27 Jul 2014

MH370: Iman Terlalu Rindukan Bapanya... Terpaksa Dirujuk Kepada Kaunselor

Aidilfitri pasti membawa pelbagai dugaan bukan sahaja bagi anggota keluarga terdekat penumpang dan anak kapal MH17 yang terhempas baru-baru ini malah bagi waris pesawat malang MH370 yang hilang empat bulan sebelumnya.

Iman, 5, anak perempuan kepada pramugara penerbangan MH370 iaitu Mohd Hazrin Hasnan terpaksa mendapatkan khidmat kaunselor ekoran emosinya kerap terganggu kerana terlalu rindukan ayahnya.

Intan Maizura Othaman, 34, juga seorang pramugari dengan Malaysia Airlines, berkata beliau terpaksa merujuk Iman kepada kaunselor kerana bimbang dengan keadaan anaknya yang kerap menangis setiap malam sejak akhir-akhir ini.

"Setiap malam Iman akan tidur dengan baju papanya di sebelah bingkai gambar papa kerana mereka memang sangat rapat. Iman juga kerap mimpi papa, dan Iman beritahu dalam mimpi papa cakap 'I love you' serta memeluknya. Setiap kali Iman terjaga daripada tidur, dia akan menangis.

"Sebab itu saya putuskan untuk bawa dia jumpa kaunselor kerana saya tidak tahu nak buat macam mana lagi," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim di rumahnya di sini hari ini.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac lalu setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam.

Sehingga kini usaha mengesan pesawat itu di perairan barat Australia di selatan Lautan Hindi masih belum membuahkan sebarang hasil.

Ditanya mengenai Aidilfitri yang bakal disambut dua hari lagi, Intan Maizura yang bercuti tanpa gaji selama tiga bulan selepas melahirkan anak kedua, Muhammad, kini berusia dua bulan, hanya membuat sedikit persiapan untuk anak-anak.

"Raya tahun lepas, kami beraya bersama dan memakai baju raya sedondon berwarna biru tetapi tahun ini, tiada raya bagi saya, tiada ketupat dan tiada rendang ayam yang saya selalu masak (untuk suami). Saya akan berada di sini, lagipun keluarga saya duduk di kawasan berhampiran," katanya.

Ketika diminta mengulas nahas MH17 terhempas di timur Ukraine yang mengorbankan kesemua 298 anak kapal dan penumpang, Intan Maizura berkata pada awalnya, beliau bagaikan tidak percaya serta menyangka ia berita pesawat dinaiki suaminya telah berjaya ditemui.

Bagaimanapun, katanya, apabila mendapat tahu bahawa pesawat yang terhempas itu bukan MH370 sebaliknya MH17, beliau berasa amat sedih lebih-lebih lagi ramai rakannya turut menjadi mangsa.

"Ketika mula-mula tengok gambar, saya amat gembira kerana akhirnya pesawat dinaiki suami saya telah berjaya ditemui, tetapi apabila mengetahui ia MH17 dan bukan MH370, saya sangat sedih kerana satu kumpulan lagi rakan-rakan saya telah hilang," katanya.

Sementara itu, Rohani berkata beliau mengunjungi Intan Maizura untuk bertanya khabar selain memberi sokongan moral.

"Kita juga akan menziarahi keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang lain pada hari raya atau selepas Aidilfitri nanti," katanya.

Rohani sebelum itu memohon maaf kepada Intan Maizura dan pihak media atas kelewatannya kerana beliau terpaksa bergegas ke rumah keluarga pengawal peribadinya, Johari Mat Nor, 49, yang meninggal dunia secara mengejut tengah hari tadi.









IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI




1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Redhalah dgn ketentuan Allah. Ujian itu suatu anugerah. Dunia ini bukan segala2nya. Bukankah Intan dan Iman semakin dekat dgn Allah kini berbanding sebelum tregedi yg menimpa? Itulah anugerah Allah. Allah sayangkan Rin, Allah juga mengasihi Intan,Iman & Muhammad. Amin.