22 Dis 2010

Konstabel Bebas Tuduhan Cabul Inspektor Wanita

Konstabel bebas tuduhan cabul Inspektor wanita

PETALING JAYA: Seorang konstabel polis dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini daripada pertuduhan mencabul kehormatan seorang inspektor wanita yang juga rakan setugasnya, tahun lalu.

Majistret Aishah Hijriah Arshad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yusri Yusof di akhir kes pendakwaan.

Yusri, 35, dituduh menggunakan kekerasan jenayah ke atas inspektor wanita berumur 24 tahun itu dengan niat mencabul kehormatannya di pejabatnya di sini pada 5.35 petang, 26 Mei 2009.

Yusri, yang sebelum ini digantung tugasnya, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Aishah ketika membuat keputusan itu berkata, mahkamah mendapati keterangan mangsa tidak konsisten dengan laporan yang diberikan.

"Terdapat percanggahan keterangan yang diberikan oleh mangsa dalam kes ini kerana berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa menyatakan bahawa dia dipeluk dari arah belakang dan cuba dicium di pipi kanan serta peha kanannya diusap sebanyak dua hingga tiga kali oleh tertuduh.

"Sebaliknya, ketika pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan, mangsa tidak dapat mengesahkan sama ada dia dipeluk atau tertuduh hanya memegang bahunya".
Aishah berkata, mangsa juga dilihat teragak-agak untuk menjawab dan tidak yakin untuk memberi jawapan ketika pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.

Selain itu, keterangan mangsa tanpa keterangan sokongan tidak dapat membuktikan
tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah ke atasnya.

"Tindakan mangsa yang tidak memaklumkan kejadian yang berlaku ke atas dirinya dengan serta-merta dilihat tidak munasabah kerana sebagai pegawai polis, mangsa mempunyai pengetahuan bahawa apa yang terjadi kepada dirinya adalah salah di sisi undang-undang dan mangsa sememangnya ada banyak peluang untuk bercerita masalah yang dihadapi dengan rakan sebiliknya," katanya.

Sepanjang perbicaraan, empat saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Choong Kak Sen manakala tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Laden. - BERNAMA

Tiada ulasan: