2 Feb 2013

Isu Air selangor: MB S'ngor Bidas Peter Chin Yang Salahkan Harga Air Murah

Dalam krisis air Selangor, Khalid mengatakan Chin hanya mementingkan keuntungan

IJOK, 2 Feb — Perbalahan berkenaan bekalan air Selangor berterusan apabila Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid menggambarkan Menteri Kabinet Datuk Seri Peter Chin Fah Kui sebagai seorang ahli perniagaan yang hanya mementingkan keuntungan kerana menyalahkan polisi air murah Pakatan Rakyat (PR) sebagai punca krisis.

Dua hari lepas Menteri Tenaga,Teknologi Hijau dan Air menyalahkan polisi tersebut dan mengatakan penstrukturan semula air perlu dilakukan kerana mengganggap harga air murah adalah punca kepada pembaziran dan mengakibatkan berlaku krisis air yang menjejaskan isi rumah dan perniagaan di negeri terkaya Malaysia itu dan ibu negara Kuala Lumpur.

“Saya ingat Peter Chin kena belajar usaha untuk membantu rakyat,” kata Abdul Khalid (gambar) kepada The Malaysian Insider sebagai respon kenyataan menteri tersebut.

“Tapi beliau bercakap sebagai ahli perniagaan, sudah pastinya kalau saya jadi seperti beliau akan menaikkan harga air,” tambah beliau lagi.

Beliau juga mempertahankan langkah pemberian air murah yang itu dan mengatakan keuntungan tidak boleh dilakukan terhadap keperluan asas manusia.

“Air ini adalah hak asasi, maknanya air ini sepatutnya diberikan tanpa perlu membebankan rakyat.

“Oleh sebab itu kerajaan negeri memberikan air murah,” tegas beliau.

Apabila ditanya mengenai kenyataan media Chin yang mengatakan kerajaan pusat tidak akan menyekat pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) tetapi negeri tersebut memerlukan persetujuan antara pembekal dan pembeli, Abdul Khalid mendakwa Chin tidak memahami permintaan kerajaan negeri.

“Saya rasa Peter Chin ini tidak faham dengan permintaan kerajaan negeri Selangor.

“Kerajaan negeri bukan meminta untuk membeli SYABAS, tetapi kami meminta untuk membeli saham pelabur atau pemilik ekuiti di dalamnya termasuk Peter Chin,” tegas beliau lagi.

Menurut Abdul Khalid lagi, persetujuan mengambilalih bukan terletak kepada pihak SYABAS tetapi sebaliknya adalah dibawah kerajaan pusat memandangkan mereka adalah pemegang saham utama yang terdiri daripada Puncak Niaga, Kumpulan Darul Ehsan (KDEB) dan Kementerian Kewangan.

“Dalam pegangan tersebut, Kementerian Kewangan merupakan pemegang Saham Emas iaitu yang terbesar.

“Oleh sebab itu, kerajaan negeri memohon kepada kerajaan pusat untuk pengambilalihan tersebut,” terang Abdul Khalid.

Rabu lalu, Abdul Khalid mengumumkan Selangor bercadang mengambil alih perkhidmatan air dari syarikat konsesi air di negeri itu dalam tempoh 14 hari dan menghantar surat bertulis kepada kementerian berhubung perkara tersebut.

Akan tetapi Chin dua hari lalu memberitahu kerajaan negeri boleh membeli syarikat konsesi air jika syarikat swasta yang memegang kontrak bekalan tersebut bersetuju sambil menambah kerajaan pusat tidak akan menghalang urusniaga tersebut.

“Bagi saya ini adalah tawaran komersil biasa yang memerlukan persetujuan daripada pembeli dan penjual,” kata Chin dalam satu sidang media di Putrajaya.

“Jika ada persetujuan, biarkan SPAN dan saya yang tahu,” tambah beliau merujuk kepada pengendali syarikat air, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Kemelut isu air di negeri Selangor berterusan selepas pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) menentang projek Langat 2 diumumkan oleh kerajaan pusat kerana menyifatkan ia berkos tinggi dan menyebabkan negeri tersebut terpaksa meningkatkan tarif air dan terpaksa memungkiri janji mereka untuk memberi air murah, polisi PR yang diperkenalkan selepas memenangi pilihan raya 2008.

Untuk melancarkan proses, Selangor memulakan langkah untuk mengambil alih pada 2009 dengan menawarkan untuk membeli Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS pada harga RM5.7 bilion tetapi kemudiaannya telah ditolak.

Abdul Khalid berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air di Sabak Bernam menyatakan Putrajaya tidak menghalang kerajaan negeri mengambil alih perkhidmatan air menyebabkan kerajaan negeri membuat keputusan tersebut.

Tahun lepas, Abdul Khalid dilaporkan telah meningkatkan tawaran lebih daripada RM9 bilion untuk mengambil alih semua aset dan liabiliti syarikat tersebut termasuk bon.

Awal bulan ini, ribuan pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air berikutan kerosakan sistem pam tambahan di Rumah Pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru.

Gangguan air tersebut antara yang terburuk sejak PR mengambil alih negeri Selangor.

PR memerintah Selangor dan menguasai 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur. -TMI


‘Harga murah punca krisis air di Selangor’


KUALA LUMPUR, 31 Jan — Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata harga air yang murah punca kepada krisis bekalan air terputus berlaku di negeri Selangor baru-baru ini serta menegaskan hal tersebut menunjukkan penting bagi kerajaan melakukan penstrukturan tenaga dan air bagi memastikan kedua-dua bekalan utama tersebut tidak mengalami masalah pada masa depan.

Menurut beliau, langkah kerajaan negeri memberikan harga air yang murah bukanlah sesuatu kaedah terbaik kerana ia hanya akan menyebabkan kepada lebih banyak pembaziran.

“Krisis di Selangor baru-baru ini adalah salah satu contoh akibat buruk yang berlaku dan menyebabkan ratusan ribuan rakyat menerima kesannya.

“Air murah yang diberikan hanya menyebabkan pembaziran kerana orang ramai yang tidak menghargai dan menggunakannya secara berlebihan,” kata Chin dalam satu majlis anjuran Institut Strategi Dan Kepimpinan Asia pagi tadi.

Chin juga menyatakan pemberian air murah akan menyebabkan kerajaan terpaksa meningkatkan subsidi dan pada masa sama ia juga akan menyebabkan pembaziran dana awam.

“Apabila penggunaan air meningkat, kerajaan pada masa sama terpaksa meningkatkan subsidi.

“Apabila ditambah subsidi ini, penggunaan dana awam juga tidak dapat digunakan dengan sebaiknya,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Chin mengulangi penstrukturan tenaga dan air sangat penting serta memberikan amaran supaya ianya tidak dipolitikkan kerana isu ini adalah demi kepentingan rakyat Malaysia sendiri.

Awal bulan ini, ribuan pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air berikutan kerosakan sistem pam tambahan di Rumah Pam Wangsa Maju.

Gangguan air tersebut antara yang terburuk sejak Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor.

Walaubagaimanapun, Putrajaya menuduh keengganan kerajaan negeri Selangor membina loji rawatan Langat 2 sebagai punca krisis tersebut memandangkan sistem pengepaman sedia ada tidak mampu permintaan pengguna yang semakin meningkat.

Dalam perkembangan terkini, kerajaan negeri Selangor bercadang untuk mengambil alih perkhidmatan air dari syarikat konsesi air di negeri itu dalam tempoh 14 hari.

Dalam surat yang ditulis kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air tersebut, kerajaan negeri memaklumkan bahawa pengambilalihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberi sebarang maklumbalas.

Pertikaian berhubung isu air di Selangor mula mendapat perhatian apabila pembinaan Loji Langat 2 dihentikan kerajaan PR Selangor sebaik sahaja menawan negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum 2008.
-TMI

5 ulasan:

orangpencen berkata...

Tahniah YAB Tan Sri, harap istiqamah dalam soal kepentingan dan keutamaan rakyat. Semoga insyaallah dipermudahkan soal jawab tuan sebagai pemimpin di hadapan Allah kelak.

Tanpa Nama berkata...

Baru saja i lihat berita TV3 yang meloyakan. Najib dengan bangganya berjaya menunai janji BRIM dan kini Najib akan lancarkan BRIM 2 plus nak beri peruntukan kepada SYABAS kononnya sebanyak 10 juta untuk mengatasi masalah air tetapi realiti ianya untuk SYABAS pau kalau projek Langat 2 dijalankan.
Najib oh Najib janji kau bukan sekadar BRIM sahaja ada banyak lagi janji kau belum tunaikan yang kau sengaja lupakan. Nanti kita akan ingatkan apa janji tersebut.

Jasad Golgi berkata...

keperluan bukan komoditi..

sumber bahan mentah takyah bayar da..
bayar pun utk perkhidmatan je..

Tanpa Nama berkata...

Cuba kita fikir SYABAS mengambil alih JAS air dari kerajaan selangor secara penswataan secara 'percuma' ambil siap dengan infra yang sedia diguna dan bayaran kemudian bayar setelah hasil air dikutip istalah lain ambil dulu jual air baru bayar...ikut saya kalau projek ini diberikan kepada orang asil pun mereka boleh buat sebab dapat dulu bayar kemudian..benda dah siap cuma rawatan..bayar kepada kerajaan negeri selangor 30% je kot..lain lain masuk mana untung besar..fikir fikirkan..saya pun boleh buat kalau bagi kat saya projek ini

Tanpa Nama berkata...

Biasa bah, menteri menteri BN bukan pandai tolong rakyat. Tahu saja curi curi duit rakyat kasi anak bini syok. Sama itu perangai anjing bah....