10 Mei 2010

Saiful Akui Ada Bertemu Najib Sebelum Membuat Laporan Polis

PM dituduh rancang dakwa Anwar liwat

Para peguambela ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berusaha untuk mengaitkan perdana menteri dalam konspirasi untuk menjatuhkan Anwar dengan tuduhan meliwat seorang bekas pembantu lelakinya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengakui bertemu pembantu ketua umum PKR itu - Saiful Bukhari Azlan, selepas dia berkata diliwat oleh Anwar tetapi sebelum satu aduan polis dibuat pada Jun 2008.

Najib juga menafikan campurtangan dalam kes tersebut.

Saiful memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia bertemu Najib pada 24 Jun - dua hari sebelum kenyataannya bahawa Anwar telah meliwatnya - satu jenayah di negara Islam - dan empat hari sebelum dia berjumpa polis.

Saiful memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia telah menceritakan kepada Najib masalah yang dihadapinya.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan apakah masalah yang dihadapinya ketika itu.

Saiful memberitahu demikian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan tuduhan liwat terhadap Anwar.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, di sebuah pangsapuri di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dihukum 20 tahun penjara - hukuman yang sekaligus akan menamatkan karier politik ketua pembangkang ini yang telah berjaya menyatukan pembangkang untuk menafikan BN penguasaan dua pertiga BN di parlimen selepas pilihan raya umum 2008.

Anwar telah disabitkan dengan kesalahan liwat pada 2000, di samping hukuman atas kesalahan salahguna kuasa sebelumnya - selepas beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri semasa kemuncak krisis kewangan Asia pada 1998.

Sabitan bagi tuduhan liwat itu dikecam secara meluas kerana didakwa tidak adil dan ianya kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Berikutan itu, Anwar layak bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh selepas pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan prestasi terburuk BN, termasuk hilang kuasa di lima negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Manakala PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dengan tambahan kerusi.

Bagaimanapun, Perak jatuh kembali ke tangan BN selepas tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat bertindak keluar parti dan menyokong BN.

Najib merupakan timbalan perdana menteri ketika Anwar berdepan dengan tuduhan liwat itu dan mengambil alih teraju pentadbiran negara pada April tahun lalu, dengan ikrar untuk meliberalisasikan ekonomi dan menangani ketegangan kaum antara kaum Melayu, Cina dan India.

"Perdana menteri terbabit. Terdapat konspirasi politik untuk menyingkirkan Anwar," kata peguam Karpal Singh di mahkamah hari ini.

Karpal juga mencabar dakwaan Saiful yang dia diliwat, dengan menegaskan bahawa ia tidak disokong oleh satu laporan perubatan.

Perbicaraan kes liwat terhadap Anwar dijadual berterusan hingga Ogos depan. - Reuters/mk

Ulasan GB

Ternyata Najib berdusta yang mana sebelum ini Najib menafikan ada bertemu dengan Saiful. Kemudian Najib mengubah pengakuannya menyatakan beliau ada bertemu Saiful, tetapi kononnya untuk membincangkan hal biasiswa bagi Saiful. Sedangkan hari ini terang-terangan Saiful mengaku di mahkamah bahawa beliau bertemu Najib pada 24 Jun - dua hari sebelum kenyataannya bahawa Anwar telah meliwatnya.



Kes Aminulrasyid: Seorang Koperal Didakwa Hari Ini

Seorang anggota polis, Koperal Jenain Subi hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menyebabkan kematian Aminulrashid Amzah, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak pada 26 April lalu.

Jenain dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Aminulrashid pada 26 April antara jam 1.10 pagi hingga 2.00 pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 Shah Alam membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

"Bahawa kamu pada 26 April jam antara 1.10 pagi dan 2.00 pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 dalam Bandaraya Shah Alam di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah melakukan perbuatan ynag menyebabkan kematian Aminulrasyid bin Amzah (NO KP 950815-10-6869) dengan niat hendak menyebabkan kematian dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahab mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Jika didapati bersalah, kamu boleh dihukum dengan penjara hingga tempoh tiga puluh tahun dan bolehlah juga dikenakan denda.”

Tertuduh berasal dari Sabah, adalah anak sulung daripada 7 beradik dan mula menyertai PDRM sejak 1985.

Dia dibawa ke perkarangan kompleks mahkamah ini kira-kira jam 11 pagi dengan diiringi sepasukan anggota polis

Kes ini mendapat tumpuan ramai berikutan mangsa baru berusia 15 tahun dan kematiannya yang disebabkan tembakan oleh anggota polis, mendapat kecaman pelbagai pihak yang bersimpati kepada keluarga mangsa.

Dalam kamar mahkamah, Timbalan Pendakwa raya, Mohammad Dusuki Mokhtar mencadangkan jumlah jamnan 35 ribu dengan seorang penjamin tetapi dibantah peguam bela, Salim Bashir yang meminta jumlahnya dikurangkan kepada RM7,000 atau RM8,000.

Menyatakan gaji anak guamnya dengan pangkat koperal sekitar RM3,000, Salim Bashir memberi alasan, tertuduh tidak berkemampuan kerana menanggung seorang isteri dan empat anak yang masih kecil.

Hakim M Gunalan kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes berkenaan disebut semula 10 Jun ini.

Aminulrasyid, remaja berusia 15 tahun mati ditembak pada 26 April lalu ketika dikejar peronda polis yang kemudian melepaskan empat tembakan dan satu daripadanya mengenai kepala mangsa.

Rakannya, Azamuddin Omar yang sebaya dengannya, terselamat apabila sempat melarikan diri dan kini menjadi saksi utama kes yang mendapat tumpuan dan kecaman segenap lapisan masyarakat.

Karpal : Jika Tiada Konspirasi, Kenapa Pendakwa Raya Takut Serahkan Senarai Saksi?

Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim disambung hari ini, selepas tiga bulan ditangguhkan, dengan peguambela Karpal Singh menuntut senarai saksi.

Karpal Singh mahu mahkamah memastikan mereka mendapat senarai saksi sebelum bermula sesi soalsiasat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau berkata, pihak pembela perlu tahu sama ada saksi mereka mungkin turut ada dalam senarai saksi pendakwa.

Namun, Peguamcara Negara 11 dan ketua pasukan pendakwa, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin berkata beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan supaya tidak menyerahkan senarai tersebut, dengan berkata senarai saksi itu "mungkin" diberikan diakhir pendakwaan.

Mohd Yusof berkata beliau tidak nampak hubungan antara soal-balas dengan senarai saksi.

Menurutnya lagi, daripada keterangan Saiful, pihak pembela sudah boleh mengagak siapakah saksi-saksi berkenaan.

Karpal, bagaimanapun, berkata beliau mahu mahkamah menggunakan kuasanya mengikut Seksyen 56 Kanun Prosedur Jenayah untuk memaksa senarai saksi itu diserahkan.

Karpal juga mengadu tidak mendapat nota keterangan.

Karpal bertanya mengapa pihak pendakwa begitu takut untuk menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembela.

Katanya, jika tiada sebarang konspirasi untuk menjatuhkan Anwar, maka pihak pendakwa sepatutnya menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembela.



Mahkamah Khas Ditangguh Dengar Habeas Corpus Sultan Kelantan

Mahkamah Khas pagi ini memutuskan untuk menangguhkan prosiding mendengar permohonan habeas corpus berhubung isu Sultan Kelantan kerana tidak cukup kuorum.

Mahkamah Khas yang terdiri daripada lima anggota panel dijadual untuk mendengar kes itu pukul 9 pagi ini.

Permohonan itu difailkan oleh Tengku Temenggong bagi pihak Sultan Kelantan pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail juga meminta penangguhan kerana belum berpeluang memfailkan afidavit balas terhadap permohonan Sultan Kelantan.

Jumaat lalu, peguam yang mewakili Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan, di mana baginda menerima rawatan sejak Selasa lalu.

Baginda telah dibenarkan keluar HUSM petang semalam.

Writ itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Khas di sini menerusi tetuan JS Pillay & Mohd Haaziq.

Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong KelantanTengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail, putera ketiga Sultan.

Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.

Writ itu menamakan lima responden iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Ketua Pengarah Kesihatan dan kerajaan Malaysia.

Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda.

Panel anggota Mahkamah Khas terdiri daripada Ketua Hakim Negara, dua Hakim Besar Malaya dan Sabah dan Sarawak, dan dua lagi dari Mahkamah Persekutuan yang dilantik oleh Majlis Raja-raja Melayu

Sibu, Jom Ubah!

Calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu, Richard Wong Ho Leng menyifatkan kerajaan Barisan Nasional terutamanya Umno tidak mampu dan tidak akan berubah sampai bila-bila.

Menurutnya, Barisan Nasional khususnya Umno sejak Tsunami Politik pada 8 Mac 2008 sehingga kini berterusan memainkan isu perkauman untuk tujuan politik sempit mereka.

“Dalam dua tahun ini, Pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional terus menyemarakkan api perkauman dan ini membuktikan bahwa mereka tidak mampu dan tidak akan berubah,” katanya sambil memberi contoh berhubung isu perarakan kepala Lembu yang dilakukan oleh pemuda Umno di Shah Alam beberapa bulan lalu.

Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek turut memberitahu, kerajaan Barisan Nasional khususnya di Sarawak gagal menguruskan negeri itu dengan baik walaupun sumber-sumber alam di Bumi Kenyalang amat banyak.

“Keperluan rakyat jelata semakin susah dengan peningkatan harga barangan keperluan harian (yang) semakin naik dan pada masa yang sama, BN akan terus menindas rakyat serta mengeksploitasi sumber-sumber alam di negara ini untuk kepentingan diri.

Negeri Sarawak sangat kaya dengan sumber alam, tetapi kerajaan BN yang selama ini di bawah pemerintahan Zalim Taib Mahmud telah menjadikan Sarawak negeri yang termiskin di Malaysia,” tegasnya yang menetap di Sibu sejak 50 tahun lalu.

Wong yang juga Ketua Pakatan Rakyat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sarawak turut menyelar kerajaan Barisan Nasional yang gagal menyediakan peluang pekerjaan di negeri itu termasuklah pemuda dalam Parlimen Sibu.

“Ketidakcekapan kerajaan BN mentadbir negeri Sarawak telah menyebabkan para pemuda meninggalkan Bandar Sibu untuk mencari pekerjaan di luar Sarawak termasuklah terpaksa perhi ke negara Singapura.

Ini sesuatu yang tidak diingini oleh Rakyat Sarawak,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, PRK Sibu amat penting kepada kebangkitan rakyat ke arah masa depan yang lebih baik di bawah teraju Pakatan Rakyat kelak.

“PRK Sibu sangat penting kerana ia akan menetukan samada rakyat akan terus menderita di bawah pemerintahan zalim dan korup BN, atau rakyat mampu bangkit dan menikmati masa depan yang lebih sempurna.

Jom Ubah, Sibu mesti menerajui perubahan,” katanya yang juga Pengerusi DAP negeri Sarawak.

Sibu Jom Ubah -erapakatan


Pakatan Rakyat Lancar Agenda "Sibu, Jom Ubah"

SIBU 9 Mei - Pakatan Rakyat yang memasuki hari kedua kempen pilihan raya kecil Sibu melancarkan manifesto yang akan memberi penjelasan mengenai pelbagai isu dan program yang bakal dilaksanakan begi memenhi kebajikan dan pembangunan penduduk Sibu.

Manifesto yang bertemkan 'Sibu, Jom Ubah' melakarkan agenda yang bakal dilaksanakan oleh calon Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng sekiranya beliau dipilih mewakili rakyat Sibu di Parlimen 16 Mei depan.

"Saya hari ini melancarkan menifesto ataupun agenda pada PRK kali ini, temanya adalah amat bertepatan dengan kehendak rakyat sekarang.

"Pemerintahan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah lebih tiga puluh tahun dan sekarang sudah tiba masanya untuk kita mengambil alih mandat daripada Taib dan keluarganya serta kita mulakan era baru reformasi dan pemulihan semula.

"DAP dan Pakatan Rakyat berjuang untuk pentadbiran yang lebik baik, rekod pemerintahan Taib dan Barisan Nasional menunjukkan pentadbiran yang buruk. Keluarga Taib melalui Cahaya Mata Sarawak (CMS) menguasai kebanyakan kontrak dan perniagaan yang menghasilkan keuntungan lumayan manakala rakyat terus dibebankan dengan kemiskinan dan peniaga kecil menghadapi kesukaran.

"Sarawak adalah negeri yang sangat kaya, dengan mengamalkan sistem tender terbuka untuk semua kontrak kerajaan dan dengan menuntut kadar royalti yang lebih tinggi dari Petronas, semua rakyat Sarawak akan hidup dengan lebih senang sekurang-kurangnya bertambah separuh daripada apa yang dinikmati sekarang tapi ini tidak kerana Taib mengambil semus hak rakyst untuk kekayaan diri dan keluarganya," jelas Wong pada pelancaran manifesto beliau yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang.

Wong berkata manifesto yang jelas dengan agenda diyakini dapat menarik perhatian pengundi di Sibu.

Ia berteraskan kepada tujuh perkara asas dalam memperkasakan hak rakyat Sibu.

1. Masa depan Sibu - Apabila DAP dan Pakatan Rakyat menjadi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, kami berjanji akan menyelesaikan masalah banjir di Sibu dalam tempoh dua tahun, disamping melaburkan dalam modal insan dan prasarana untuk menjadikan Sibu sebagai pusat antarabangsa bagi industri perkapalan, kejuruteraan marin dan pelancongan.
2. Warga Emas - Semua rakyat Sarawak yang berumur lebih 60 tahun akan menerima bayaran minimum RM100 setahun sebagai menghargai sumbangan mereka dalam membangunkan ekonomi Sarawak.
3. Gaji Minima - Kami akan menetapkan gaji minimum RM750 sebulan kepada semua pekerja di Semenanjung dan RM830 sebulan di Sarawak.
4. Pendidikan - Semua sekolah akan diberi peruntukan mengikut keperluan sebagaimana yang dilaksanakan sekarang di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan untuk memastikan anak-anak kita mempunyai masa depan yang cerah.
5. Royalti Minyak - Sarawak akan menerima royalti minyak sebanyak 20 peratus dari Petronas, iaitu meningkat dari lima peratus yang diberikan oleh Petronas sekarang.
6. Reformasi Tanah - Semua tanah hak adat Bumiputra (NCR) akan diukur nilai dan diberi hak milik manakala pajakan yang akan luput akan dilanjutkan tempoh tanpa syarat. Ini akan membuka peluang ekonomi besar di Sarawak.
7. Pentadbiran CAT dan Demokrasi - Kami akan mengamalkan pentadbiran Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) serta melaksanakan sistem tender terbukan, membenarkan kebebasan bersuara dan mengadakan pilihan raya tempatan. -SK


9 Mei 2010

TGNA : Diam Diri Bukan Bererti Tidak Peduli

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan beliau gagal mentadbir negeri berikutan tindakannya berdiam diri berhubung kemelut Istana Kelantan.

Katanya walaupun beliau dianggap sebagai penasihat kepada Sultan tetapi berpendapat adalah lebih baik mendiamkan diri daripada mengambil sesuatu tindakan yang tidak disenangi pihak tertentu kerana ia adalah masalah dalaman keluarga.

Nik Abdul Aziz berkata, dalam Islam mendiamkan diri juga merupakan suatu nasihat daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh mengeruhkan lagi suasana dalam keluarga itu.

"Bagi saya, sejak mentadbir negeri ini hampir 20 tahun lepas, saya anggap berjaya kerana membangunkan negeri ini. Siapa kata gagal?. Soal kemelut raja, itu kerja anak beranak, saya sengaja tak campur tangan supaya berlaku di sekitar anak beranak," katanya kepada pemberita selepas meraikan orang kelainan upaya (OKU) yang baru pulang daripada mengerjakan umrah di bangunan yayasan itu, di Pengkalan Chepa, dekat sini pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang dipetik sebagai berkata, krisis istana Kelantan tidak akan berlarutan sekiranya Nik Abdul Aziz memainkan peranannya sebagai penasihat kepada Sultan dan Pemangku Raja Kelantan.

Nik Abdul Aziz berkata Islam membenarkan seseorang itu berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan, walaupun seseorang itu merupakan penasihat, jika ia boleh memudaratkan keadaan.

Beliau menafikan sikap mendiamkan diri dalam isu itu sebagai tindakan lepas tangan daripada tanggungjawab sebagai penasihat dan beliau tidak mahu campur tangan dalam isu kemelut istana itu kerana ia melibatkan krisis dalaman keluarga.

"Jadi, saya ambil sikap senyap, supaya ianya hanya berkisar di sekitar anak beranak, senyap itu juga, adalah nasihat, ada kalanya Allah Taala suruh senyap. Ada kalanya suruh nasihat, jadi saya ambil sikap senyap, senyap itupun dianggap nasihat juga...," katanya.

Menurutnya, beliau bersama Exco akan menziarah Sultan, cuma menunggu tarikh yang akan ditentukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias.

-- BERNAMA


Nik Aziz nafi tidak peduli krisis Istana Kelantan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nafi telahan sesetengah pihak kononnya kerajaan negeri seolah-olah tidak mempedulikan krisis Istana Kelantan.

Sebaliknya dalam reaksi ringkas Mursyidul Am PAS ini menyifatkannya sebagai konflik keluarga.

“Ini krisis anak-beranak, bukan kerajaan tidak mahu caro (ambil peduli),” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Orang Kurang Upaya di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan di Padang Tembak, Pengkalan Chepa dekat sini.

Beliau menjawab soalan pemberita bahawa sikap berdiam diri kerajaan negeri secara tidak langsung telah menimbulkan pelbagai spekulasi rakyat negeri ini terhadap istana dan kerajaan negeri itu sendiri.

“Saya nak kata maca mana? Orang kata kerajaan negeri tak nasihat, itu silap kerana diam itu lah sebahagian daripada nasihat,” katanya bersandarkan hujah ayat al-Quran mengatakan ‘diam’ juga adalah sebahagian daripada nasihat mengikut keperluan situasi tertentu.

Beliau membaca ayat berkenaan hal yang berkaitan.

Dalam pada itu Nik Aziz tidak menafikan kerajaan negeri belum melawat Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra sejak dimasukkan ke hospital lima hari lalu.

“Belum melawat lagi, kita sedang minta Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri uruskan jadual atau masa lawatan itu supaya kerajaan negeri dapat melawat tuanku bersama exco semua sekali,” katanya.

Sultan Kelantan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini Selasa lalu setelah dipertikaikan rawatan susulannya di Singapura.

Esok, Mahkamah Khas akan mendengar permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Tengku Temenggong Tengku Muhamad Fakhry untuk membawa keluar Sultan Kelantan dari HUSM atas alasan baginda dikurung. -TMI


Ulasan GB

Orang semacam Ibrahim Ali bising-bising walau pada perkara yang kecil kerana nak cari publisiti. TGNA tidak perlu sedemikian.


Rakyat Tetap Kutuk Menteri Dan Polis Yang Lindungi Jenayah

Kes Dua Remaja Ditembak, PDRM Perlu Rombakan

SHAH ALAM 9 MEI: Rentetan dua remaja ditembak polis dalam tempoh dua minggu termasuk seorang daripadanya mati, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff memcadangkan kepimpinan polis Malaysia dirombak secepat mungkin demi menjamin keselamatan orang awam.

Beliau menyifatkan kes Aminulrashid Amzah, 15, dan Mohd Azizi Aziz, 17, mencalar imej institusi kepolisan yang separutnya dipandang tinggi sekaligus memperlihat kegagalan pihak berkuasa ini dalam menangani isu seperti ini.

"Apabila ia mewujudkan satu trend, ia menggambarkan imej institusi. Imej ini ialah dasar dan dalam hal ini, saya lihat isu sebenar ialah kepimpinan. polis gagal" katanya kepada TV Selangor hari ini.

Justeru, Yusmadi menggesa seluruh pimpinan melakukan perubahan melalui rombakan besar-besaran supaya keselamatan dan keamanan rakyat lebih terjamin pada masa depan.

"Gesaan daripada pimpinan rakyat ke arah mereformasikan isu polis. Isu bukan hanya Tan Sri Musa Hasan letak jawatan. Itu isu yang bagi saya tidak selesaikan. Ini isu institusi perlu rombakan yang besar," katanya.

Pada 26 April lalu, remaja berusia 15 tahun Aminulrashid Amzah mati ditembak polis ketika menaiki kereta di Jalan Mahjung, Seksyen 11 Shah Alam. Empat das tembakan dilepaskan dan satu peluru menembusi kepalanya.

Semalam, Mohd Azizi Aziz yang dua tahun lebih tua daripada Aminulrashid pula ditembak ketika menunggang motosikal di Jalan Seremban-Jelebu. Satu das tembakan dilepaskan dan menembusi perut ke ususnya.

Dalam kes Mohd Azizi, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh memohon maaf kepada keluarga mangsa tetapi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar tidak berbuat demikian sebaliknya mendakwa Aminulrashid ahli kumpulan penyamun.

Sebelum kedua-dua kes ini terjadi, kes Norizan Salleh, seorang ibu tunggal yang parah selepas bertalu-talu ditembak polis hingga kini masih belum selesai-selesai. -TVS


Hishammuddin: Usah kutuk polis hanya kerana 2 remaja ditembak

LONDON, 9 Mei — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) merayu publik agar membantu mempertahankan institusi polis, bukannya mengutuk pasukan keselamatan ketika negara menyaksikan dua remaja ditembak, termasuk seorang mati dalam dua minggu ini.

Sehubungan itu kata Hishammuddin, daripada terus-menerus menyerang polis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan sokongan publik memandangkan ia merupakan salah satu tunjang mempertahankan negara.

“Malaysia berada dalam peralihan. Dalam persekitaran perubahan ini, sudah tentu akan ada percubaan untuk memperlekehkan institusi-institusi tanpa asas, tanpa kajian, perbincangan dan tanpa faham (mendalam),” kata beliau dengan merujuk kepada pasukan penguatkuasaan dan kehakiman.

“Saya hendak memberi jaminan kepada setiap orang, moral pasukan polis juga perlu dipertahankan dan diimbangi,” kata Naib Presiden Umno ini sambil menambah, tindakan mengutuk dan memperlekehkan pasukan polis tidak akan membantu sesiapa.

Awal pagi semalam seorang remaja cedera parah di bahagian perut setelah terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis peronda dalam

kejadian kejar-mengejar di Jalan Seremban-Jelebu, Negeri Sembilan.

Menurut polis mangsa Mohd. Azizi Aziz, 17, ditembak ekoran enggan memberhentikan motosikal yang ditungganginya selepas diarahkan polis.

Mengulas kejadian itu semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata Kementerian Dalam Negeri dan PDRM tidak bertolak ansur dalam kes tersebut.

Ayah mangsa, Aziz Omar berkata beliau sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Saya dihubungi pihak hospital pada pukul 4.20 pagi tadi (semalam) yang menyatakan anak saya mengalami kecederaan dan kini berada di hospital. Saya kemudian bergegas ke hospital dan baru mendapat tahu bahawa anak saya cedera ditembak polis.

“Dalam hal ini saya amat terkilan kerana yang menghubungi saya adalah pihak hospital tapi mengapa tidak polis. Mohd Azizi adalah anak sulung daripada enam orang adik beradik,” katanya.

Kejadian itu berlaku dua minggu selepas Aminulrasyid Amzah meninggal dunia selepas terkena tembakan polis yang mengejar kereta yang dipandunya di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor pada awal pagi 26 April lalu.

Kes itu sedang disiasat dengan dipantau oleh sebuah panel ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri.

“Ia kejadian tragis,” kata Hishammuddin dengan merujuk kepada nasib dialami Aminulrasyid.

Hishammuddin berkata, tidak akan ada unsur menutup kes berkenaan memandangkan panel yang ditubuhkan merupakan badan yang berwibawa.

Menteri juga mempersoalkan mengapa anggota pasukan keselamatan Istana Kelantan yang ditembak tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada orang ramai.

“Pada masa yang sama, pembantu (keselamatan) Tengku Mahkota Kelantan ditembak kejam di tengah jalan. Tetapi, dia tidak memperoleh layanan yang serupa daripada orang ramai, yang hanya mahu tahu sama ada ia ada kaitan dengan kontroversi semasa kerabat diraja Kelantan,” kata beliau.

Pengawal keselamatan Istana Kelantan, Ramli Mohamad, 50, ditembak awal bulan ini.

“Hanya kerana dia seorang anggota polis dia tidak berhak menerima simpati? Jadi jangan beremosi (dalam isu ini),” kata Hishammuddin yang mengetuai Kementerian Dalam Negeri sejak April 2009.

Walaupun beliau mengakui sistem semasa perlu diperbaiki tetapi tidak mengutuk tindakan-tindakan yang dilihat sebagai keterlaluan dan di luar lunas perundangan.

Katanya, institusi-institusi perlu dibina dan tiada penyelesaian segera bagi mengatasi kekurangan-kekurangan yang wujud.

“Kami memerlukan rakyat yang diberikan amanah untuk bertanggungjawab bukannya dipengaruhi oleh politik seharian atau ragam semasa. Institusi-institusi ini akan kekal lebih lama berbanding ahli-ahli politik,” kata beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 100 hadirin di Jabatan Pelajar Malaysia di sini semalam.

