20 Jan 2012

Malaikatul Maut Sudah Berada Di Atas Bas Untuk Menjemputnya Pulang

Tragedi Genting Sempah

BENTONG – Niat seorang penumpang bas ekspres berpindah tempat duduk dari belakang ke bahagian hadapan bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan petang semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Rizal Zaharon, 39 beralamat di Rumah Murah Peramu Jaya, Pekan menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 40.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak melibatkan sebuah bas ekspres dan lori treler membawa muatan kayu kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, bas dinaiki oleh 39 penumpang termasuk mangsa bersama seorang pemandu.

“Setibanya di tempat kejadian iaitu di kawasan menuruni bukit selepas terowong Genting Sempah, bas yang dipandu dipercayai terlanggar bahagian belakang lori treler itu.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang duduk di bahagian hadapan kiri tempat duduk penumpang tersepit,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Yusri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurutnya, mangsa terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat sebelum dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.

“Selain mangsa, sembilan lagi penumpang dan pemandu dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan akibat kecederaan ringan dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil.

“Kes kemalangan masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -SH

Setengah jam keluarkan mangsa

BENTONG – Seorang penumpang bas maut dalam kemalangan melibatkansebuah bas ekspres dan lori treler membawa muatan kayu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan petang semalam di Kilometer 40.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini.

Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan melibatkan bas ekspres dan treler muatan kayu.

Pegawai Operasi Menyela-mat, Hamzah Wangai berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 4.00 petang selepas menerima maklumat.

Menurutnya, pihaknya hanya mengambil masa lebih kurang tiga minit ke tempat kejadian memandangkan pada masa itu mereka berada di Genting Sempah sempena Ops Sikap 25.

“Setibanya di tempat kejadian, seorang mangsa berada dalam keadaan tersepit di bahagian tempat duduk hadapan bahagian kiri bas.

“Manakala semua penumpang lain bersama pemandu sudah keluar dari bas terbabit, “ katanya.

Hamzah berkata, pihaknya terpaksa mengalihkan lori treler itu terlebih dahulu sebelum memulakan operasi mengeluarkan mangsa.

Menurutnya, keadaan mangsa yang terperosok di bahagian pinggang ke bawah itu menyebabkan pihaknya mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk mengeluarkannya.

“Mangsa, Mohd Rizal Zaharon, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di bawa ke Hospital Bentong,” katanya.

Seorang mangsa, Nurul Hazirah Sapeai, 21 berkata, dia menaiki bas ekspres itu kira-kira jam 2.30 petang untuk pulang ke Kuantan.

Menurutnya, dia tidak mengingati dengan jelas kejadian yang berlaku kerana apabila sedar, dia sudah berada di Hospital Bentong menerima rawatan.

“Pada masa kejadian saya duduk di bahagian tepi tengah bas sebelah kanan.

“Apabila sedar saya sudah berada di hospital dan doktor mengatakan saya mengalami kecederaan di bahagian mulut,” katanya.

Nurul Hazirah yang merupakan mahasiswa tahun satu Universiti Malaya itu berkata, dia sering menggunakan perkhidmatan bas ekspres itu untuk pulang bercuti. Menurutnya, kali ini dia pulang untuk bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina dan tidak menyangka kejadian seumpama ini berlaku.


Ulasan GB

"Kematian" datang kepada kita apabila ajal sudah tiba. Datang pelbagai cara dan tak kira kita di mana. Apabila daun sudah gugur ia tidak tercepat atau terlambat walau sesaat jua.

Siapa duga, dia beralih tempat duduk dari belakang ke depan, rupa-rupanya gilirannya sudah tiba.

Justeru beringatlah kita sentiasa, sebelum malaikatul maut menjemput kita. Mungkin "dia" sudah ada dalam kereta yang kita naiki, dalam pejabat, atau di mana saja kita berada... entah esok entahkan lusa...

Kepada almarhum.. alfatihah... kita sedekahkan pahala agar dicucuri rahmat ke atas rohnya.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Betul tu GB.

Bertuah arwah, mungkin setiap pembaca blog GB ni hadiahkan bacaan Fatihah termasuk aku yg tak nak lepaskan peluang wlu tak kenal.

AlFatihah.

C++ berkata...

Bhai GB...

Sesungguhnyer tiada sesaat masa manusia itu dicepatkan ataupun dilambatkan bila tiba masanya...

Moga Allah mengampunkan dosa dan memberikan rahmat kepada beliau serta juga kita semua...

Al Fatihah..

..cik faTiha Tea'ah... berkata...

semoga kita diamnil dalam keadaan beriman...
insyaALLAH

Tanpa Nama berkata...

al-fatihah.mati itu benar.maka bersiap sedialah yang mana masih hidup.