27 Jun 2013

Apa Sahaja Yang Dibeli Kerajaan Malaysia Akan Lebih Mahal

Peningkatan kos pembelian ‘dakwat kekal yang tidak kekal’ bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu didakwa meningkat tiga kali ganda daripada kos yang dikeluarkan pada pilihan raya sebelumnya iaitu sebanyak RM7.1juta.

Pada Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU-12) tahun 2008 lalu, jumlah kos yang digunakan untuk pembelian dakwat kekal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebanyak RM2.4 juta walaupun dakwat kekal itu dimusnahkan selepas tidak dibenarkan oleh kerajaan beberapa hari sebelum pilihanraya berlangsung.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, jumlah pengundi pada 2008 adalah sebanyak 10.9 juta orang manakala pengundi pada 2013 adalah sebanyak 13.2 juta orang dan ia melibatkan pertambahan hampir 20 peratus sahaja.

Menurutnya, pertambahan pengundi sebanyak 20 peratus menyebabkan peningkatan kos dakwat kekal sebanyak tiga kali ganda adalah sangat mengejutkan.

“Saya amat terkilan dengan jawapan dari SPR melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam yang mendedahkan jumlah kos untuk penggunaan dakwat kekal dalam PRU-13 adalah sebanyak RM7.1 juta,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mempersoalkan kos pembelian sangat tinggi oleh Kerajaan Pusat untuk membeli sesuatu barangan.

Sebagai contoh, Kerajaan India menyumbangkan 40,000 botol dakwat kekal kepada Cambodia bagi tujuan pilihan raya dengan kos RM2.8 juta (US$877,800) pada 19 Jun lalu.

“Mengapa perbezaan kos ini begitu ketara dan apa sahaja yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia sentiasa lebih mahal?.

“Semuanya lebih mahal, kereta perisai lebih mahal, kapal selam pun lebih mahal,” soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menggesa Kerajaan Pusat mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal dakwat berkenaan yang gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Bagaimanapun, pembekal dakwat berkenaan dilindungi oleh SPR yang merahsiakan maklumat syarikat tersebut atas sebab keselamatan.

Menurut Anthony, tiada sebab maklumat pembekal dakwat berkenaan dirahsiakan kerana PRU-13 sudah berakhir.

Akhirnya Idris Haron Menjilat Ludahnya Sendiri


KM: 300 peniaga Jonker Walk boleh berniaga seperti biasa

Kira-kira 300 peniaga boleh meneruskan perniagaan mereka seperti biasa di kawasan pasar malam Jonker Walk pada setiap hujung minggu, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.

Beliau berkata, arahan penutupan gerai yang kebanyakkannya menjual cenderamata di Jonker Walk itu hanya salah faham, sebaliknya penutupan itu hanya melibatkan laluan kenderaan di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, jalan sekitar Jonker Walk yang menjadi tumpuan pelancong itu dibuka semula untuk kenderaan yang ketika ini ditutup bermula 6 petang hingga 12 malam pada setiap Jumaat hingga Ahad bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

"Arahan pembukaan jalan ini, berikutan aduan orang ramai dan pelancong mengenai kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut terutama pada hujung minggu," katanya kepada Bernama di Melaka hari ini.

Idris berkata isu menghalang peniaga berniaga di Jonker Walk pada hujung minggu, sengaja dimanipulasikan pihak tertentu demi kepentingan politik mereka.

Ditanya sama ada pembukaan jalan tersebut menyukarkan pengunjung dan peniaga, Idris berkata: "saya tidak fikir begitu".

Sebagai contoh, katanya di Oxford City, England peniaga menjalankan perniagaan di kaki lima jalan raya dan kenderaan dibenar melalui kawasan disitu.

Sebuah akhbar bahasa Cina pada Isnin memetik Idris sebagai berkata mesyuarat Exco pada 12 Jun lepas, memutuskan menutup pasar malam berkenaan demi memenuhi hasrat rakyat. -Bernama

Zahid Hamidi Gagal Ketepikan Kes Saman Terhadapnya Daripada Dibicarakan


Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggunakan semua ruang undang-undang untuk menghalang kes saman terhadapnya didengari di mahkamah.

Mahkamah Persekutuan pagi ini menolak permohonan menteri dalam negeri itu yang cuba mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah lebih rendah mengatakan kes saman itu perlu dibicarakan.

Saman itu difailkan oleh Amir Bazli Abdullah terhadap Ahmad Zahid yang dituduh menumbuk mukanya pada 16 Januari 2006 di Kelab Rekreasi Country Heights di Kajang, Selangor.

Amir Bazli mengalami patah hidung (kecederaan kekal) dan rosak kekal di bahagian sebelah kiri mata.


Lima orang Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Tan Sri Md Raus Sharif mengatakan persoalan undang-undang sudah selesai.

"Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kes itu perlu dibicarakan dan Mahkamah Rayuan mempunyai pendapat sama," kata hakim itu.

"Biarlah ini dibicarakan di mahkamah dan biarkan mahkamah membuat keputusan. Dia akan mempunyai ruang untuk merayu kemudian."

Md Raus kemudian menolak permohonan Ahmad Zahid dengan kos RM5,000.

Semasa kejadian itu dikatakan berlaku, Ahmad Zahid merupakan timbalan menteri penerangan.

Dalam satu kenyataan tuntutannya, Amir Bazli berkata, kira-kira jam 10 malam pada 16 Jan, 2006, dia berada di sebuah stesen minyak di Bangi apabila ejen defendan mendekati dan mengugutnya.

Mereka membawanya secara paksa ke kelab rekreasi Country Heights di Kajang.

Terdapat, plaintif menyaksikan Ahmad Zahid dengan menantunya bernama Hisham dan anak lelakinya yang dikenali sebagai KK. Terdapat juga beberapa yang lain bersama mereka. -TMI

Najib Guna "Nama Palsu", Jingga Buat Laporan Polis

Badan bukan kerajaan (NGO) Jingga 13 hari ini membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana membuat afidavit palsu kes Liwat II yang difailkan dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 dan 23 September 2011.

Koordinator Jingga 13 Fariz Musa dalam laporan berkata, Najib dalam afidavit berkenaan telah membuat kenyataan secara bersumpah memberikan nama penuh beliau sebagai ‘Najib bin Tun Hj. Abdul Razak’.

Manakala isterinya Datin Seri Rosmah Mansor juga ada membuat afidavit pada 21 September 2011 dan menyatakan secara bersumpah juga yang nama penuh suami beliau ialah Najib dan bukan Mohd Najib.

Kenyataan bersumpah itu dilakukan Najib dan Rosmah dihadapan Pesuruhjaya Sumpah Malaysia Abdul Karem Hassan.

Bagaimanapun menurut Fariz semasa hari penamaan calon 20 April lalu, Najib telah mendaftarkan nama penuhnya sebagai Mohd Najib dan diterima oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kawasan Parlimen Pekan.

Sekaligus menjadikannya bercanggah dengan nama yang difailkannya dalam afidavit kes Liwat II.

“Saya mempunyai sebab untuk mempercayai Pengerusi SPR sendiri telah mengetahui perkara ini sebelum hari penamaan calon dan boleh menjangka percanggahan berkaitan nama sebenar Najib akan berlaku,” katanya.

Laporan polis dikemukakan Fariz di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini tengahari semala m.

Beliau dalam laporan turut merujuk kepada dua artikel bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim yang disiarkan FMT “Usulkan undi tidak percaya terhadap Najib” yang disiarkan pada 17 Jun lalu dan “Pencalonan Najib dalam PRU13 ditolak?” pada 15 April lalu.

Mat Zain dalam artikelnya berkata kes sama pernah terjadi dalam sejarah undang-undang Malaysia apabila seorang wanita Sharma Kumari Shukla dijatuhkan hukuman penjara enam tahun setelah didapati bersalah membuat dua afidavit palsu berkaitan dengan nama penuh beliau.

Sehubungan itu, Fariz menggesa polis menyiasat Najib kerana dikatakan telah membuat afidavit palsu dalam perbicaraan kes liwat dan dengan menggunakan nama berlainan semasa mengisi borang pencalonan PRU13.

Beliau juga menggesa polis menyiasat tindakan Pengerusi SPR kerana cuba bersubahat dengan Najib menyorokkan maklumat penting, iaitu mengenai percanggahan nama terbabit, di luar pengetahuan calon lawan dan pengundi kawasan Pekan.

"Perbuatan menyorokkan maklumat mustahak seperti di atas boleh dikatakan sebagai perbuatan menipu,” tegasnya. -FMT

Blogger Milosuam Dikenakan Ikatjamin RM15,000

Kota Kinabalu: Blogger yang berpangkalan di Melaka 'Milosuam' didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu kerana menyiarkan kenyataan bertujuan menyebabkan ketakutan orang ramai ketika pencerobohan askar Sulu.

Yusuf Al Siddique Suratman, 29, mengaku tidak bersalah terhadap penyiaran blog di bawah tajuk (Maklumat Sulit: Pendatang Asing Bakal Cetus Huru-Hara di Sabah) yang mana dia turut mendakwa 1,500 warga asing akan menyebabkan huru-hara di Sabah dengan menyiarkan dokumen yang didakwa oleh pihak polis.

Yusuf, didakwa pada Selasa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan rasa takut dan menghadapi maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Edward Paul menetapkan tarikh perbicaraan pada 22-23 Julai dan membebaskan Yusuf dengan ikat jamin RM15,000 dan seorang penjamin tempatan.

Dia juga telah diarahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan Jamil Aripin memberitahu mahkamah bahawa tertuduh telah didakwa di Kota Kinabalu kerana blog itu telah dibaca secara meluas di Sabah.

Peguam Yusuf Erveana Ansari berkata mereka telah memohon kepada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes itu ke Kuala Lumpur.

Terdahulu, Jamil telah membantah ikat jamin untuk Yusof atas alasan Yusuf adalah dari Semenanjung Malaysia tetapi Erveana berhujah bahawa tidak ada sebab untuk tertuduh melarikan diri dengan kesalahan kecil.

