5 Okt 2010

UMNO Kebas Pungutan Wang Ihsan Di Pulau Pinang?

Mengikut laporan berita online Malaysiainsider hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mengumumkan pada sidang media, Umno setakat ini belum lagi memulangkan satu sen pun dari duit ehsan yang dikutipnya dari warga tua.

Pemimpin Umno, Reezal Merican telah mendakwa duit ehsan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada warga tua Pulau Pinang adalah haram kerana duit itu adalah dari sumbangan dari kelab lumba kuda di Pulau Pinang.

Namun, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa duit yang diberikan kepada warga tua adalah dari duit sumbangan judi tetapi dari duit kerajaan yang berjaya dijimatkannya.

Umno mula menganjurkan ‘program mengembalikan duit haram’ dari penerima-penerima wang ehsan tersebut. Dalam setiap program yang yang dianjurkan Umno, kelihatan warga tua sedang mengembalikan duit yang dikatakan haram itu.

Menurut TV3/4, Umno akan mengembalikan semua wang yang dikutip oleh mereka kepada kerajaan negeri. Tetapi, KM, Lim Guan Eng menafikan setakat ini ada menerima apa-apa wang dari Umno Pulau Pinang.

“Jangan berikan kepada Umno, bimbang mereka mempergunakan wang itu untuk tujuan yang tidak munasabah kerana sejarah telah membuktikan parti itu sering tidak amanah terutamanya peruntukan menjelang pilihan raya kepada para petugas,” kata Lim. – harakahdaily

Setakat ini dikatakan lebih dari 100 orang telah mengembalikan duit ehsan itu. Ini bermakna kutipan mereka sudah mencecah lebih dari RM 10,000. Siapakah yang sedang memegang duit ini? Reezal Merican Naina Merican?

Apakah duit ini akhirnya akan dikembalikan ke khazanah kerajaan negeri? Kita tidak tahu sebenarnya berapa ramaikah warga tua yang sudah mengembalikan duit mereka. Akaun berkaitan wang yang dikembalikan oleh warga tua yang disimpan oleh Umno tidak boleh dipercayai kerana Umno kita percaya tidak beramanah. Siapakah akhirnya yang akan menikmati semua kutipan dari warga tua ini?

Wang yang dikutip dari sumbangan orang ramai kepada tabung Tsunami suatu masa dulu, juga dikatakan tidak diagihkan dengan betul kepada mangsa bencana alam tersebut oleh Umno/BN. Ada mangsa yang mendakwa mereka tidak menerima apa-apa bantuan dari tabung Tsunami! Wang untuk mangsa bencana alam pun mereka ‘gasak’.

Jadi, apakah duit ehsan yang dikembalikan oleh warga tua akan selamat kembali kepangkuan khazanah negeri Pulau Pinang?

Lebih dari 100,000 warga tua telah menerima duit ehsan dari kerajaan negeri, namun 100 orang lebih sahaja yang telah mengembalikan duit tersebut.

oleh decapucino

Ulasan GB

Dalam hal ini GB kata LIm Guan Eng bersalah. Sebabnya tiada laporan polis dibuat. Dari awal lagi GB sudah berpesan di SINI. Petikan:

Pertama, laporan polis perlu dibuat supaya wang-wang yang dipulangkan itu benar-benar dikembalikan kepada kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu sebanyak RM4,000.

Dan di SINI. Petikan:

Kerajaan negeri berhak untuk tuntut RM4 ribu yang kononnya dikatakan dipungut semula dari warga emas tersebut. Kalau pun betul wang itu pungutan dari warga emas, memang wajar YB Penaga itu perlu menyerahkan semula kepada Kerajaan Negeri. Jika tidak YB Penaga itu boleh ditahan dan ditangkap kerana menipu warga emas berkenaan dengan melarikan wang ihsan itu. Kalau wang itu bukan wang ihsan tetapi milik YB Penaga sendiri tetapi cuma dilakonkan saja, dia sepatutnya ditahan juga kerana menipu.

Degil!

Si Sepet Dan Si Buta: Wartawan TMI Yang Kena Siasat

Polis siasat laporan Timbalan Pengarah BTN Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat laporan yang dibuat oleh Timbalan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Husin berhubung dakwaan laman portal berita 'Malaysian Insider' yang mendakwa beliau telah membuat kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini.

Hamim, membuat laporan itu di Balai Polis Daerah Sentul jam 12.30 tengah hari, semalam, tetapi beliau enggan mengulas kandungan laporannya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan akan memanggil saksi lain jika ada, secepat mungkin.

"Kita juga akan menyiasat jika ada akta lain yang boleh disabitkan seperti Akta Hasutan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Pergerakan Puteri UMNO juga telah membuat laporan polis berhubung perkara yang sama di IPD Sentul.

Bagaimanapun, beliau berkata tindakan akan dibuat setelah siasatan dan laporan penuh disiapkan.

Sebelum ini, laman portal berita itu melaporkan bahawa pegawai kanan BTN itu telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada sesi tertutup dengan Pergerakan Puteri UMNO pada 27 September lalu.

Berikutan laporan itu, Kabinet telah meminta Ketua Setiausaha Negara untuk menyiasat perkara itu terlebih dahulu sebelum tindakan susulan diambil. - BERNAMA

Ulasan GB

Dah betul GB cakap semalam. Bahawa Hamim Hussin yang keluarkan kenyataan si sepet dan di botol akan terlepas, yang kena ialah wartawan Malaysian Insider.

Semalam GB ulas di sini. Petikan:

Tindakan melengah-lengahkan hukuman keatas Hamim Husin oleh Ketua Setiausaha Negara berhubung isu kenyataan 'rasisnya' rupa-rupanya ada rahsia yang disembunyikan.

Rahsianya ialah supaya Hamim membuat laporan polis untuk menafikan kenyataan itu pernah dibuatnya.

Dan kemudian yang akan disoalsiasat dan ditahan ialah wartawan The Malaysia Insider.

Hamim akan terlepas!

Begitu rupanya cara bagaimana kerajaan UMNO BN membela penjawat awamnya yang rasis.

Mampukah sandiwara "Si Sepet Dan Si Botol" menggugat kedudukan sandiwara "Pulangkan", "I'da World" & "Pulangkan II"? Sama-sam kita nantikan.

Perlu Jadi Lembu 2 Tahun Sebelum Bertanding?

Ramai menolak saranan calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang mencadangkan kepada parti supaya mengadakan sistem iaitu mengutamakan kesetiaan sebelum boleh bertanding.

Katanya, dua tahun pertama setelah menyertai PKR adalah untuk melihat dan menguji kesetiaan.

"Selepas dua tahun barulah mereka bertanding jawatan parti, mungkin cara ini lebih baik kepada parti," katanya ketika ditemui selepas berucap merasmikan mesyuarat PKR cabang Gombak semalam yang dihadiri kira-kira 100 orang.

Seorang pengunjung blog GB menghubungi GB menyatakan bahawa adalah tidak wajar untuk Azmin melakukan demikian kerana setiap orang berhak, sebagai ahli berdaftar, untuk menyertai pertandingan mana-mana jawatan hatta Presiden sekalipun.

Ada juga seorang pengunjung blog GB menamakan dirinya "mz" meminta GB mengulas mengenai "Trojan Horse" di dalam PKR.

Meraikan demokrasi dalam parti politik bermaksud bahawa semua orang boleh menawarkan diri untuk merebut apa-apa jawatan dalam parti. Sama ada mereka akan mendapat pencalonan dan sokongan itu soal lain. Yang penting, demokrasi membenarkan pertandingan, malah menggalakkannya.

Apakah seseorang itu perlu dilembukan selama dua tahun sebelum dibenarkan bertanding di dalam PKR?

GB memikirkan hal yang demikian kerana belum pernah berlaku dan tidak sepatutnya ada had atau tempoh keahlian di dalam mana-mana pertubuhan politik atau bukan politik untuk melayakkan seseorang ahli bertanding mana-mana jawatan di dalam parti.

Persoalan kini apa ukuran kesetiaan? Jangkamasa berapa tahun? Kesetiaan adalah nisbi, yang tidak boleh tentu seseorng itu benar-benar setia. Tiada ada pekakasan di atas dunia walau canggih macamana teknologinya boleh mengukur kesetiaan. Ia hanya helah Azmin untuk memfitnah calon lawannya, Zaid Ibrahim yang kononnya dikatakan belum setia kepada PKR. Yang ada ialah alat untuk mengesan seseorang itu berkata benar atau dusta bernama fMRI.

Kaedah tersebut menggunakan pengimejan ke atas otak melalui getaran magnetic atau lebih dikenali sebagai fMRI. Kaedah tersebut dapat mengesan gerak balas yang berlaku ketika otak sedang melakukan penipuan. Bukan itu sahaja, melalui kaedah ini alat mengesan pembohongan dapat diwujudkan. Terdapat banyak kawasan unik dalam otak yang terlibat dalam penipuan dan percakapan benar yang boleh dikesan melalui kaedah fMRI.

Kita pernah lihat di dalam PAS sendiri pernah berlaku hal yang serupa. Misalnya TG Nik Aziz sendiri pernah ditipu. Ditipu oleh Ibrahim Ali. Walaupun Ibrahim bukan ahli PAS, tetapi Ibrahim dibenarkan bertanding di atas tiket PAS. Menang. Kemudian apa jadi? Ibrahim kencingkan PAS. Tetapi untuk orang sebegini sedikit pun TG Nik Aziz tidak pedulikan. Kerana TG Nik Aziz tahu bahawa Ibrahim telah menipu dan Ibrhaim akan terima balasannya nanti akibat penipuan yang dilakukan.

Malah Ibrahim hanya dapat menikmati "kemenangan"nya dalam waktu yang sementara. Beliau sendiri berhempas pulas dengan "Perkasa"nya untuk melonjakkan namanya memperkudakan UMNO pula. Tetapi jika disuruh bertanding semula di Pasir Mas sekarang ini, Ibrahim belum pasti mahu melakukannya atau jika bertanding pun di pilihanraya akan datang, Ibrahim belum pasti menang.

Hukum kebenaran pun mengambil tempatnya. Selepas ini jangan harap PAS akan mempercayai Ibrahim.

Jika Zaid dikatakan malah dituduh sebagai Trojan Horse yang masuk untuk merosakkan PKR, itu sudah keterlaluan. Kerana perlu ada bukti kukuh. Sekadar diwawancara oleh Utusan dan mengkritik pemimpin parti belum boleh dijadikan ukuran bahawa Zaid khianat. Tinggi mana makam anda untuk melakukan firasat sedemikian, berbanding TG Nik Aziz sendiri yang belum boleh menerka niat si durjana yang bernama Ibrahim Ali itu?

Kes Zulkifli Nordin umpamanya, sekalipun pernah bersama Anwar, pernah menjadi peguam Anwar, lebih dua tahun mengenali Anwar, tetapi pengkhianatan tetap juga berlaku. Beliau meninggalkan PKR dan mendedahkan apa yang diketahuinya tentang Anwar kepada Najib. Jika diuji dengan alat fMRI seperti yang GB tulis di atas sekalipun, pada waktu pengujian itu, Zulkifli belum lagi berdusta.

Ada banyak lagi PKR perlu lakukan untuk meningkatkan kesetiaan ahli. Jika di dalam PAS ada program "tarbiah", maka PKR perlu turut mempunyai program ala sedemikian bagi mewujudkan ahli-ahli yang yang tetap hatinya bersama PKR walau apa pun terjadi.

Setelah dua tahun di pentas politik tanahair, apa aktiviti dan program yang dilakukan oleh PKR sebenarnya?

Malah pemilihan PKR pada kali ini juga memperlihatkan kekecohan. Bagaimana menanganinya? Mengapa tiada pelan bertindak lebih awal untuk mengawal? Mengapa tidak menubuhkan skuad seperti Unit Amal yang dilakukan PAS?

Di dalam setiap kali pilihanraya umum atau kecil, jentera berkempen dan bekerja dari kalangan PKR juga kurang. Biar GB berterus terang, di dalam kempen-kempen, PKR terlalu bergantung dan mengharapkan petugas daripada PAS. Tanpa mereka, PKR telah lama kecundang. Bagusnya PAS, mereka amat jujur dan ikhlas di dalam setiakawan. Bukan saja PKR, DAP bertanding pun, PAS turun padang walaupun dituduh oleh musuh politiknya, UMNO, PAS bersekongkol dengan mereka yang makan babi. Sedangkan puluhan tahun mereka bersekongkol dengan MCA dan MIC tak pernah pula mereka teringatkan hal itu.

