27 Jul 2010

Langkah Desperado UMNO BN Sebelum Karam

Langkah benar guru siswazah aktif berpolitik agenda BN hadapi PRU-13?

Penganalisis-penganalisis politik melihat keputusan terbaru kerajaan membenarkan guru — antaranya guru besar dan pengetua — terlibat aktif dalam politik hanya semata-mata untuk mendapatkan semula sokongan golongan tersebut dan juga masyarakat menjelang pilihanraya umum ke-13.

Ini kerana menurut beberapa penganalisis, guru mempunyai pengaruh besar, jadi penglibatan mereka dalam politik boleh digunakan untuk mempengaruhi masyarakat terutamanya ketika pilihan raya umum akan datang.

Pensyarah kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan kerajaan membenarkan guru aktif berpolitik mungkin kerana ingin mendapatkan semula sokongan yang terhakis saban tahun.

“Saya lihat keputusan itu ada kaitan dengan pilihan raya umum kerana apabila guru aktif berpolitik mereka boleh memainkan peranan untuk mempengaruhi masyarakat,” katanya.

“Boleh dikatakan kerajaan (mahu) menggunakan pengaruh guru untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat.

“Ini kerana bagi saya guru mempunyai pengaruh yang besar memandangkan mereka adalah pemimpin dalam sekolah, jadi apabila terlibat dalam politik ia boleh mempengaruhi masyarakat,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Dengan adanya pengaruh guru ini, jelas beliau, secara tidak langsung generasi muda akan mengikut mendokong sama perjuangan guru.

“Sebelum ini pun guru merupakan pejuang asal cuma pada tahun 1990 golongan ini diketepikan selepas golongan korporat terlibat dalan Umno,” ujar beliau.

Pun begitu katanya, apabila kerajaan membenarkan semula guru terlibat dalam politik saya melihat ia satu perkara yang bagus memandangkan selama ini guru memang mendokong perjuangan kerajaan.

“Apabila guru terlibat dalam politik sama ada menyokong kerajaan ataupun pembangkang kerajaan, masyarakat akan melihat perkara ini dan ia boleh mempengaruhi mereka nanti,” katanya.

Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan (gambar) hari ini.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” kata beliau hari ini.

Pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman juga berkata, penglibatan guru dalam politik boleh memainkan peranan dalam mempengaruhi masyarakat.

“Pengaruh guru ini besar, jadi bila dibenarkan semula terlibat dalam politik ia boleh mempengarui masyarakat tempatan.

“Apabila kita benarkan guru bercakap di kampung mereka boleh mempengaruhi masyarakat, jadi bagi saya guru mempunyai pengaruh yang amat besar.

“Walaupun saya tidak tahu apa agenda sebenarnya kerajaan membenarkan guru aktif berpolitik semula tapi ia merupakan satu langkah yang bagus,” katanya.

Selain itu, Nidzamuddin berkata kerajaan juga perlu membenarkan kakitangan kerajaan lain untuk sama-sama aktif dalam politik memandangkan mereka juga sebahagian daripada anggota perkhidmatan awam.

“Jadi timbul persoalan, mengapa mesti guru sahaja? Adakah guru lebih layak?

“Perlu ada satu penjelasan akan perkara ini oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata guru yang ingin terlibat secara aktif perlu mengimbangi soal politik dan juga kerja.

“Secara dekat kita lihat guru ini mempunyai kecenderungan yang berbeza, ada yang sokong kerajaan dan ada pembangkang.

“Jadi adakah guru boleh membezakan soal politik dan kerja? Kita tidak mahu melihat hanya kerana berbeza politik guru berselisih pendapat, bergaduh dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian berkata, keputusan itu dibuat mungkin disebabkan peredaran masa yang memerlukan penglibatan guru dalam politik.

“Penglibatan guru akan membolehkan peningkatan sosial, malah ia selari dengan peredaran suasana politik sekarang.

“Saya tidak melihat ia ada kaitan dengan pilihan raya umum kerana ia lebih kepada keperluan pemimpin dari kalangan guru.

“Ini barangkali guru boleh memainkan peranan sebagai pemimpin sebuah parti politik sama ada kerajaan ataupun pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun beliau menyarankan agar guru yang terlibat dalam politik perlu tahu membezakan antara politik dan juga pekerjaan.

“Ini kerana apabila guru terlibat dalam politik ada positif dan negatif. Yang positifnya guru boleh memainkan peranan besar dalam parti politik.

“Sementara itu, yang negatifnya pula jika guru tidak dapat membezakan antara politik dan kerja ia akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat.

“Jadi bila terlibat dalam politik, setiap guru perlu mengimbangi antara soal politik dan kerja. Jangan sesekali mencampurkannya kerana nanti yang akan menerima kesan adalah sekolah dan juga masyarakat,” katanya.

Justeru Sivamurugam mencadangkan agar ada satu badan pemantauan untuk memantau pergerakan guru yang terlibat dalam politik.

