1 Mac 2009

Peguam: Sidang Tergempar DUN Perak Sah!

Peguam kepada V.Sivakumar, Chan Kok Keong menyatakan bahawa Sidang tergempar DUN Perak yang dipanggil oleh Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, V. Sivakumar, adalah SAH.

Menurut Chan, Speaker DUN Perak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memanggil sidang tergempar dewan undangan negeri. Chan menyatakan bahawa sidang dewan undangan negeri Perak hanya ditangguhkan pada November tahun lalu dan oleh kerana itu Speaker mempunyai kuasa untuk memanggil persidangan tergempar 3 Mac ini.

Persidangan tersebut memenuhi segala peruntukan Perintah Tetap Dewan Negeri dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan serta perjalanan parlimen yang biasa terpakai di dalam negara-negara komanwel.

"Speaker mempunyai kuasa yang cukup untuk memanggil persidangan yang ke 4 dari seksyen pertama dewan undangan negeri Perak"

Chan juga menyatakan beliau telah merujuk kepada pakar perlembagaan Tommy Thomas (gambar) yang bersetuju bahawa Speaker V.Sivakumar mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar itu.

Beliau menambah Sivakumar akan memanggil beberapa orang peguam lagi untuk menerangkan hal-hal perundangan kepada ahli-hli dewan semasa sidang tergempar itu nanti.

Dalam perkembangan berkaitan Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong, YB Khalil Idham Lim (gambar) mempertikaikan kesahihan kenyataan akhbar itu samada ia benar-benar datang dari Setiausaha Dewan Negeri Perak, Abdullah Antong Sabri dan percaya bahawa kenyataan akhbar tersebut bertujuan untuk mengkambing hitamkan Setiausaha Dewan.

Beliau menyatakan bahawa Setiausaha Dewan, Abdullah Antong Sabri adalah seorang yang memegang dua jawatan yang berbeza tugas dan peranannya dan mendakwa bahawa ada usaha untuk mengagalkan sidang ini oleh Penasihat Undang-undang kerajaan negeri.

Mengikut Khalil, kenyataan tersebut jelas atas arahan pihak tertentu. Beliau tahu sangat bahawa Abdullah tidak akan melakukan sesuatu tindakan melainkan berpandukan kepada undang-undang dan perlembagaan.

Sementara itu kenyataan yang dikeluarkan petang ini yang dikatakan datang dari Abdullah Antong Sabri menampakkan pelbagai percanggahan dan amat mengelirukan.

Menurut kenyataan itu Speaker gagal untuk mematuhi Peraturan Tetap 8(1) yang menyatakan notis 14 hari diperlukan sebelum dimulakan mesyuarat penggal baru atau sebelum diadakan mesyuarat dewan.

Tetapi kenyataan akhbar itu tidak menjelaskan sehingga akhir Peraturan Tetap 8(1) tersebut iaitu:

"Sekurang-kurang empat belas hari sebelum dimulakan mesyuarat penggal baru atau sebelum diadakan semula mesyuarat Dewan, Setiausaha Dewan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli suatu notis bertulis menarik perhatian kepada pemasyuran memanggil dewan dengan syarat bahawa dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan dan dalam keadaan demikian notis itu hendaklah dikeluarkan dengan seberapa segera yang boleh."

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Setiausaha DUN Perak Abdullah Antong Sabri selaku seorang Penjawat Awam jelas telah melanggar peraturan Perintah-Perintah Am (General Order), apabila beliau telah membuat kenyataan rasmi dan kenyataan tersebut juga telah dikeluarkan melalui media.


Menurut Perintah2 Am (General Order)
BAB D - Peraturan2 Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993

Peraturan 19 (Membuat Pernyataan Awam)

(1) Seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain—

(a) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan tentang apa-apa isu;

(b) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama Kerajaan ;

(c) membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan ;

(d) mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain.

(2) Seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain—

(a) membuat apa-apa ulasan tentang kelebihan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan ;

(b) memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan perjalanan fungsi Kerajaan;

(c) memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang melibatkan Kerajaan ; atau

(d) menyebarkan apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan sedemikian sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain,

melainkan jika kebenaran bertulis, sama ada secara am atau khusus, telah diperoleh terlebih dahulu daripada Menteri.

(3) Subperaturan (2) tidaklah terpakai bagi apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan yang dibuat, diberikan atau disebarkan jika kandungan ulasan, maklumat atau penjelasan itu telah diluluskan oleh Menteri.

(4) Bagi maksud peraturan ini, “pernyataan awam” termasuklah apa-apa pernyataan atau ulasan yang dibuat kepada pihak akhbar atau orang ramai atau semasa memberikan apa-apa syarahan atau ucapan awam atau dalam apa-apa penyiaran atau penerbitan, tanpa mengambil kira caranya.