24 Jun 2010

Zamihan Wajar Dikenakan Tindakan

Zamihan: Saya hanya ‘bangkit’ nama Asri, tiga lain tidak

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia, Zamihan Mat Zin hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan nama dua pemimpin politik termasuk Presiden PAS dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman Isnin lalu berdasarkan tulisan beliau selama ini.

“Dakwaan itu adalah satu pembohongan, dusta dan khianat,” kata Zamihan.

“Saya tidak pernah menyentuh ketiga-tiga tokoh itu mempunyai kaitan kecuali Asri, itupun berdasarkan analisis daripada buku-bukunya yang dilihat mempunyai pemikiran yang sama dengan JI,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini.

The Malaysian Insider difahamkan selain Asri, Zamihan turut mengaitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan JI.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana boleh berlaku “kebocoran” perbincangan sesi taklimat itu sedangkan ia adalah sulit dan menyifatkan dakwaan itu sebagai rekaan untuk menimbulkan salah faham.

“Taklimat itu adalah sulit. Mengapa ada pihak yang membocorkan maklumat itu? Dalam taklimat itu saya hanya bercakap mengenai fahaman pelampau dan penyebarannya di Institut Pengajian Tinggi.

“Saya percaya ia adalah usaha-usaha pihak tertentu yang sengaja menyebarkan fitnah untuk menimbulkan salah faham,” katanya.

Ahli-ahli Parlimen PAS juga mencabar kerajaan mendedahkan bukti bagi mengaitkan beliau dengan JI.

Oleh itu katanya beliau bercadang untuk membuat laporan polis untuk menyiasat individu yang membocorkan maklumat itu serta menyebarkan dakwaan palsu.

Sehubungan itu Zamihan memberitahu beliau bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan keempat-empat tokoh itu bagi menjelaskan perkara yang sebenarnya.

“Saya sedia untuk membuat penjelasan kerana ia bukan sahaja mencemarkan imej saya tetapi juga mereka.

“Buat apa saya hendak takut kalau saya tidak buat,” katanya lagi.

Laporan media menyebut nama Shahidan, Hadi Awang serta bekas mufti Perlis dan mufti semasa negeri itu dikaitkan dengan JI dan fahaman wahabi pada satu taklimat pihak berkuasa Isnin lalu.

Bagaimanapun dakwaan itu dipertikaikan oleh Asri dan mufti Perlis Dr Juanda Jaya sambil menegaskan, pendedahan wujudnya peranan JI sambil dikaitkan dengan tokoh-tokoh tokoh politik kemungkinan besar merupakan “mainan politik kotor kerajaan” untuk mengalih isu semasa.

“Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

“Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu,” kata dua pemimpin berkenaan dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi semalam.

Asri merupakan bekas mufti Perlis dan tempatnya digantikan oleh Juanda.

Asri dan Juanda menambah, buktinya laporan media yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI Isnin lalu telah didakwa bahawa nama kedua-dua mereka bersama Hadi dan Shahidan serta ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

“Demikian dikaitkan pertubuhan JIM dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah,” kata Asri dan Juanda dalam kenyataan bersama.

Presiden Jamaah Islam Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin juga menyelar dengan berkata “apa bukti JIM terlibat dengan JI?”

“Adakah Zamihan ada bukti mengatakan JIM mempunyai kaitan? Jika ada, buktikan kepada semua.

“Jangan sesuka hati lemparkan tuduhan-tuduhan yang liar seperti jika tiada bukti,” kata Zaid kepada The Malaysian Insider semalam.

Malah, Shahidan juga mempertikaikan tindakan Zamihan mengaitkan nama beliau dengan wahabi dan JI.


JI Akan Letupkan Rumah Ibadat - Hasil Risikan

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata penahanan 10 anggota Jemaah Islamiah (JI) awal tahun ini adalah hasil maklumat bahawa kumpulan itu akan meletupkan tempat ibadat bukan Islam di Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata kumpulan yang diketuai oleh lelaki Syria bernama Ayman serta lapan lagi warga asing dan seorang rakyat tempatan itu ditahan di Sungai Cincin, Gombak pada 21 Jan tahun ini.

Katanya, daripada yang ditahan itu, didapati lima daripadanya adalah pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

"Kesemua mereka adalah pendakwah bebas dan penyokong kuat kepada Ayman iaitu ketua kepada kumpulan ini. Warga tempatan itu didapati telah berkenalan dengan Ayman semasa beliau belajar di Pakistan.

"Apa yang diketahui, peranan Ayman selain menjadi ketua kepada kumpulan tersebut, beliau juga merupakan tenaga pengajar bagi kumpulan Al-Qaeda di mana beliau berperanan untuk melatih (rekrut) pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan anggota Parlimen Pokok Sena daripada PAS Datuk Mahfuz Omar yang mencelah ketika beliau menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini.

Mahfuz dalam soalannya mempersoalkan kandungan taklimat keselamatan yang diberikan polis mengenai wujudnya kumpulan pengganas kepada Naib-Naib Canselor universiti dan wakil Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini yang didakwanya tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mengaitkan bahawa wujudnya sarang pengganas di IPT.

Beliau juga mendakwa bahawa pada sesi taklimat tersebut gambar Anggota Parlimen Marang dari PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya turut ditayangkan seolah mengaitkan fahaman wahabi dengan JI.


Dalam pada itu, Abu Seman berkata Ayman berada di negara ini bertujuan untuk mendapatkan potensi di kalangan pelajar yang boleh dijadikan sebagai kumpulan militan.

"Mereka kemudiannya akan dihantar ke negara ketiga untuk dilatih bagi berjihad," katanya.

Beliau berkata penahanan 10 anggota JI itu perlu dilakukan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara.

Pada 14 Jun lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mendedahkan seramai 10 individu warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan ekstremis JI sejak awal tahun ini.

Dalam pendedahan itu, Musa berkata ke semua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dihantar pulang ke negara asal mereka untuk tindakan undang-undang.

Sementara itu, menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Khalid Abd Samad (PAS-Shah Alam) yang pada sesi perbahasan RMK-10 yang meminta kementerian mendedahkan tindakan yang diambil polis bagi mengawal fahaman tertentu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), Abu Seman berkata KDN dan polis telah merangka tindakan bersepadu dengan agensi berkaitan untuk tangani isu keselamatan yang wujud di IPTA dan IPTS.

Agensi-agensi yang terbabit ialah Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri.

-- BERNAMA


Ulasan GB

1) Isu pertelagahan Zamihan dan Dr.Asri telah lama diketahui umum. Zamihan menggunakan kedudukannya di JAKIM untuk menyerang Dr.Asri dengan mengkaitkannya dengan fahaman 'wahabi' yang kebetulan fahaman ini diikuti oleh puak terroris.

GB bukan dari kalangan wahabi, tetapi di dalam kes ini, GB menyokong Dr.Asri kerana pegangan Dr.Asri apabil dilihat dari perspektif syariat, lebih menepati kebenaran. Matan dari pegangannya, segala sesuatu yang diamalkan di dunia hendaklah besandarkan kepada hadith yang sahih.

Proses keislaman di negara ini belum syumul, lantarannya GB akui masih banyak "bidaah" yang berlaku yang jika dibiarkan akan menjadikan umat berada di dalam kesesatan yang nyata.

Di sinilah peranan apa yang digelar oleh Dr.Asri sebagai "kaum muda". Mendidik, menerang dan menunjukkan kepada masyarakat apa yang dimaksudkan kembali kepada pegangan Islam yang murni tanpa dicemari dengan unsur bidaah.

Namun usaha itu tidak mudah kerana akar budaya yang mengikat masyarakat Islam sukar untuk mengelakkan dari wujudnya perkara yang tidak diamalkan oleh Rasulullah contohnya perayaan Maulud Nabi. Kelantan di bawah pimpinan TGNA tidak mengadakan sambutan Maulud Nabi, apakah TGNA berfahaman wahabi lantarannya? Tentu sekali tidak, tetapi "kebenaran" itulah yang diutamakan oleh agama dan itulah yang dilakukan oleh TGNA.

Zamihan melihat hanya unsur radikalisme semata-mata di dalam pegangan Dr Asri sehingga mengabaikan kebenarannya.

Pegangan Zamihan adalah pegangan UMNO. Apa saja peninggalan datuk nenek moyang diterima sekalipun sesat, sekalipun bidaah, sekalipun tidak bersandar kepada nas yang sahih.

Itu sebab hal-hal bidaah banyak berlaku di dalam upacara-ucapara kerajaan UMNO seperti tepung tawar, mencium keris, meletak bunga di tugu peringatan, sambutan maulud Nabi besar-besaran tetapi pada masa yang sama meninggalkan ajarannya seperti meluluskan lesen judi dan seumpamanya.

2) Zamihan menanya "bagaimana boleh berlaku “kebocoran” perbincangan sesi taklimat itu sedangkan ia adalah sulit dan menyifatkan dakwaan itu sebagai rekaan untuk menimbulkan salah faham.

Persoalannya: pertama, mengapa sesi itu diadakan secara sulit? Dan kedua, jika dakwaan itu rekaan semata-mata ia bererti ia tidak terkandung di dalam taklimat berkenaan. Justeru itu mengapa Zamihan menyatakan ada kebocoran?

Jika beliau tidak takut sepertimana dakwaannya, perbincangan itu tidak perlu sulit. Kedua jika berlaku kebocoran mengikut dakwaannya, bererti apa yang bocor itu memang ada dari pertemuan yang dianggapkan sulit itu. Jika tidak apa yang bocor?

3) Bagi PAS yang berpegang kepada ahli Sunnah wal-Jamaah, kita mengikut apa yang benar kerana kebenaran itu lebih berhak untuk dipatuhi dan diikuti. Ertinya apabila hujjah dikemukakan berpandukan kepada nas aqli dan naqli, itulah ikutan kita. Bidaah memang banyak diamalkan oleh masyarakat kita termasuk di kalangan ahli PAS sendiri, namun proses memurnikan perjuangan menuntut kita untuk "perbaiki dirimu dan serulah orang lain".

4) Jika Zamihan menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan nama dua pemimpin politik termasuk Presiden PAS dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI), siapa pula pihak ketiga yang melakukannya? Mesti ada. Kita nampak UMNO di belakangnya. Apa tujuannya? Dah terjawab di SINI.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

serban saja besar, tapi otak kecil, saudara seagama dijadikan musuh.... yahudi di bela....