Semarang: Sayu dan sedih. Itu gambaran diberikan anggota pasukan Kapal Perang Republik Indonesia (KRI) Bung Tomo ketika melakukan pemeriksaan ke atas lima mayat masih terikat di kerusi penumpang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, kelmarin.
Keinginan untuk membantu menyebabkan pasukan berkenaan sanggup berhadapan cabaran ombak besar dan angin kencang semata-mata untuk mengangkat mayat berkenaan ke atas kapal.
Dua baris kerusi penumpang iaitu masing-masing tiga kerusi bergabung kini berada di geladak KRI Bung Tomo. Masih terdapat genangan air laut pada kerusi beberapa bahagian kerusi penumpang itu.
Komandan KRI Bung Tomo, Kolonel Yayan Sofiyan berkata, ketika pihaknya melakukan pemeriksaan, keadaan ombak bergelora disertai angin kencang namun atas semangat mahu membantu, mereka tetap mahu mengambil kerusi yang masih terikat tiga mayat dan terumbang ambing dibawa arus.
"Dipercayai tiga mayat itu membabitkan ibu bapa dan anak serta masing-masing masih berada di atas kerusi sambil memakai tali pinggang keledar. Hati kami cukup sayu.
KD Kasturi temui 3 mayat mangsa pesawat AirAsia
KUALA LUMPUR - Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Kasturi (KAS), menemui tiga lagi mayat terapung di Laut Jawa ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang memasuki hari kesembilan hari ini (semalam).
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menerusi akaun Twitternya hari ini berkata, mayat itu terdiri daripada seorang wanita manakala dua lagi belum diketahui identitinya.
"KAS menjumpai satu lagi jasad pada 11.30 pagi di Sektor IV. Jasad itu dan dua lagi yang ditemui pada 051000H (10 pagi hari ini) tadi telah dinaikkan. Ia seorang wanita, dua lagi tidak diketahui," katanya.
Dengan penemuan itu, menjadikan keseluruhan tujuh mayat mangsa pesawat berkenaan berjaya ditemui pasukan SAR TLDM yang menyertai misi SAR QZ8501 di perairan Laut Jawa sejak Isnin minggu lepas.
Abdul Aziz berkata KAS menggantikan KD Lekir yang menamatkan operasinya pada misi itu dan telah kembali ke Malaysia.
Pada Rabu lepas, KD Lekir menemui satu mayat terapung di kawasan pencarian Sektor I di Laut Jawa manakala pada sebelah petangnya, KD Pahang pula menemui tiga mayat di Sektor IV.
Selain tiga kapal TLDM iaitu KD Pahang, KD Lekir dan KD Lekiu yang dilengkapi helikopter jenis Fennec, Malaysia juga menghantar pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu C-130, CN235 dan Beechcraft, untuk menyertai operasi mencari pesawat malang berkenaan.
Pesawat Airbus A320-200 bersama 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama.
Ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara Indonesia pada 7.24 pagi.
Penumpang pesawat itu terdiri daripada warga Indonesia seramai 149 orang, Korea Selatan (tiga), Singapura, Malaysia dan United Kingdom (masing-masing seorang).
Pesawat dikendalikan dua juruterbang dan lima petugas kabin. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan