10 Mei 2013

Nombor Telefon Salahuddin Diklon, Hello Celcom Ni Apa Cerita?


Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub kesal apabila nombor telefon bimbit peribadinya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur hasutan dan perkauman.

Mesej itu yang berbunyi "Cina telah cuba tolak kuasa Melayu tetapi gagal, 'Chinese are not the king maker!' sekarang masa Melayu bersatu untuk ajar Cina", dipercayai telah disebarkan tanpa pengetahuan beliau.

Katanya, beliau hanya mengetahui kewujudan SMS itu setelah beberapa pihak memberitahunya menerima mesej berbaur perkauman itu daripada beliau.

"Dari jam 8 malam tadi hingga 12 tengah malam, ada pihak salah guna nombor telefon mudah alih saya iaitu 013-727 8292 untuk hantar SMS mesej berbaur hasutan dan perkauman.

"Perbuatan tak bertanggungjawab itu telah cemarkan nama baik saya dan cuba bunuh karier, ia juga menanam kebencian orang Cina terhadap saya," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Salahuddin yang tewas di kerusi Parlime Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Nusajaya, Johor berkata, beliau telah melanggan nombor itu dari talian syarikat telco Celcom sejak 1995 terkejut dan kecewa apabila nombornya telah disalahgunakan oleh pihak tertentu.

Selain Salahuddin, turut menjadi mangsa penyalahgunaan nombor telefon bimbit itu ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pada awal pagi tadi.

Menurutnya, sebaik sahaja beliau menerima maklum balas penerima SMS itu, beliau segera membuat laporan polis pada jam 12 tengah malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Bharu.

Kira-kira jam 9 pagi tadi, beliau dipanggil untuk diambil keterangan hampir 30 minit oleh pegawai penyiasat, Inspektor Zamzari di pejabat polis yang sama.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan mengemukakan saman terhadap syarikat telco terbabit susulan nombor telefon bimbit beliau telah diklon tanpa pengetahuannya.

Bagaimanapun beliau mahu pihak Celcom terlebih dahulu tampil memberikan kenyataan rasmi bagaimana nombor itu boleh digunakan oleh pihak ketiga secara sewenang-wenangnya.

"Saya minta Celcom tampil buat kenyataan rasmi bagaimana nombor saya sebagai pelanggan setia sejak 1995 sampai sekarang boleh diklon dan digunakan untuk kirim SMS berniat jahat," dakwanya.

Tegasnya, sekiranya Celcom gagal berbuat demikian atau kenyataan rasmi syarikat telco itu tidak memuaskan hatinya, beliau tidak teragak-agak untuk mengeluarkan arahan kepada semua ahli Pas supaya menghentikan langganan serta-merta. "Saya ingin nasihatkan Celcom, ahli Pas ada 1.2 juta orang, saya boleh buat arahan sekiranya Celcom tak buat kenyataan yang boleh yakinkan, saya akan minta ahli Pas hentikan langganan Celcom.

"Suruhanjaya Multimedia maklumkan pada saya, tindakan itu bukan sebarangan orang boleh akses nombor saya atau klon dengan niat jahat.

"Saya bimbang mungkin selepas ini akan ada tersebar pula SMS berunsur lucah dihantar kepada golongan wanita bertujuan burukkan nama baik saya," katanya.

Salahuddin percaya tindakan itu mempunyai kaitan dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Johor di mana hampir semua kawasan mempunyai majoriti yang rendah berbanding 2008.

Ini dikuatkan lagi apabila Pakatan Rakyat berjaya menambah kerusi Dun Johor kepada 18 kerusi pembangkang, 13 kerusi daripada DAP, 1 PKR dan 4 Pas. -SH

Pas dan DAP Terus Sokong Abdul Khalid Sebagai Calon Menteri Besar


Pimpinan DAP dan Pas terus bersepakat memilih Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR, sebagai calon Menteri Besar bagi penggal ke dua.

Bercakap di hadapan kira-kira 30,000 penonton dalam Majlis Kesyukuran Sempena Kemenangan Pakatan Rakyat Selangor, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata pimpinan DAP Pusat sudah menghantar surat sokongan kepada DYMM Sultan Selangor untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Beliau yang juga bekas Exco Selangor berkata surat tersebut dihantar kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

“Saya harap tiada masalah dengan jawatan Menteri Besar. Harap juga rakyat memberi sokongan kepada kerajaan baru untuk pastikan pencapaian lebih cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut menyatakan Pas berpendirian yang sama.

Beliau berkata menerima surat daripada Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dua hari lalu yang memberikan sokongan kepada Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar.

“Kalau ada orang Pas yang tidak percaya, saya boleh tunjukkan surat itu, kalau perlu saya tampalkan di dahi saya,” katanya sambil berseloroh.