Hishammuddin mempertahankan pasukan keselamatan dengan berkata anggota polis telah memperlihatkan prestasi yang baik dalam 10 bidang yang anda semua “tidak pernah melihat, tidak pernah mendengar, yang anda tidak akan tahu”, antaranya usaha menangani keganasan.

Bagaimanapun Hishammuddin mengakui dalam soal menangani jenayah jalanan, beliau hanya akan memberi paras enam persepuluh.

Beliau memberitahu, kementeriannya meletakkan sasaran untuk mengurangkan jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang akhir tahun ini dan jenayah secara keseluruhan kepada lima peratus sepanjang tiga tahun berikutnya.

Hishammuddin juga berkata, beliau ada memaklumkan kepada anggota polis agar tidak luntur semangat apabila publik menyerang mereka. -TMI


Ulasan GB

Mengapa tidak perlu kutuk jika sudah berlaku KEMATIAN?

Rakyat tetap mengutuk menteri dan polis yang melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anggota polis.

Kabinet Tun Abdullah Perlu Disiasat

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan supaya Kabinet yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi disiasat, berhubung penjualan dua telaga minyak negara kepada Brunei.

Katanya, negara bukan sahaja kehilangan sumber hasil bernilai lebih RM320 bilion, tetapi turut menjejaskan maruah.

:“Saya cadangkan satu siasatan ke atas Kabinet Tun Abdullah untuk menilai sejauh mana kewajaran untuk menjual telaga minyak itu kepada Brunei. Semua anggota Kabinet ketika itu juga harus disiasat, termasuk Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau yakin sebahagian besar anggota Kabinet ketika itu menjadi ‘pak angguk’ dan meluluskan usul terbabit, tanpa usul periksa.

Menurutnya, pendedahan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu amat wajar dan berharap lebih banyak pendedahan dibuat untuk mendedahkan kepincangan dalam pentadbiran negara.

“Ini antara kesilapan terbesar Tun Abdullah, yang menyebabkan negara menanggung kerugian besar kerana hilang sumber pendapatan untuk membangunkan negara,” katanya.

Mahfuz berkata, beliau mahu Najib atau Timbalannya campur tangan dalam isu ini dan memberi maklum balas segera, dan tidak menutup kes ini daripada pengetahuan umum.

“Saya tidak pasti sama ada ini adalah sebahagian komplot yang dibuat untuk menjatuhkan Tun Abdullah, seperti yang didakwa penulis blog, Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz. Atau mungkin kempen untuk menjatuhkan Najib yang didakwa bersekongkol dengan Tun Abdullah dalam isu penjualan telaga minyak itu,” katanya. -SH


Lesen Judi: UMNO Sudah Murtad, Mana Ulamak-ulamak UMNO?

Dr Asri: Lesen Atau Tidak, Judi Tetap Haram

SHAH ALAM 7 MEI: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin menyifatkan alasan kerajaan yang menghalalkan perjudian melalui pemberian lesen yang membenar pertaruhan bola sepak, tidak munasabah untuk mana-mana agama, lebih-lebih lagi agama Islam.

Beliau menegaskan sebarang bentuk perjudian sama ada berlesan atau sebaliknya, hanya membawa masalah antaranya pergaduhan dan bebanan hutang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein sebelum ini berkata, kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mengeluarkan lesen pertaruhan ketika Piala Dunia 2010 berlangsung Jun ini.

Beliau memberi alasan ia wajar dilesenkan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Mengulas isu ini, Dr Asri menyifatkan kerajaan pimpinan Umno Barisan Nasional sudah tidak dapat membezakan halal dan haram.

"Kerajaan mesti memikirkan kesan buruk perkara ini. Ia akan mengakibatkan pergaduhan, pinjam meminjam dan pelbagai lagi. Jika kerajaan bertindak memberi lesen apa ertinya?" katanya.

Dr Asri mengingatkan kerajaan, tindakan melesenkan judi belum tentu menyelesaikan masalah kerana masalah tetap berlaku, bahkan berlarutan dengan lebih buruk.

"Judi termasuk dalam dosa besar. Di negara ini, orang akan kata ini bukan untuk orang Islam. Adakah perkara ini dituntut oleh orang bukan Islam? Adakah kerajaan bertindak hanya untuk kepentingan cukai ataupun untuk kepentingan masyarakat bukan Islam.

Beliau menyifatkan kerajaan hanya mencari alasan termasuk menggunakan elemen pembangunan judi bagi menghalalkan perjudian.

"Saya lihat alasan yang dinyatakan bagi mengelakkan judi haram dengan mengadakah judi halal. Semua judi adalah haram dan memberi kesan negatif. Saya tidak fikir orang agama lain disuruh pergi berjudi.

"Jika kerajaan hendak menyalurkan dana kepada bidang sukan, saya lihat perkara lain juga mungkin kita boleh mengenakan cukai yang tinggi. Jadi, saya fikir alasan ini sangat tidak munasabah," katanya.

Dr Asri seterusnya mencadangkan kerajaan supaya bertindak mengikut landasan Islam bagi mengawal baik buruk sesuatu perkara.

"Tetapi dengan cara kerajaan menghalalkan dan membenarkan cara memberi lesen ini kepada judi bererti perkara yang dibimbangi masyarakat dilakukan secara terbuka dan mendapat persetujuan. Apa beza antara yang halal dengan yang tidak, kedua-duanya mengundang masalah kepada rakyat," katanya. -TVS

Ulasan GB

Di dalam kitab Mustika Hadith keluaran Jabatan Perdana Menteri dijelaskan bahawa:


contoh kata-kata yang boleh membatalkan iman seseorang atau yang boleh menjadi murtad iaitu:

Kata-kata (menghina atau merendahkan) mana-mana hukum Islam seperti :

• Hukum apa ini ?
• Hukum ini sudah lapuk.
• Zaman sekarang tidak sepatutnya diharamkan riba' kerana menghalang kemajuan.
• Dalam zaman serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus (tutup aurat dengan memakai telekong).
• Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?
• Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya.
• Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya.
• Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam, sampai kiamat kita tidak maju.
• Seseorang berkata,"Perbuatan yang demikian tidak beradab", apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW selepas makan baginda menjilat sisa makanan dijarinya (sebelum dibasuh tangan).
• Seseorang berkata,"Aku tidak mahu memotong kuku sekalipun sunnah", apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunnah.
• Membaca ayat-ayat suci al-Quran, hadith nabi dan nama-nama Allah dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.
Ungkapan yang disebut di atas adalah beberapa contoh kata-kata yang boleh menjadi murtad.


Justeru itu langkah kerajaan UMNO BN untuk melesenkan judi adalah tidak lain "menghalalkannya" dan ternyata bukan sahaja ianya adalah satu tempelakan kepada hukum Allah dan RasulNya tetapi satu gejala yang memurtadkan seseorang Islam.

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) wanita yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) (QS Al Ahzab: 36).

Walaupun lesen judi belum dikeluarkan, tetapi perkataan "kerajaan menimbang untuk melesenkan pertaruhan (judi) sempena Piala Dunia" sudah cukup untuk menunjukkan pemimpin UMNO jahil dan merupakan satu penghinaan terhadap hukum Islam yang menjurus kepada MURTAD.

Mana dan mengapa ulamak-ulamak di dalam UMNO membisu?

"Polis Barua UMNO" Sebabkan Suhaizan Dilokap

Gara-gara menggunakan perkataan “polis barua Umno”, Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat, Suhaizan Kayat ditahan dalam lokap sepanjang malam tadi.

Beliau dilepaskan tengah hari ini selepas ditahan lebih sembilan jam di Balai Polis Johor Baru Utara.

Segala-galanya tercetus selepas beliau mempertikaikan tindakan polis membuat sekatan jalan di Taman Dahlia, Kempas Johor Baru malam tadi ketika ceramah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mengapa perlu begitu ramai anggota polis membuat sekatan jalan raya di sini?

“Adakah kerana yang memberi ceramah itu pembangkang maka mereka (polis) membuat sekatan jalan raya?” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut beliau, kehadiran sebegitu ramai anggota polis di kawasan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas sesak selain mengganggu perjalanan ceramah.

“Sebelum ini kita pernah buat ceramah di kawasan ini tetapi tidak ada pula begitu ramai anggota polis yang mengawal, mengapa keadaan itu berlaku sekarang?” katanya.

Beliau berkata, sekatan jalan raya itu bermula pada pukul 7 petang dan ia melibatkan laluan-laluan utama di Taman Dahlia.

“Sepatutnya mereka (polis) kekang jenayah bukannya penceramah.

“Kalau dulu sekatan ini digunakan untuk menghalang komunis daripada masuk kampung untuk mendapatkan bekalan.

“Tapi itu semua sudah berlalu dan sudah tidak perlu lagi dibuat pada zaman sekarang kecuali untuk menangkap penjenayah,” katanya.

Suhaizan berkata, berang dengan kehadiran sebegitu ramai anggota polis beliau telah melabelkan mereka sebagai “barua” Umno dalam ucapannya.

“Saya memang tidak berpuas hati dengan situasi tersebut dan dalam ucapan saya memanggil polis seperti barua Umno.

“Tindakan saya itu menyebabkan lapan anggota polis naik ke pentas lalu menangkap saya sebelum masukkan saya ke dalam lokap di Balai Polis Johor Baru Utara malam tadi,”
katanya yang telah dilepaskan kira-kira pukul 12 tengah hari ini dengan jaminan polis.

Tambahnya, ketika ditahan kira-kira sembilan jam beliau mendapat kerjasama yang baik dengan anggota polis.

8 Mei 2010

Isu kehilangan Kereta KPN Selangor - Beberapa Persoalan

Kereta ketua polis S'gor yang dicuri dijumpai

Kereta rasmi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang hilang dua hari lalu berjaya dijumpai semula hari ini.

Kereta jenis Perdana V6 berwarna hitam itu ditemui di tepi jalan Prima Damansara, Sungai Buloh pada jam 8.45 pagi oleh anggota polis ketika membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Sebuah nota ditinggalkan di atas dashboard keretaa yang berbunyi: "Sorry PDRM tersilap sapu."

Kereta itu dan kandungannya, termasuk beberapa topi polis berada dalam keadaan yang sama sebelum dicuri.

Menurut timbalan pengarah, jabatan siasatan jenayah Selangor, Asst Comm Khaw Kok Chin, polis masih menyiasat sama ada sindiket mencuri kereta terbabit dengan kehilangan itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Nor Azam Jamaluddin ketika dihubungi Bernama berkata kereta itu kelihatan ditinggalkan dalam keadaan baik, malah nombor pletnya pun tidak diubah.

Menurutnya kereta itu akan dibawa kembali ke Shah Alam.

Pada 6 Mei lalu, kereta rasmi Khalid (kanan) dilaporkan hilang dipercayai dicuri ketika diletakkan di tempat letak kereta di Seksyen 9, Shah Alam.

Ketika kejadian, pemandunya yang membawa kereta berkenaan sedang bersarapan di sebuah restoran manakala Khalid pula tiada di tempat kejadian ketika kecurian berlaku kerana berada di Singapura atas urusan kerja.

Ulasan GB

Kes "kehilangan sementara" kereta rasmi KPN Selangor ini mendedahkan banyak perkara.

1) KPN Selangor yang celupar sejak akhir-akhir ini terutama mempertahankan anggota polis yang menembak remaja bernama Aminul-Rasyid Amzah wajar mengambil iktibar bahawa, bukan saja "kereta" anda boleh hilang, malah jawatan anda juga boleh juga "hilang". - Ada sedakan KPN Selangor ini dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dipecat dari jawatannya kerana isu tembakan Aminul-Rasyid.

2) "Negligence" - kecuaian pemandunya, yang sepatutnya boleh dikenakan tindakan.

3) Tiada butiran tentang ketiadaan KPN Selangor selain dari berada di Singapura atas urusan kerja. Nanti rakyat boleh mencungkil urusan polis apa di Singapura.

4) Mujur kereta itu dipulangkan pencurinya, tetapi ada nota "Sorry PDRM tersilap sapu." Apa ertinya?

5) Kecurian kereta ini nampaknya menjelaskan jenayah "berlaku depan mata" dan di "waktu siang hari" serta "tidak mengenal mangsa". Justeru kenyataan sebelum ini menyatakan kadar jenayah menurun adalah penipuan semata-mata.

Lagi Polis Tembak Remaja. Sampai Bila Kerajaan Mahu Bertegas?

Seorang konstabel polis digantung tugas dan ditahan selepas didakwa menembak remaja remaja berusia 17 tahun yang enggan memberhentikan motosikalnya ketika dikejar kereta peronda di persimpangan Kampung Ujong Pasir, Jalan Seremban-Jelebu, 3.30 pagi tadi.

Anggota polis itu dipercayai baru berkhidmat kira-kira setahun.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, anggota polis berkenaan digantung tugas serta merta kerana melepaskan tembakan tanpa sebab kukuh dirinya terancam.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai kesalahan menggunakan kuasa. Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi yang telah ditetapkan oleh Ketua Polis Negara. Saya juga ingin meminta maaf kepada pihak keluarga mangsa," katanya.


Cedera parah

Pada kejadian itu, Mohd. Azizi Aziz, 17 cedera parah di bahagian perut setelah terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis keran enggan berhenti.

"Berikutan itu, polis telah melepaskan satu das tembakan dan kena pada bahagian perut sehingga tembus ke bahagian usus," kata Osman kepada pemberita.

Mangsa yang dipercayai berasal dari Senawang itu menjalani pembedahan di perut dan usus kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

Osman berkata mangsa dalam satu kumpulan kira-kira 20 orang yang menaiki motosikal berhampiran sebuah pasaraya di Jalan Datuk Siamang Gagap dan kumpulan itu berpecah apabila terserempak dengan sebuah kereta peronda polis, manakala angsa melarikan diri arah Jalan Seremban-Jelebu.

"Anggota polis yang melepaskan tembakan ini mendakwa dia melepaskan tembakan amaran tetapi dalam keadaan kereta yang laju dan mangsa juga menunggang motosikal secara bahaya.

"Satu das tembakan telah dilepaskan dan selepas kira-kira dua kilometer baru mangsa dapat ditahan dan mendapati mangsa terkena tembakan di bahagian perut."

Mengulas kejadian itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang ditemui Bernama ketika merasmikan lapang sasar polis bantuan Felda di Felda Bukit Rokan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bertolak ansur dalam kes tersebut.

"Bagi kita, perkara ini sangat serius. Kita akan meneruskan dengan siasatan dahulu. Kalau anggota polis terbabit terbukti bersalah, kita akan mengambil tindakan mengikut prosedur yang diperuntukkan.

"Dalam kes ini kita masih menyiasat dan buat masa ini anggota polis terbabit telah ditahan kerja," katanya.

Bapa terkilan

Abu Seman turut melawat mangsa di HTJS. Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk melihat keadaan mangsa.

Turut hadir Osman dan dua anggota exco kerajaan negeri Datuk Ismail Lasim dan Datuk Ismail Taib.

Sementara itu, Bernama melaporkan ayah mangsa, Aziz Omar, 42, berkata beliau sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

"Saya dihubungi pihak hospital pada pukul 4.20 pagi tadi yang menyatakan anak saya mengalami kecederaan dan kini berada di hospital. Saya kemudian bergegas ke hospital dan baru mendapat tahu bahawa anak saya cedera ditembak polis.

"Dalam hal ini saya amat terkilan kerana yang menghubungi saya adalah pihak hospital tapi mengapa tidak polis. Mohd Azizi adalah anak sulung daripada enam orang adik beradik," katanya. -mk

Ulasan GB

Kejadian-kejadian seumpama di atas akan terus berlaku jika polis terutama KPN masih terus mempertahankan egoismanya di dalam kejadian salah-laku penggunaan senjata api oleh para anggotanya.

Kita tak tahu berapa ramai lagi yang perlu dikorbankan untuk mencelikkan mata PM dan menteri-menteri UMNO BN yang masih bersikap apethetik dengan tidak mengambil tindakan tegas terhadap KPN.

Kickdefella Alat BN Untuk Gugat Kelantan

Dakwaan penulis blog Kickdefella, Syed Azizi Syed Abdul Aziz (gambar) bahawa PAS membelanjakan wang kerajaan negeri Kelantan sebanyak RM4 juta kononnya bagi tujuan Operasi Perang Saraf adalah tidak berasas serta bertentangan dengan realiti.

"Syed Azidi telah memberi gambaran lima orang terlibat bersamanya dan memberikan dana RM4 juta dalam bentuk wang, peralatan, bangunan dan sebagainya.

"Jika dibandingkan dengan ahli PAS, saya boleh mengaitkan seorang ahli yang telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk membeli sebuah bangunan untuk kegunaan yayasan dan wang yang digunakan adalah wang ahli itu sendiri.

"Dari mana pula datangnya fitnah PAS membelanjakan wang rakyat?" tanya Khalid pada sidang media di pejabat beliau Khamis lalu.

Khalid menerangkan siasatan awal parti menunjukkan lima individu yang dituduh oleh penulis blog itu sebagai kroninya merupakan beberapa individu yang mempunyai reputasi yang baik di arena politik.

"Mereka sentiasa memberikan sumbangan daripada wang mereka sendiri yang digunakan untuk membeli pelbagai kegunaan dan juga untuk kebajikan masyarakat," kata beliau.

Menurut Khalid lagi, salah seorang peguam yang digambarkan oleh Syed Azizi hampir sama seperti rakan sepejuangannya di dalam PAS dan rakannya hanya menunggu sahaja untuk blogger itu mengungkitkan namanya.

"Sebaik sahaja Syed Azidi menyebut namanya, dia akan terus mendakwa Syed Azidi di mahkamah kerana menburukkan namanya," tambah Khalid.

Menurut Khalid, dakwaan Syed Azidi bertujuan supaya Suruhanjaya Pencegfahan Rasuah Malaysia menahan dan menyoalsiasat pemimpin Kelantan dan memburukkan nama mereka.

Insiden ini, katanya, sama seperti apa yang berlaku di Perak semasa Pakatan Rakyat memerintah di mana Umno-Barisan Nasional menuduh dua anggota Dewan Undangan Negeri KEADILAN menyalahguna dana dan memperbesarkan isu ini sehingga menyebabkan KEADILAN kehilangan dua ADUN kepada BN.

Peristiwa ini menyebabkan Pakatan Rakyat Perak hilang majoriti dan terpaksa menyerahkan Perak kepada BN.

"Yang peliknya bagaimana tuduhan yang dibuat oleh SPRM kepada dua bekas ADUN KEADILAN itu hilang begitu sahaja apabila mereka menyertai BN.

"Ini jelas menunjukkan salah satu taktik kotor BN yang digunakan untuk merampas kuasa kerajaan Pakatan Rakyat Perak," jelas beliau. -SK

PRK Sibu : BN, DAP (PR) & Bebas

Pilihan raya kecil (PRK) Sibu hari ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila terdapat seorang calon Bebas, Narawi Haron menyertai pilihan raya kali ini selain dari dua calon iaitu dari DAP, Richard Wong Ho Leng; calon Barisan Nasinal (BN), Robert Lau Hui Yew.