Beliau berkata bahawa Yusuf telah berkahwin pada 29 Jun dan sebagai bukan rakyat Sabah, dia perlu menghabiskan lebih banyak wang untuk perjalanan di sini. -mstar

LAPORAN SEBELUM INI


Penahanan Milo Suam cubaan sekat blogger pro Pakatan – Sivarasa


PETALING JAYA 3 MEI: Penahanan blogger pro Pakatan Rakyat, Milo Suam adalah cubaan polis untuk menyekat beliau dari terus mendedahkan maklumat sehingga tamat pilihan raya, kata Ahli Biro Politik KEADILAN, R Sivarasa.

Milo Suam atau nama sebenarnya Yusuf Al-Siddique ditahan pada 1 Mei lalu di bawah Akta Rahsia Rasmi (1972) kerana mendedahkan dokumen sulit milik polis berhubung maklumat wujud pencetus huru-hara pada 5 Mei nanti.

Melalui maklumat dalam dokumen tersebut, Milo Suam mendedahkan seramai 1,400 pendatang asing di Kota Kinabalu dan Tawau, Sabah akan membuat huru-hara pada hari mengundi.

“Kita mempersoal apa motif penahanan itu sedangkan Milo Suam ada menyebut bahawa dokumen dalam bentuk emel berantai itu belum disahihkan kebenarannya kerana ramai pihak turut menerimanya,” kata Sivarasa pada sidang media hari ini.

“Beliau (Milo Suam) juga ada menasihatkan orang ramai yang menerima e-mel itu supaya membuat pertimbangan wajar kerana ia belum disahkan benar, tetapi dengan penahanan ini, ia seolah-olah mengesahkan kebenaran maklumat dalam dokumen tersebut,” katanya lagi.

Menurut Sivarasa, punca utama penahanan itu tidak kukuh untuk membolehkan Milo Suam ditahan, justeru beliau menyifatkan penahanan itu bermotif politik demi menyekat kebebasan blogger pro Pakatan.

“Kita amat terkejut macam mana tulisan itu dijadikan alasan kukuh untuk tahan seorang blogger. Umum tahu dia menyokong Pakatan dan berpengaruh di kalangan blogger, jadi kita sifatkan penahanan ini berniat jahat,” tegasnya.

“Milo Suam sepatutnya direman sehingga hari ini, tetapi tadi kita dimaklumkan kononnya ada laporan lain terhadap beliau. Oleh itu beliau akan terus ditahan lagi, jelas sekali ada motif politik di situ,” jelasnya.

Beliau turut membidas penahanan mangsa di bawah OSA sebagai ugutan kepada kebebasan media.
-KD(3/5/2013)

Dakwat Kekal: Putarbelit Oleh SPR Untuk Pertahankan Penipuannya!


SSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui hari ini di Dewan Rakyat tiada bahan kimia yang digunakan dalam dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, sebaliknya digantikan dengan pewarna makanan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu dalam transkrip jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang mahu SPR menjelaskan kandungan dakwat kekal tersebut memandangkan keberkesanannya semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dipersoalkan kerana boleh ditanggalkan.

"Tiada kandungan bahan-bahan kimia digunakan dalam dakwat tersebut sebaliknya ianya digantikan dengan penggunaan bahan-bahan pewarna makanan yang diluluskan," kata Shahidan hari ini.

Kenyataan tersebut nyata berbeza dengan penjelasan SPR sebelum ini yang mengatakan mereka menggunakan Nitrat Perak dalam dakwat kekal sebelum ini dan memberikan alasan pengurangan kandungan tersebut sebagai punca kemelut dakwat kekal tersebut ditanggalkan berlaku.

Shahidan juga berkata tarikh luput dakwat kekal adalah empat bulan daripada tarikh ia dikeluarkan serta menyalahkan pengundi yang sengaja berusaha menanggalkan dakwat tersebut sebagai punca ia tidak kekal.

"Tarikh luput dakwat kekal adalah dalam tempoh empat bulan dari tarikh ianya dikilangkan.

"Kesan ketahanan penggunaan dakwat kekal adalah tertakluk kepada individu dan usaha-usaha yang dilakukan bagi tujuan menghilangkan dakwat kekal berkenaan," katanya lagi.

Dalam jawapan bertulis lagi, Shahidan juga memberitahu dewan sejumlah RM6.9 juta dibelanjakan untuk penggunaan dakwat kekal disamping perbelanjaan tambahan RM200 ribu meliputi kos pengangkutan, pembungkusan serta penyimpanan dan menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM7.1 juta.

Shahidan turut berkata SPR tidak bercadang untuk memaklumkan maklumat pembekal dakwat kekal kepada umum atas sebab keselamatan.

Pakatan Rakyat menyalahkan penipuan pilihan raya menyebabkan mereka tidak menjadi kerajaan walaupun menang undi popular dalam Pilihan Raya 2013.

Isu dakwat kekal yang boleh ditanggalkan antara penipuan didakwa oleh PR dilakukan oleh SPR, malahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lalu dalam perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), telah menggesa orang awam untuk membuat laporan polis jika mereka berhadapan dengan insiden dakwat kekal tanggal daripada jari mereka sebaik mengundi pada 5 Mei lalu.

Malahan, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan dakwat kekal yang digunakan pada PRU13 tidak kekal lama selepas dicalit.

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kuasa dalam pilihan raya 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen, lebih 21 daripada syarat 112 kerusi Parlimen untuk menang majoriti mudah.

Walau bagaimanapun, kemenangan BN kali ini lebih kecil di Parlimen sejak negara Merdeka pada 1957.

PR enggan menerima kekalahan tersebut, sebaliknya mempertahankannya dengan kemenangan undi popular sebanyak 51 peratus berbanding BN 48 peratus — keputusan sama yang diperoleh pemerintah pada 1969 selepas kehilangan undi popular.

PR juga telah memfailkan 39 petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan di dalam 25 kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana BN menang dengan majoriti kecil, yang didakwa mereka hasil penipuan semasa pilihan raya.

Walaupun tedapat bantahan besar ke atas pengendalian PRU13, SPR menegaskan mereka telah menjalankan pilihan raya secara adil dan berjaya, serta memberikan jumlah tinggi yang keluar mengundi sebanyak 84.84 peratus sebagai bukti keyakinan terhadap sistem pilihan raya di Malaysia. -TMI

LAPORAN SEBELUM INI

Dakwat kekal tidak boleh ditanggal, kata pengerusi SPR



KUALA LUMPUR, 30 April — Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan minyak enjin motor atau bahan-bahan lain boleh digunakan untuk menanggalkan dakwat kekal pada pengundi, pelbagai bantahan tercetus mengatakan ia tidak boleh kekal seperti dikatakan.

Abdul Aziz berkata dakwat yang digunakan SPR tersebut mengandungi bahan nitrat perak (silver nitrate) yang meresap ke dalam kulit dan mustahil ia ditanggalkan dengan sebarang cara walaupun dengan apa cara sekalipun, malah bahan seperti minyak ataupun bahan-bahan lain tidak boleh menanggalkannya.

“Mustahil, saya tidak percaya dakwat kekal itu boleh ditanggalkan... gunalah minyak atau bahan apa pun, ia tidak boleh ditanggarl kerana ia dibuat daripada nitrat perak.

“Bila dakwat itu diletak pada kuku, ia akan meresap ke dalam kulit,”
kata Abdul Aziz.

Walaupun kesan pada kuku itu boleh hilang jika dibasuh atau dengan menggunakan minyak, Abdul Aziz menegaskan kesannya pada kulit masih lagi boleh dilihat dan pengundi tidak akan dapat menipu untuk mengundi sebanyak dua kali seperti yang didakwa sebelum ini.

“Kalau dia guna minyak atau basuh pun, kesannya pada kulit masih ada... pegawai bertugas boleh melihat dan menghalang daripada pengundi tersebut mengundi sebanyak dua kali,” terang Abdul Aziz lagi.

Abdul Aziz berkata dakwat kekal tidak akan hilang selama tujuh hari bagi mereka yang mengundi awal, serta menggesa sekiranya pihak tersebut mempunyai bukti supaya tampil ke hadapan dan buktikan dakwaan tentang penggunaan petrol untuk menanggalkan dakwat tersebut.

“Tak boleh tipu mengundi dua kali, dakwat kekal yang pengundi awal gunakan tidak akan hilang dalam masa tujuh hari.

“Kalau mereka ada bukti, saya harap tampillah buat aduan kepada SPR,” katanya lagi.

SPR telah menyediakan lebih 200,000 unit botol dakwat kekal untuk kegunaan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Daripada jumlah itu, 10,000 botol akan digunakan untuk pengundi awal, manakala selebihnya untuk kegunaan pengundi biasa.

Sejumlah hampir 13.3 juta pengundi termasuk 5,200 pengundi luar negara layak untuk mengundi untuk memilih 222 wakil di Parlimen dan 505 wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri. Sarawak telah menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.
-TMI (30/4/2013)

26 Jun 2013

Speaker K'jaan Minoriti BN Masih Seperti Dulu, Berat Sebelah & Tidak Profesyenal


Speaker biarkan menteri ‘haram’ masuk Dewan Rakyat

Sikap tidak peduli Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk mengarahkan dua menteri dan tiga timbalan menteri yang dilantik secara melanggar perlembagaan keluar dari dewan amat dikesali.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam sidang medianya berkata, permohonan supaya speaker berbuat demikian sebanyak dua kali langsung tidak dilayan.

“Saya tanya Speaker untuk buat keputusan untuk halau tapi tak ada apa-apa berlaku, tak ada orang keluar.

“Mereka (menteri dan timbalan menteri) tidak layak berada di dewan ini,” katanya tegas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, Thomas Su Kiong Siong berkata, sepatutnya speaker bertindak profesional dan bertanggungjawab.

“Artikel 43 perlembagaan telah jelas menyatakan seseorang menteri atau timbalan menteri hanya boleh dilantik jika mereka adalah ahli kepada Dewan Rakyat mahu pun Dewan Negara.

“Ahli Parlimen Ipoh Barat tempoh hari sudah failkan perkara ini ke mahkamah. Jika Mahkamah putuskan perlantikan merka tak ikut Perlembagaan. Ini memang amat-amat memalukan,” katanya. – Roketkini

KPN Yang "Mesra UMNO BN" Itu Bertanggungjawab Terhadap Kematian Kugan


Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar dipertanggungjawabkan ke atas kematian A. Kugan ketika berada dalam tahanan polis, kerana didera secara fizikal semasa soalsiasat polis empat tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk V. T. Singham mengatakan, Khalid yang pada ketika itu merupakan ketua polis Selangor, cuai untuk memastikan keselamatan tahanan dalam kes ini.

Keputusan hakim ini dijangkakan akan membuka ruang kepada lebih banyak saman kepada pihak polis.

Singham, dalam membenarkan saman kecuaian itu berkata, beliau juga percaya kecederaan yang berlaku ke atas Kugan tidak mungkin dilakukan oleh seorang pegawai.

"Mahkamah juga mendapati beberapa percanggahan ketara antara Khalid dan lain-lain saksi berkenaan dengan penyiasatan ke kematian si mati," katanya.

"Tiada seorang pun dalam mana-mana kedudukan atau pangkat apabila memberi keterangan di mahkamah mengambil mudah mahkamah ini dan cuba menutup kebenaran untuk melarikan diri."

Singham juga memuji peguam hak asasi manusia, N. Surendran yang membawa kes ini dan membantu untuk bedah siasat kedua dilakukan.

"Jika tidak kerana dia, perkara itu telah disapu di bawah karpet."

Beliau juga berkata terdapat keperluan segera untuk mempertimbangkan cadangan suruhanjaya diraja itu dalam menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana peningkatan kematian dalam tahanan.

Singham juga memberikan pampasan sebanyak RM851,700 kepada N. Indra di atas serangan terhadap Kugan, penahanan salah, kecuaian dan pampasan kecederaan dan penderitaan.


Keluarga Kugan telah memfailkan tuntutan RM100 juta terhadap polis dan kerajaan, secara spesifiknya menamakan Khalid, mendakwa beliau cuba menyembunyikan punca kematian Kugan.

Ibu Kugan, N. Indra menamakan salah seorang pegawai penyiasat mangsa, bekas anggota polis V. Navindran sebagai salah satu lagi defendan.

Ibunya mendakwa defendan-defendan gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan Kugan semasa berada dalam tahanan polis. Kugan yang pada ketika itu berumur 22 tahun, ditahan di Puchong pada 14 Januari 2009, satu malam di lokap balai polis Puchong Jaya sebelum polis mendapatkan perintah reman.

Beliau kemudiannya dibawa ke balai polis Taipan USJ, Subang Jaya dua hari kemudian untuk disoal siasat. Akan tetapi, empat hari kemudian, beliau ditemui mati.

Navindran merupakan satu-satunya orang yang dipertanggungjawabkan untuk kematian Kugan. Beliau didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun. Beliau kini merayu di mahkamah berhubung hukuman itu. -TMI

Ulasan GB

Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara yang baru amat terkenal dengan sikapnya yang "mesra UMNO BN". Sebarang aduan mengenai pemimpin Pakatan Rakyat akan segera disuruh siasat tetapi jika aduan mengenai pemimpin UMNO BN, sengaja dilengah-lengahkan malah lansung tiada siasatan.

Dengan keputusan hakim pada hari ini, KPN tersebut sewajarnya meletakkan jawatannya kerana beliau cuai di dalam mempastikan anak buahnya tidak menyalahgunakan kuasa disamping beliau sendiri, menurut keluarga Kugan cuba menyembunyikan punca kematian Kugan.

[VIDEO] Selepas Jerebu, Singapura Dilanda Hujan Batu

Penduduk di Jurong di sini hari ini mengalami hujan batu ketika hujan lebat dan ribut kencang melanda negara ini Seloasa petang.

Seorang penduduk di Jurong Timur Vanitha Subramaniam, yang pada masa itu sedang bekerja, berkata beliau menerima panggilan daripada ibunya memberitahu mengenai hujan batu itu.

"Ibu saya menggambarkan hujan lebat setengah jam itu seperti air batu jatuh dari langit," katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Straits Times (ST) melaporkan Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) mengesahkan kejadian hujan batu yang dialami sesetengah penduduk terutama yang tinggal di bahagian barat Singapura itu, bukan disebabkan pembenihan awan di Indonesia.

Ditanya jika hujan batu itu berkaitan dengan jerebu, NEA hanya berkata ia adalah satu kemungkinan tetapi tidak dapat mengesahkannya.

Bagaimanapun, NEA berkata hujan lebat petang ini bukan toksid.

Kali terakhir hujan batu berlaku di republik ini ialah pada 27 Mac 2008.

Sementara itu, NEA dalam kenyataannya berkata sehingga 9 malam, Indeks Pencemaran Udara (IPU) tiga jam di republik ini ialah 59, manakala bacaan 24 jam ialah dalam lingkungan 52 hingga 59.

Untuk tempoh satu atau dua hari akan datang, ia meramalkan angin akan bertiup dari selatan atau tenggara menyebabkan sedikit jerebu.

Bacaan IPU 24 jam pada Rabu dijangka berada pada tahap sederhana iaitu 51-100. -Bernama


Seorang Exco Terengganu Meninggal Dunia, Pilihanraya Kecil Pertama

Seorang anggota Exco kerajaan negeri Terengganu Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat paru-paru berair hari ini, tujuh hari selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Laporan Berita Harian online menyebut, A Rahman, 55, meninggal dunia pada jan 10.18 pagi ini di hospital berkenaan di Kuala Terengganu.

Satu pilihan raya kecil dijangka akan diadakan ekoran kematian ADUN Kuala Besut itu, yang meninggal dunia hanya beberapa minggu selepas pilihan raya umum 5 Mei.

Dalam pilihan raya tersebut, A Rahman menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Kawasan berkenaan terdiri dari lebih 16,600 pengundi, yang mana 99 peratus daripadanya terdiri dari pengundi Melayu. -mk
Adun Kuala Besut meninggal, pilihan raya kecil pertama


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak minggu lalu, meninggal dunia pagi ini.

Allahyarham, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.40 pagi ini.

Beliau disahkan meninggal dunia akibat paru-paru berair.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, Allahyarham menang terhadap calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah mendapat 6,375 undi.

Kuala Besut mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan peratusan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 Peratus Cina dan 0.1 peratus India.

PAS rakam takziah

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa agar keluarganya bersabar dengan ujian yang dihadapi ini.

"Saya berharap keluarga Allahyarham bersabar dan menerima hakikat setiap manusia akan berakhir dengan kematian, termasuk kita. Mudah-mudahan Allahyarham ditempatkan ditempatkan di kedudukan yang terbaik di sisi-Nya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan PAS akan mengadakan ziarah, hari ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang agak 'friendly' dan tidak terlalu protokol dengan masyarakat.

"Ada kelebihan bagi batang tubuh Allahyarham, di mana tidak terlalu protokol dengan masyarakat dan memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat. Moga-moga segala khidmat beliau itu mendapat ganjaran sebaiknya," kata beliau lagi.
-HD


[BERGAMBAR] Bumbung Runtuh Di Kuarters Kerajaan Blok B, Presint 15 Putrajaya


Putrajaya: “Mulanya saya nampak awan gelap diikuti bunyi angin. Selepas itu, saya nampak sampah berterbangan dan zink jatuh diiringi bunyi dentuman kuat,” kata Mohd Ridzuan Mat Sharif, 33, penduduk Blok B Kuarters Kerajaan Presint 15, di sini ketika menceritakan ribut di kawasan kediamannya, semalam.

Dalam kejadian itu jam 6.45 petang itu, sebahagian bumbung zink di tingkat 15, blok berkenaan jatuh secara tiba-tiba berikutan angin kencang dan hujan lebat sebelum menimpa pondok rehat di bawah bangunan itu, selain merosakkan lampu jalan di situ.

Mohd Ridzuan yang juga pensyarah di sebuah institut kemahiran berkata, ketika kejadian, dia sedang melayari Internet di rumahnya yang terletak di tingkat satu blok berkenaan.

“Saya ingatkan ada pembenihan awan kerana hujan begitu lebat disertai angin kencang. Pada awalnya angin terbabit hanya menumbangkan pokok di kawasan sekitar dan kepingan zink serta sampah berterbangan.

“Namun, tiupan angin bertambah kuat sebelum bumbung zink di tingkat atas bangunan jatuh disusuli bunyi dentuman kuat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Ridzuan berkata, sejak tinggal di situ kira-kira dua tahun lalu, kejadian bumbung runtuh itu kali pertama dilaporkan berlaku ketika hujan lebat dan angin kuat. “Sebelum ini, jika hujan lebat dan angin kuat, tidaklah sampai begini (bumbung runtuh), tetapi kali ini ia meruntuhkan sebahagian bumbung selain merosakkan infrastruktur di kawasan ini.

“Sepuluh minit sebelum hujan lebat dan angin kuat, polis ada meronda di kawasan ini dan mereka kembali semula ke sini sebaik menerima maklumat ada bumbung runtuh,” katanya. Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika ditemui di tempat kejadian berkata, beliau menerima laporan mengenai bumbung berkenaan runtuh daripada penduduk di situ kira-kira jam 7 malam semalam. -HM


[GAMBAR TERBAIK] Gadis IPTA Membaca Al-Quran Semasa Black 505 Padang Merbok


Memang TERBAIK. Rakaman lensa dari sahabat Media Orang Kampung sewaktu himpunan Black 505 22 Jun di Padang Merbok. Mereka membaca Al Quran sementara menunggu acara balackout seterusnya... kalau diharapkan media utama memang tiada, jangan di harap..

Ulasan GB

Bukan nak mengata, tetapi ketara sangat bezanya dengan yang ini:


25 Jun 2013

Pakatan Terima Keputusan PRU-13, Tolak Penyelewengan Pengendalian PRU

Walaupun Pakatan Rakyat (PR) menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), pada 5 Mei lalu, gagasan itu tetap membantah penyelewengan dan kepincangan yang didakwa berlaku di dalam sistem pilihan raya.

Malah bukan sahaja Pakatan yang memfailkan petisyen mahkamah terhadap keputusan pilhanraya, Umno-BN juga telah memfailkan petisyen terhadap keputusan di dalam 21 kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

MP Pandan, Rafizi Ramli berkata, Pakatan sentiasa menerima keputusan PRU-13 dengan hati terbuka, namun ia tidak bermakna gabungan itu perlu berdiam diri dan akur sepenuhnya terhadap pengendalian sistem pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR menegaskan, tindakan memfailkan petisyen yang dilakukan Pakatan pada awal Jun lalu bagi memastikan sistem pilihan raya tidak akan terjejas di masa akan datang.

“Menerima keputusan PRU tidak bermakna kita mengabaikan dan menutup sepenuhnya bab pilihan raya ini tetapi pendedahan mengenai penyelewengan sistem PRU harus diteruskan.

“Ini bukan sahaja mengenai PRU yang lalu, tetapi mengenai integriti sistem pilihan raya di masa akan datang.

Kami akan bekerja keras untuk memastikan penyelewengan dan ketirisan tidak lagi berlaku,” katanya.

Beliau mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena upcara perasmian Persidangan Dewan Rakyat Penggal ke-13, di sini hari ini.

Di dalam titahnya, Yang di-Pertuan Agong menyeru kepada semua Ahli Parlimen agar menerima keputusan PRU-13.

Sentimen tersebut turut diakui MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang menjelaskan Pakatan menghormati keputusan pilihan raya yang lalu, namun menegaskan undang-undang membenarkan pihak yang bertanding untuk mengemukakan bantahan.

Katanya, akur terhadap keputusan PRU tidak semestinya menghalang Pakatan untuk membuat teguran terhadap kepincangan sistem pilihan raya yang berlaku.

“Undang-undang memberi ruang kepada kita untuk mereformasikan sistem pilihan raya yang tidak sempurna.

“Teguran yang kita berikan itu walaupun kedengaran lantang, tetapi ia adalah untuk kebaikan negara. Teguran yang bertujuan membina itu seringkali diabaikan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Pakatan telah memfailkan 34 petisyen di mana membabitkan 24 kerusi Parlimen PRU-13 sementara 10 lagi petisyen adalah merujuk kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada keseluruhan jumlah petisyen kerusi Parlimen itu, 19 daripadanya adalah daripada PKR dan baki masing-masing empat bagi PAS dan dua bagi DAP.

Umno-BN pula memutuskan untuk memfailkan 21 petisyen. -selangorku

18 Anggota Polis Iringi Husam Musa Dari KL Ke Kota Bahru

Seramai 18 anggota dengan lima kereta polis mengiringi Datuk Husam Musa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu malam 22 Jun lalu.

Naib Presiden PAS itu berkata, beliau “dilayan” seperti pembesar pula dengan diiringi begitu ramai anggota polis.

Namun katanya, apa yang lebih pelik apabila polis terbabit melalui jalan yang jauh dengan berpusing ke beberapa jajahan sebelum sampai di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu jam 1.30 pagi.

“Polis buat habis minyak kereta sahaja dengan berpusing-pusing ke merata tempat sebelum sampai di IPD di Pengkalan Chepa,” katanya pada ceramah Free Husam di Pasir Tumbuh malam tadi.

Program tersebut dianjurkan Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R), diketuai Nazri Deraman.

Hadir sama anggota Exco, Datuk Dr Muhamed Fadzli Hassan, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, Adun Pasir Tumbuh, Abdul Rahman Yunus, Adun Tawang, Hassan Mohammad dan aktivis R.

Husam ditahan di Pandan ketika berada di sebuah kedai makan sebelum dibawa ke IPD Ampang. Kemudian pada jam 6 petang dibawa pula ke Kota Bharu dengan kereta.

Beliau ditahan dipercayai ada kaitan dengan ucapannya mengajak orang ramai hadir pada program Blackout di Padang Merbok petang 22 Jun lalu.

Husam juga meluahkan rasa hairan mengapa polis tidak memberitahunya lebih awal untuk datang memberi keterangan di IPD Kota Bharu, sehingga terpaksa pula ditahan di Kuala Lumpur.

Katanya, laporan polis terhadapnya dibuat pada 21 Jun, sedangkan ceramah Blackout 505 diadakan di Ketereh pada malam 12 Jun lalu.

“Lagi pun semasa datang ke Kuala Lumpur pada 21 Jun lalu saya juga bertemu dengan seorang pegawai kanan polis dalam satu penerbangan, tetapi tidak pula diberitahu ada tangkapan hendak dibuat.

