Gempa bumi dengan ukuran 8.9 pada skala Richter yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac 2011 bukan sahaja mencetuskan tsunami, malah letupan reaktor loji nuklear di Fukushima Daiichi - krisis nuklear yang menyelubungi masyarakat global dengan kebimbangan.
Ribuan mangsa disahkan mati, puluhan ribu orang pula kehilangan berikutan bencana alam tersebut. Seandainya keadaan letupan loji nuklear Fukushima Daiichi semakin kritikal, maka kemudaratannya mungkin lebih ketara daripada malapetaka bencana alam. Impaknya bukan sahaja dirasai populasi Jepun, tetapi rantau ini.
Krisis nuklear di Jepun ini merupakan satu amaran kepada Malaysia, yang berkobar-kobar semangatnya untuk membina loji nuklear.
Tragedi letupan loji nuklear Chernobyl pada 26 April 1986 masih dalam ingatan. Letupan ini telah menyebabkan pencemaran radioaktif, yang mana parasnya bersamaan dengan 200 kali ganda ketika bom atom digugurkan di Hiroshima and Nagasaki.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, International Atomic Energy Agency, WHO, UNDP, Ukraine, kerajaan Belarus dan pertubuhan lain PBB telah melengkapkan satu laporan pada September 2006, bahawa tragedi Chernobyl mengakibatkan kematian 4,000 orang, termasuk 47 orang penyelamat daripada WHO, dan sembilan orang kanak-kanak yang dijangkiti kanser tiroid (Thyroid cancer). Laporan penyiasatan WHO yang diumumkan pada April 2006 pula menunjukkan, mungkin 5,000 orang lagi yang mati di kawasan pencemaran radioaktif (termasuk Ukraine, Belarus, Russia dsb). Dengan kata lain, jumlah kematian manusia mungkin melebihi 9,000 orang.
Pada tahun lalu, media asing melaporkan bahawa Tenaga Nasional Bhd berniat untuk membina sebuah loji nuklear pada tahun 2021. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Peter Chin Fah Kui mengesahkan bahawa kabinet telah meluluskan rancangan untuk membina sebuah loji yang boleh menghasilkan 1,000 megawatt kuasa nuklear, dengan anggaran kos antara RM 6.6 bilion hingga RM13.34 bilion.
Rancangan pembinaan loji nuklear bukan sahaja mengundang kritikan NGO yang berprihatin terhadap isu alam sekitar, malah pakar turut menganggap loji nuklear bukan pilihan Malaysia untuk menyelesaikan masalah bekalan tenaga. Ketua Pegawai Eksekutif The Red Solar Sdn Bhd, Rais Hussin pernah menulis dalam The Edge, memberi amaran bahawa dalam keadaan di mana persediaan yang tidak mencukupi, terutamanya dari segi sumber manusia, keterlibatan Malaysia untuk membina logi nuklear bakal mengundang kesan yang dahsyat.
Selepas krisis nuklear lantaran gempa bumi di Jepun, Presiden City University of Hong Kong, Guo Wei yang juga seorang pakar tenaga nuklear berkata, loji nuklear melibatkan pengurusan kejuruteraan, dan bukan soal fizik. Jadi, unsur "manusia" adalah paling penting. Sistem penyejukan, latihan manusia untuk berdepan dengan pelbagai keadaan, adalah penting dalam soal loji nuklear.
Pandangan kedua-dua pakar ini memperingatkan kita bahawa, seandainya loji nuklear dibina, maka kemampuan untuk menjaga keselamatan loji nuklear adalah perkara yang terpenting.
Sesungguhnya, jikalau lampu hijau diberikan kerajaan, malah Tenaga Nasional sanggup membelanjakan wang, maka secara semulajadinya akan ada kumpulan syarikat yang sudi melabur dalam pembinaan loji nuklear. Lebih-lebih lagi, laporan Kajian Impak Terperinci Alam Sekitar (DEIA) hanyalah rubber stamp untuk meluluskan projek mega. Justeru itu, pembinaan loji nuklear hanyalah soal masa.
Namun demikian, apa yang menjadi kebimbangan rakyat adalah, sejauh manakah kemampuan negara kita untuk mengekalkan keselamatan selepas loji nuklear dibina dan mula beroperasi? Ia bukan hanya melibatkan kepakaran yang boleh dikerah Tenaga Nasional, tetapi juga sama ada kerajaan mampu menyediakan persediaan, sumber dan kecekalan yang mencukupi, untuk memantau penjagaan keselamatan loji nuklear?
Mereka yang tinggal di Malaysia sememangnya mengeluh dengan keberkesanan perkhidmatan kerajaan. Misalnya, hampir setiap tahun kita akan berdepan dengan tragedi kemalangan bas yang meragut puluhan nyawa, dan tragedi ini berkait rapat dengan penguatkuasaan unit pengangkutan awam yang tidak ketat, pemantauan yang tidak berkesan dan sebagainya. Malah, walaupun diswastakan seperti Tenaga Nasional, POS dan Telekom, keberkesanan perkhidmatannya juga tidak begitu memuaskan.
Dalam keadaan sedemikian, kekhuatiran terhadap keselamatan diri kita selepas loji dibina adalah berasas. Adalah menjadi tanda soal sama ada negara kita mampu dari segi kemahirannya untuk menguruskan krisis, seandainya kemalangan berlaku dalam loji nuklear?
Selepas "dasar penswastaan" dilaksanakan Perdana Menteri keempat Mahathir Mohamad sejak tahun 1980-an, tujuan asal penswastaan telah berubah menjadi "perniagaan", iaitu keuntungan dan longgakan kapital didahulukan, sebaliknya perkhidmatan awam dikemudiankan. Dengan kata lain, keuntungan diutamakan dengan menggadaikan kepentingan awam. Misalnya, Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Sungai Selangor - semuanya mencapai matlamat dengan mengorbankan hak kaum asal.
Seandainya kerajaan Barisan Nasional berpandangan jauh, atau masih berhati-perut (walaupun sukar ditemui) - mereka seharusnya mengkaji sedalam-dalamnya projek pembinaan loji nuklear, jangan sehingga rakyat Malaysia dan negara jiran terkorban di bawah kapitalisme. Biar betapa bodohnya politikus sekalipun, mereka akan dapat memikirkan kesan pencemaran nuklear yang bakal memberi impak kepada generasi anak mereka, walaupun mereka mungkin telah terbaring di bawah natu nisan pada ketika itu. -MR
*Lidah Pengarang ini disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal, yang disiarkan pada 16 Mac 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan