26 Nov 2010

Skandal PKNS: Siapa Kebas RM520,000?

Nafi PKNS taja majlis kahwin

Bapa Angkasawan Negara anggap dakwaan cemar nama baik anak

PETALING JAYA: Perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor tidak menerima penajaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) seperti didakwa seorang wakil rakyat pembangkang di Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.

Bapa angkasawan negara, Datuk Sheikh Mustapha Shukor sambil menafikan tajaan RM520,000 itu, berkata ia sengaja disebarkan pihak tertentu untuk mencemarkan nama baik anaknya.

“Perkahwinan Muszaphar memang ditaja tetapi tiada apa-apa kaitan langsung dengan PKNS. Setahu saya, mereka tidak beri apa-apa (tajaan) untuk majlis itu. Sebenarnya, saya tidak tahu bagaimana cerita perbadanan itu menaja majlis perkahwinan anak saya boleh tersebar,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sidang media itu bagi menjelaskan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib mengenai perbelanjaan melampau pengurusan baru PKNS, termasuk menaja perkahwinan Muszaphar dan pasangannya, Datin Dr Halina Mohd Yunos di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 10 Oktober lalu.

Mustapha menjelaskan pembabitan anaknya dengan agensi itu lebih kepada urusan perniagaan, termasuk Pusat Penerokaan Sains dan Angkasa Antarabangsa (IACDC) di Taman Sains PKNS, Cyberjaya.

“IACDC membabitkan usaha sama antara PKNS dan Advanced Science Education Asia Sdn Bhd yang ditubuhkan Muszaphar. Ia inisiatif Muszaphar untuk meningkatkan pendidikan sains aeroangkasa di Malaysia.

“Pada 7 Oktober lalu, majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara kedua-dua entiti itu diadakan yang turut dihadiri 120 angkasawan dari seluruh dunia bersama pasangan masing-masing, disusuli majlis makan malam.

Mungkin RM520,000 yang didakwa itu bagi membiayai program berkaitan pusat berkenaan dan bukan perkahwinan Muszaphar-Halina. Isu ini mungkin timbul kerana program itu berlangsung dua hari sebelum perkahwinan mereka,” katanya.

Beliau turut dimaklumkan kehadiran angkasawan terbabit bukan hanya dibiaya PKNS, malah Kerajaan Pusat melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Penerbangan Malaysia (MAS), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Muszaphar kecewa dan sedih dengan isu ini dan berharap ia diselesaikan segera. Beliau dan isteri yang kini berada di Tanah Suci dijadualkan pulang, Isnin ini,” katanya.

Sheikh Mustapha turut mendakwa wujud pakatan untuk menjatuhkan anaknya kerana iri hati dengan pemilihannya sebagai angkasawan negara, malah pihak sama juga yang menyebarkan pelbagai fitnah sebelum ini, termasuk mendakwa Muszaphar mengumpul kekayaan melalui siri ceramah dan program motivasi dihadirinya.

“Muszaphar dipanggil MOSTI bagi membantu siasatan kononnya dia memperoleh pendapatan RM1.2 juta melalui ceramah dan program motivasi. Siasatan membuktikan ia tidak benar dan lebih kepada cubaan untuk memburukkan namanya,” katanya. -BH


Skandal PKNS: Khalid arah siasat, PAS nafi sabotaj Pakatan

SHAH ALAM, 10 Nov — Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menubuhkan jawatankuasa audit profesional untuk menyiasat pendedahan Adun Hulu Klang Saari Sungib bahawa wujud salah guna kuasa dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) termasuk menaja jamuan majlis perkahwinan angkasawan negara bulan lalu.

“PKNS sudah ada perjanjian integriti, jadi kita sudah tubuhkan satu jawatankuasa audit profesional di MBI (Perbadanan Menteri Besar Selangor),” kata Menteri Besar Selangor pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Khalid yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah PKNS memberitahu, jawatankuasa itu akan menyiasat dakwaan PKNS menaja Jamuan Makan Malam Angkasawan sempena majlis perkahwinan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor di Pusat Konvensyen SACC.

Jawatankuasa audit itu turut akan menyiasat anasir kronisme apabila sekumpulan pegawai kontrak di bawah anak syarikat PKNS Holdings diberi gaji lumayan berbanding pegawai-pegawai tetap.

Khalid berkata, jawatankuasa audit itu turut akan memberi perhatian pada beberapa memorandum, termasuk daripada Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Che Rosi Che Mat.

“Oleh kerana banyak sangat memorandum itu semua, saya suruh (jawatankuasa) audit berfungsi sekarang, sekarang dia mula menjalankan (siasatan ke atas) kenyataan-kenyataan itu, saya menyuruh dia (jawatankuasa audit) mendengar kedua-dua pihak,” jelas Khalid.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa kes PKNS akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan (Selcat).

“Dalam masa yang singkat, saya beri dia (jawatankuasa audit) masa selama dua minggu untuk buat keputusan,” katanya.

“Jika kita mendapati perlu (merujuk pada Selcat) kita buat, kalau kita dapati tak perlu, tak payah, kita akan buat semua ini apabila kita mendapat keputusan (siasatan) dari jawatankuasa audit profesional kita,” kata Khalid.

Seorang lagi ahli lembaga pengarah PKNS, Iskandar Abdul Samad pula selain sependapat dengan Khalid, beliau turut menafikan dakwaan umum kononnya tindakan Saari itu adalah sabotaj PAS negeri.

“Saya rasa kalau wujud unsur sabotaj, kalau mereka (pemberi maklumat) nak jatuhkan kerajaan, mereka tidak memberi kepada YB Saari, mereka akan beri pada (Datuk Seri) Dr Mohd Khir Toyo, Ketua Pembangkang.

“Dunia tanpa sempadan, sesiapa pun boleh buat semua ini, saya rasa mereka buat (dedah) semua ini untuk kebaikan PKNS,” jelas Iskandar yang juga Exco Kerajaan Selangor.

Yang Dipertua PAS kawasan Pandan ini mempertahankan tindakan PAS Selangor membuat desakan terbuka ke atas pentadbiran Khalid supaya menyiasat kes tersebut.

“Memang tindakan yang wajar, sesiapa yang melakukan kesalahan maka perlu dihukum,” tegas Iskandar.

Semalam, Saari ketika sesi perbahasan Bajet 2011 mendedahkan beberapa pegawai kontrak dibayar gaji lumayan sekitar RM10,000 hingga RM24,000.

Shaari turut membangkitkan soal kos sewa, kos perpindahan, kos ubah suai pejabat korporat PKNS yang melebihi RM15,785,552.

Malah Saari turut mempersoal kaedah pelantikan Prof Erman Papzian sebagai perunding PKNS selama enam bulan dengan bayaran RM450,000.

Khalid dijangka akan memberi penjelasan khusus berhubung skandal di PKNS pada sesi penggulungan Bajet 2011 esok. -TMI


Ulasan GB

Jika bapa Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menafikan PKNS menaja perkahwinan anaknya, kni persoalan timbul, ke mana perginya wang PKNS yang dikeluarkan sebanyak RM520,000 yang didakwa sebagai penajaan jamuan perkahwinan berkenaan?

Bagaimanakah urusan kewangan PKNS berjalan sehingga ianya tidak dapat mengesan secara pasti kegunaan wang tersebut?

Rakyat tertanya-tanya apa jadi dengan jawatankuasa audit profesional untuk menyiasat skandal berkenaan yang sehingga kini tiada beritanya. Professionalkah jika demikian keadaannya? Berapa lama mahu siasat? Sebulan, setahun atau sedekad?


5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bukankah SPRM dengan pantas terkam masuk untuk siasat pasal kes ini.

Bagilah peluang SPRM(pakar siasat PR)ini buat siasatan dengan teliti.

Jangan dok tembak sana sini!

Tanpa Nama berkata...

SPRM, SPRM punya psallah,
Tapi MB Selangor sendiri SUDAH buat kenyataan mengenai perlantikan juruaudit. Jadi di situ yang ditanyakan.

Tanpa Nama berkata...

bukan PKNS saja, banyak lagi barua UMNO macam syabas dan lain-lain lagi tak betul kecuali pakatan kuasai putrajaya, baru rakyat hidup senang

Tanpa Nama berkata...

kalau kuasai putrajaya kita akan tahu lebih banyak lagi wang negara yang dikebas macam wang petronas

Tanpa Nama berkata...

Yang dibanggakan sangat dengan budak muzafar tu pasal ape. Kalau tak dibiayai oleh kerajaan haritu takkan nya sampai dia ke nagkasa tuh. Duit Rakyat tuh. Kok dia hebat sangat, suruh dia pergi sendiri sekarang, guna belanja dan usaha dia sendiri. Kalau berjaya barulah layak untuk berbangga.

Kata orang N9, nabih an bogheh yo.