Katanya, keputusan sepakat untuk memilih Abdul Khalid sebagai Menteri Besar itu menunjukkan permuafakatan dalam Pakatan Rakyat.

“Ini sikap parti-parti dalam Pakatan, kita tidak anggap jawatan sebagai piala untuk direbut dan bergaduh.

“Bukan DAP nak kata dia lebih berhak dapat sebab menang dengan majoriti yang lebih besar.

Bukan juga pegangan Pas sebab Pas menang banyak.

“Saya ditanya wartawan sebelum ini, saya jawab jika satu pasukan bola sepak menjadi juara dan secara tiba-tiba mahu menukar pengurusnya itu merupakan tindakan kurang bijak dan pelik,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid ketika ditemui berkata beliau berterima kasih kerana Dap dan Pas menyokong beliau untuk kekal sebagai Menteri Besar.

“Saya berterima kasih kepada kedua-dua parti.

Begitu juga kepada rakyat yang menyokong saya.

“Itu perkara baru dalam politik di negara Malaysia bila rakyat sendiri yang menjadi penentu kepada pimpinan,” katanya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan turut menyatakan sokongan untuk memilih Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Keputusan Menteri Besar Selangor bakal diumumkan DYMM Sultan Selangor.

PR Selangor berjaya membentuk kerajaan baru selepas memenangi kemenangan dua pertiga dengan majoriti 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihanraya umum ke 13.

DAP dan Pas masing-masing memenangi 15 kerusi manakala PKR memenangi 14 kerusi.

Calon Perkasa Kalah Teruk, Mahathir Sudah Hilang Pengaruh


Pilihan Raya Umum 2013 adalah petanda Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tidak lagi berpengaruh dalam kuasa politik, analisis di mana dan bagaimana beliau berkempen adalah merupakan petanda jelas.

Bekas perdana menteri itu berkempen tidak henti-henti namun calon Barisan Nasional (BN) disokong atau berkongsi cita-cita dengan beliau - seperti ahli politik kontroversi Zulkifli Noordin dan Ibrahim Ali, kedua-dua tewas.

Di Kedah, walaupun anaknya Datuk Mukhriz telah ditabal sebagai Menteri Besar sebaik sahaja - ahli politik tempatan dan pemerhati telah menyatakan PAS telah disingkir adalah kerana tadbir urus yang lemah oleh parti komponen Pakatan Rakyat (PR) tersebut.

Mahathir tidak memenangi Kedah untuk BN tetapi sebaliknya adalah kerana PAS yang akan kehilangan negeri tersebut, kata seorang pemimpin politik veteran Umno di negeri Kedah kepada The Malaysian Insider.

Usaha Dr Mahathir untuk mewujudkan pertarungan di Gelang antara Melayu dan Cina juga mengalami kegagalan teruk.

Ramai penganalisis dan ahli politik BN berkata langkah beliau memainkan isu perkauman sepanjang kempen Pilihan Raya 2013 juga menyebabkan sokongan kepadanya semakin menurun.


"Beliau masih mempunyai penyokong khususnya di kalangan kaum Melayu, mereka tidak akan merendahkan martabat pemimpin yang mereka rasa telah lama bersama mereka.

"Tetapi ya... mungkin pada suatu ketika masanya sudah berakhir. Apa yang dia kata, bagaimana dia berkata, mungkin sudah tidak menarik di kalangan generasi muda, di kawasan bandar. Tapi kita jangan lupa, beliau bukan PM hari ini," kata setiausaha Umno Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan kepada The Malaysian Insider.

Namun, pemimpin lain tidak memberi ruang kepada beliau dan berpendapat Dr Mahathir yang sudah mencecah 87 tahun sewajarnya bersara dan menjauhkan diri daripada politik semasa kerana sudah lagi relevan.

Mereka berpendapat di zaman politik media sosial, pengaruh Dr Mahathir menyusut dengan cepat kerana rakyat Malaysia lebih suka jenama yang lebih liberal, sederhana dan politik inklusif yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sokongan kuat ke atas Dr Mahathir di kalangan pengundi Melayu tradisional generasi tua dilihat tidak mencukupi untuk membantu kemenangan BN pada pilihan raya selepas ini.

Mereka berkata pengundi bandar yang berkembang pesat, kelas pertengahan dan muda tidak lama lagi akan membentuk sebahagian pengundi yang lebih besar.

Berdasarkan corak pengundi Pilihan Raya 2013, demografik pengundi ini adalah kunci utama yang perlu BN menangi jika mahu mendapat mandat yang lebih kuat pada pilihan raya mendatang.

"Saya berharap dengan melihat analisis pilihan raya, beliau akan sedar masanya sudah berakhir," kata ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan.

"Beliau meninggalkan pentadbiran negara ini kepada generasi baru ahli politik yang diketuai oleh Najib.

"Beliau sudah berada pada zamannya dan telah melakukan banyak perkara menakjubkan tapi masanya dalam politik sudah tamat. Sebelum beliau memusnahkan legasinya, sudah tiba masanya beliau bersara dengan aman," katanya.

Pilihan Raya 2013 menyaksikan calon pilihan pro-Melayu Dr Mahathir seperti Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan naib presiden Datuk Zulkifli Noordin kedua-duanya gagal mendapat kemenangan.

Bercakap kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, ketua bahagian Umno Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi M. Zin mengakui jika Dr Mahathir tidak berkempen di Shah Alam, BN mungkin boleh mendapat lebih banyak undi.

"Secara keseluruhannya, di bandar-bandar, saya rasa pengaruh Dr Mahathir tidak lagi relevan kerana isu yang beliau membawa dan pendapat beliau tidak benar-benar sesuai dengan generasi semasa, terutama dengan sokongan terhadap Perkasa
.

"Mungkin BN perlu kaji semula perkara ini," kata beliau.

Dikala lawan mereka Pakatan Rakyat (PR) memastikan pemimpin mereka bekerja keras menjauhkan diri daripada perkauman semasa berkempen, Dr Mahathir sebaliknya mengeluarkan ucapan-ucapan berasaskan kaum sepanjang tempoh berkempen 15 hari lalu.

Beliau berkali-kali menyerang musuh parlimennya Lim Kit Siang kerana meninggalkan kerusi Ipoh Timur untuk bertanding di kerusi majoriti Cina Gelang Patah, memanggil pemimpin veteran DAP itu sebagai "sangat perkauman" kerana cuba untuk mempengaruhi masyarakat Cina untuk membenci Melayu.

"Saya akan bercakap dengan lantang. Lim Kit Siang adalah rasis. Lim Kit Siang adalah rasis. Lim Kit Siang adalah pelampau perkauman," kata beliau semasa berceramah di Shah Alam tiga hari sebelum pengundian.

Bercakap kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, Tan Sri Rafidah Aziz, pemimpin Umno veteran yang berkhidmat di bawah pentadbiran Dr Mahathir bersetuju penggunaan perkauman untuk mendapat sokongan perlu ditolak.

"Hari untuk kita menjadi juara satu-satu kaum sudah berakhir. Saya tidak pernah bersetuju. Kita adalah rakyat Malaysia dahulu dan itu adalah perkara utama.

"Saya adalah rakyat Malaysia yang ditakdirkan berbangsa Melayu... tapi ia adalah kebanggaan Melayu yang kita bawa bersama semasa kita berada diluar sana," kata beliau.

Pengarah kaji selidik Merdeka Center, Ibrahim Suffian walaubagaimanapun menegaskan pengaruh Dr Mahathir di kawasan luar bandar di Malaysia masih besar meskipun ditolak di kawasan bandar kelas pertengahan.

Tetapi dia bersetuju pengaruh meluas seperti mana yang dijangkakan Umno dan Dr Mahathir kerana banyak juga pengundi Melayu yang sudah berpindah menyokong pembangkang.

"Pengundi lebih arif. Mereka menolak jenama cauvinisme kaum," tambah beliau.

Tetapi Ibrahim berkata Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh yang besar dalam Umno, parti utama dalam BN, ia juga dipersetujui rakan penganalisis politik, Wan Saiful.

"Saya bersetuju ... tetapi beliau lebih berpengaruh di kalangan ahli-ahli Umno dan apabila tiba pilihan raya, apa yang kamu perlu lakukan ialah bukan sahaja menyokong parti anda sendiri," katanya.

Wan Saiful menegaskan bahawa Dr Mahathir harus berundur dari arena politik, ia bagi memastikan imej 'bapa pemodenan" yang diberikan ke atas bekas perdana menteri itu tidak dicemari oleh kesilapan yang beliau buat hari ini.

"Najib adalah PM hari ini dan Dr Mahathir adalah semalam. Najib merasakan terdapat keperluan untuk beliau bergerak ke arah yang berbeza dan ini adalah apa yang beliau sedang lakukan," kata beliau.

Ibrahim juga mengingatkan perubahan drastik dalam pengaliran maklumat di dalam landskap politik hari ini, juga adalah salah satu faktor yang menjejaskan pengaruh Dr Mahathir pada Pilihan Raya kali ini.

"Terdapat cabaran itu kerana Dr Mahathir sebelum ini mentadbir negara semasa tiada media sosial dan rakyat yang mudah dikawal serta lebih kecil.

"Hari ini, generasi muda yang membesar ketika maklumat mengalir. Persekitaran telah berubah, dan banyak juga pemimpin yang telah bertukar," katanya lagi. -TMI

Penipuan Di Perak? PR Kemuka 6 Petisyen Kawasan..


Pakatan Rakyat Perak akan mengemukakan petisyen di mahkamah terhadap keputusan di enam kawasan pilihan raya di negeri itu.

Difahamkan kawasan-kawasan tersebut adalah Dewan Undangan Negeri (Dun) Manjoi, Manong, Lubuk Merbau, Kamunting, Pasir Panjang dan Selama.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, petisyen tersebut akan dibuat berikutan terdapat bukti berlakunya penipuan pilihan raya.

Antara penipuan dikesan termasuk warga asing boleh mengundi, orang lain sudah mengundi untuk pengundi yang sah, dan keraguan peratus undi rosak yang lebih tinggi berbanding undi majoriti.

Nizar memberitahu perkara itu ketika berucap di majlis munajat kesyukuran HALWA Bukit Gantang di Markaz Pas Kawasan Bukit Gantang semalam.

Turut hadir pada majlis itu Naib Yang DiPertua PAS Bukit Gantang Abdul Rahim Ismail.

Pada PRU13 lalu, BN menang 31 kerusi Dun Perak manakala Pakatan Rakyat memperoleh 28 kerusi.

Rancangan Kalahkan Salahuddin? Kertas Undi Ditemui Dalam Peti Undi Kawasan Lain!


Pemuda PAS Johor semalam membuat laporan polis ke atas penemuan beberapa kertas undi dari kawasan DUN Nusa Jaya dalam satu peti undi dari kawasan berlainan.

Yang Dipertua PAS Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, seorang ejen pengiraan undi PAS untuk kawasan DUN Mahkota telah menemui perkara itu ketika penjumlahan dijalankan untuk pengundian awal pada 5 Mei.

Khairul Faizi, yang membuat laporan di balai polis Kluang berkata para ejen mengesan perkara itu apabila mendapati nama calon PAS untuk Nusa Jaya, Salahuddin Ayub tertera di kertas undi tersebut.

Mahkota terletak dalam kawasan parlimen Kluang manakala Nusa Jaya terletak dalam kawasan parlimen Gelang Patah.

Katanya, ejen terbabit mengemukakan bantahan kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dan menuntut agar undi tersebut dikira untuk kerusi Nusa Jaya.

Namun, SPR menganggap undi berkenaan sebagai undi rosak, katanya.

“Kami merujuk peguam dan memutuskan untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki peti undi untuk pengundian awal bagi Mahkot, yang dimaterai dan ditempatkan di balai polis, mungkin telah diusik,” katanya.

Beliau menambah, ejen pengiraan berkenaan bagaimanapun tidak melihat sama ada kertas undi tersebut memihak kepada Salahuddin, yang tewas di kerusi Nusa Jaya kepada calon BN Zaini Bakar dengan 2,201 undi.

[BERGAMBAR] Senarai Ahli Parlimen PAS Sessi 2012-2018


Berikut ialah senarai Ahli Parlimen PAS bagi Sessi 2013-2018. Terdapat seramai 21 orang kesemuanya yang akan menggalas perjuangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di parlimen, berganding sama dengan rakan-rakan seperjuangan PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.

AHLI PARLIMEN PAS
[2013-2018]

NoNAMAParlimen
1 Marang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
2 Kuala Nerus
Khairuddin Aman Razali
3 Kuala Terengganu
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah
4 Dungun
Wan Hassan Mohd Ramly
5 Pokok Sena
Datuk Mahfuz Omar
6 Parit Buntar
Dr. Mujahid Yusof
7 Bukit Gantang
Ustaz Idris Ahmad
8 Temerloh
Nasrudin Hassan
9 Hulu Langat
Che Rosli Che Mat
10 Shah Alam
Khalid Samad
11 Kota Raja
Dr. Siti Mariah Mahmud
12 Sepang
Mohamed Hanipa Maidin
13 Tumpat
Datuk Kamaruddin Jaafar
14 Pengkalan Chepa
Dr Izani Hussin
15 Kota Bharu
Datuk Takiyuddin Hassan
16 Pasir Mas
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
17 Rantau Panjang
Siti Zailah Mohd Yusoff
18 Kubang Kerian
Ahmad Baihaki Atiqullah
19 Bachok
Ahmad Marzuk Shaary
20 Pasir Puterh
Dr Nik Mazian Nik Mohamad
21 Kuala Krai
Dr. Mohd Hatta Ramli


Kepada semua YB-YB di atas, selamat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin untuk menggalas amanah yang diberikan oleh para ahli dan rakyat demi perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. jangan sesekali dihampakan atau dikhianati amanah tersebut.

Siru 'ala barakatillah!

p/s InsyaAllah esok akan disiarkan pula ahli-ahli parlimen PKR & DAP.

9 Mei 2013

[VIDEO] Rafizi Mengaum: Kita Akan Buru Semua Yang Terlibat Dalam Penipuan PRU 13.


Pakatan Rakyat akan mencari semua yang terlibat di dalam penipuan semasa pengundian pada 5 Mei lalu termasuk Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seleweng dan pemandu bas yang membawa pengundi ragu.

