30 Ogo 2014

[VIDEO & GAMBAR] Al-Qassam Sangat Digeruni Oleh Tentera Israel


Mukadimah: Bagaimana keadaan di Gaza sekarang? Dan apa pencapaian Al-Qassam sehingga kini? Apakah umat Islam di Gaza mampu menang untuk menentang Israel? Ikuti perkembangan terbaru di Gaza seperti yang diceritakan Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid (Cikgu Azmi) yang baharu balik dari bumi bergolak Gaza. Beliau ke sana selama lima hari mulai 17 Ogos lalu. Butiran lanjut bersama Wartawan Kanan Harakah, AZIZ MUDA yang menemubual beliau 25 Ogos lalu.

HARAKAH: Boleh Cikgu Azmi ceritakan secara ringkas perkembangan terbaru di Gaza sekarang?

MOHD AZMI ABDUL HAMID: Saya baru balik dari Gaza tiga hari lalu. Saya berada di Gaza selama lima hari iaitu sejak 17 Ogos lalu. Sepanjang saya berada di Gaza, pertamanya saya dapat melawat mereka yang tercedera yang dapat dikeluarkan dari Gaza dan dibawa ke hospital Cairo.

Keadaan mereka amat menyedihkan. Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak. Kebanyakan mangsa cedera parah, terputus anggota badan dan tak mungkin hidup lagi. Bagaimana Cikgu boleh bolos ke Gaza baru-baru ini?

Untuk ke Gaza sekarang memang cukup susah. Pihak berkuasa Mesir melakukan berbagai-bagai sekatan. Amat banyak sekatan jalan raya yang diadakan, tak kurang 30 sekatan yang mesti dilalui. Kalau nasib baik terlepas, kalau tak tersangkut.

Ada yang duduk hingga 3 jam di sekatan itu. Mereka buat macam-macam alasan yang sangat tidak dapat kita terima. Mereka mendakwa kawasan Sinai banyak pemberontak. Pada hal yang kita lihat tak banyak pemberontak yang melawan As-Sisi di Sinai.

Kita sudah beberapa kali berhubung dengan pihak pertahanan, pihak perisikan Mesir supaya pintu masuk ke Gaza di Rafah dibuka. Kalau tidak, keadaan di Gaza pasti menjadi lebih parah. Ini kita buat desakan kepada empat pihak iaitu ke pejabat presiden, pejabat tentera, pejabat luar negara dan pejabat perisikan Mesir.

Sukar juga lepaskan bantuan yang dibawa untuk masuk ke Gaza...

Ada beberapa syarat yang mesti dilalui. Mereka semak apa yang boleh dan tak boleh dibawa masuk termasuk ubat-ubatan. Ini sangat menyukarkan kita. Ada barangan yang boleh lepas dan ada yang tak lepas. Ini tindakan pihak berkuasa Mesir yang kita persoalkan.

Ada antara syarat itu yang tak masuk akal. Mereka mendakwa tindakan kita itu boleh membawa masuk senjata ke Gaza. Saya kira ini adalah isyarat dari Israel supaya tak mudah bawa masuk barangan dan bantuan ke Gaza.

Ada sedikit lagi baki terowong yang boleh digunakan untuk masuk ke Gaza, tetapi 90 peratus sudah dihancurkan atau dimusnahkan oleh kedua-dua pihak iaitu dimusnahkan oleh Kerajaan Mesir sejak berada di bawah As-Sisi dan Israel.

Pada hal terowong itu cukup berguna kepada Palestin dan Mesir kerana ia dimanfaatkan untuk kutipan cukai dan dapat memberikan hasil kepada Mesir dan Palestin.

Macam mana usaha membantu umat Islam di Gaza ini jadi kenyataan?

Di Gaza sekarang, keadaan semakin tenat. Sangat sedikit bantuan luar yang boleh dibawa masuk sama ada makanan dan perubatan. Janakuasa elektrik, pusat kumbahan, pusat pemprosesan bekalan air bersih sudah dibom oleh Israel.

Ini amat menyukarkan penduduk Gaza. Tidak ada kawasan yang selamat di Gaza sekarang. Mangsa tertinggi adalah orang awam. Paling tinggi kanak-kanak. Lebih 500 orang kanak-kanak semuda usia satu bulan telah terbunuh. Anak-anak yatim di Gaza kini telah mencecah lebih 20,000 orang.

Apa projek-projek Mapim yang dilaksanakan di Gaza?

Dengan sumbangan rakyat Malaysia, Mapim telah berjaya membuat enam projek di Gaza. Salah satunya adalah pembinaan Masjid Umar Abdul Aziz. Ini adalah masjid paling cantik yang dibina oleh Mapim hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Empat jam lalu, saya mendapat berita masjid itu juga telah dibomkan oleh Israel. Kita mengutuk keras tindakan Israel itu yang sekarang tak kira apa juga premis ibadat dan simbol-simbol agama semuanya dimusnahkan.

Sehingga sekarang sudah 122 buah masjid sudah dibomkan. Termasuk Masjid Umar Abdul Aziz bermakna sudah 123 buah masjid dibomkan. Masjid Umar Abdul Aziz adalah masjid yang ke-123 yang dibom oleh Israel sehingga sekarang.

Masjid sepatutnya dihormati, tetapi Israel sengaja menyandarkan serangannya ke masjid kerana mereka tahu kekuatan komuniti umat Islam adalah di masjid. Masjid adalah tempat yang banyak membentuk kekuatan kerohanian umat Islam.

Itulah sebabnya mereka menyerang masjid, dengan memberikan alasan Hamas berlindung di masjid. Pada hal Hamas tak pun berlindung di masjid. Mereka sengaja mereka alasan itu untuk menyerang dan memusanahkan masjid-masjid.

Maknanya Gaza kini dalam keadaan amat gawat...

Keadaan di Gaza sekarang sangat terdesak. Setakat ini hospital yang mampu berfungsi penuh hanya tinggal lima buah sahaja. Kebanyakan hospital telah musnah dibomkan sehingga doktor-doktor dan jururawat-jururawat juga terbunuh.

Hospital yang masih boleh berfungsi penuh sekarang dah habis 80 pratus bekalan ubat manakala peralatannya pula terhad. Kita telah cuba hantar satu lori peralatan hospital termasuk jarum dan perubatan baru-baru ini, tetapi masih juga tidak mencukupi.

Tentu sekali penduduk Gaza kehilangan tempat berlindung, tiada bekalan makanan, ubatan dan lain-lain...

Kebanyakan penduduk Gaza sekarang terputus bekalan tenaga elektrik dan air bersih seratus peratus. Mereka tak boleh berharap kepada air bawah tanah sebab bekalan air bawah tanah sudah dimasuki air laut. Begitulah rumitnya kehidupan penduduk Gaza sekarang yang perlu kita fahami sungguh-sungguh. Setakat ini 57 buah ambulan sudah musnah. Rumah kediaman yang musnah habis sudah 10,672 buah dan yang mengalami kerosakan serius 38,000 buah.

Sekolah yang musnah sudah 194 buah. 190 buah masjid sudah rosak dan 65 buah masjid pula musnah sepenuhnya. 52 bot nelayan telah musnah. Setakat ini penduduk Gaza yang sudah menjadi pelarian seramai 460,000 orang.

Mereka terpaksa pergi ke kem pelarian antarabangsa untuk meneruskan hidup yang hanya berjumlah 92 buah. Pusat-pusat kem pelarian antarabangsa itu ada yang terletak di sekolah, ada dalam bentuk khemah. Kesemua kem pelarian antarabangsa itu adalah untuk 460,000 orang, termasuk untuk menampung kesemua 17,200 keluarga yang telah kehilangan rumah atau tempat kediaman mereka.

Sehingga sekarang, yang kematian kesemua anggota keluarga sebanyak 95 keluarga. Badan-badan kebajikan antarabangsa juga mengandaikan bahawa jika mereka mendapat sumbangan wang sebanyak 30,000 USD bolehlah membantu memberikan kaunseling kepada kanak-kanak Gaza yang sedang trauma sekarang. Anggaran untuk seorang makan untuk seminggu iaitu untuk dua kali makan sehari sebanyak 40 USD. Kos untuk menyara seorang anak yatim daripada kesemua anak-anak yatim itu bagi seminggu 50 USD.

Berdasarkan pemantuan Mapim, apa keadaan sebenar di Gaza sekarang?

Gaza semakin tenat. Desakan dari negara-negara Islam amat perlu sekarang bagi menghantar tentera ke Gaza kerana Israel sudah tidak mahu lagi menerima rundingan damai. Kalau Israel hendak menerima rundingan damai pun mengambil masa amat lama.

Pencapaian tentera Hamas, Al-Qassam sekarang macam mana?

Al-Qassam nampaknya sangat yakin bahawa mereka boleh bertahan. Kalau tentera Israel masuk ke Gaza melalui darat, mereka mampu menyekatnya dan melakukan serangan balas ke atas tentera Israel.

Tetapi jika Israel melakukan serangan melalui udara, ini amat menyukarkan Al-Qassam untuk menyekatnya. Sehingga sekarang sudah lebih 400 orang tentera Israel telah terbunuh di tangan Al-Qassam. Malah Al-Qassam juga amat ditakuti oleh tentera Israel, sehingga ada di kalangan tentera Israel yang sanggup membunuh diri daripada ditugaskan berperang dengan Al-Qassam.

Al-Qassam juga telah berupaya menghasilkan roket-roket yang canggih. Mereka sudah mampu menghasilkan 21 roket yang canggih termasuk yang mampu menjangkau lebih 135 km dan tepat kepada sasarannya, sehingga gagal ditangkis Iron Dome Israel.

Serangan Al-Qassam kepada sasaran mereka di Tel Aviv termasuk ke lapangan terbang antarabangsa Israel di Tel Aviv amat menakutkan Israel sekarang. Rakyat Israel juga kini amat takut kepada Al-Qassam. Kalau Israel terpaksa menghentikan serangannya ke Gaza itu adalah kerana mereka tidak mampu menghadapi serangan balas Al-Qassam. -fb datotarmizi.mohdjam












IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





2 ulasan:

obat diet paling laris berkata...

semangat terus pejuang jihad

Tanpa Nama berkata...

al Qassam digeruni Yahudi, tapi Hadi, APCO dan UMNO gelak sakan, buat lawak bodoh