10 Okt 2015

[VIDEO & GAMBAR] Hidup Setelah Hilang 48 Hari Hanya Makan Rumput & Buah

Gua Musang: Dua kanak-kanak perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang 48 hari lalu dan ditemui selamat tengah hari semalam, dijumpai di bawah akar pokok besar yang bergayutan di tebing Sungai Perias, di sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, berkata dua mangsa yang masih hidup itu, Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui kira-kira 3.3km dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada 12.15 tengah hari, bersama satu mayat perempuan.


“Mayat ditemui pula dikenali sebagai Ika Ayel, 9, selepas proses pengecaman dilakukan anggota keluarganya di Hospital Gua Musang (HGM). Mangsa meninggal dunia kira-kira empat hari lalu,” katanya pada sidang media di HGM di sini, semalam.

Mazlan berkata, Miksudiar dan Norieen ditemui dalam keadaan lemah kerana dehidrasi dan hasil temu bual awal dengan kedua-dua mangsa mendapati mereka hanya makan rumput dan buah-buahan yang ditemui di sekitar kawasan berkenaan.

Kedua-dua kanak-kanak itu, yang ditemui selepas 48 hari hilang, adalah antara tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi, yang melarikan diri dari asrama sekolah itu kerana takut dikenakan tindakan guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran pada 23 Ogos lalu.

Sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat pada Rabu lepas menemui satu mayat kanak-kanak perempuan yang telah reput di sungai itu, yang kemudian dikenal pasti sebagai Sasa Sobrie, 8.

Kelmarin, sebahagian tengkorak dan beberapa batang tulang rusuk kanak-kanak ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan mayat Sasa. Bagaimanapun, identitinya masih belum dikenal pasti.

Berdasarkan penemuan itu, pasukan mencari dan menyelamat menggiatkan usaha untuk mencari baki murid-murid yang masih hilang. Sehinga ini, tiga yang masih belum ditemui dan dikenal pasti adalah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; dan Haikal Yaakob, 8.

Mazlan berkata, lokasi penemuan lima mangsa setakat hari ini masih dalam kawasan pencarian pasukan SAR dan murid-murid berkemungkinan menyembunyikan diri ketika pasukan SAR melaksanakan operasi.

“Kami difahamkan, mangsa yang masih hidup bertindak membuang mayat rakan-rakan mereka ke dalam sungai selepas mereka meninggal dunia, bagaimanapun kes berkenaan masih diklasifikasi sebagai hilang.

“Tiga mayat yang telah ditemui sebelum ini masih belum dituntut oleh anggota keluarga kerana laporan DNA belum dikeluarkan,” katanya.

Ditanya mengenai penemuan rangka kanak-kanak pada petang semalam, Mazlan berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat oleh pasukan patologi daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Terdahulu, suasana sayu dan pilu menyelubungi Pusat Operasi SAR SK Tohoi ketika kedua-dua mangsa dibawa ke pusat berkenaan untuk menerima rawatan awal kira-kira 1 tengah hari tadi.

Mereka yang dibawa keluar menggunakan pacuan empat roda kemudian dibawa menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Gua Musang ketika tiba di SK Kuala Betis sebelum dihantar ke HGM untuk rawatan susulan.

Suasana di perkarangan Unit Kecemasan HGM sedikit kelam kabut dengan tangisan Rozita Behel, 41, dan anggota keluarga terdekatnya ketika menatap wajah anaknya, Miksudiar buat pertama kali selepas hilang selama 48 hari dalam hutan.

Hanya jeritan ‘saya sayang anak saya, saya sayang anak saya, saya sayang anak saya’ kedengaran daripada mulutnya sambil disulami tangisan kegembiraan.


Sementara itu, suasana sedih mengiringi apabila Ayel Ajib, 46, dan isterinya, Nora Tegeu, 39, keluar dari Bilik Mayat HGM selepas membuat pengecaman ke atas mayat anaknya, Ika, kira-kira 5.30 petang.

Nora, dalam tangisannya hanya mampu menyebut nama Ika Ayel beberapa kali sambil ditenangkan oleh suaminya serta petugas SAR yang fasih berbahasa Temiar.

Difahamkan, kedua-dua pasangan berkenaan mengecam mayat anaknya itu menerusi gelang tangan manik yang dibuat oleh Nora dan dipakai Ika serta pakaian sukan yang dipakai oleh mangsa. - Bernama




ULASAN GB

GB sebak dan menitiskan airmata membaca laporan dan menatap foto & video di atas.

Dan sekaligus terpaku dengan kisah anak-anak yang bernama Miksudiar Alui, 11, dan Norieen , 10 yang ditemui masih hidup setelah 48 hari hilang dengan hanya memakan rumput dan buah di hutan.

Demikian qudrat dan iradat Allah... apa lagi yang bisa dikatakan untuk menerangkan hal sedemikian itu?

Sesungguhnya Allah menumbuhkan butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. (Yang memiliki sifat-sifat) demikian ialah Allah, maka mengapa kamu masih berpaling? (QS Al-An'am:95)

3 ulasan:

pok amid littor berkata...

Walaupun bukan anak sendiri, saya terasa amat sayu dan sedih sedari mula lagi bila mendapat berita kehilangan kanak2 itu.

Bayangkan apakah perasaan sdra/i kiranya yg hilang itu anak sendiri!! Walaupun ianya takdir, tetapi perasaan kasih dan sayang kpd anak2 membuatkan setiap ibu dan ayah berdukacita bila berdepan dgn situasi begini.

Alhamdulillah, mereka telah ditemui dan sama-sama la kita berdoa moga yang lain ditemui secepat mungkin.

Tanpa Nama berkata...

Lari sebab takut kena denda oleh cikgu ini yg lebih sayu....

Tanpa Nama berkata...

minta jangan gunakan denda sebagai cara utk displinkan mereka???org asli berjiwa sensitif dan mampu bertindak di luar jangkaan..jangan samakan mereka dengan kita...kena sebat tak ape..