
Dalam kejadian kira-kira 2.10 petang tadi, lebih 40 tembakan gas pemedih mata dilepaskan ke atas kumpulan itu yang cuba bergerak ke Istana Negara.

Perhimpunan sejak jam 10 pagi tadi, menjadi tegang apabila sekumpulan lebih 1,000 orang penentang dasar itu berjaya melepasi sekatan polis dan bergerak melalui jejantas depan masjid menuju ke Kampung Attap, dekat istana.
Polis kemudian bertindak melepaskan gas pemedih mata ke atas kumpulan terbabit untuk menyuraikan mereka namun, mereka berpecah kepada dua kumpulan dan meneruskan perarakan ke istana.
Tembakan gas pemedih mata juga kelihatan di lebuh raya tersebut, dekat jejantas di atas Jalan Syed Putra.

Walaupun kelihatan asap gas pemedih mata berkepul-kepul di udara, barisan peserta perhimpunan menentang PPSMI terus bergerak ke depan, dengan harapan dapat menuju Istana Negara.
Mereka bersurai seketika tetapi sebahagian kecil terus berdegil dan cuba berarak semula ke Istana Negara. Mereka terus dihalang dan akhirnya bersurai.

Bagaimanapun, keadaan kembali tenang selepas memorandum bantahan dasar itu disampaikan oleh Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk A Samad Said dan pengerusinya, Datuk Dr Hassan Ahmad kepada Penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang.

Perhimpunan membantah dasar itu dibenarkan oleh pihak polis di buat di perkarangan Masjid Negara, tetapi polis melarang sebarang perarakan ke istana dan juga perhimpunan di dua lagi lokasi yang dirancang, iaitu Pasar Seni dan kompleks membeli-belah Sogo.
Demonstrasi anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) itu turut disertai beberapa pemimpin pakatan rakyat, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
1 ulasan:
ada nampak mukhriz anak mahafiraun ? khairy menantu badawi ada datang tak ? wak toyo ?
Catat Ulasan