24 Feb 2011

Yu Nam Hair Care Diperintah Kembalikan Wang Pelanggan

Gara-gara tidak puas hati kerana dipaksa membayar pakej rawatan rambut untuk kali kedua, seorang bekas Naib Canselor sebuah institusi pengajian tinggi awam akhirnya berjaya mendapat ganti rugi berjumlah RM14,986.

Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM), Datuk Abu Bakar Awang mengarahkan Yu Nam Hair Care membayar ganti rugi kepada bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin dan isterinya, Noor Rohani Mohd. Noor dalam tempoh 14 hari.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pusat itu didakwa mengikut Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan jika disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

Dr. Sulaiman yang kini memegang jawatan Felo Penyelidik Utama, Universiti Putra Malaysia (UPM) memberitahu, kejadian bermula 28 Mei tahun lalu apabila beliau ditawarkan pakej rawatan selama setahun bersamaan 24 kali rawatan di pusat itu dengan harga RM7,800 untuk seorang.

Namun, selepas sesi keempat tidak menunjukkan hasil, beliau diminta menambah bayaran untuk pakej rawatan baru yang berharga RM7,500 pula untuk setiap seorang.

“Saya dan isteri terkejut dengan nasihat yang diberikan oleh pusat itu kerana tidak diberitahu pada peringkat awal rawatan pertama bahawa terdapat kemungkinan salah seorang daripada kami perlu menjalani pakej lain.

“Bagaimanapun, cadangan kami agar pihak Yu Nam meneruskan pakej terdahulu tidak diterima kakitangan mereka sebaliknya mendesak kami membayar pakej rawatan kedua terlebih dahulu,” katanya.

Dr. Sulaiman berkata, selepas berasa tertipu dan dipermainkan dengan saranan kakitangan pusat itu, beliau mula mengemukakan tuntutan di TTPM bagi mendapatkan semula haknya.

“Akibat tidak berpuas hati dengan tindakan itu lalu saya kemukakan tuntutan dan berpuas hati dengan sistem tribunal ini kerana cekap, pantas dan meyakinkan pengguna,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, sebuah syarikat kecantikan terkenal, New York Skin Solution Sdn. Bhd. diarah membayar ganti rugi berjumlah RM518 kepada seorang remaja, Intan Khairunnisha Kamarul Ariffin, 18.

Ibu mangsa, Rohaya Jusoh berkata, sepatutnya anak beliau diberikan rawatan kecantikan secara percuma di pusat kecantikan itu selepas Rohaya mendapat pakej rawatan di situ.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan bahawa pakej percuma itu tidak diberikan sebaliknya dipaksa membuat bayaran walaupun enggan berbuat demikian.

“Selepas rawatan diberikan kepada saya, mereka mendesak bayaran dibuat pula untuk anak saya walhal sebelum ini mereka ada bagi satu tawaran rawatan percuma di atas akaun saya.

“Kami memang kecewa dengan tindakan syarikat itu yang seolah-olah menipu pelanggan dan saya bertekad tidak akan mengunjungi lagi pusat tersebut,” katanya. -UM

4 ulasan:

Amuraria berkata...

Memang banyak terdapat kes-kes penipuan pada para penguna tapi sebab enggan laporkan maka senyap saja ,kini penguna patut lapor dan dedahkan semua yang kena tipu secara 'profesional' oleh syarikat-syarikat kaki kelentong yang hanya mahu kutip keuntungan mudah,syabas untuk penguna !

Awanama berkata...

memang boleh lapor......adakah Yu nam ada share UMNO....jawabnya tak ada..pasal tu menang kes. Cuba kes ada kena mengena dgn UMNo....Fuhh!!! bertahun la jawapnya...silap-silap..senyap aje???

Awanama berkata...

yun nam hair cair...london weight management...new york skin care...satu company induk...memang taktik sama diorg guna utk perdaya pelanggan...jgn percaya....company menipu...

~cAhAyA kEmUL!aAn~ berkata...

bekas canselor sye!!hehe
akceli bkn rmai xlapor kn..
tp mostly yg lapor 2 org bawahan..
kakak sye dh penah kne..
asyk tukar2 pegawai je..
at last trus senyap..
mgkin ade hikmah nye org2 berpangkat kne tipu..
bru la ade tindakan d ambil.. =)