29 Dis 2009

TG Nik Aziz Diasak Lagi Oleh Pihak Berkepentingan

Desas-desus menyatakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangaka mengumumkan rombakan Pejabat Mentri Besar Kelantan hari ini membabitkan dua pegawai kanannya bertiup kencang di seluruh negara semenjak ianya mula didedahkan oleh blogger Penarik-beca.

Notis menggugurkan setiausaha akhbar dan setiausaha politik beliau sudah dikeluarkan hari ini. Ia dijangka akan diketahui secara rasmi apabila Dewan Harian Perhubungan PAS, yang akan dipengerusikan oleh Nik Aziz, mengadakan mesyuaratnya har ini.

Kelmarin, setiausaha politik Nik Aziz, Anual Bakhri Haron dan setiausaha akhbar Mohd Saiba Yaakub menafikan pihaknya ada menerima makluman berkaitan perubahan kedudukan mereka, Malaysian Insider melaporkan.

Laporan-laporan blog semalam menyebut mereka akan digantikan mulai Jumaat ini. Bagaimanapun notis penggantian mereka akan berkuat kuasa awal Februari, kata sumber.

Dalam pada itu, Setiausaha PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim ketika dihubungi memberitahu beliau ada mendengar perkara tersebut tetapi tidak “melihatnya secara hitam putih.”

“Kalau benar, kemungkinan Tok Guru akan mengumumkan apabila diadakan mesyuarat Dewan Harian, yang kita adakan setiap Selasa,” katanya.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Kelaboran ini menambah, jika tindakan itu menjadi kenyataan ia merupakan perkara biasa.

“Bukan sesuatu yang luar biasa. Selaku Mentri Besar, Tok Guru ada bidang kuasa untuk menukar dan menggantikan pegawai-pegawainya... bukan sesuatu yang pelik,” kata beliau lagi.

Menteri Besar Kelantan disebut-sebut akan membuat rombakan pentadbiran kerajaan negeri untuk mengharungi cabaran tahun 2010 ekoran beberapa isu kontroversi sejak kebelakangan ini.

Keputusan menggugurkan beliau dikaitkan dengan perkembangan pentadbiran negeri itu termasuk isu menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang didesak melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Mentri Besar Kelantan (PMBK).

Ariffahmi akan meninggalkan PMBK Mac depan.

Laporan blog-blog juga mendakwa keputusan menggantikan Anual berkait dengan hubungan beliau dengan Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa.

Bagaimanapun kebenaran itu menjadi tanda tanya memandangkan Husam juga mempunyai hubungan rapat dengan Nik Aziz.

Anual pernah didakwa oleh anak Nik Aziz sebagai antara pegawai yang memberikan nasihat yang salah kepada Mursyidul Am PAS itu dan cuba melaga-lagakan beliau dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Semntara itu Husam telah menjwab secara halus di sini.

TERKINI


Digugur: 2 setiausaha MB ambil sikap tunggu dan lihat

Jangkaan Pejabat Menteri Besar Kelantan akan membuat rombakan terhadap struktur organisasinya membabitkan dua pegawai kanan masih menjadi teka-teki.

The Malaysian Insider difahamkan dua pegawai tersebut ialah setiausaha politik Menteri Besar, Annual Bakhri Haron dan setiausaha akhbarnya, Mohd Saiba Yaakub.

Semalam desas-desus ada mengatakan kononnya notis pengguguran terhadap dua pegawai berkenaan telah dikeluarkan.

Annual Bakhri semasa dihubungi sebentar tadi tidak menafikan maklumat yang berupa khabar angin itu, namun enggan mengulas lanjut.

“Biar dulu, saya sendiri belum ada (terima) hitam putih perkara itu. Saya cuma dengar perkara itu akan dibincang dalam mesyuarat Dewan Harian petang ini. Jadi, apa pun biar dulu.

“Saya tak mahu mendahului sebarang keputusan dan kenyataan. Sesuatu perkara itu segalanya mungkin. Untuk lebih specifik dan saintifik lebih baik tunggu sehingga ianya ada hitam putih,” katanya.

Annual Bakhri berkhidmat sebagai setiausaha politik Menteri Besar selama lebih 10 tahun.

Pada masa sama Mohd Saiba turut menafikan notis tersebut.

“Setakat ini tidak ada lagi. Kontrak saya akan tamat pada 2 Feb,” kata beliau yang telah berkhidmat di pejabat Menteri Besar itu selama lapan tahun.

Sehubungan itu baginya rombakan organisasi dalam satu-satu jabatan adalah perkara biasa.

“Bahkan mungkin lebih baik. Dan bagi saya, jika benar ia berlaku ke atas saya, saya boleh katakan bak kata pepatah “pucuk dicita ulam mendatang”,” katanya yang sudah sekian lama berhasrat untuk menyambung pengajian.

Menurut sumber, walaupun belum jelas namun perkara itu sudahpun menjadi bahan percakapan sekeliling bermula sejak semalam lagi.

Sementara itu Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim semasa ditemui lewat malam tadi berkata belum ada maklumat rasmi berhubung perkara tersebut.

“Saya pun juga sekadar mendengar khabar angin saja. Pengesahan hitam putih dari tok guru tidak ada lagi,” katanya.

Menjawab spekulasi kononnya notis bersabit perkara berkenaan sudah pun dikeluarkan, beliau berkata sekiranya benar Menteri Besar akan bincang pada mesyuarat mingguan parti yang akan diadakan hari ini.

Mesyuarat mingguan parti dikenali dengan mesyuarat Dewan Harian diadakan setiap Selasa di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10.

Sehubungan itu beliau yang juga selaku Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menafi rombakan itu ada kaitan dengan beberapa siri krisis yang melanda pentadbiran kerajaan negeri sejak kebelakangan ini.

“Tidak. Jika benar berlakunya rombakan ia hanya secara kebetulan, tidak ada kaitan langsung dengan krisis PMBK atau sebagainya. Mungkin kebetulan kontrak pegawai tersebut telah tamat.

“Dan tok guru merasai mungkin perlu ada perubahan di pejabatnya,” katanya turut menegaskan masalah berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Menteri Besar.

Krisis PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan) dianggap kontroversi berprestij dalam pentadbiran kerajaan negeri ekoran melibatkan menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abdul Rahmah yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif September lalu.

Susulan krisis berkenaan Ariffahmi didesak supaya meletakkan jawatannya.

Sebelum ini Nik Aziz pernah membuat kenyataan tiada rombakan terhadap barisan exco kerajaan negeri sebaliknya jika berlaku pertukaran di kalangan pegawai kerajaan adalah perkara biasa di dalam sesebuah organisasi. - Mohd Zuharman (MI)

Tiada ulasan: