12 Okt 2011

Tak Perlu Lapor Polis Lagi Jika Hilang Sijil Lahir, Pasport, Geran & Lesen Memandu

Laporan polis hilang sijil lahir, pasport, geran dan lesen memandu dimansuh

Orang ramai tidak perlu lagi membuat laporan polis bagi sebarang penggantian berhubung kehilangan dan kerosakan sijil kelahiran, pasport Malaysia, sijil perkahwinan, sijil akademik, perakuan pendaftaran kenderaan dan lesen memandu serta geran tanah.

Perkara itu terkandung dalam Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2011 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri pada 29 September lalu.

Dipetik Bernama Online, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan (gambar) berkata kerajaan membuat keputusan berhubung pemansuhan keperluan mengemukakan laporan polis itu pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengaduan Awam (JKTPA) Bilangan 2, 2011 pada 6 April lepas kerana ia sebenarnya merupakan amalan pentadbiran yang tidak diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang.

Beliau berkata pada 2010, sejumlah 2.8 juta laporan polis diterima, dengan 1.1 juta atau 40 peratus daripada jumlah itu termasuk dalam kategori ‘Rujuk Lain-Lain Agensi’.

“Ini menunjukkan sebahagian besar laporan polis yang dibuat tidak memerlukan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Perkara ini bukan sahaja menyusahkan orang awam, malah tidak melambangkan imej perkhidmatan awam yang cekap dan mesra pelanggan.

“Di pihak PDRM pula, amalan ini turut menyebabkan tambahan beban kerja dalam mengendalikan urusan pelaporan polis.

“Keperluan ini juga mengakibatkan peningkatan kos operasi PDRM di samping tidak memberi nilai tambah dalam penyampaian perkhidmatan PDRM,” katanya.

Berikutan pemansuhan itu, Mohd Sidek meminta semua agensi kerajaan mengenal pasti urusan yang memerlukan orang awam mengemukakan laporan polis kepada agensi kerajaan terbabit mengikut keperluan yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, pekeliling itu tidak menghalang orang awam daripada membuat laporan polis, dan agensi kerajaan juga tidak boleh menghalang orang awam membuat laporan kepada PDRM. -TMI

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

klu x salah undang2 ni dah lam, sbb kawan aku dulu hilang ic, kad pencen, diarahkan pi kat jabatan berkaitan.

Tanpa Nama berkata...

Setuju... dan nak tambah lagi sikit. Untuk kes kes jenayah seperti pecah rumah, rogol, penipuan dan lain lain juga tidak perlu buat laporan polis... buang masa.

Daripada buang masa buat laporan polis tanpa tindakan apa apa lebih baik kita bercakap dengan tiang atau tunggul kayu.

Dah kerapkali kita dengar laporan polis ini umpama kita bercakap dengan tunggul kayu.

adam berkata...

sy sokong kehilanga ic, surat branak, passport, lesen memandu dan sijil kawen tak perlu buat laporan polis. ini kerna perkara2 ni akan menambahkan lg kerja2 polis. buat laporan terus di jbtn berkaitan. apa gunanya ada bghn siasatan di jbtn2 berkenaan.

zairy berkata...

sy kurang stuju dengan kemudahan trsebut. rsenye perlu dibuat kajian lgi sebab mungkin akn memudahkn lgi proses duplikasi/ubahsuai dokumen peribadi kita. lebih-lebih lagi kad pengenalan dan surat beranak.

dengan perlunya ada pengesahan dari pihak berwajib lagi tegas, rasenya isu duplikasi/ubahsuai ini boleh disekat.

mmg menyusahkan, tapi ini adalah prosuder utk keselamatan kita jugak. kita pn akan berasa sangat bertanggungjawab atas dokumen peribadi kita.