Sambutan 2014 di Dataran Merdeka tanpa bunga api
Sambutan Ambang Tahun Baru 2014 lewat malam tadi di Dataran Merdeka berlangsung tanpa sebarang percikan bunga api, malah konsert ambang Tahun Baru turut ditamatkan sebelum detik 12 malam apabila peserta demonstrasi yang menggelarkan diri mereka Gerakan Turunkan Kos Sara Hidup (Turun) mula memasuki kawasan berkenaan.
Menurut polis, lebih 5,000 peserta demonstrasi Turun mula memasuki kawasan padang di Dataran Merdeka tepat jam 11 malam, selepas mereka berjaya melepasi tiga halangan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk satu halangan menggunakan kereta peronda polis.
Ia menyebabkan dua polis cedera di tangan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, dakwa Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainuddin Ahmad.
Sejurus peserta demonstrasi memasuki kawasan padang yang menjadi lokasi konsert ambang tahun baru, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib dilihat cuba menenangkan keadaan apabila menggesa peserta demonstrasi mengawal emosi dan tindakan mereka.
"Saya berharap takkan timbul masalah berkaitan ketenteraman dan menjejaskan pengunjung kita pada malam ini.
"Berilah peluang kepada semua pihak menyambut tahun baru 2014. Peliharalah keamanan dan keselamatan semua pihak," kata Ahmad Phesal, dan disambut dengan sorakan "Boo..." dan juga "penipu" berulang kali daripada peserta demonstrasi.
Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan, mahupun keganasan direkodkan sepanjang demonstrasi aman tersebut berlangsung.
Demonstrasi berkenaan dilaporkan bermula dari beberapa lokasi berbeza di ibu negara, iaitu di hadapan kompleks membeli belah Sogo, Masjid Jamek sebelum kesemua peserta bertemu di Dataran Merdeka.
Sepanjang perjalanan mereka, peserta demonstrasi yang membantah kenaikan kos sara hidup yang disebabkan oleh kenaikan beberapa barangan seperti bahan api, gula, kadar tarif elektrik dan juga pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) melaungkan slogan "Turun", "Reformasi" dan banyak lagi.
Majoriti peserta yang menyertai himpunan berkenaan dilihat memakai kemeja-T hitam tertera logo dengan perkataan "Turun".
Turut kelihatan menyertai demonstrasi anak muda berkenaan termasuklah beberapa pemimpin politik daripada Pakatan Rakyat (PR) seperti Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli, ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mat Akin, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan beberapa pemimpin badan bukan kerajaan pro pembangkang.
Kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL) ketika mendedahkan hasil kajian mereka sebelum ini memberi amaran kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) agar menangani kenaikan kos sara hidup sekiranya mereka masih ingin memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Malah, beberapa pemimpin BN turut menyuarakan hasrat agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memandang berat hasil kajian berkenaan meskipun Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan memberi jaminan kerajaan sedang berusaha untuk tidak membebankan rakyat dengan kenaikan berkenaan.
Malah, Najib juga dilihat cuba meredakan keadaan dengan mengumumkan 11 langkah penjimatan kerajaan dalam menangani kos sara hidup yang antaranya melibatkan potongan 10% bagi elaun keraian perdana menteri, timbalan perdana menteri, dan juga anggota kabinet.
Sejurus sambutan ambang tahun baru itu ditamatkan lebih awal, peserta demonstrasi Turun kemudiannya dilihat memenuhi kawasan sekitar Dataran Merdeka sambil menyanyi.
Menjelang jam 1 pagi, kumpulan berkenaan dilihat beransur-ansur meninggalkan kawasan Dataran Merdeka.
"Kita pasti akan mengambil tindakan kepada kumpulan yang terlibat dan atas kerosakan serta kekacauan mereka lakukan termasuk kita akan meminta anggota polis yang cedera itu membuat dakwaan," kata Zainuddin.
Sementara itu, beliau menganggarkan jumlah peserta Turun pada malam ini seramai 5,000 orang dan bilangan yang datang ke dataran bagi tujuan sambutan tahun baru ialah seramai 15,000 orang.
Tetapi ia berbeza dengan apa yang dikatakan oleh media alternatif apabila melaporkan jumlah kehadiran peserta Turun lebih daripada 10,000 orang.
Beliau turut menyatakan siasatan awal mendapati beberapa kesalahan telah dilakukan oleh gerakan seperti perarakan ke Dataran Merdeka dimana ia melanggar Seksyen 15 Akta Perhimpunan Awam 205.
"Pihak polis juga tidak menerima notis kebenaran berhimpun dan mereka telah merempuh kesemua halangan serta masuk ke kawasan konsert dimana akan didakwa atas kesalahan menghalang penjawat awam bertugas," katanya.
Oleh demikian, beliau berkata satu pasukan siasatan khas ditubuhkan oleh pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan dan mencari dalang yang terlibat untuk didakwa.
Tambahnya pihak berkuasa juga telah menjumpai senjata iaitu empat parang dan 13 pisau yang ditinggalkan di tepi longkang kompleks Daya Bumi.
Zainuddin turut mengesahkan tiada tangkapan dibuat setakat perhimpunan berlangsung selain mendakwa turut mengenal pasti beberapa ahli politik pembangkang yang dilihat turut menyertai bantahan tersebut.
Beliau juga menegaskan pihak berkuasa kali ini lebih "berlembut" dengan peserta protes kerana mengguna pakai konsep perhimpunan aman yang hanya memantau namun tidak akan bertindak agresif. -TMI
Anak muda berhimpun bantah kenaikan harga barang
KUALA LUMPUR: Seperti sambutan malam tahun baru di Kuala Lumpur sebelum ini, Dataran Merdeka malam tadi penuh sesak dengan orang ramai yang mahu menyambut kedatangan tahun baru dan menikmati persembahan konsert yang dianjurkan saban tahun.
Tetapi tahun ini keadaannya agak berbeza. Kempen oleh Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyaksikan ribuan orang ikut sama berhimpun tetapi dengan tujuan yang lain.
Menjelang pukul 10:30 malam, kumpulan yang memakai baju hitam menempatkan diri di sekitar Dataran Merdeka untuk membantah kenaikan kos sara hidup. Biarpun pihak polis membuat benteng sekatan, lebih kurang pukul 11:20 malam, kumpulan penunjuk perasaan itu berjaya melepaskan diri masuk ke tengah Dataran Merdeka tempat persembahan muzik sedang berlangsung.
Selepas melihat keadaan yang kacau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memutuskan untuk membatalkan acara sambutan. Menjelang tengah malam, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, naik ke pentas untuk berucap bagi meredakan keadaan.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Bukhairy Sofian, berkata hasrat mereka untuk berhimpun di Dataran Merdeka bukannya satu cubaan untuk menggulingkan kerajaan tetapi untuk meluahkan kemarahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup dan harga barang.
Katanya, adalah wajar golongan anak muda dan mahasiswa yang mengetuai gerakan itu kerana merekalah yang paling merasai akibatnya kerana masih belum bekerja dan bergantung kepada pinjaman pelajaran serta bantuan ibu bapa.
Selepas menyanyi dan melaungkan slogan protes, kumpulan yang dianggarkan lebih kurang 3,000 orang itu beredar dengan aman lebih kurang pukul 1 pagi.
Pihak berkuasa sebelum ini memberi amaran bahawa perhimpunan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang. - astroawani
klik untuk baca
4 ulasan:
Sudah kerajaan Najib telah digulingkan kah ? Kalau tidak, apa nama Singh Ampu dan polis perlu meletak jawatan kerana memfitnah rakyat yang hidup dalam sengsara cuba menggulingkan kerajaan Najib.
syabas anak malaysia ! hanya yg kaya kot tak terasa bahana kos sara hidup(baca mati)! ABU !
Jika nak fitnah biar ler pencacai mcm padi jantan ker,parpukari ker,papagomol ker ataupun NGO biru ker yg buay.bila statemen yg mengatakan ada bom,senjata tajam,rusuhan dan perkhemahan datang dari penguasa,maka adalah sesuatu yang malang buat negara.dimana letak segala profesionalisme dikala berkhidmat.penguasa perlu di didik bahawa mereka berkerja untuk negara dan bukan untuk individu tertentu sebab gaji dibayar oleh duit negara.
Dahsyat sungguh manusia yang membelakangkan hukum Allah. Segala tindakan mereka benar2 lari dari landasan Islam, bila la puak2 ni nak insaf, setiap yang hidup akan merasai mati, kita hanya tunggu giliran dipanggil kembali. Biarlah mati dalam husnul khatimah agar aman di sana nanti.
Catat Ulasan