“Pengaruh guru ini amat besar dan ia boleh mempengaruhi anak-anak, pelajar, rakan sebaya dan juga sekolah.

“Jadi kalau tidak ada pemantauan bimbang guru akan menjadikan sekolah sebagai tempat berpolitik dan kita tidak mahu kejadian guru bergaduh sesama sendiri hanya kerana mempunyai idealogi politik berbeza,” katanya. -TMI


Gantung tak bertali permit SK dan Roket:
Bukti kerajaan UMNO-BN tak selamat


1. Tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan permit Suara Keadilan dan Roket dapat difahami sebagai kebimbangan kritikal UMNO-BN menghadapi kebangkitan rakyat yang kian tegar mempersoalkan dasar-dasar kerajaan muktahir ini.

2. Jika UMNO-BN dalam keadaan kuat, stabil dan selamat, maka sudah tentu penahanan, penafian hak dan penggantungan permit dua lidah rasmi Keadilan dan DAP itu tidak dilakukan, sebaliknya ia akan diberi seperti biasa.

3. Ini kerana, tindakan tidak popular itu hanya memburukkan imej UMNO-BN yang menguasai kerajaan dan sekaligus mengesahkan sikap tidak demokratik mereka terhadap kebebasan bersuara dan bermaklumat di negara ini.

4. Mengapa UMNO-BN sanggup merosakkan imejnya, mencalar kepercayaan rakyat jika tidak kerana mereka benar-benar dalam keadaan terdesak untuk mempertahan kuasa yang kian tergugat akibat lambakan maklumat berani, telus dan bersifat reformasi.

5. KAMI yakin, kekangan terhadap media cetak sejak muktahir ini terpaksa dilakukan oleh kerajaan UMNO-BN sebagai langkah mengurangkan fakta tepat kepada rakyat, khususnya yang berkaitan isu-isu politik yang boleh menikam dan menghakis pengaruh UMNO-BN.

6. Sebagai persediaan nekad menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, dan mempertahankan kuasa yang sedia ada, demi untuk merampas kembali Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta Kelantan yang terlepas ke tangan Pakatan Rakyat, maka sudah tentulah kerajaan UMNO-BN terpaksa bertindak 'membunuh' suara rakyat melalui dua lidah rasmi ini, kerana ia menjadi perhatian rakyat.

7. Mustahil jika Suara Keadilan dan Roket tidak berbisa, permitnya ditahan. Ini tidak bermakna kelulusan permit lidah rasmi PAS, Harakah menjadi petunjuk keadilan dan sikap profesional KDN. Sebaliknya amaran keras, larangan dijual di premis awam serta arahan dibesarkan perkataan "Hanya Untuk Ahli Sahaja" pada maskhead akhbar itu jelas kekangan melampau yang tidak wajar wujud dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

8. KAMI terus mendesak agar KDN menghormati hak kebebasan bersuara, sistem demokrasi berparlimen dan menghormati kebijakan bermaklumat dengan mengembalikan semula kedua-dua permit Suara Keadilan dan Roket kepada parti-parti berkenaan, sebagai lidah rasmi dan menarik semula amaran keras yang tidak munasabah yang dikenakan ke atas Harakah.

9. Sebagai lidah rasmi parti, dan bukannya akhbar komersial adalah amat tidak wajar sama sekali KDN menafikan hak-hak warga negara ini dalam menegaskan suara mereka. Tindakan tidak memberikan permit bermakna kerajaan 'menggam' mulut rakyat, memaku minda dan mengganyang rakyat dengan dipaksa menerima maklumat sebelah pihak.

10. Berbanding penguasaan UMNO-BN terhadap media tradisi seperti RTM, TV3, NTV7, NTV9, Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, News Strais Times, beberapa akhbar berbahasa Cina dan India; kekangan KDN terhadap Suara Keadilan, Roket dan Harakah boleh digambarkan sebagai tindakan tegar dari emosi takut, bimbang dan risau kerajaan UMNO-BN hilangnya segenggam kuasa yang membuktikan kekayaan kepada pemimpin dan kroni, yang memayahkan rakyat dan yang memayungi kezaliman.

*Kenyataan oleh Tarmizi Mohd Jam selaku Setiausaha Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI).

3 ulasan:

AKU berkata...

Guru yang sedia ada yang dok terlibat dgn politik pun tak dapat dikawal dengan berkesan, apatah lagi selepas ni guru besar atau pengetua yang terlibat, maka akan cacar merba lagi institusi pendidikan. Kebanyakan yang terlibat kini dah pun (terutama yang menyokong BN) mengkhianati profession mereka, lepas ni entah apa yang nak jadi dengan profession perguruan. Tengoklah nanti adakah guru ni sokong kerajaan atau pembangkang? AKU rasa Datuk PM lebih memahaminya.

kembara putih berkata...

Lepas ni janganlah dihukum guru2 yang menyokong pembangkang, jangan dibuang daerah ke pendalaman Sabah dan Sarawak.

Awanama berkata...

hanya nak perkudakan guru, guru mana ada wang nak berpolitik macam koperat?