Ketiga-tiga mereka telah mengemukakan borang pencalonan apabila bermulanya waktu penyerahan jam 9 pagi, calon dari BN, Robert Lan Hui Yew menyerahkan kertas pencalonan pada jam 9:02 pagi, calon dari DAP, Richard Wong Ho Leng pada jam 9:03 pagi dan diikuti calon Bebas pada jam 9:25 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wong See Meng telah mengumumkan ketiga-tiga calon tersebut layak bertanding pada pilihanraya kali ini tepat jam 11:25 pagi tadi.

Sebelum itu beliau mengumumkan terdapat satu bantahan diterima tetapi setelah penelitian di buat bantahan tersebut telah ditolak.

Penyokong bagi calon DAP, Wong Ho Leng tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.30 pagi bersama kira-kira 700 orang penyokong dengan diketuai diketuai Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mereka telah mula berkumpul di Rejang Park sejak jam 7:30 pagi lagi bagi memberi sokongan padu kepada calon yang bertanding.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan penglibatan dari Parti SNAP yang secara rasmi telah menyertai Pakatan Rakyat di Sarawak dan turut sama menyertai perarakan tersebut yang diketuai oleh Presidennya, Edwin Dundang.

Pagi tadi, ribuan penyokong bagi semua calon, termasuk kira-kira 400 dari BN, berhimpun di bandar Sibu sejak awal pagi ini,menyebabkan kesesakan trafik di jalan-jalan yang menuju ke pusat penamaan calon.

Pihak polis telah memberi kerjasama yang baik bagi memastikan penamaan calon kali ini berjalan dengan lancar, walau terdapat sedikit ketegangan apabila kedua-dua penyokong mula bersorak dalam memberi semangat kepada calon mereka.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu. Kerusi tersebut sebelum ini telah disandang oleh calon BN.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos, merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan masing-masing satu pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam bagi proses mengundi. -SK Imej -mk

Judi: UMNO APCO Hina Islam Malukan Umat

Pemuda DAP Tolak Cadangan Lesenkan Judi Piala Dunia

SHAH ALAM 7 MEI: Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke secara tegas menolak sepenuhnya hasrat Kerajaan Pusat untuk melesenkan perjudian pada kejohanan bola sepak Piala Dunia awal Mei ini.

Beliau melihat tindakan berkenaan hanya sebagai penyumbang kepada masalah sosial terbesar dalam negara ini.

"Jika kerajaan memberi lesen untuk perjudian bola, ini seolah-olah menggalakkan lebih ramai orang muda pergi berjudi dalam pertandingan bola sepak. Saya rasa ini akan meyebabkan keadaan yang tidak sihat dan menyebabkan lebih banyak masalah sosial," katanya.

Anthony Loke menganggap tindakan kerajaan Umno BN ini bertentangan dengan usaha mengawal aktiviti perjudian haram.

"Apabila kerajaan memberikan lesen ini, ia adalah tidak tepat. Mereka mengatakan perkara ini untuk mengawal perjudian haram ssekali gus menyalurkan cukai kepada kerajaan.

"Saya rasa ini sesuatu yang walaupun betul menjanakan sedikit pendapatan kepada kerajaan tetapi masalah akan bertambah lebih besar," katanya yang terkilan kerana hal ini banyak kali dibangkitkan di Parlimen tetapi tiada penyelesaian sebaliknya langkah berlawanan pula diambil.

Anthony Loke menyifatkan keadaan ini menunjukkan kegagalan kerajaan mengurus kewangan negara dan terlalu bergantung kepada cukai judi.

"Mereka ingat ini cara mudah untuk menambah cukai kerajaan dengan memberi lebih banyak special draw, lesen judi lesen bola dan sebagainya? Ini cara mudah untuk menambah cukai tetapi saya rasa ini kaji kesan sosial dulu," katanya.

Beliau menyeru kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) supaya mengkaji dengan lebih teliti hal ini dan tidak memihak kepada golongan tertentu sahaja. -TVS



Dr Asri: Lesen Atau Tidak, Judi Tetap Haram

SHAH ALAM 7 MEI: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin menyifatkan alasan kerajaan yang menghalalkan perjudian melalui pemberian lesen yang membenar pertaruhan bola sepak, tidak munasabah untuk mana-mana agama, lebih-lebih lagi agama Islam.

Beliau menegaskan sebarang bentuk perjudian sama ada berlesan atau sebaliknya, hanya membawa masalah antaranya pergaduhan dan bebanan hutang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein sebelum ini berkata, kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mengeluarkan lesen pertaruhan ketika Piala Dunia 2010 berlangsung Jun ini.

Beliau memberi alasan ia wajar dilesenkan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Mengulas isu ini, Dr Asri menyifatkan kerajaan pimpinan Umno Barisan Nasional sudah tidak dapat membezakan halal dan haram.

"Kerajaan mesti memikirkan kesan buruk perkara ini. Ia akan mengakibatkan pergaduhan, pinjam meminjam dan pelbagai lagi. Jika kerajaan bertindak memberi lesen apa ertinya?" katanya.

Dr Asri mengingatkan kerajaan, tindakan melesenkan judi belum tentu menyelesaikan masalah kerana masalah tetap berlaku, bahkan berlarutan dengan lebih buruk.

"Judi termasuk dalam dosa besar. Di negara ini, orang akan kata ini bukan untuk orang Islam. Adakah perkara ini dituntut oleh orang bukan Islam? Adakah kerajaan bertindak hanya untuk kepentingan cukai ataupun untuk kepentingan masyarakat bukan Islam.

Beliau menyifatkan kerajaan hanya mencari alasan termasuk menggunakan elemen pembangunan judi bagi menghalalkan perjudian.

"Saya lihat alasan yang dinyatakan bagi mengelakkan judi haram dengan mengadakah judi halal. Semua judi adalah haram dan memberi kesan negatif. Saya tidak fikir orang agama lain disuruh pergi berjudi.

"Jika kerajaan hendak menyalurkan dana kepada bidang sukan, saya lihat perkara lain juga mungkin kita boleh mengenakan cukai yang tinggi. Jadi, saya fikir alasan ini sangat tidak munasabah," katanya.

Dr Asri seterusnya mencadangkan kerajaan supaya bertindak mengikut landasan Islam bagi mengawal baik buruk sesuatu perkara.

"Tetapi dengan cara kerajaan menghalalkan dan membenarkan cara memberi lesen ini kepada judi bererti perkara yang dibimbangi masyarakat dilakukan secara terbuka dan mendapat persetujuan. Apa beza antara yang halal dengan yang tidak, kedua-duanya mengundang masalah kepada rakyat," katanya. -TVS