1 Jan 2010

Orang Melayu Perlu Tinggalkan UMNO Sokong PAS

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi menggesa masyarakat Melayu di negara ini segera menyokong perjuangan yang dibawa oleh Pas bagi mengelak parti itu menjadi pemerintah minoriti sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Menurutnya, peralihan tersebut penting sekiranya orang Melayu sayang dan ingin mempertahankan kuasa politik bangsa ini sepertimana yang dibimbangi sesetengah pihak.

“Melihat kepada senario politik hari ini, kita yakin bahawa PR akan menang dalam PRU 13 nanti, jadi jika orang Melayu masih menyokong UMNO, Pas yang berada dalam PR pada masa tersebut akan menjadi golongan minoriti dalam kerajaan.

“Oleh itu, dalam usaha untuk memberikan kekuatan politik kepada Melayu Islam ini, orang Melayu mesti segera menyertai Pas untuk membentuk komponen lebih besar dan menjadi parti majoriti dalam kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Kursus Penerapan Nilai-nilai Ubudiah dalam Amal Jamaie di Tok Bali.

Che Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu berkata dalam pilihan raya umum nanti BN mungkin dapat menguasai beberapa kerusi namun, tidak mampu untuk mengekalkan kuasa sebagai pemerintah.

“Kalau Melayu berkeras dengan menyokong Barisan Nasional (BN), UMNO boleh jadi menang beberapa kerusi tapi tidak mampu membentuk kerajaan, yang akan menjadi kerajaan adalah Pas bersama PR.

“Oleh itu, jika orang Melayu tak sokong Pas sedangkan bangsa lain memberi sokongan kepada DAP dan PKR, kita akan hilang kuasa,” katanya.

Katanya, hanya orang Melayu yang masih terpedaya dengan UMNO, sedangkan bangsa lain telah pun meninggalkan BN dan memberi sokongan kepada DAP dan PKR.


“Apabila PR menang, UMNO sudah tidak mampu mentadbir kerajaan, sebaliknya Pas yang akan memerintah bersama PR, tetapi kita akan hilang kuasa dan ditohmah sebagaimana yang berlaku kepada Negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata, rakyat kini semakin bijak memilih dan jelas bahawa senario politik hari ini menunjukkan mereka sudah tidak mahukan BN lagi dan beralih kepada PR.

Mengulas isu lompat parti yang menyebabkan Perak jatuh ke tangan BN, Che Abdullah menegaskan bahawa satu-satunya langkah terbaik untuk mengatasi masalah itu adalah dengan menguburkan UMNO.

“Sebagaimana kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, buruknya UMNO ini rapat ke usus. Jadi mengapa kita masih mahu mempertahankan UMNO sedangkan orang mereka sendiri membuka pekung di dada,” katanya. -SH


2 ulasan:

Siswa berkata...

Mungkin pas perlu mengkaji strategi menarik pengundi yang berusia.

Kerana penyokong umno byk dari usia emas. Masih ramai totok umno ni berfikiran pas parti sesat.

Lantiklah yang bijak pandai ketuai strategi ni terutama dari golongan muda. Golongan muda dan PROFESIONAL byk idea utk diketengahkan jika ada peluang.

Tanpa Nama berkata...

pengundi muda sokong PAS, jadi UMNO perlu dibubarkan, semua masuk PAS..