4 Ogo 2012

Senator BN Isytihar Keluar Parti, Sokong Pakatan Rakyat

Kuala Lumpur: Senator Datuk Maijol Mahap mengisytiharkan keluar Barisan Nasional (BN) hujung minggu lalu.

Beliau turut menyertai Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing yang meletak jawatan dalam BN Ahad lepas.

Gambar: Maijol kanan sekali pada majlis penubuhan Angkatan Perubahan Sabah Ahad lalu.

Bekas Naib Presiden Upko itu berkata, antara punca beliau meninggalkan BN disebabkan isu kemiskinan rakyat Sabah, dasar kabotaj, royalti minyak, diskriminasi kaum, rampasan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan peminggiran Sabah yang masih membelenggu.

Maijol yang sudah 14 tahun dalam BN berkata, semua masalah itu gagal diselesaikan termasuk di era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

“Selepas mengambil kira masalah ini yang sudah lama tertangguh di Sabah dan gagal diselesaikan, maka saya terpaksa meninggalkan BN.

“Saya tidak lagi percaya bahawa kerajaan BN boleh atau akan menyelesaikan isu-isu kritikal di Sabah, termasuk PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin), tahap kemiskinan yang tinggi, meminggirkan KDM (Kadazan Dusun Murut), NCR, lima peratus royalti minyak dan dasar kabotaj,” katanya pada kenyataan 31 Julai lalu.

Turut meninggalkan BN pada 29 Julai lalu ialah Pengerusi Tetap, Datuk Herman Tiongsoh serta Ahli Majlis Tertinggi Upko, Denis Gimpah, Lesaya Lopog dan Petrus Guriting.

Mereka mengikut langkah Wilfred menyertai Pakatan Rakyat melalui penubuhan Angkatan Perubahan Sabah (APS) pada majlis pelancaran pertubuhan itu Ahad lalu.

Penyertaan itu disaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -KD

Tiada ulasan: