14 Feb 2015

[VIDEO & GAMBAR] Awan Mendung Turut Memayungi Jenazah TGNA


Suasana sayu ketika jenazah Datuk Nik Abdul Aziz Bik Mat dikebumikan pada pukul 11.30 pagi tadi dikejutkan dengan kejadian awan mendung secara tiba-tiba tanpa setitik hujan pun seolah-olah melindungi jenazah daripada terkena sinaran panas terik.

Persekitaran yang turut menjadi dingin dengan angin kencang itu disambut dengan laungan ‘Allahuakbar’ berkali-kali oleh orang ramai beragama Islam di tanah perkuburan yang menganggapnya sebagai satu kejadian luar biasa.

Tidak ketinggalan ramai daripada mereka yang tampil merakam gambar foto dan video berdurasi lebih dua minit yang sedang menjadi viral di laman sosial. Video bertajuk “Awan mendung mengiringi jenazah TGNA” itu sedang menerima ratusan komen dalam laman sosial menyatakan ia sebagai tanda Allah cintakan beliau.

Nik Abdul Aziz, 84, meninggal dunia di rumahnya selepas sekian lama menghidap kanser prostat.

Mayat Nik Aziz dikebumikan bersebelahan kubur bapanya, Nik Mat Raja Banjar, yang meninggal dunia kira-kira 40 tahun dahulu.

Jenazah diringi pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan penyokong yang sanggup berjalan lebih dua kilometer kerana jalan ke rumah Nik Aziz di tutup.

Enam buah bas disediakan berdekatan stadium Sultan Mohamad ke feri untuk memudahkan orang ramai ke Pulau Melaka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Setiausaha Agung Umno Datuk Tengku Adnan Mansor dan Datuk Seri Mustapha Mohamad turut hadir memberi penghormatan terakhir mereka.

Pemimpin PR yang hadir pula ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, dan ramai lagi.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainol Abidin, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Don Daniyel juga kelihatan memberi penghormatan terakhir mereka.

Jenazah ditempatkan di Masjid Pulau Melaka yang terletak berhampiran kediaman Allahyarham untuk memudahkan orang ramai.Orang ramai dilarang mengambil gambar atas permintaan keluarga. -FMT


TIDURLAH TOK GURU


negerimu banjir lagi
airmata bertakung di hati
kau kembali ke riba Pencipta
pada malam penghulu segala hari
setelah Dia memberi cukup petanda
dalam sesingkat masa

kami bukan menangisi permergianmu
kami hanya merintihi kehilanganmu
mohon pengganti Murabbi
yang sejati dan istiqamah sampai mati

mengagumimu dari jauh
menyantunimu hanya dalam mimpi
mengharapkan bersua namun sampai sudah tidak berjumpa
mungkin saja kerana aku masih belum layak
untuk berdamping dan berjuang bersama
sedang ilmu lebih banyak perlu ditimba
sedang iman perlu dibaja dan diperkasa

namun pada Allah aku pinta
letakkanlah aku bersama-sama pemimpin sezamanku yang mulia
di Padang Mahsyar nanti
supaya rapat dekat dengan Nabi
semoga dapat syafaat dari Muhammad (SAW)

Tidurlah Tok Guru
dunia telah kau tinggalkan
akhirat kini menjadi buruan
halaman untuk menuai segala hasil perjuangan

semoga kau tenang bersama Dia
setelah letih dan lelahmu berakhir jua

salaam kami untuk Rasulullah
usaha dakwah yang kau wasiatkan
akan kami teruskan in shaa Allah



BBEBERAPA CATATAN MENGENAI TGNA

* Semasa Lutfi Othman.. Pengarang Majalah Detik ketika itu ingjn mewawancara.. Tok Guru sign dokumen seakan melayangkan pen sahaja.. Lutfi berseloroh.."Tekan kuat sikit mata pen tu tok guru baru clear.." Sambil tersenyum tok guru membalas,"Ambo guno pen pejabat..Hok rakyat.. Tekan kuat takut membazir.. Kito tok buleh wat mudoh harto rakyat nih".. Dakwat pen pun jd perhitungan untung rugi...itulah Tok Guru Nik Aziz..

* Husam Musa bekas s.u politik tok guru pernah bercerita.. Setiap kali tidur di hotel sama tok guru, tok guru tidur atas lantai dgn alas sejadah dan membiarkan katilnya kosong.. Husam berkata, "Tido atah katil Tok Guru, sejuk tubuh tu.." Tok Guru membalas, "Tido atas katil...tempat sedap..takut jenegho tok bgn tahajud..tido atas lata..tempat tok seleso..mudoh sedar nak buat tahajud".. Begitu sekali beliau merancang ibadatnya..

* "Cuba beritahu saya mana satu yg Nik Aziz punya.. Harta saya malah tubuh saya hak Allah.. Saya pinjam jah.. Jd kita ni jgn sombong sgt dgn brg pinjam.. Kita atas muka bumi jgn bermewah sgt, Nok senang sentiasa.. Belajar hidup susah.. Takut kita dlm kubur terkejut bila mari susah (bergurau).. Jd berlatih susah dulu atas muka bumi ni.. (TG Nik Aziz, Majalah Tamadun)

Allahuakbrrrr..hebatnya almarhum TGNA dalam menjaga amalan seharian.. Diriku


















13 Feb 2015

[VIDEO] Perginya Seorang Pemimpin & Ulama Yang Dikasihi Ramai


Orang ramai mula membanjiri kediaman allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat di Pulau Melaka, Kelantan bagi menzahirkan penghormatan terakhir kepada tokoh politik dan agama itu.

Bukan hanya daripada Kelantan, sejak pemergian allahyarham kira-kira 9.45 malam tadi, orang ramai mula berpusu-pusu menuju ke Kelantan daripada pelbagai pelosok negara.

Seawal waktu Subuh, kenderaan memenuhi sekitar kawasan itu sehingga kereta terpaksa diletakkan sejauh kira-kira 2 kilometer.

Ramai lagi dijangka hadir awal pagi ini.

Solat jenazah dijadual dilangsungkan pada jam 10 nanti sebelum jenazah tokoh itu disemadikan.

LAPORAN LANGSUNG

11.45am: Orang ramai beransur-ansur meninggalkan tanah perkuburan Pulau Melaka yang sejak dari pagi telah dihadiri oleh puluhan ribu orang.

Seorang warga tempatan yang ditemui, Mohammad Ibrahim, 53, berkata beliau sedih dengan pemergian Nik Aziz.

Beliau berkata, kehilangan Nik Aziz tiada pengganti memandangkan Nik Aziz merupakan seorang yang sangat berpegang terhadap kata-katanya.

"Sedih. Sebab tiada pengganti dia. Dengan orang ramai yang hadir ini pun nampak yang beliau seorang ulama yang sangat disanjungi," katanya yang kelihatan sugul.

11.24am: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai bacaan doa dan talkin, dalam keadaan sedih dan hiba.

11am: Selain orang ramai, tolak menolak antara orang ramai, media dan unit amal juga berlaku di bawah khemah di tempat Nik Aziz dikebumikan.

Turut kelihatan berada di kawasan pengebumian ialah Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, Gobind Singh Deo dan Dr Xavier Jayakumar.

10.42am: Keadaan di tanah perkuburan Pulau Melaka sesak dengan orang ramai yang mahu melihat jenazah Nik Aziz dikebumikan.

Berlaku tolak menolak antara orang ramai berdekatan khemah tempat Nik Aziz akan dikebumikan.

Cuaca yang tadinya panas turut bertukar mendung.

10.40am: Keranda jenazah Nik Aziz kelihatan oleh ahli keluarganya melalui Jalan Long Sulaiman menuju ke tanah perkubuhan berhampiran.

Pemimpin PAS termasuk Dr Hatta Ramli dan Dzulkefly Ahmad kelihatan mendahulu kumpulan di hadapan.

Pada masa yang sama, orang ramai berasak-asak untuk menatap jenazah Nik Aziz.

10.32am: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak kelihatan di dalam salah sebuah kenderaan polis yang menuju ke tanah perkuburan.

10.18am: Terdapat kehadiran anggota polis di kalangan 10,000 orang yang bertumpu ke Pulau Melaka. Ada yang dilihat berjabat tangan dengan anggota polis sambil mengucapkan 'terima kasih atas khidmat mereka.

10.15am: Bagi Normadiah Abdul Rahman, 59, beliau sedih dan terharu melihat puluhan ribu yang menunaikan solat jenazah itu.

Sambil menangis, dia yang tinggal di Kampung Senang, Pulau Melaka berkata, jasa Nik Aziz akan sentiasa diingati, memandangkan mursyidul am PAS itu menyerahkan seluruh kehidupannya untuk Islam.

"Saya tak pernah lihat ramai sangat solat begini. Saya takut tak ada yang boleh ganti dia. Hidup dia untuk Islam," katanya sambil mengesat air mata.

10am: Ribuan menunaikan solat jenazah. Mereka bersolat di sepanjang jalan sehingga ke masjid Tok Guru.

Selepas selesai, mereka mula berarak menuju ke tanah perkuburan.

9.50am: Ketibaan ustaz popular Ustaz Azhar Idrus menggamit suasana seketika. Rata-rata teruja ketika Ustaz Azhar menuju ke perkarangan masjid.

Dan pada ketika ini juga, orang ramai sedang bersedia untuk menunaikan solat jenazah.

9.35am: Orang ramai mula melaungkan takbir apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tiba di perkarangan masjid Tok Guru.

Takbir yang berterusan itu dilaungkan kuat dan berlanjutan selama kira-kira lima minit, ketika Najib berjalan menuju ke masjid.

9.30am: Semakin ramai menuju ke Pulau Melaka dan berkumpul di sepanjang Jalan Long Sulaiman.

Menurut agensi berita nasional Bernama, jumlah hadirin mencecah "puluhan ribu".

9.20am: Berlaku sedikit kekecohan di dalam masjid ketika pengacara menggesa orang ramai dan media supaya tidak mengambil gambar atau membuat rakaman video jenazah Nik Aziz.

Katanya, ia adalah atas pemintaan keluarga Nik Aziz.

Ekoran itu ada yang menjerit terhadap mereka yang membuat rakaman di dalam masjid, sehingga mendorong pengacara campur tangan dan menggesa supaya bertenang.

9.15am: Lim Guan Eng dijemput untuk berucap kepada orang ramai.

Guan Eng berkata Nik Aziz menjadi mentor kepada kepada ketua menteri dan menteri besar Pakatan Rakyat.

Nik Aziz, tambahnya bukan sahaja dihormati oleh orang Islam tetapi juga dikagumi oleh orang bukan Islam.

9.05am: Setiausaha Agung PAS Datukl Mustafa Ali berucap kepada hadirin dari dalam masjid.

Beliau berkata Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut hadir selepas tiba dari Pulau Pinang pagi ini.

Beliau juga berkata pemergian Nik Aziz secara kebetulan dengan pemenjaraan Ketua Pembangkang, Datuk Anwar Ibrahim.

"Apa juga yang berlaku kepada kita, kita akan terus berjuang," katanya sambil mengingatkan mereka tentang nasihat Nik Aziz bahawa walaupun tiada lagi pemimpin, mereka mesti meneruskan perjuangan.

Ucapannya itu disambut dengan laungan "Allahuakbar"

9.00am: Jet yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak membuat pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

8.59am: Jenazah Nik Aziz kini berada di dalam Masjid Tok Guru. Orang ramai melaungkan takbir semasa jenazah itu dibawa.

Orang ramai diberi peluang untuk ziarah dan menatap wajah Nik Aziz buat kali terakhir.

Selain itu, ahli keluarga juga meminta supaya orang ramai tidak merakamkan gambar ketika berada di dalam masjid.

8.30am: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berucap kepada orang ramai. Beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka yang datang.

Beliau yang kelihatan sedih berkata, Kelantan telah kehilangan seorang pemimpin besar.

Sebelum itu, pengumuman dibuat, memaklumkan bahawa jenazah Nik Aziz akan dibawa keluar dari masjid pada pukul 10 pagi.

8.20am: Suasana di dalam rumah suram dan sugul. Pada ketika ini, jenazah Allahyarham Nik Aziz sedang dimandikan.

8.15am: Sekurang-kurangnya tiga ribu orang berada di sekitar rumah Allahyarham Nik Aziz.

Terdapat sebuah masjid yang terletak di dalam kawasan kediamannya. Mereka menunggu untuk menunaikan solat jenazah.

Di Jalan Long Sulaiman pula, orang ramai sedang beratur - dianggarkan sepanjang dua kilometer - menuju ke rumah Nik Aziz.

8.00am: Suasana di lapangan terbang Sultan Ismail Petra sesak dengan kehadiran orang ramai untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz

Kerajaan negeri turut menyediakan perkhidmatan van khas untuk ahli politik dan media dari lapangan terbang ke kediaman Nik Aziz di Pulau Melaka. Kenderaan khas yang disediakan sebanyak kira-kira 10 buah, digunakan bagi memasuki jalan-jalan yang ditutup antaranya di persimpangan untuk memasuki kawasan Masjid Tok Guru di mana jenazah dijangka akan disolatkan di situ.

Antara yang dilihat tiba dengan penerbangan awal dari Kuala Lumpur ialah ahli jawatankuasa PAS pusat Dzulkefly Ahmad dan Hanipa Maidin.























[VIDEO & GAMBAR] TG Nik Aziz Nik Mat Telah Kembali Ke Rahmatullah -updated


Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia malam ini jam 8.45 malam.

Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Laporan lewat malam ini menyebut, Nik Abdul Aziz sudahpun dibawa pulang ke kediamannya dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

TG Nik Aziz dilaporkan telah dibawa pulang dengan berbantukan bekalan oxygen.

Sebelum ini anaknya Nik Mohamad Abduh menyatakan tahap kesihatan ayahnya kini kembali merosot.

“Tahap kesihatan ayahanda menurun selepas jalani rawatan pada ulsernya semalam."

Bekas menteri besar itu, yang turut mengidap kanser prostat dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu pada 19 Januari lalu.

Tahap kesihatannya merosot ketika bah besar melanda negeri itu.

Nik Abduh menyatakan solat jenazah akan diadakan pada jam 10.00 esok pagi di masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.

Allahyarham telah mendirikan rumahtangga dengan Tuan Sabariah binti Tuan Ishak. Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.

Hidup beliau sangat sederhana meski bergelar Menteri Besar. Umum mengetahui, Allahyarham dan keluarganya tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung.

Di penghujung hayatnya, sebelum ini Allahyarham telah memesan dan memberitahu kepada kita untuk terus beruasaha memenangkan Islam.




Dan Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah mengambil TG Nik Aziz pada malam ini, malam yang penuh barakah, hari Jumaat...... ALLAHU AKBAR!!!




Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.













12 Feb 2015

Datuk Hasbullah Awang Kembali Ke Rahmatullah -updated


Pengulas sukan terkenal, Datuk Hasbullah Awang, 63, meninggal dunia ketika dalam rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 12.20 tengah hari.

Hasbullah yang dirawat di IJN sejak 4 Februari lalu adalah seorang pengulas sukan termasyhur di Malaysia. Beliau berkhidmat dengan saluran Astro Arena sejak Januari 2014 setelah berhenti berkhidmat sebagai pengulas sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau memulakan tugas sebagai juruhebah radio di Radio 1. Pernah menjadi pembantu mengendalikan program khas radio untuk kanak-kanak bersama Kak Yong.

Hasbullah lebih dikenali sebagai pengulas untuk pelbagai acara sukan tempatan mahupun luar negara.

Populariti beliau memuncak ketika zaman bola sepak Malaysia memasuki era Semi-Pro pada awal 1990-an. Belia juga pernah menyumbangkan suara untuk filem Sumolah arahan Afdlin Shauki.

Kalangan peminat sukan menganggap beliau sebagai antara pengulas terbaik yang pernah dilahirkan negara sebaris nama-nama besar lain seperti Datuk Rahim Razali.

Beliau mempunyai aura tersendiri dengan intonasi suara yang menarik membuatkan penonton menjadi seronok mendengar setiap ulasan beliau.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Seksyen 32, Bukit Naga Shah Alam jam 3 petang ini dan dijangka disemadikan selepas Asar atau pagi esok.


Akan terus berdemonstasi di jalan – Maria Chin

KUALA LUMPUR: Datuk Hasbullah Awang merupakan antara pengulas sukan terbaik yang pernah dilahirkan dan mempunyai aura tersendiri dengan intonasi suara yang menarik membuatkan kita menjadi seronok mendengar setiap ulasan daripada beliau.

Allahyarham pernah menghiburkan kita semua dengan ulasan-ulasan beliau yang mempunyai gaya tersendiri. Berikut adalah antara ulasan Allahyarham yang menjadi kenangan peminat-peminat sukan tanahair.

1. “Mungkin jaringan ini adalah hadiah ulangtahun beliau yang ke 25 tahun”

2. “Bersilat nampaknya Mat Yo di situ” – Piala AFF Suzuki

3. “Dia mengapung-apungkan badannya diudara, dan satu pukulan tajam lalu bulu tangkis terbenam didalam gelangang”

4. "Rashid terbang bagaikan kupu-kupu..." Piala Thomas 1992

5. “Bola masuk saya rasa, oh tidak, tidak, tidak. Maafkan saya saudara.”

6. “Penyokong Pahang membelah banjaran Titiwangsa untuk datang ke Stadium Bukit Jalil…” – Final Piala FA 2006

7. “Oh sayang...hanya ketepatan saja yg tidak menepati….. ”

8. “Nampaknya telah kelihatan bunga-bunga kekasaran dalam padang ketika ini, kita harapkan pemain dapat mengawal emosi”

9. “Manusia paling pantas dimuka bumi”

10. “Ahhhhh sayang peluang didepan gol dipersia-siakan oleh pemain yg berasal dari Kajang...bersekolah di Taiping dan di besarkan di Johor...mendapat 8A dalam SPM dan makanan kegemaran nasi ayam…”

11. “Safiq membawa bola.. oh maafkan saya .. Safee Sali di situ.. Safiq diseberang sanaa menanti bola”

12. “Satu rembatannn...ooo...terkena palang...sayang sekali...palang menjadi penghalang”

13. “Mereka berkampong di kawasan penalti”

14. “Kita ketahui pemain ini yang dianggap ayam tambatan sukar dicari... Dannnn goooolll, oh tidak bola muntah kembali”

15. “Bola dikaki Badrul Muhayat...oo maafkan saya Badrol Bakhtiar sebenarnya..Badrul Muhayat seorang pelakon.”

Terima kasih Datuk Hasbullah Awang. Kami - peminat sukan di Malaysia - pasti merindui suara dan ulasan anda yang tentunya sukar dicari ganti.
-antroawani




[VIDEO & GAMBAR] Laungan "REFORMASI" Bergema Di Solidariti Bersama Anwar


Beratus penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di pintu pagar Penjara Sungai Buloh malam tadi sebagai tanda solidariti dengan ketua pembangkang itu yang menjalani hukuman penjara di situ.

Mereka memegang kain rentang dan lilin sambil dengan penuh bersemangat melaungkan slogan seperti "Reformasi" dan "Bebas Anwar".

"Kuat lagi!" laung Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, apabila tiba giliran beliau untuk berucap, "supaya Anwar dapat mendengar suara anda."

Sekitar 300 penyokong mula tiba sejurus sebelum jam 9 malam, dan kira-kira 20 pengawal penjara yang lengkap dengan perisai dan cota, membentuk barisan di hadapan pintu penjara itu.

Manakala beberapa anggota polis turut memantau perhimpunan aman itu.

Perhimpunan ini berlangsung selama kira-kira dua jam tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, kecuali pokok di depan penjara itu terbakar akibat api lilin tetapi segera dipadamkan oleh peserta.

Anwar dihantar ke Penjara Sungai Buloh pada hari Selasa, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful.

Namun, Anwar tetap bertegas bahawa beliau tidak bersalah dan mendakwa tuduhan terhadapnya bermotifkan politik.










"Guling" Hadi: Mustafa Ali Tempelak Zuhdi Marzuki & Geng Mokhtar Senik


PAS akan siasat demo, Mustafa minta Zuhdi tidak ‘cirit birit’ mulut

PAS akan menyiasat memorandum dan demonstrasi di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur Ahad lalu, kata Datuk Mustafa Ali, yang turut meminta pengarah operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) agar jangan "cirit birit mulut dan tulisan" dalam menjalankan tugasnya.

Setiausaha Agung PAS itu berkata beliau meminjam kata-kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mengingatkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki agar "jangan selalu sangat cirit birit mulut".

"Ini kerana, Zuhdi bukan sahaja cirit birit mulut, tetapi tangan pun, kerana ada tulisan dan cakapnya yang berikan persepsi negatif kepada PAS,"
kata Mustafa kepada The Malaysian Insider.

Zuhdi dalam kenyataannya semalam mempertikaikan tindakan Mustafa dan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub yang menafikan adanya komplot menggulingkan presiden PAS itu.

