3 Apr 2012

Rumahtangga Safee Sali Runtuh, Ceraikan Isterinya, Sabrina Talak Satu

Shah Alam - Penyerang kebangsaan Safee Sali bercerai talak satu dengan isterinya Sabarina Yusof, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Gambar: PEMAIN bola sepak negara, Safee Sali (kiri) meninggalkan Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam, hari ini sejurus selepas prodising. Penyerang bola sepak itu sah bercerai dengan isterinya, Sabarina Yusof (kanan). - Foto Osman Adnan

Bagaimanapun, Safee seolah-olah melarikan diri dari media mengenai penceraiannya dan hanya Sabarina membuat pengesahan itu kepada media.

Kelibat jutawan bola sepak itu, pada awalnya kelihatan di pintu lif mahkamah, namun beliau terus memasuki kereta bersama peguamnya, Ahmad Nazeb Johari.

“Alhamdulilah semuanya sudah selesai, saya harap tiada spekulasi lagi antara kami berdua,” kata Sabarina yang ditemani peguamnya, Ezura Nashuha Abdul Hadi.

Ezura Nashuha menjelaskan, anak guamnya bercerai dengan Safee secara baik, selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak.

“Safee dan Sabarina bercerai secara baik. Dia melafazkan talak satu terhadap Sabarina di hadapan Hakim Syarie. Mohammad Fouzi Mokhtar dalam satu prosiding tertutup,” katanya.

Ezura Nashuha berkata kedua-dua anak pasangan berkenaan Nur Syaza Syaqina, 4 dan Nur Syasya Sofirna, 2, diserahkan dalam jagaan Sabarina, manakala Safee memperoleh hak lawatan mengikut masa yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Pada November tahun lalu Safee memfailkan perintah supaya Sabarina kembali taat kepadanya, bagaimanapun menarik semula perintah itu minggu lalu.

Beliau mewakili penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya menarik semula perintah itu untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Safee, 28, dan Sabarina mendirikan rumah tangga pada 2007 selepas berkenalan ketika pemain kelahiran Kajang, Selangor itu beraksi bersama Sarawak dalam saingan Liga Perdana.

Hasil pernikahan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Safee kini meneruskan kariernya bersama kelab Pelita Jaya FC apabila memperoleh kontrak baru bernilai lebih RM2 juta daripada kelab itu untuk tempoh dua tahun lagi.

Sebelum ini, kontrak sulung pemain itu dengan Pelita Jaya FC yang ditandatangani Januari tahun lalu bernilai RM456,000 untuk tempoh setahun.

Safee Sali cerai isteri talak satu

Capai persetujuan berpisah cara baik, elak wujud sebarang pertikaian


SHAH ALAM: Pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali atau nama sebenarnya, Mohd Safee Mohd Sali, 28, sah bercerai dengan isterinya, Sabarina Yusof, selepas melafazkan talak satu dalam prosiding tertutup di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam. Peguam syarie yang mewakili Sabarina, 30, Ezura Nashuha Abdul Hadi, ketika ditemui selepas prosiding, berkata lafaz cerai itu dibuat selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama untuk bercerai secara baik.

Katanya, kedua-dua mereka bersetuju semua tuntutan dan hak penjagaan dua anak mereka, Nur Syaza Syaqina, 4, dan Nur Syasya Sofirna, 2, selain nafkah dan edah juga diselesaikan dengan cara baik.

Prosiding itu dijalankan di depan Hakim Syarie Fouzi Mokhtar.

“Tiada sebarang pertikaian dan ia diselesaikan secara muafakat. Anak guam saya berharap tidak ada berita kurang menyenangkan kerana kedua-dua pihak kerana sudah selesaikan dengan cara baik.

“Sabarina akan terus pulang ke Kuching, malam ini (malam tadi) dan anak mereka diserahkan kepadanya,” katanya.

Sementara itu, Sabarina yang ditemui berharap tiada lagi spekulasi timbul selepas kes itu selesai.

“Sebelum ini, saya tidak pernah buat apa-apa kenyataan. Saya akan teruskan hubungan baik dengan Safee kerana kami ada dua anak dan perlu menjaga perasaan mereka. Saya dan Safee akan buat yang terbaik untuk anak-anak,” katanya.

Percubaan mendapatkan kenyataan Safee, dan peguam syarie mewakilinya, Ahmad Nazib Johari gagal selepas mereka bergegas meninggalkan mahkamah sejurus kes selesai.

Pada 27 Mac lalu, permohonan perintah kembali taat difailkan Safee terhadap Sabarina ditarik balik selepas mereka bersetuju menyelesaikan masalah itu di luar mahkamah.

Pada November tahun lalu, Safee memfailkan permohonan perintah kembali taat terhadap Sabarina di mahkamah rendah di sini.

Permohonan itu difailkan tiga bulan sebelum penyerang kebangsaan itu memperbaharui kontrak dua tahun dengan kelab Liga Super Indonesia, Pelita Jaya FC, awal Februari lalu.

Sebelum itu, pasangan berkenaan dilaporkan tinggal bersama dua anak mereka di Apartmen Bona Vista, kediaman mewah yang disediakan kelab di negara jiran itu.

Pada 2 Februari lalu, akhbar ini melaporkan Safee boleh dianggap pemain bola sepak Malaysia pertama bergelar jutawan apabila menyambung kontrak dua tahun bersama Pelita Jaya FC bernilai lebih RM2 juta. -BH


Ulasan GB

Tinggal dalam "rumah besar" di negeri orang tetapi "rumahtangga" yang dibina sendiri yang runtuh... fikir-fikirkanlah..

1 ulasan:

1 Malaysia berkata...

Cerai ... Halal tapi amat dibenci Allah swt.
Biarkan depa dengan masalah keluarga depa, serah saja pada Allah swt. Kan jodoh dan maut tu takdir Allah swt. Berpisah dengan cara baik, pada mata insan, adalah sebaik-baik penyelesaian. Kita, yang orang luar, tak perlu tokok tambah kerana ini akan menjadi fitnah. Moga depa terus berbaik-baik kerana anak tercinta.