21 Mac 2010

4 Anggota Tentera Bawa Remaja Perempuan Kemalangan Di Ampang

Seorang wanita maut manakala empat lelaki termasuk tiga anggota tentera parah dalam satu kemalangan di KM 22 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2) dekat susur Bukit Antarabangsa, Ampang, Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, kereta Proton Iswara yang dinaiki Nurul Adibah Mohammed Hazim, 19, bersama tiga rakannya yang merupakan anggota tentera terbabas sebelum melambung dan menghempap sebuah kereta Proton Waja di laluan bertentangan.

Ketua Trafik Ampang Jaya DSP Nordin Mahmood berkata wanita itu yang berasal dari Alor Gajah, Melaka mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas tercampak keluar kira-kira 10 meter dari kenderaannya.

"Proton Iswara yang dinaiki mereka sedang dalam perjalanan dari arah Gombak menghala ke selatan sebelum hilang kawalan dipercayai akibat dipandu laju dan melanggar pembahagi jalan lalu melambung ke laluan sebelah.

"Kereta mereka kemudiannya menghempap Proton Waja yang dipandu seorang lelaki yang turut cedera parah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Katanya mayat Nurul Adibah dibawa ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat manakala empat yang cedera parah turut dikejarkan ke hospital yang sama. -- BERNAMA



Tiada ulasan: