14 Jun 2013

Rundingan Temui Jalan Buntu, Namun Himpunan 505 Tetap Diteruskan


Perhimpunan #Blackout505 tetap akan diadakan di Padang Merbok di sini walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak ingin bekerjasama dengan penganjurnya, kata MP Pandan Rafizi Ramli.

Rafizi berkata alternatif yang ditawarkan oleh DBKL, Stadium Merdeka, tidak sesuai untuk himpunan tersebut kerana ruangnya yang terhad.

Keputusan menolak tawaran ke Stadium Merdeka itu juga diambil setelah PR menimbangkan faktor keselamatan berikutan saiz himpunan yang tidak sesuai untuk kawasan tertutup.

Pada 12 Januari lalu, Stadium Merdeka gagal menampung kebanjiran lebih 100,000 perserta Perhimpunan Kebangkitan Rakyat 112.

Keadaan sesak dan terbatas di stadium itu menyebabkan lebih separuh dari peserta gagal memasuki stadium.

Rafizi juga mendakwa alasan yang diberikan oleh DBKl untuk menolak permitaan penganjur himpunan tersebut sengaja diadakan.

“Pertama, Padang Merbok digunakan untuk aktiviti sukan ringan dan aktiviti sosial, kalau nak kira perhimpunan kita juga adalah satu aktiviti sosial.

“Kedua – lanskap, ketiga – sedang diusahakan untuk laluan basikal dan keempat – lalu lintas,” kata Rafizi selepas menghadiri mesyuarat bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib di menara DBKL pagi tadi.

Rafizi turut melahirkan rasa kecewa atas kegagalan DBKL untuk lebih bertolenrasi dengan PR memandangkan sebelum ini gagasan itu akur dengan kehendak DBKL agar tidak menggunakan Dataran Merdeka dan menukar tarikh perhimpunan dari 15 Jun ke 22 Jun.

Selain Rafizi dan Ahmad Phesal, turut sama menyertai mesyuarat yang berlangsung kira-kira 45 minit itu, MP Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ASP Zainuddin Ahmad, MP Bukit Bintang Fong Kui Lun dan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin. -selangorku


Himpunan 505 tetap diteruskan


Himpunan Blackout 505 tetap diteruskan meskipun Ahli Parlimen pakatan pembangkang akan mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, 24 Jun ini.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, himpunan tersebut tidak akan dibatalkan dan tiada kaitan dengan proses mengangkat sumpah kerana agenda utama himpunan tersebut adalah isu-isu berkaitan penyelewengan yang berlaku sewaktu PRU13.

"Saya yakin, isu-isu seperti dakwat kekal yang tidak kekal, penipuan, akses media dan banyak lagi akan terus diangkat dalam siri himpunan ini.

"Ahli Parlimen akan menjalankan tugas yang diamanahkan seperti biasa. Begitu juga himpunan akan berjalan seperti dirancang," katanya.

Katanya, lokasi himpunan masih sama dan tiada pertukaran lokasi setakat ini.

"Saya pasti, himpunan di Padang Merbok akan mendapat kehadiran yang di luar jangkaan dan percaya himpunan kali ini akan dihadiri lebih ramai berbanding sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menyifatkan himpunan tersebut tidak mengganggu proses angkat sumpah Ahli Parlimen.

"Selain itu, ia lebih ke arah menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia ada meletak jawatan. Kita akan terus memberitahu rakyat bahawa PRU13 dicemari dengan pelbagai penipuan," katanya.
-SH



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

DBKL pun nak main politik jugak.Jadi kuda tungangan UMNO.Lihat aje disekitar KL begitu banyak poster-poster BN masih tidak diturunkan.Bukan sekadar poster malah bil board yang guna struktur besi masih ada.Tak berani nak saman UMNO tapi kalau Pakatan Rakyat yang punya dah lama dirobohkan.