1 Jun 2012

SUHAKAM Digesa Siasat Malam Berdarah Lembah Pantai

Kuala Lumpur: MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar telah menghantar satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berhubung keganasan politik pada “malam berdarah Lembah Pantai” pada 24 Mei lalu.

Beliau berkata keganasan politik pada malam itu, di mana batu, telur dan botol air dilontarkan ke penonton ceramah Pakatan Rakyat, merupakan satu deklarasi perang terhadap demokrasi dan rakyat.

Seorang warga emas cedera dibahagian kepala dipercayai terkena batu yang dilemparkan ke arah hadirin yang berkumpul di ceramah tersebut di flat Pantai Permai, Lembah Pantai.

Ceramah yang bertajuk “Halatuju Politik dan Ekonomi Negara” itu memaparkan ucapan dari Nurul Izzah, MP Batu Tian Chua, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam memorandum itu Nurul Izzah menuntut satu siasatan menyeluruh untuk mengenalpasti jika wujud satu perancangan sistematik intimidasi politik melalui insiden-insiden keganasan politik.

Siasatan itu juga untuk mengenalpasti pihak disebalik kempen ganas itu yang menafikan hak rakyat berpolitik dan mengancam demokrasi.

Setakat ini, enam laporan polis telah dibuat berhubung kejadian provokasi yang pernah berlaku di kawasan Lembah Pantai terutamanya melibatkan program-program Pakatan Rakyat.

MP Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik dijemput untuk hadir ke Suahakam bagi bersama-sama menyerahkan memorundum tersebut. Namun tiada wakil dari kedua-dua pihak yang hadir.

Memorandum tersebut diterima pesuruhjaya SUHAKAM James Nayagam. MP Cheras Tan Kok Wai dan MP Segambut Lim Lip Eng turut hadir bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Menurut Nurul Izzah, jika Pakatan terus diganggu untuk mengadakan program aman, perkara ini akan menyekat usaha demokrasi memandangkan Malaysia mempunyai pelbagai parti politik.

Katanya, kejadian sebegini bukan sahaja mendatangkan risiko kepada ahli politik, tetapi turut melibatkan orang awam yang hadir untuk mendengar penerangan isu semasa.

Beliau menambah, perkara ini merupakan antara fokus utama untuk dibangkitkan dalam sesi Parlimen yang akan berlangsung Jun ini.

“InsyaAllah sekiranya Datuk Seri Najib tidak mahu memanggil pilihanraya lagi kita akan bangkitkan isu ini.

“Perkara ini berlaku secara berterusan dan saya berasa sedikit gerun kerana ini bukan sepatutnya budaya yang harus dihadapi. Kita mahu semua ahli politik menolak budaya samseng sebegini,” katanya. -selangorku



1 ulasan:

Amuraria berkata...

LEMBU-LEMBU & ANJING-ANJING GILA NI BERANI KA BUAT PROVOKASI JIKA TANPA 'BACKING' BOS SEKUTU APCO ?