12 Jan 2012

'Bersihkan Malaysia' Pecutan Akhir Pakatan Ke Putrajaya

Pakatan Rakyat akan memasuki pusingan akhir dengan penyusunan agenda khusus dalam usaha membentuk momentum kebangkitan rakyat, ke arah merealisasikan harapan pakatan itu menggantikan BN ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dengan tema 'Bersihkan Malaysia', pakatan tersebut akan melakukan pecutan akhirnya di Alor Setar, Kedah pada 14 Januari ini menerusi Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3, dengan perlaksanaan pelbagai agenda sebagai hala tuju bersama parti-parti gabungannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemilihan tema "Bersihkan Malaysia" bagi konvensyen itu merupakan gambaran komitmen yang tinggi di kalangan parti-parti gabungan Pakatan Rakyat bagi mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam negara sejak BN memerintah.

Menurutnya, dalam hubungan itu, tumpuan utama Pakatan Rakyat adalah terhadap persoalan krisis kepimpinan beramanah yang berlaku di dalam Kerajaan BN sehingga menyebabkan rakyat tertindas dalam pelbagai aspek.

Katanya, akibat krisis kepimpinan beramanah telah mencetuskan pelbagai krisis lain di negara ini termasuk krisis politik, ekonomi dan sosial.

"Semua itu telah menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak sihat dan Pakatan Rakyat perlu mengatasinya dengan meletakkan kembali kepimpinan beramanah demi kepentingan negara serta rakyat dengan tindakan-tindakan yang tegas," katanya pada sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat, di sini, hari ini.

Pemilihan Kedah sebagai tempat konvensyen itu, menurutnya, berdasarkan pusingan, hasil persetujuan bersama parti-parti gabungan Pakatan Rakyat untuk mengadakan program tersebut di negeri-negeri yang berada di bawah pemerintahan pakatan itu.

"Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-1 telah diadakan di Shah Alam, Selangor pada tahun 2009, kedua di Kepala Batas di Pulau Pinang pada tahun 2010 dan kini tibalah pula ke Alor Setar di Kedah," jelasnya yang juga Pengerusi Induk Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menjelaskan, dengan itu dalam masa yang sama, semua pihak akan beralih tumpuan ke Kedah yang berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak, untuk dinilai perkembangannya yang jauh lebih baik berbanding negeri itu berada di bawah pemerintahan BN sebelum ini.

Pada konvensyen tersebut, beberapa kertas kerja akan dibentangkan oleh pembentang-pembentang kertas kerja yang berwibawa meliputi empat aspek terpenting terutama dalam konteks semasa termasuk perkhidmatan awam, federalism, ekonomi dan Felda.

"Kertas kerja mengenai aspek perkhidmatan awam yang melibatkan cadangan kerajaan untuk melaksanakan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dibentangkan oleh Datuk Husam Musa dari PAS, kertas kerja mengenai aspek federalism akan dibentangkan oleh Anthony Loke dari DAP.

"Manakala kertas kerja mengenai aspek ekonomi akan dibentangkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR dan kertas kerja mengenai Felda pula akan dibentangkan oleh Haji Suhaimi dari PKR," tegas beliau.

Konvensyen tersebut akan berlangsung di Stadim Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Suka Menanti dengan melibatkan 600 perwakilan bagi setiap parti gabungan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP, bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang, manakala pada sebelah malamnya akan diadakan Rapat Rakyat Perdana.

Pada acara Ucapan Pembukaan Pimpinan yang bermula jam 9.15 pagi, pemimpin-pemimpin yang akan berucap termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Senator Tunku Abdul Aziz, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Mulai jam 10.30 pagi pula, akan bermula acara Ucapan Suara Nurani Rakyat Malaysia yang dipengerusikan oleh Datuk Johari Abdul yang turut melibatkan wakil Felda, Siti Khalijah; wakil penjawat awam, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab; wakil Sabah, Tan Sri Simon Sipaun; wakil Sarawak, Nicholas Mujah; wakil budayawan, Dinsman; wakil akademik, Profesor Dr Nazari Ismail; wakil NGO, Datuk Ambiga dan wakil pemuda atau pelajar, Shukri Razab.

Mulai jam 11.45 pagi akan diadakan perbahasan perwakilan sehingga ke waktu rehat jam 1.15 petang yang akan disambung pula ke jam 2.30 petang dan akan disusuli dengan Pembacaan Ikrar Setia Para Perwakilan pada jam 3.00 petang.

Ini akan disusuli dengan ucapan penggulungan pimpinan yang dipengerusikan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dengan melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi DAP, Karpal Singh; Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Acara Rapat Rakyat Perdana yang akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bermula jam 7.00 malam dengan solat Maghrib dan Isyak berjamaah dan kemudian disusuli dengan ceramah oleh tokoh-tokoh penting Pakatan Rakyat.

Mereka terdiri daripada Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Tan Seng Giaw, Tan Sri Khalid Ibrahim, Mohamed Azmin Ali, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Karpal Singh, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir pada sidang media itu, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Naib Presiden PKR, N Surendran dan Naib Pengerusi DAP, Tan Kok Wai. -HD



Tiada ulasan: