11 Ogo 2013

[IKTIBAR] 'Saya Macam Kena Pukau'


Parit Buntar - Perayaan Aidilfitri pada tahun ini begitu bermakna buat keluarga Ahmad Awang, 75, setelah anak perempuannya yang dilaporkan hilang hampir sebulan akibat mengikut kenalan laman sosial baru-baru ini, kembali ke pangkuan keluarga.

Lebih mengejutkan, remaja berkenaan, Siti Sakira Ahmad,18, mendakwa tindakannya melarikan diri dari rumah tanpa pengetahuan keluarga dibuat atas sebab dipukau.

Menurutnya, dia hanya menyedari keluarganya mencari dirinya setelah terbaca laporan media mengenai kehilangannya sebelum ini.

“Setelah terbaca berita disiarkan dalam media, saya lantas menghubungi keluarga yang sudah mencari saya semenjak hilang pada 8 Julai lalu bagi memaklumkan di mana lokasi saya berada.

“Alhamdulillah kini saya sudah pun pulang ke pangkuan keluarga dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama mereka,” katanya sewaktu ditemui di rumahnya di Kampung Parit Abas, baru-baru ini.

Siti Sakira berkata, sewaktu hari kejadian dia dilaporkan hilang, dia mendakwa dirinya seperti dipukau dan sekadar mampu untuk menuruti arahan seorang teman lelaki yang baru dikenali dalam laman sosial Facebook.

Menurutnya, setelah dia keluar dari tempat kerja dan mengikut lelaki terbabit, Siti Sakira mendakwa dihantar ke sebuah rumah dan dikenalkan dengan seorang rakan perempuan lelaki terbabit.

“Sepanjang tinggal di situ, fikiran saya seolah-olah kosong dan saya tidak mampu untuk mengingati apa-apa termasuk diri sendiri dan ahli keluarga.

“Setelah hampir 20 hari menghilang, saya terbaca berita kehilangan diri saya melalui akhbar dan saya lantas mengingati kembali segala-galanya mengenai diri saya dengan serta-merta,” katanya.

Siti Sakira berkata, setelah menetap di sebuah rumah, dia seterusnya dihantar lelaki berkenaan ke rumah keluarganya sebelum dijaga oleh ibu lelaki terbabit tanpa mengetahui dia sebenarnya sedang dilarikan lelaki itu.

Bagaimanapun, ibu lelaki terbabit hanya menyedari Siti Sakira sebenarnya dilarikan anaknya setelah berita kehilangannya disiarkan media dan segera memaklumkan kepadanya untuk melaporkan lokasi mereka kepada keluarga.

Sementara itu, ibu Siti Sakira, Salmah Sejan, 47, ketika ditemui berasa syukur dan menitiskan air mata apabila dapat bertemu semula dengan anaknya.

“Saya sungguh gembira dia kembali ke pangkuan keluarga dan pastinya Aidilfitri kali ini paling bermakna.

“Saya berharap kejadian ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan dan ianya diharap memberi pengajaran kepada semua remaja lain,” katanya. -SH

LAPORAN SEBELUM INI


Remaja hilang selepas kerja


Belum sempat sepasang ibu bapa meraikan hari pertama anak perempuan mereka bekerja, remaja berkenaan tidak pulang ke rumah kerana dipercayai mengikut teman lelaki yang dikenali melalui lama sosial.

Siti Sakira Ahmad, 18 dipercayai hilang pada 8 Julai lalu, iaitu pada hari pertama dia mula bekerja di sebuah kilang di sini.

Bapanya, Ahmad Awang, 75 memaklumkan, sejak hari itu tiada sebarang berita mengenai Siti Sakira diterima oleh keluarganya sehingga ke hari ini.

Menurutnya, Siti Sakira merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik dan pada hari kejadian, dia tidak pulang ke rumah sehingga waktu malam, manakala usaha untuk menghubunginya gagal kerana telefon bimbitnya ditutup.

"Kerana bimbangkan keselamatannya, saya pergi ke rumah salah seorang rakan sekerja Siti Sakira dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa anak saya telah keluar dari kilang lebih awal.



"Rakan sekerja Siti Sakira turut memaklumkan bahawa dia (Siti Sakira) telah dijemput oleh seorang lelaki yang baru dikenalinya ke suatu tempat tidak diketahui," katantya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Kurau, kelmarin.

Sementara itu kakak mangsa, Norizan Ahmad, 22 memaklumkan bahawa dia serta ibunya telah cuba menghubungi Siti Sakira setiap hari, namun telefon bimbitnya sentiasa tertutup.

Menurutnya, usaha tanpa jemu menghubungi Siti Sakirah akhirnya berhasil apabila adiknya membalas panggilan telefon beberapa hari selepas itu.

"Adik maklumkan dia kini berada di Tanjun Bungah, Pulau Pinang dan meminta kami masukkan wang ke dalam akaun banknya untuk membolehkan dia pulang ke rumah.

"Tetapi bila saya cadangkan untuk ambil dia di sana, dia beri pelbagai alasan sebelum talian telefonnya terputus," katanya.

Norizan berkata, sejak dari itu Siti Sakira terus mendiamkan diri sehinggalah tiga hari lalu apabila adiknya itu menghubunginya menggunakan nombor telefon yang tidak dikenali.

Menurutn Norizan, daripada perbualan itu, Siti Sakira memaklumkan bahawa dia telah berada di Perlis dan talian telefon terputus secara tiba-tiba.

"Saya segera hubungi semula nombor telefon berkenaan dan ia dijawab oelh seroang lelaki. Apabila saya tanya tentang Siti Sakira, tiba-tiba lelaku itu tengking saya dan mengatakan dia tidak kenal Siti Sakira lalu meletakkan telefon.

"Kerana peristiwa itu saya bimbang adik saya mungkin sedang disembunyikan seseorang untuk tujuan tidak baik. Mungkin juga dipaksa melakukan sesuatu oleh lelaki itu. Kami buat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Kurau kerana keluarga kami bimbangkan keselamatan adik.

"Saya minta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai lokasi terkini adik saya berada untuk menghubungi talian 012-523 4872 untuk menyalurkan maklumat itu kepada kami," rayunya.
-SH

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mungkinkan dia berlakon? hehehe

Tanpa Nama berkata...

mcm x logik cte..