“Kalau ada apa-apa masalah polis boleh panggil dan tak payahlah hendak datang tangkap di tempat lain,” ujarnya. -HD


Ribuan sertai majlis Free Husam, Exco dakwa Umno terlibat


Dengan didengari oleh ribuan orang yang memenuhi sebuah dewan di sebuah sekolah, Umno didakwa terlibat dalam insiden penangkapan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Ketua Penerangan PAS Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohd Fadhli Hassan mendakwa insiden penahanan Husam merupakan antara permulaan perancangan Umno-Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum keempat belas (PRU-14).

Bagi beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu tidak sepatutnya ditahan.

“Dengan tuduhan yang dibuat ke atas Datuk Husam itu, dia tak sepatutnya ditahan.

Cukuplah dia dipanggil untuk memberi kerjasama kepada pihak polis," katanya.

Ketua Penerangan PAS Kelantan itu bercakap pada majlis ceramah perdana sempena pembebasan Husam di Dewan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqaddum Ma’rif, Pasir Tumboh malam tadi.

Turut hadir Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) Abdul Latiff Abdul Rahman yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri.

Hadir sama Adun Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus, Adun Kelaboran Mohamed Zaki Ibrahim, Adun Tawang yang juga Pemangku Dewan Ulama PAS Kelantan Hassan Mahmood, Adun Gual Periuk Mohamad Awang.

Ketua Lajnah Guaman PAS Kelantan Hisyam Fauzi, mantan Setiausaha Politik MB Kelantan Annual Bakri Haron dan Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) Nazeri Deraman turut hadir.

Husam yang ditahan dua hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu sejak 23 Jun dan dibebaskan kira-kira 5.

00 petang 24 Jun semalam dibebaskan dengan jaminan RM3,000 serta jaminan polis, dalam tempoh sebulan.

“Sekarang ini setiap pergerakan yang dibuat (badan-badan kerajaan), mesti ada perancangan Umno-BN, tambahan pula dia (Umno-BN) sedar bahawa (prestasinya) pada PRU-14 nanti dia amat teruk.

"Jadi mereka akan buat perancangan daripada awal lagi supaya tidak berlaku sebagaimana pilihan raya baru-baru ini, dia rasa nak mati sangat-sangat.

Jadi ini adalah perancangan dia, ini baru permulaan.

“Jadi ini sangat-sangat merisaukan kita," kata Fadhli.
-HD

Tutup Jonker Street, Bukti UMNO BN Melaka Dendam Kesumat Terhadap PR

Penutupan pasar Jonker Street yang menjadi tumpuan pelancong di Melaka lebih sedekad lalu membuktikan dendam kesumat UMNO-BN terhadap Pakatan Rakyat (PR) yang tidak mampu dibendung lagi.

Demikian ulas Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua yang menyifatkan penutupan pasar malam itu sebagai manifestasi politik balas dendam terang-terangan yang amat mengejutkan.

“Tindakan Ketua Menteri Melaka, Idris Haron ini boleh dilihat sebagai tindakan balas dendam kepada komuniti bukan Melayu.

“Ia ibarat memotong hidung pada wajah seseorang,” katanya dalam satu siaran media.

Sambil melahirkan rasa kecewa, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu tidak menolak tindakan tidak cerdik dengan mengajar pengundi Cina melalui cara ini adalah disebabkan komuniti itu tidak lagi memihak kepada BN dalam PRU13 lalu.

“Hanya semata-mata Idris Haron mahu balas dendam dan merosakkan komuniti Cina, beliau telah mengorbankan kepentingan warga Melaka dan ekonomi negeri itu,” ulas Pua.

Beliau berkata, apa yang diperlihatkan BN ini adalah wajah hipokrit sebuah parti yang kononnya mengamalkan “1Malaysia” seperti yang menjadi slogan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.

“Tetapi kita telah diperlihatkan wajah 1UMNO yang mementingkan kroni dan puak-puak mereka sahaja,” ujar beliau.

Sebelum ini, Kwong Wah Daily melaporkan bahawa Idris Haron dipetik sebagai berkata “kini kita lihat ramai penduduk Melaka memberi sokongan padu kepada DAP berbanding calon MCA yang telah berkhidmat kepada mereka. Jadi, kita telah buat keputusan untuk tutup pasar malam itu dan berharap agar mereka gembira.”

Akhbar itu juga memetik Idris sebagai berkata keputusan penutupan pasar malam oleh Majlis Eksekutif Melaka itu pada 12 Jun lalu adalah kerana “mengikut kehendak orang ramai.”

“Persoalannya kini, adakah pasar di Petaling Street juga akan menjadi mangsa politik jahiliah UMNO akibat kecewa dalam PRU13 yang lalu?” Soal Pua.

“Dalam pada kerajaaan PR membantu dan berkhimat kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama mahu pun fahaman politik, kita telah menyaksikan kegelojohan BN memangsakan hidup dan periuk nasi rakyatnya.

“UMNO telah tunjukkan taring perkaumannya dan kita seluruh rakyat perlu menghentikan penularan wabak ini,” kata Pua.

Sehingga kini, Perdana Menteri , Najib Razak masih belum memberikan komen beliau berhubung penutupan pasar malam Jonker Street.

Ia sekaligus menunjukkan bahawa janjinya untuk berpegang pada prinsip 1Malaysia adalah sia-sia dan palsu belaka. – Roketkini