“Bermula minggu ini, saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat akan menumpukan setiap satu saat hidup kami untuk mencari pencuri-pencuri undi kita,” kata ketua siasatan itu, Rafizi Ramli.

Rafzi, yang baru dilantik untuk mengetuai jawatankuasa khas siasatan itu, berkata usaha ini akan membuktikan kepada semua pihak bahawa wujudnya beberapa insiden penipuan dan penyelewengan pada PRU-13.

“Kita akan cari Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menipu, kita akan kejar pemandu-pemandu bas yang bawa pengundi asing ke tempat kita.

“Kita akan tunjukkan bukti satu persatu mengapa kerajaan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib wajar ditumbangkan kerana kerajaan haram,”
katanya dalam ucapan di perhimpunan “Suara Rakyat Suara Keramat”

“Saya minta semua rakyat Malaysia yang sayangkan negara, yang tahu nilai keadilan, kita mesti tolak penyelewengan dan penipuan ini.

“Saya minta rakyat Malaysia membantu berikan bukti supaya kita cabar dia di mahkamah, di jalan, kita lawan mereka di Parlimen sampai menang,” katanya yang baru dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Pandan.

Rafizi turut akan berkerjasama dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta parti komponen Pakatan Rakyat bagi mencari bukti berhubung penyelewengan ini.

Pakatan percaya bahawa proses pengundian dan kiraan undi pada 5 Mei lalu penuh dengan insiden penipuan seperti ejen calon yang dihalang daripada mengawal kotak undi awal dan penglibatan warga asing sebagai pengundi.



Tsunami Cina: Beberapa Pemimpin Umno Sanggah Kenyataan Najib


Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kemerosotan prestasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) sebagai akibat dari berlakunya ‘tsunami Cina’ disanggah oleh para pemimpin Umno sendiri.

Terbaru, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berpendapat adalah tidak wajar untuk mengaitkan keputusan PRU13 lalu sebagai isu perkauman.

Katanya, adalah tidak adil untuk menuduh dan menyalahkan kaum tertentu terhadap keputusan PRU13 lalu dan perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku.

“Kita tidak boleh membiarkan sebarang percubaan untuk menjadikan keputusan pilihan raya sebagai isu perkauman. Tindakan tuduh-menuduh dan menyalahkan mana-mana komuniti adalah tidak adil dan tidak memberi manfaat,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa semua pihak berhenti dari menuding jari dan memainkan isu perkauman selepas PRU13, yang jelas merujuk kepada kenyataan Najib itu.

Khairy meminta semua pihak bertenang dan sesiapa pun tidak harus lekas membuat kesimpulan dan menyalahkan sesuatu kaum.

Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan bahawa bukan bangsa Cina sahaja yang memihak kepada pembangkang, perubahan juga berlaku di kawasan-kawasan bandar.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yang tewas di Parlimen Temerloh menggesa rakyat supaya menjauhi dari bersikap rasis berhubung keputusan PRU13 dan beliau yakin rakyat tidak mengundi berdasarkan sentimen perkauman.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, rakyat sebaliknya mengundi berdasarkan prospek pembangunan seperti isu-isu utama seperti insfrastruktur dan kebajikan.

Saifuddin berkata, walaupun beliau tewas di kawasan majoriti Cina tetapi para pengundi bukannya anti Melayu dan sama ada mereka mengundinya (Saifuddin) atau tidak, rakyat telah membuat pilihan yang bijak.

Apa lagi Cina mahu

Ketika diasak oleh para wartawan mengenai apa komen beliau tentang tajuk muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Apa lagi Cina mahu” Selasa lalu, Najib cuba mengelak dan menyatakan anda patut lihat apa kata akhbar-akhbar Cina pula, apa yang dilaporkan bukannya semua betul.

Kenyataan Najib yang berbaur perkauman ini adalah satu percubaan untuk menyalahkan orang-orang Cina yang ramai sudah beralih dan menyokong Pakatan Rakyat pada PRU13 dan beliau enggan menyalahkan diri sendiri maupun partinya, Umno-BN.

Mungkin kerana sudah menyedari akan kesilapannya, semalam Najib melalui Twitternya berkata, tugas beliau seterusnya adalah untuk mengharmonikan isu perkauman.

“Tugas saya seterusnya ialah mengharmonikan isu-isu perkauman. Kami perlu mendekati lain-lainnya dalam penyatuan nasional dan kesederhanaan,” katanya.

Tetapi beliau tidak dapat menerima kenyataan bahawa bukan sahaja masyarakat Cina menolak kepimpinannya tetapi orang-orang Melayu dan masyarakat India terutama di bandar secara keseluruhan sudah menolak Umno-BN.

Jika diambil kira jumlah undi untuk Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ternyata BN telah tewas dalam PRU13. Untuk 222 kerusi Parlimen, Pakatan Rakyat memperolehi 5,623,984 undi manakala BN memperoleh 5,237,699 undi.

Untuk 505 kerusi DUN pula, Pakatan Rakyat memperoleh 4,879,699 undi manakala BN memperoleh 4,513,997 undi.

Prestasi BN di bawah Najib juga merudum teruk berbanding prestasi BN pada PRU12 di bawah Abdullah Badawi. Semasa Pak Lah BN memenangi 140 kerusi parlimen dan semasa Najib BN mendapat 133 kerusi iaitu kehilangan sebanyak tujuh kerusi Parlimen.

Ini berbanding dengan Pakatan Rakyat yang mendapat 82 kerusi Parlimen pada 2008, telah meningkat kepada 89 kerusi pada 2013; penambahan sebanyak tujuh kerusi.

Untuk kerusi DUN pula, semasa Pak Lah, BN memenangi 344 kerusi DUN tetapi semasa Najib, jumlah kerusi DUN yang dimenangi BN merosot teruk; tinggal hanya 275 kerusi.

Berbanding dengan prestasi Pakatan Rakyat, kerusi DUN yang dimenangi pada tahun 2008 ialah sebanyak 161 kerusi dan meningkat kepada 230 kerusi pada PRU13, pertambahan sebanyak 71 kerusi. -FMT

Stadium Kelana Jaya Bersih Tanpa Sampah Sarap


Peserta perhimpunan "Pidato Suara Rakyat Suara Keramat - TOLAK PENIPUAN PRU13" yang berhimpun malam tadi telah menunjukkan tahap disiplin yang amat tinggi apabila padang yang ditinggalkan bersih tanpa sampah-sarap.

Disiplin yang tinggi dan akhlak yang mulia yang dipamerkan oleh para penyokong Pakatan Rakyat dapat dikesan sejak awal mereka berada di jalanraya untuk sampai di tempat perhimpunan.


Bilangan kenderaan yang begitu banyak yang membawa lebih 100,000 orang peserta, sekalipun tiada bantuan polis trafik, namun dengan sikap toleransi dan bekerjasama diantara para pemandunya, dan apabila tiada provokasi mana-mana pihak, tiada sebarang insiden buruk berlaku.

Keadaan ini amat berbeza sekali dengan UMNO yang amat dikenali dengan politik samseng para ahlinya dan suka membuat kacau di program-program PR.

Jelas membuktikan negara Malaysia BERSIH & AMAN SEJAHTERA di bawah pemerintahan PAKATAN RAKYAT!


Mengutip sampah - pemandangan yang lazim ditemui di mana-mana perhimpunan yang disertai oleh PR

Rakyat Bersama Pakatan, UBN Hanya Menang Kerusi!


Hidup ini kerana nyawa dan semangat. Jasad kita bergerak kerana ada nyawa (roh). Jasad pula akan jadi segar sekiranya ada semangat. Bila semangat lemah, maka kita akan sakit-sakitan. Seleasai pilihan raya maka saya jadi tidak sihat. Seluruh tubuh jadi sakit-sakit. Kesan berjaga malam dua minggu memberi ketidakselesaan kepada diri. Tanpa makan teratur dan tidur sudah pasti tidak mencukupi itulah menjadikan badan sakit.

Keadaan yang lemah itu ditambah lagi dengan 'kekalahan'. Saya yakin saya akan sihat, bersemangat dan lancar membuat ulasan demi ulasan kalau menang. Maksudnya jasad akan jadi kuat kerana ia di go head oleh kemenangan. Pasti tubuh tidak akan jadi lemah gemulai.

Bukan saja saya, semua orang yang cintakan damai dan perubahan terkejut dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 yang lalu. Saya percaya hari ini ramai yang sakit dan lemah semangat macam saya. Namun kita tidak boleh ikutkan hati sangat, bertawakuslah. Apapun kita hanya mampu merancang, tetapi Allah juga yang Maha Mentadbir.

Semua yang berlaku dalam pilihan raya dua hari lepas di luar jangka kita. Apa yang kita jangkankan tidak menjadi. Dari kalangan penyokong sampai kepada pemimpin atasan tidak menyangka. Bahkan pemerhati dari luar negara juga terperagah menerima keputusan. Masih ada yang termangu panjang di birai jendela memikirkan nasib badan dan keputusan yang telah diumumkan. Jangan begitu, perjuangan masih panjang dan Tuhan tetap memelihara orang yang sabar dan bertaqwa.

Bagi saya apa yang berlaku tidak akan berganjak. Bahawa UBN akan membentuk kerajaan untuk lima tahun lagi dalam keadaan yang lemah kerana tidak memperolehi 2/3 di parlimen. Walaupun banyak kecacatan dan ketidaksempurnaan itulah yang harus diterima kini. Apabila Najib Razak dalam kenyataan awalnya meminta Pakatan Rakyat menerima keputusan, sudah dapat dibaca apa yang termaktub di dalam hatinya. Apa yang beliau tahu mengenai pilihan raya berkenaan? Bahawa kecacatan dan penipuan berlaku. Ini realiti yang kita kena terima. Betapa kita membencinya tetapi ia hadir dalam hidup demokrasi kita. Penipuan bukan saja dalam PRU-13 tetap sejak dari PRU-1 lagi.


Selepas ini akan ada beberapa petisyen atau bantahan. Anwar Ibrahim sudah membuat kenyataan pihaknya sedang mengkaji untuk membuat bantahan. Ada kawasan yang terdapat bukti jelas berlaku penyelewengan. Misalnya apa yang diterima Lajim Okin di Sabah adalah satu bukti besar. Semua orang tidak mempercaya Lajim akan kalah. Inlah ibu segala kebusukan dalam pilihan raya ini. Anwar meyifatkan kemenangan di pihak pakatan rakyat telah dicuri oleh UBN.

Sehubungan itu beliau juga meminta satu badan suruhanjaya pilihan raya lain perlu dibentuk menggantikan SPR yang ada hari ini yang tidak telus. Badan baru itu harus telus dan terbuka. Bagi Anwar peranana SPR hari ini bukan memberikeadilan dan hak sama rata tetapi membela UBN. Kebimbang ini sudah lama bersarangan, beberapa desakan dan tuntutan dilakukan kepada badan itu namun ia tidak juga memberi apa-apa perubahan.

Saya menarik dengan satu figure dikeluarkan mengenai undi popular di mana Pakatan Rakyat memperolehi 50.3% undi manakala UBN mendapat 46.8%. Jika angka ini tepat dan benar maka jelas dari sudut angka dan undi popular Pakatan Rakyat yang berhak diumum sebagai pemenang. Ertinya kalau amalan demokrasi sama seperti di Indonesia, Pakatan berhak mendapat anggota kabinet yang lebih ramai berbanding dengan UBN.


Sekiranya angka ini sahih rakyat berharap menuntut kemenangan mereka. SPR perlu memberi penjelasan dari semua sudut dengan jelas macam mana mereka boleh mengumumkan UBN menang. Kemunasabahan melampau hak perlu digunakan oleh SPR untuk mempertahankan keputusannya. Oh ya mungkin ia berdasarkan kepada jumlah kerusi diperolehi tetapi bukan peratus undi. Ertinya kalau kemenangan UBN itu berdasarkan kepada jumlah kerusi bukan kepada peratus suara. Ini bermakna kemenangan itu bukan dari atas suara.

Saya sudah lama menyarankan agar sistem pilihan raya kita diubah. Dari mengira kerusi kepada mengira suara. Kemenangan berdasarkan siapa yang mendapat kerusi lebih dan bukan kepada suara rakyat tidak relevan lagi. Ini bermakna parti yang kurang mendapat sokongan menjadi kerajaan. Suara rakyat yang mahukan perubahan terus terabai dan dinafikan oleh jumlah kerusi yang mana kemenangannya boleh direka dan diusahakan?

Bedasarkan hakiat itu tadi, sokongan rakyat, PRU-13 memang dimenangi oleh rakyat. Suara yang inginkan kepada Pakatan Rakyat lebih tinggi berbanding dengan suara yang inginkan kepada UBN. Perbezaan sebanyak 3.5% adalah besar. Hakikat ini mungkin jarang diketahui oleh orang ramai. Justeru kalau kita memahami ini tidak perlu merasa sedih atau merasa kalah kerana hakikatnya apa yang diterima oleh UBN itu dari segi kelebihan kerusi bukan sokongan.

Kelebihan kerusi bukan menggambarkan sokongan sepenuhnya, kalau dikira dari setiap individu. Yang perlu diperkiranya ialah jumlah semua individu yang mengundi pada 5 Mei lalu. Makanya Najib Razak dan pemimpin BN tidak boleh merasa 'manggak' dengan kemenangan itu kerana ia bukan kemenangan mutlak. Sekiranya Najib dan UBN seorang dan sebuah badan berintegriti beliau kena serahkan kemenangan itu kepada Pakatan Rakyat atau dikongsi bersama.

Jadi kepada penyokong Pakatan jangan bersedih. Saya pun sudah segar dan bersemangat kembali kini. Sebenarnya tidak ada kekalahan mutlak di sebelah kita. Dari segi punggutan kerusi Pakatan Rakyat berjaya menambah kerusi parlimen dari 83 pada tahun 2008 kepada 89 kerusi bertambah sebanyak enam kerusi. Pecahan DAP 38, PKR 30 dan PAS 21. UBN mengalami kesusutan sebanyak tujuh kerusi. Dulu 140 kini 133 kerusi.

Manakala dari segi kedudukan kerusi Negeri pula UBN kehilangan 32 kerusi. Dalam tahun 2008 UBN mendapat 306 kerusi sementara dalam pilihan raya lalu mendapat 274 kerusi. Walaupun parti itu berjaya merampas Kedah namun dari segi hakikatnya parti itu merosot.


Lonjakan besar bagi Pakatan Rakyat ialah di negeri Terengganu. PAS hanya kekurangan dua kerusi sahaja untuk membentuk kerajaan di negeri itu. Daripada lapan kerusi dalam tahun 2008 kepada 15 kerusi. Begitu juga di Perak Pakatan Rakyat kekurangan juga empat kerusi saja. Kedudukan menunjukkan sokongan dan kekuatan Pakatan Rakyat masih ada dan diberi kepercayaan oleh rakyat.

Kekalahan mengikut bilangan kerusi harus diterima kerana kita memahami apakah peranan SPR didalam menguruskan pilihan raya ini. Dalam keadaan SPR tidak berlaku adil tetapi Pakatan Rakyat terus mendapat sokongan dan melonjakkan diri, jelas bahawa tuntut massa mahukan kepada Pakatan Rakyat.

Di sini saya tidak mahu menyebut atau membuat postmortem mengenai kenapa Pakatan Rakyat masih belum boleh membentuk kerajaan. Saya akan mengambil ruang lain. Cuma apa yang hendak ditegaskan ialah agar penyokong Pakatan Rakyat tidak mudah berputus asas. Semua pihak perlu merasakan kita telah melakukan yang terbaik di dalam pilihan raya lalu. Di samping itu dalam menilai kenapa kita 'menang kalah, kalah menang' perlu menyenaraikan kelemahan atau sesuatu tindakan yang kita tidak sempat lakukan menyebabkan berlaku apa yang berlaku.

Renung ke dalam diri, di antara kita akan menemui sesuatu kesilapan kecil yang kita lakukan baik sengaja atau tidak. Kalau kita tulus kita akan menemui perkara itu dan itulah yang memungkinkan kita gagal. Apabila menemuinya, kita perbetulkan dan tidak akan mengulangi benda sama di tahun akan datang.

Yang dapat saya simpulkan berhubung keputusan semalam ialah, BN menang dari segi jumlah kerusi tetapi kalah dari segi suara dan kehendak rakyat. UBN kena sedar bahawa sebanyak 3.5% adalah rakyat yang tidak bersetuju dengan UBN. Tanpa memikirkan bahawa matlamat kemenangan itu untuk membentuk kerajaan dan mentadbir negara semata-mata, sesungguhnya Pakatan Rakyat telah memenangi pilihan raya ke-13 lalu. Hakikat ini diketahui oleh semua dunia. -msomelayu


Kerusi parlimen di bandar-bandar besar dikuasi oleh Pakatan Rakyat


Pakatan Rakyat menguasai kerusi parlimen di Semenanjung.


[VIDEO & GAMBAR] 120K Berhimpun: Najib, SPR & BN Tiada Pilihan Kecuali Akui Penipuan PRU13!


Akhabar online, Malaysiakini menganggarkan 120,000 orang hadir di dalam perhimpunan "Pidato Suara Rakyat Suara Keramat - TOLAK PENIPUAN PRU13" yang diadakan malam tadi, satu perhimpunan terbesar Pakatan Rakyat berbanding perhimpunan-perhimpunan lain mutakhir ini.

Kesesakan lalulintas dari Kelana Jaya sehingga sejauh tol NPE berhampiran Sunway. Menurut Peta Trafik Google, seluruh Petaling Jaya mengalami kesesakan.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang berucap di pentas memberi amaran kepada Utusan Malaysia supaya tidak memainkan isu perkauman.

Katanya, bukan sahaja orang Cina tetapi Melayu juga menyokong Pakatan.

Suasana bingit dengan sorakan dan tiupan vuvuzela, sambil melaungkan "Najib, tipu", "Ubah".

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan bahawa rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak, mahu pilihan raya yang bebas dan adil.

Beliau turut mengecam tajuk utama Utusan Malaysia semalam "Apa lagi Cina mahu?".

Anwar berkata, setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, mahu menuntut hak-hak mereka dan mereka mahu BN tumbang.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Anwar berkata, beliau kagum dengan kehadiran spontan walaupun perhimpunan itu hanya dipanggil pada hari Isnin.

"Saya tidak akan berhenti sehingga kita sampai ke Putrajaya, sehingga kita dedahkan semua (penipuan) dan tuntut Putrajaya untuk rakyat.

"Mereka berhak mendapatkannya kerana kita, Pakatan, menang undi popular," katanya.

Anwar kemudiannya mengumumkan bahawa satu lagi perhimpunan pada hari Sabtu di Pulau Pinang, serta merancang untuk turut mengadakanya di Ipoh pada hari Jumaat.
















DILUAR NEGARA


MELBOURNE


SINGAPURA


TAIPEI