Menurut Zuhdi, beliau sudah bersemuka dengan Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim dan melihat dakwaan dalam bentuk akuan berkanun dan bukti daripada aplikasi Whatsapp berhubung perkara itu.

Beliau menggesa supaya PAS membuka siasatan terhadap kes itu.

"Penafian simplistik Salahuddin dan Mustafa yang tiada komplot untuk menggulingkan presiden PAS, sedikit pun tidak menjejaskan kredibiliti dakwaan ini.

"Lebih daripada itu, penafian kedua tokoh pimpinan kanan PAS ini hanya dilihat seperti ‘menutup bangkai gajah dengan nyiru', disebabkan dakwaan itu dalam bentuk akuan berkanun dan setiap helaian bukti-bukti print screen ini ditandatangani di depan Pesuruhjaya Sumpah," kata Zuhdi dalam kenyataan medianya semalam.

Mustafa dalam kenyataannya hari ini mengaku beliau memberi jawapan "tiada konspirasi" ketika diajukan persoalan itu.

"Memang saya jawab tiada konspirasi. Apakah Zuhdi nak cadang saya kata ada konspirasi? Kalau saya jawab ada, ia jawapan paling bodoh dari segi akademik dan politiknya sebab ia memang tiada konspirasi,"katanya.

Mustafa berkata, apa yang beliau sebut dan dilaporkan itu tepat, iaitu tindakan demonstrasi tidak bagus untuk PAS.


"Belum berlaku lagi orang guna cara ini sejak kepimpinan ulama hingga kini, untuk tegur pemimpin. Takkan ini kita nak ikut.

"Tindakan ini tidak ikut semangat kepimpinan ulama yang bertindak secara profesional dan bukan emosi. Memang saya tak setuju cara ini," kata Mustafa.

Walaupun begitu, katanya, beliau mengarahkan Penolong Setiausaha Agung Khairul Faizi Ahmad Kamil menerima memo itu "dan apabila memo diterima, ia menjadi kewajiban saya menelitinya dan membuat penyiasatan".

"Ini adalah proses yang perlu diambil. Memo sudah ada pada saya sekarang," kata Mustafa.

Mustafa berharap tegurannya diterima baik Zuhdi dan berharap beliau menumpukan kepada amanah yang ditugaskan kepadanya iaitu sebagai pengarah operasi PPP.

Bagi beliau, setiap pemimpin PAS ada bidang tugas yang diberikan parti dan tidak perlu mengambil kerja yang bukan dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Ahad lalu, ketika pemimpin PAS tiba di ibu pejabat parti di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur itu untuk bermesyuarat, sekumpulan pemuda dan ulama PAS dipimpin Noorzazilafadli dan disertai Ketua Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik berdemonstrasi di pintu masuk.

Mereka menaikkan kertas pemidang menuduh ketua pengarah pilihan raya PAS Dr Hatta Ramli sebagai dalang konspirasi menggulingkan Hadi.

Turut dituduh ialah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Datuk Husam Musa dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat Aiman Athirah al-Jundi.

Dalam memorandum yang disampaikan, mereka mendakwa lebih separuh dari AJK PAS tidak menyokong presiden PAS. – 11 Februari, 2015.

ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan pun berjalan lagi...

Sebelum ini GB telah mengulas:

Imej PAS terus tercemar dengan insiden-insiden di atas. Apatah lagi ianya disertai dengan beberapa pimpinan ulamak seperti Mokhtar Senik, Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, yang pernah satu ketika dikaitkan dengan gerakan Al-Maunah yang diharamkan dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak, Nor Azli Musa yang pernah diberi gelaran Ustaz Taliban.

Sekali lagi GB meminta agar PAS mengambil sikap yang serius terhadap hal ini sebelum parti terus menjadi hancur binasa akibat gejala samseng yang dilakukan oleh golongan pro-ulama ini.

Budaya liar dan keterlaluan ini wajar dibenteras sebelum ia menjadi lebih parah. Kita khuatir akan tiba di suatu masa, budaya liar ini menjadi dominan di dalam PAS sama seperti PERKASA dan yang sewaktu dengannya.

Sekarang Setiausaha Agong sendiri dapat melihat dan dapat merasakan keceluparan dan kesamsengan mereka ini.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca