarankan, ataupun merayu supaya ahli-ahli lebih banyak untuk menyertainyalah.

“Kalau Ambiga sendiri sudah kata turun ke jalan raya, jadi kita turun ke jalan rayalah,” kata beliau merujuk kepada seorang lagi pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata semalam, kegagalan dakwat kekal untuk berfungsi dengan baik tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menuduh SPR membenarkan pengundi mengundi lebih daripada sekali atau melakukan penipuan dalam pilihan raya umum.

Abdul Aziz mendakwa kaedah itu - yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya telah menguji beberapa kali sebelum dilaksanakan pada 5 Mei lalu.

"Tetapi pada hari yang ditunggu-tunggu kuasa Allah lebih hebat apabila dakwat boleh hilang selepas beberapa kali dicuci, di mana silapnya?

"Memang sedih tapi kita tidak berdiam diri. Kita tubuhkan pasukan khas, yang dipengerusikan Datuk Christopher Wan Soo Kee dibantu dua ahli panel lain iaitu Datuk Md Yusop Mansor dan Abdul Aziz Khalidin," katanya.

PR telah mengadakan perhimpunan besar-besaran #Black505 di seluruh negara semenjak 8 Mei untuk memprotes dakwaan penipuan dalam Pilihan Raya 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa walaupun kehilangan undi popular. -TMI

Buang Sentimen Parti; JKKK Diminta Taat Titah Sultan


Kuala Terengganu - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diseluruh negeri Terengganu diseru mentaati titah ucapanSultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahu semua pihak membuang sentimen kepartian dalam memberikan bantuan kepada rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata beliau menyambut baik titah Sultan Terengganu yang menyeru semua pihak bekerjasama tanpa mengira fahaman politik sewaktu bertitah sempena perasmian penggal pertama sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) kali Ke-13.

"Antara yang menarik dalam titah Tuanku Sultan adalah selepas pilihan raya dihapuskan sentimen fanatik politik masing-masing.

"Jadi kita minta Jawatankuasa Kemajuan kampung (JKK) supaya mudah tandatangan borang (permohonan bantuan) rakyat kerana selepas pilihan raya ini saya menerima banyak aduan rakyat yang JKK tak mahu tandatangan borang.


"Jadi perlu diselesaikan di peringkat akar umbi. Kalau akar umbi boleh selesai (pihak) atas mudah selesai," kata Ustaz Hadi kepada pihak media selepas di Wisma Darul Iman hari ini.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Adun Rhu Rendang berkata, titah tuanku itu harus diberi perhatian kerana selepas Pilihan Raya Umum Ke-3 (PRU13) Mei lalu, kerana telah wujud diskriminasi terhadap rakyat kerana faktor politik.

Menurut ADUN Chukai YB Haji Hanafiah Mat, selepas pilihanraya umum ke-13 lalu, JKKK telah berhelah dan tidak mahu menandatangani borang-borang permohonan rakyat dengan alasan kononnya mereka tidak ada kuasa lagi.

"saya paling ramai orang mengadu, JKKK tak mahu tandatangan, bila saya tanya, dia (JKKK) kata MB tak beri (izin) untuk tandatangan dan dia (JKKK) sebut lagi, di tak ada kuasa,

"jadi saya juga minta MB Ahmad Said supaya dengar perintah (titah) sultan hari ini, jangan menderhaka,"ujarya ketika ditemui. -BO

Ulama Gesa Rakyat Bangkit Tuntut Hak, Cegah Penipuan PRU


Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abdul Ghani Shamsudin berkata, umat Islam tidak boleh membiarkan penipuan tanpa sebarang usaha mencegah, terutamanya melibatkan sistem pilihan raya yang pincang.

“Pasrah kepada kezaliman dan penyelewengan bukan akhlak Islam. Kita wajib bangkit menuntut kembali hak kita yang dinafikan. Islam melarang kita melihat kemungkaran tanpa berusaha untuk mencegahnya,” katanya kepada Keadilan Daily.

Justeru, beliau menyokong penuh himpunan Black 505 dan menyeru rakyat Malaysia hadir beramai-ramai di Padang Merbok 22 Jun ini.

“Keputusan pilihan raya lalu mendedahkan seluruh rakyat kepada sistem demokrasi yang herot. Himpunan itu nanti menjadi platform terbaik menyedarkan rakyat hak mereka yang dicabuli pemerintah,” kata Ghani.

Katanya, sesebuah negara tidak akan dapat melahirkan rakyat yang bermaruah dan bermartabat akibat cara pemilihan pemimpin negara yang penuh tipu helah dan muslihat.

“Usaha dilakukan penganjur Blackout 505 patut disokong oleh semua rakyat yang cintakan keadilan,” tegasnya.