19 Okt 2014

[TERBONGKAR] Aduan Culik Sebagai Helah Tak Siap Tugasan


Dungun - Teka-teki mengenai kes culik membabitkan seorang pelajar Politeknik dari Johor seperti dilaporkan oleh pelajar berkenaan semalam dipercayai hanya satu laporan palsu.

Hasil siasatan awal polis mendapati, ia satu helah dibuat pelajar itu untuk mengelakkan dia dikenakan tindakan susulan kegagalannya menghantar satu tugasan.

Difahamkan, pelajar berkenaan menaiki bas dari Johor dan tiba di Dungun kira-kira jam 4.30 pagi sebelum cuba menghubungi seorang rakannya melalui aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, ketika masih dalam bas dalam perjalanan dari Johor ke Dungun, dia dipercayai memaklumkan kepada rakannya itu bahawa dia diculik.

Sebaik tiba di Dungun, pelajar jurusan fesyen semester lima itu dikatakan menghubungi ibunya melalui telefon bimbit, namun gagal, sebelum ibunya menghubunginya semula dan pelajar terbabit mendakwa dirinya diculik.

Ekoran itu, ibunya yang bimbang dengan keselamatan anak perempuannya itu, dikatakan telah menyuruh pelajar itu pergi membuat laporan polis berkaitan kejadian itu.

Berdasarkan cerita palsu dilaporkan pelajar terbabit, ketika ingin membuka pintu pagar rumah untuk ke Politeknik Sultan Ibrahim Johor, dia dikatakan tidak sedarkan diri.

Dia kemudian sedar semula dalam sebuah lori kotak yang berhenti untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Dungun.

Pelajar ini turut mendakwa diculik tiga lelaki kononnya orang Kelantan berdasarkan dialek percakapan dan salah seorang daripadanya memakai baju T berwarna merah.

Tambah pelajar itu lagi, dalam lori berkenaan turut terdapat tujuh lagi mangsa lain termasuk kanak-kanak lelaki dan perempuan dipercayai akan dibawa ke Kelantan.

Sebaik membuat laporan polis di Balai Polis Dungun kira-kira jam 9.45 pagi semalam, gadis berasal dari Bukit Ampang Permai, Ampang Selangor itu kemudiannya disiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan menerima laporan daripada pelajar berkenaan.

Bagaimanapun selepas siasatan dilakukan, dia dilaporkan hanya membuat cerita rekaan berkaitan kesnya diculik. -SH

LAPORAN SEBELUM INI
Berita berikut dipetik dari portal Berita Harian bertarikh 18/10/2014
Berita tersebut telah dipadam dari portal berkenaan



Pelajar politeknik dakwa diculik bersama 7 kanak-kanak

DUNGUN: Seorang pelajar politeknik di Johor mendakwa dia diculik bersama tujuh kanak-kanak berbangsa Cina, India dan Melayu di Johor Bahru selepas berjaya melarikan diri, di sini, pagi ini.

Mangsa berusia 20 tahun yang tinggal di rumah sewa di Pasir Gudang berkata, dia diculik ketika sedang membuka pintu pagar rumahnya untuk keluar membeli makanan, kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan langsung tidak sedarkan diri dan apabila tersedar mendapati dirinya sudah berada dalam lori yang tertutup bersama tujuh kanak-kanak terbabit termasuk yang paling muda berusia lima tahun.

Mangsa dikatakan berjaya melarikan diri selepas bertindak terjun dari lori terbabit yang berhenti untuk mengisi minyak di sebuah stesen berhampiran Hospital Dungun kira-kira jam 7.05 pagi tadi lalu mendapat bantuan seorang penjual akhbar yang berada kira-kira 200 meter dari stesen minyak berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa tidak sempat mengecam nombor pendaftaran lori terbabit kerana melarikan diri dalam keadaan ketakutan dan bimbang disedari oleh penculik terbabit.

Seorang penduduk yang secara kebetulan berhenti membeli akhbar di situ turut membantu dan membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan.

Dalam laporan polis, mangsa mendakwa penculik terbabit terdiri daripada tiga lelaki Melayu dan semua mangsa akan dibawa ke Kelantan sebelum dibawa masuk ke Thailand untuk dijual.

Sebelum tiba di Kelantan dan memasuki Thailand, mangsa mendakwa penculik akan membuat pertukaran kenderaan yang akan dilakukan di Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Katanya, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada IPD Pasir Gudang untuk siasatan lanjut dan pihaknya telah memaklumkan kepada semua balai polis daerah dan negeri yang bersempadan untuk pemantauan.
-BH










IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





3 ulasan:

Awanama berkata...

Maka sia - sialah lu belajar lama - lama di universiti hanya kerana nak mengelak dari kena hukuman. Ini kita boleh ibaratkan kita sudah tahu jalan yang kita ambil ini adalah benar tetapi kerana jalan itu penuh dengan cabaran lu ambil jalan pintas untuk tidak lalui cabaran dan ujian yang patut kita lalui untuk berjaya dalam hidup.

Tetapkanlah pendirian dan harungi cabaran dan dugaan dihadapi biarpun kita diancam dengan macam - macam ancaman mahupun masalah dan risiko, kerana itulah jalan diredhai oleh Allah Swt. Wallahualam.

Awanama berkata...

kaunselur tidak membantu pelajar dan pelajar tidak yakin pd kaunselur !

Awanama berkata...

Syabas Polis Dungun! atas siasatan cepat, tepat dan cemerlang.

walau bagaimana pun, tipuan budak selangor nie hanya solo. Taklah sehebat budak Besut tempoh hari, keluar paper berjilid2. Yang itu anak pompuan kena culik pun guna khidmat bas expres. Anak yang berahi lompat tingkap, mak bapak pulak turut serta. Siap sekali dgn maketing guli2 ajaib. Dicampur sekali dengan pegawai bengong jabatan agama yang ngaku tangkap puluhan ekor jin2 masuk botol. Sorang yang plawok, terjelma sepelosok jin2 makan duit.