30 Jul 2011

Ulangsiar: Siapa Sangka Bapa Tergilis Anaknya Sendiri

Malang nasib seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan yang berhasrat mengikut ibu bapanya membeli kelengkapan hari raya tidak kesampaian apabila maut digilis kereta dipandu bapanya dalam kejadian di Kampung Tok Jawa, Bachok, pagi semalam.

Tambah menyedihkan, bapa kanak-kanak itu, Che Pauzi Mamat, 44, kehilangan anak tunggalnya, Nuramni Athirah adalah hasil perkahwinan keduanya bersama, Noraini Othman, 38.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Che Pauzi yang menghidupkan kereta Produa Alza di garaj rumahnya dikatakan tidak menyedari kehadiran Nuramni berhampiran kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

“Saya ingatkan dia berada dengan ibunya dalam rumah. Saya undurkan kereta dan mendengar bunyi seolah-olah melanggar sesuatu lalu turun melihat ke luar.

“Alangkah terkejutnya, apabila ternampak sekujur tubuh Nuramni ditindih tayar depan sebelah kiri kereta,” katanya.

Che Pauzi berkata, sebelum itu dia menghidupkan enjin kereta, sementara menunggu isterinya yang sedang bersiap untuk keluar membeli persiapan menjelang puasa, termasuk baju raya puteri tunggalnya itu.

“Saya tidak menyangka objek dilanggar itu adalah Nuramni. Dalam keadaan cemas saya berusaha mengubah kedudukan kereta bagi membolehkan anak saya diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, sejurus pelanggaran itu, isterinya keluar dari rumah dan terkejut apabila mendapati mangsa dalam keadaan tidak bergerak.

“Tanpa berlengah, saya segera membawa anak ke klinik berhampiran, sementara dalam perjalanan saya cuba memberi bantuan pernafasan, tetapi belum sempat sampai klinik anak sudah tidak bernyawa,” katanya.

Che Pauzi berkata, sebelum ini setiap kali hendak menaiki kenderaan, dia akan mendukung anaknya itu, tetapi semalam tidak seperti kebiasaannya kerana menganggap Nuramni berada bersama ibunya.

“Telatah Nuramni pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha tahun lalu masih segar dalam ingatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng mengesahkan menerima laporan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sering terjadi kes begini. Budak2 mmg pantang kalu buka pintu, terus meluru keluar. Dah ajal, sbb setiap masa kita waspada, hari yg nak kena tu, kita bole terlupa.

Semuga Allah ganti kesabaran dgn dia menunggu ayah ibunya di syurga.