Perhimpunan Agung UMNO yang baru selesai pada 1 Disember 2012, mudah bagi kita untuk merumuskannya dan apa yang berlaku dalam perhimpunan itu sangat tepat dengan apa yang kita telah tahu selama ini.
UMNO itu sungguh tertekan dan akan menghadapi pilihanraya yang paling getir dalam sejarah parti itu. Segala apa yang berlaku dalam perhimpunan itu merupakan satu manifestasi yang jelas tentang tekanan yang parti itu hadapi.
Setakat ini UMNO telah melakukan banyak usaha untuk mendapatkan keyakinan rakyat dan salah satu dari perkara yang dilakukan ialah berbai’ah di depan Dr Mahathir supaya ahli-ahli parti tidak melakukan sabotaj terhadap calon-calon BN.
‘Initiative’ yang dilakukan oleh Mahathir memanggil pemimpin-pemimpin Bahagian UMNO di seluruh negara untuk berjanji dan bersumpah tidak mensabotaj parti itu menunjukkan yang sabotaj-mensabotaj calon merupakan masalah yang terbesar dalam UMNO.
Jika berbai’ah itu di jadikan sebagai salah satu usaha besar untuk bertahan, maka itu sekali gus membayangkan kepada kita UMNO sudah terlalu hampir kepada kekalahan. Jika isu sabotaj-mensabotaj itu tidak besar masakan tindakan bersumpah itu di jadikan usaha yang dilakukan oleh pemimpin besar yang pernah menjadi PM selama lebih dari dua dekad.
Tindakan bekas PM ini memanggil pimpinan Bahagian untuk bersumpah itu juga mengiyakan apa yang di pandang oleh rakyat yang Mahathir merupakan orang yang paling takut jika UMNO itu jatuh.
Sebab beliau merasa takut itu boleh lah tuan-tuan agak dan agakkan saudara-saudara itu tidak mungkin salah.
Kenapa sampai bersumpah?
Kalau parti itu (UMNO) kuat dan mendapat sokongan, apa yang perlu bersumpah-sumpah itu? UMNO sepatutnya memberikan kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin mereka di peringkat Bahagian tetapi sebaliknya UMNO tidak yakin dan tidak mempercayai ahli-ahlinya sendiri. UMNO mempunyai masalah dalaman yang ketara. Orang ramai tidak tahu masalah ini asalnya, tetapi setelah berlakunya angkat sumpah di depan Mahathir itu sudah cukup untuk menyatakan dengan ‘conclusive’ UMNO dalam kesempitan.
“Yang lebih lucunya kami terpaksa angkat sumpah dengan orang yang menjadi penyebab kepada perpecahan kami dalam UMNO ini. Nampak sangat Mahathir terlalu takut dengan masalah beliau jika UMNO tewas dan dia mahu kita jadi pelindung dia setiap masa. Kita di bawah ni hanya diperguna macam lembu saja” kata seorang AJK Bahagian yang saya kenali sebegitu lama.
Lebih banyak bercakap lebih banyak kelemahan kita lihat dalam UMNO ini. Kata Najib dalam perhimpunan itu, “satu undi untuk DAP merupakan satu undi untuk tekanan terhadap orang Melayu”. Kata perpatah ‘bercakap di siang hari pandang-pandang, bercakap malam hari di dengar-dengar’. Najib tidak langsung nampak musuhnya di dalam BN sendiri yang bercakap bertentangan dengan kata-kata pemimpin tertingginya. “Chua Soi Lek pula berkata satu undi untuk DAP itu adalah satu undi untuk tekanan terhadap orang Cina”. Apa maknanya semua ini? Kata-kata ini sahaja sudah menunjukkan kecelaruan dalam hala tujuan parti-parti dalam BN. MCA ke hulu UMNO pula ke hilir.
Dalam bercakap dengan gegaran tinggi tentang penyatuan kaum-kaum di negara ini UMNO dan Najib masih bercakap isu yang berteraskan elemen rasis yang merbahaya dan ingin melihat rakyat yang berbilang kaum ini untuk mengesyaki di antara satu dengan lain. Ini merupakan manifestasi yang UMNO sedang tersepit apabila Pakatan Rakyat mampu untuk mencari formula penyatuan kaum yang ampuh yang tidak mungkin boleh di capai oleh BN.
UMNO memusuhi DAP seolah-olah kami dalam DAP ini seperti haiwan dan binatang liar. UMNO tidak mahu mengakui yang DAP lebih di yakini oleh sesiapa yang ikhklas mahu melihat kerjasama di antara kaum itu. UMNO masih menakut-nakutkan orang Melayu dengan mangatakan jika PR memerintah maka DAP dan orang Cina akan berkuasa. DAP hanya akan meletakkan lima puluh calon di dalam PRU ini dan jika calon-calon parti ini menang kesemua kerusi sekali pun, orang-orang Cina tidak akan menguasai politik negara ini.
Lagi pun, adalah di perkatakan yang di antara lima puluh calon-calon DAP itu berkemungkinan ada calon Melayu yang akan menunjukkan yang DAP bukannya parti rasis seperti UMNO dengan Melayunya dan MCA dengan chauvinis Cinanya. Sesungguhnya kemampuan DAP untuk lebih bertanggungjawab terhadap siasah yang realistik dan politik keamanan ini menjadikan BN khususnya UMNO begitu goyah dari hari ke hari kerana yang pasti MCA akan kehilangan undi Melayu dan UMNO juga bertambah kurang sokongan dari orang Melayu itu.
UMNO sekarang ini sedang kehilangan sokongan dari orang Melayu kerana PAS telah menunjukkan kemantapannya untuk menarik sokongan Melayu Islam. Isu ini lebih membuatkan UMNO tidak tentu arah dan menyebabkan pucuk pimpinannya bercakap dengan nada yang tinggi dalam PAU baru-baru ini. Laungan dan jeritan pucuk pimpinan UMNO itu hanya melambangkan betapa runsingnya UMNO dalam menghadapi pilihanraya kali ini, yang merupakan ibu segala pilihanraya dalam sejarah kemerdekaan negara.
Hanya saya ingin mengingatkan parti-parti dalam PR agar sentiasa bersyukur dengan perkembangan ini dan jangan sekali-kali bersikap takbur dan mendahului Tuhan. Sikap parti-parti dalam PR setakat ini baik dan diharapkan ia akan bertambah baik dari masa ke semasa. Saya sendiri sangat berbesar hati yang PR tidak henti-henti berusaha untuk mencapai matlamat yang satu negara kita, iaitu perpaduan kaum atau yang di sebut selalu sebagai ‘national unity’ ini.
Perjuangan ini merupakan perjuangan ‘ultimate’ rakyat. Rakyat sudah tidak mahu lagi diperguna oleh mana-mana pihak untuk memecahkan perpaduan di antara rakyat berbilang kaum semata-mata kerana sikap ‘desperado’ mereka dalam politik kepartian yang jumud dan merekahkan kesatuan yang sedang kita pupuk sekarang ini.
Apa yang perlu sekarang hanyalah kesedaran rakyat yang orang Melayu khususnya tidak menolak perpaduan tetapi biarlah perpaduan itu berlaku di luar UMNO dan BN. Inilah perubahan yang sedang jelas berlaku di negara ini dan fenomena ini nampaknya akan membuahkan masyarakat yang berpadu walaupun di bawah naungan siasah yang berbeza.
Rakyat wajar melakukan perbezaan ini. Kita sudah muak dan jemu dengan kata-kata yang memecah belahkan kita semua. Ingat! yang rugi hanya kita rakyat di bawah ini jika kita masih mahu berfikir cara yang dikehendakki oleh UMNO.
Kita perlu menolak isu rasis terus-terusan dan ini akan menjamin keamanan negara yang kita cintai ini. Ingat betul-betul, memberikan kepercayaan kepada pihak yang 'desperate' amat merbahayakan negara pada masa yang akan datang. -aspanalias
1 ulasan:
Gengster UMNO tahu pengikut dan penyokong Pakatan Rakyat tidak akan bertindak balas sekiranya diserang sebab pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat arah pengikutnya "bersabar".Itu sebabnya gangster UMNO dan Pekosa naik tocang dan berani.Berapa lama lagi agaknya nak sabar dan berapa ramai lagi yang akan kena tetak baru nak balas?
Catat Ulasan