5 Ogo 2012

Marshanda Tetap Berpuasa Sekalipun Hamil

Mula mendirikan rumah tangga dengan pengacara televisyen, Ben Kasyafani pada 2 April tahun lalu, penyanyi dan aktres terkenal Indonesia, Marshanda pastinya merasakan kedatangan bulan puasa tahun ini lebih istimewa.

Mana tidaknya, kali kedua beraya dengan memegang status isteri dan kini bakal bergelar ibu tentunya menjadikan pengalaman puasa bintang sinetron ini berbeza.

Buat pertama kalinya, aktres berusia 23 tahun ini menjalani puasa di bulan Ramadan dalam keadaan sedang hamil.

Bersyukur dapat merasai pengalaman tersebut, wanita yang mesra disapa Chacha ini tidak mahu terlepas daripada merebut ganjaran sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Menurutnya, usia kandungannya dua bulan tidak menjadi halangan buatnya meneruskan ibadah puasa.

“Alhamdulillah, sungguhpun hamil namun ia tidak menghalang saya untuk meneruskan ibadah puasa. Tambahan pula, usia kandungan baru sahaja memasuki bulan kedua, jadi saya masih kuat untuk terus berpuasa.

“Lagi pula, puasa di bulan Ramadan merupakan perkara wajib yang perlu dilakukan oleh setiap umat Islam. Saya juga ada meminta nasihat doktor mengenainya, dan doktor tidak melarang saya terus berpuasa,” katanya yang teruja menjalani ibadah rukun Islam ketiga itu dalam keadaan hamil.

Kawal makan

Mengulas mengenai kehamilannya, bintang sinetron Sejuta Cinta Marshanda ini mengakui sedikit risau melihat tabiat pemakanannya yang kini berubah.

Akui berat badan sedikit bertambah, Chacha menganggap ibadah puasanya ini menjadi salah satu sebab untuk membantunya mengawal makan.

“Kebelakangan ini, nafsu makan saya semakin melonjak berbanding kebiasaan. Baru sahaja hamil dua bulan, berat badan saya sudah naik empat kilogram.

“Jadi, saya rasakan inilah waktu terbaik untuk saya menjaga makan dengan berpuasa. Saya tidak dapat bayangkan jika usia kandungan saya bertambah, entah bagaimana bentuk badan saya nanti,” ujarnya.

Meskipun begitu, anak kelahiran Jakarta ini masih lagi menitik beratkan kesihatan kandungan dalam perutnya.

“Jika boleh saya memang berhasrat dapat berpuasa sebulan, tetapi saya tidak mahu tindakan saya nanti memberi kesan kepada anak dalam kandungan.

“Malah, doktor juga memberitahu supaya makan jika tidak kuat untuk terus berpuasa. Jika larat saya akan teruskan tetapi jika tidak, saya tidak akan paksa badan,” katanya yang masih menerima banyak tawaran sepanjang bulan Ramadan.

Suami beri dorongan

Bersyukur dikurniakan suami seperti Ben, wanita yang membuat keputusan mengenakan tudung sejak Ogos 2010 ini berkata, suaminya itu tidak kisah dengan keputusannya untuk berpuasa.

Bagaimanapun, menurut Chacha, Ben masih mengingatkannya supaya menjaga kesihatan kandungannya itu.

“Ben memahami hasrat saya yang cuba menjalankan ibadah puasa. Meskipun begitu, dia menasihati saya supaya mengambil makanan yang secukupnya ketika sahur dan berbuka.

“Dia sering mengingatkan saya supaya memikirkan kandungan memandangkan ini anak sulung kami,” katanya yang bertindak mengurangkan aktiviti lakonannya sepanjang tempoh kehamilan.

Menyentuh mengenai kerjayanya, Chacha berkata, dia tidak menolak jika menerima undangan nyanyian.

“Sejak hamil, saya lebih banyak terima undangan nyanyian tidak kiralah secara langsung ataupun rakaman. Tetapi kini saya mahu kurangkan aktiviti berlakon yang banyak memakan masa ketika penggambaran,” ujarnya lagi.

Seperti kebanyakan perempuan hamil yang lain, Chacha juga tidak terkecuali daripada mengidam makanan.

Malah, katanya dia juga lebih malas untuk bergerak dan sering tidur.

“Syukurlah suami begitu memahami dan menurut sahaja kehendak saya. Kadangkala, dia ada juga mengurut badan saya yang kebelakangan ini sering lenguh-lenguh,” kata pelakon Benci Bilang Cinta ini. -SH


PROFIL

Nama sebenar: Andriani Marshanda

Nama komersial: Marshanda atau Chacha

Tarikh lahir: 10 Ogos 1989

Tempat lahir: Jakarta, Indonesia

Kerjaya: Pelakon, penyanyi, model, pengacara

Nama suami: Ben Kasyafani


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kulihat hijau....

Tanpa Nama berkata...

hijau ke putrajaya....

Tanpa Nama berkata...

Insyaallah !