Justeru bagi GB, PKR perlu perkukuhkan parti, bukan dengan cara menyekat demokrasi. Maaf cakap, PKR terlalu banyak politiking, sama macam UMNO. PKR perlu menyusun aktiviti-aktiviti parti. GB tersangat ingin membantu, tetapi dari luar parti kerana GB dah menjadi ahli parti komponen PR.

Ketua de fakto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu dibebankan dengan hal-hal parti dengan berlebihan. Beri beliau peluang sepenuhnya menguruskan hal peribadinya di mahkamah.

Jika nak pakai juga idea Azmin, silakan. Selamat melembukan ahli-ahli baru parti dua tahun yang menyertai PKR.

Nyatakan Kebenaran Walaupun Pahit

Akta Hasutan: Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit!

Oleh Fadiah Nadwa binti Fikri

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan penangkapan dan penahanan seorang kartunis tanahair, Zunar di bawah Akta Hasutan 1948. Umumnya, perkataan hasutan membawa sebuah konotasi berbentuk negatif, di mana perkataan hasutan merujuk kepada perbuatan mengajak atau mempengaruhi seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan yang salah dan berniat jahat.

Seorang kartunis adalah seorang pelukis yang menggunakan seni lukisan kartun yang dihasilkan bagi tujuan menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat. Hasil karya seni seorang kartunis ini dikenali sebagai "satira". Satira mengikut definisi Kamus Oxford bermaksud "penggunaan janaka, ironi, atau sindiran yang bertujuan untuk mengkritik sesuatu kebodohan atau kejahatan terutamanya dalam konteks politik dan isu-isu semasa."

Satira telah menjadi medium penyampaian sesuatu mesej berbentuk politik dalam proses mengetengahkan sesuatu maklumat yang berkait rapat dengan konflik poltik yang melanda sesebuah masayarakat. Seni satira merupakan salah satu bentuk manifestasi prinsip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat sepertimana yang telah diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 19 Pengisytiharan Hak Asasi Sejagat.

Satira politik

Satira politik secara khususnya dihasilkan bertujuan untuk menimbulkan isu-isu penting berkenaan kepincangan sistem politik yang seringkali cuba ditenggelamkan pihak pemerintah dalam usaha menyembunyikan hakikat sebenar sesuatu isu atau sesuatu fakta yang menjurus kepada kebenaran yang terselindung di sebalik pembohongan. Satira politik seringkali memaparkan episod-episod hangat sesuatu isu politik yang dicemari penyalahgunaan kuasa, pencabulan hak asasi dan pembohongan secara terang-terangan yang bisa dirujuk dengan fakta yang tidak pernah berdusta.

Satira politik yang dihasilkan seseorang kartunis untuk paparan masyarakat bukan sahaja bertujuan untuk meraikan prinsip kebebasan bersuara seseorang individu, tetapi ia juga dipaparkan kepada masyarakat untuk mencuit nurani dan daya pemikiran masyarakat untuk memikirkan secara mendalam kepincangan politik yang menular dalam pemerintahan negara, dan bagaimana ia mampu memberi kesan buruk kepada negara dan kehidupan masyarakat sekiranya ia dibiarkan bermaharajalela.

Proses yang berakar umbi daripada prinsip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat ini amat penting dalam melahirkan masyarakat yang peduli dan tidak hanya mementingkan diri sendiri. Melalui proses ini, nilai-nilai keadilan, kebebasan dan kebaikan diberikan tempat yang tertinggi dalam senarai tanggungjawab yang wajib diperjuangkan oleh setiap rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran. Perjuangan dalam memartabatkan kemuliaan manusia dan perjuangan untuk membina masyarakat madani adalah berlandaskan prinsip menegakkan kebenaran dalam apa cara jua sekalipun di mana kebenaran tidak boleh dibiarkan berkubur tanpa pembelaan.

Dengan kesedaran yang dizahirkan melalui penggunapakaian prinsip kebebasan bersuara, kebenaran dapat ditegakkan di mana ia tidak mampu lagi untuk disembunyikan di mana rakyat akan menjadi hakim yang mengadili pembohongan dan cubaan untuk menyembunyikan sesuatu kebenaran oleh pihak pemerintah.

Oleh yang demikian, cubaan-cubaan untuk mengekang kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat dengan menggunakan undang-undang yang tidak berlandaskan prinsip kebebasan dan hak asasi seperti Akta Hasutan oleh pihak pemerintah adalah satu tindakan bacul dan primitif yang jelas bertentangan dengan norma-norma masyarakat yang mendukung prinsip demokrasi dan hak asasi sejagat.

Penangkapan Zunar

Penangkapan dan penahanan Zunar, seorang kartunis yang lantang mengkritk kepincangan sistem politik pemerintah dan sistem kehakiman negara menunjukkan betapa terdesaknya kerajaan Malaysia dalam cubaan menutup penyalahgunaan kuasa dan kebatilan pemerintahan mereka yang jelas lagi nyata. Tindakan tidak bertamadun pihak kerajaan ini jelas dilakukan dengan tujuan untuk membisukan suara-suara keramat rakyat yang berani bangun untuk menyatakan kebenaran yang cuba diselindungi pembohongan demi pembohongan.

Isu-isu yang dipaparkan melalui kartun-kartun Zunar bukanlah suatu imaginasi kosong atau cerita rekaan semata-mata yang sengaja diada-adakan tanpa sebarang basis, tetapi kartun-kartun tersebut sarat dengan fakta-fakta dan persoalan-persoalan sah berikutan episod-episod pelik tapi benar ceritera politik Malaysia. Ugutan, penangkapan dan penahanan oleh pihak berkuasa tidak akan bisa menghentikan pencarian dan penyebaran fakta-fakta yang tidak pernah bisu dalam usaha menegakkan kebenaran dan menghapuskan pembohongan.

Realitinya, tindakan berterusan pihak kerajaan mengugut, menangkap dan menahan rakyat yang berpegang kepada prisip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat di bawah Akta Hasutan jelas membuktikan bahawa Akta Hasutan ini dijadikan alat kepentingan politik pihak kerajaan dalam usaha menutup kebenaran yang bisa memakan diri pihak pemerintah jika tidak dikekang. Dengan menggunakan undang-undang yang tidak berlandaskan prinsip kebebasan dan hak asasi untuk menghalang usaha-usaha rakyat untuk menyampaikan sesuatu fakta dan kebenaran, ia jelas menunjukkan bahawa pada pandangan kerajaan, usaha menyampaikan kebenaran ini adalah sesuatu yang berbentuk hasutan dan berniat jahat.

Betapa ironinya realiti ini dari kacamata pemeritah? Sedangkan ahli-ahli falsafah dunia sejak sekian lama telah berjuang dalam penulisan dan lakaran sejarah agar kebenaran dan keadilan dijadikan matlamat tertinggi yang wajib didukung sesebuah masyarakat dalam usaha memartabatkan ketamadunan manusia.

Kepahitan kebenaran

Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit. Kepahitan yang jelas tergambar dalam sistem pemerintahan yang korup, sistem kehakiman yang tidak berpaksikan keadilan, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan kezaliman terhadap rakyat kebanyakan, bukanlah isu-isu yang asing bagi kita. Isu-isu ini jika dibiarkan tanpa diketengahkan oleh rakyat yang peduli soal keadilan akan menular dan lama-kelamaan akan menghakis nilai-nilai keadilan dan kebenaran yang sekian lama dicabar dan dicabuli pihak berkuasa.

Oleh yang demkian, masa depan kemuliaan tamadun manusia bergantung kepada kita, rakyat yang tidak jemu untuk menegakkan keadilan dan menumbangkan penindasan dengan mempertahankan prinsip kebebasan bersuara tanpa intimidasi dan ugutan. Usaha-usaha untuk mengekang kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat ini wajib ditentang sekeras-kerasnya kerana tindakan ini jelas mencabul proses pencarian sebuah kebenaran.

Ini dapat dilihat daripada reaksi penagkapan dan penahanan Zunar, seorang kartunis politik yang kritikal dalam menyampaikan isu-isu politik semasa tanah air kepada masyarakat umum, di mana masyarakat sivil dari segenap pelusuk dunia bangun menentang tindakan primitif kerajaan ini.

Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Committee to Protect Journalists (CPJ), Pakistan Press Foundation (PPF) dan Reporter without Borders (Paris-RSF) mengecam tindakan kerajaan yang menangkap dan menahan Zunar di bawah Akta Hasutan. Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa ini menegaskan bahawa tindakan kerajaan ini bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara dan tindakan ini jelas digunakan untuk mengekang kritikan terhadap kepincangan sistem poltik yang sekian mencengkam rakyat dan negara Malaysia.

Ugutan yang sering digunakan di bawah topeng Akta Hasutan ini perlu diberhentikan di mana Akta Hasutan yang bertindak sebagai alat politik pihak pemerintah ini perlu dimansuhkan agar hasrat sebenar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara dapat direalisasikan. Usaha ini penting dalam membentuk masyarakat yang lebih demokratik dan lebih matang dalam menilai suasana politik semasa dalam usaha memperbetulkan kepincangan yang membelenggu negara Malaysia yang dicintai berlandaskan prinsip keadilan dan kebenaran.

Katakanlah kebenaran, walaupun ia pahit! -MR

*Fadiah Nadwa Binti Fikri, ahli Lawyers for Liberty dan Setiausaha Kehormat Pusat Bantuan Majlis Peguam Kuala Lumpur.

Bekas Konstabel Polis Dihukum Gantung Sampai Mati Bunuh Anak Bekas S/U UMNO

SHAH ALAM: Seorang bekas konstabel yang dituduh membunuh anak lelaki bekas Setiausaha Umno bahagian Klang, Shohimi Shafie dan pengasuhnya, tujuh tahun lalu, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu terhadap Mohd Nahar Abu Bakar, 34, dari Taman Desa Rhu, Negeri Sembilan, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan.

Dia yang ditangkap pada 16 Oktober 2009, selepas enam tahun diburu polis didakwa membunuh Muhammad Nurosama, 2, dan pengasuh kanak-kanak itu, Siti Rohana Baharom, 34, di Flet Cempaka, Bandar Baru Klang, pada jam 1 tengah hari, 30 Disember 2003.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, bekas anggota polis berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Amir Khusyari Mohd Tanusi.

Sepanjang perbicaraan sejak 26 Mei lalu, pihak pendakwa memanggil 17 saksi manakala peguam bela menampilkan saksi tunggal iaitu tertuduh.

Berita sebelumnya:


Keputusan Kes Bunuh Anak Bekas Setiausaha UMNO Klang 5 Oktober

SHAH ALAM: Nasib seorang bekas konstabel polis yang didakwa atas pertuduhan membunuh anak ketiga bekas setiausaha Umno Bahagian Klang, Shohimi Shafie dan juga pengasuh kanak-kanak tersebut akan diketahui pada 5 Oktober depan.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu pada Khamis, selepas pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan ke atas Mohd Nahar Abu Bakar, 34, selesai mengemukakan hujahan di akhir pembelaan.

Perbicaraan melibat keterangan 17 saksi pendakwaan dan Mohd Nahar yang memberi keterangan secara bersumpah semasa membela diri, tidak mengemukakan saksi lain untuk menyokongnya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail manakala peguam Amir Khusyairi Mohd Tanusi mewakili Mohd Nahar, yang dibuang kerja pada 21 Mei 1999 kerana kesalahan dadah dan pecah rumah serta telah dihukum penjara selama enam bulan pada 2000.

Tertuduh yang pernah berkhdimat di Balai Polis Kampung Baru, Manjung, Perak, didakwa membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, dua tahun setengah dan Siti Rohana Baharom, 34, pada pukul 1 petang, 30 Disember 2003.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah Siti Rohana, di alamat B-5-19, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang, Klang, dekat sini.

Tertuduh yang tamat pelajaran sekolah menengah telah melarikan diri dan hanya ditangkap enam tahun kemudian semasa ditahan kerana cukai jalan keretanya tamat tempoh.

Dia didakwa untuk kali pertama di Mahkamah Majistret Klang pada 20 Oktober 2009.

Tertuduh mengenali Siti Rohana menerusi teman wanitanya, Normah Jantan, seorang pelayan kelab malam yang merupakan sepupu kepada mangsa.

Siti Rohana juga memelihara anak Normah, Siti Aishah yang tidak pernah mengetahui siapa ibu kandungnya sebelum kejadian.

Berdasarkan keterangan Siti Aishah, dia yang semasa itu berumur sembilan tahun melihat tertuduh bertengkar dengan Siti Rohana kerana mangsa enggan memberikan wang yang diminta.

Tertuduh kemudiannya bertindak menikam dada Siti Rohana manakala Muhammad Nurosama ditikam dua kali di bahagian belakang semasa sedang menonton televisyen.

Semasa mayat ditemui, Siti Rohana masih mengenggam wang RM21 ditangannya.


Keterangan Normah pula mengatakan, dia yang menunggu tertuduh di dalam kereta di bawah flat, melihat tertuduh mengambil pisau dari tempat letak barang kereta.

Tertuduh kemudiannya naik semula ke flat dan turun dalam keadaan baju yang berlumuran darah sebelum terus memecut.

Pembelaan tertuduh pula mengatakan dia datang ke flat itu untuk menghisap dadah bersama kawannya, ‘Wan gemuk’ dan tidak pernah melakukan jenayah seperti dipertuduhkan. -mstar


Susu Similac Tercemar Dengan Kumbang

Hentikan segera jualan susu Similac

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut membaca laporan Reuters bahawa susu rumusan bayi Similac yang dikeluarkan oleh Abbott Laboratories Inc, telah menarik balik berjuta tin susu rumusan bayi yang dipercayai tercemar dengan kumbang di Amerika Syarikat. Susu rumusan bayi Similac juga turut dijual di Malaysia.

Keputusan secara sukarela untuk menarik balik produk itu dibuat apabila dua laporan pengguna dibuat berhubung pencemaran itu.

Pihak pengeluar juga secara sukarela menarik balik susu rumusan bayi itu di Guam, Puerto Rico dan pasaran Caribbean.

Hingga kini, pihak syarikat dan pihak berkuasa kesihatan Malaysia tidak membuat sebarang langkah untuk menarik balik produk itu daripada pasaran Malaysia. Dalam kes seperti ini langkah berhati-hati perlu diutamakan.

Demi untuk kepentingan keselamatan pengguna, CAP menggesa Kementerian Kesihatan menangani perkara itu dan mengambil tindakan menarik balik dengan segera terhadap produk itu sehingga keselamatannya boleh dipastikan.

CAP juga menasihatkan ibu-ibu supaya menyusui bayi mereka dengan susu ibu kerana “susu ibu adalah yang terbaik”.

Zaid : Hari Ini Dia Hentam Kita, Esok Mana Tahu Dia Puji Kita?

Zaid Ibrahim: Saya bersikap terbuka, tidak mahu boikot media

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Datuk Zaid Ibrahim yang dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mahu mengambil sikap “memboikot” mana-mana media yang dilihat menyerang dan memusuhi kepimpinan parti itu dan Pakatan Rakyat pada amnya.

Zaid berkata, beliau mempunyai pendirian yang berbeza dalam isu itu walaupun Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta calon-calon yang bertanding pada pemilihan PKR mengelak daripada menggunakan media musuh untuk diwawancara.

Zaid (gambar) diwawancara oleh Mingguan Malaysia minggu lalu. Ia antara akhbar yang dilarang membuat aktiviti PKR sejak saban tahun.

Anwar yang juga Penasihat PKR memberi amaran kepada calon-calon bertanding agar tidak sama sekali menggunakan media milik Umno, yang dilihat sebagai “musuh” PR.

“Calon-calon (yang bertanding) seharusnya berwaspada agar tidak dieksploitasi oleh media Umno untuk menyerang polisi-polisi dan pemimpin-pemimpin kita.

“Jangan benarkan parti (PKR) digunakan oleh media Umno dan propaganda (mereka),” kata Anwar pada satu majlis di London Sabtu lalu.

Anwar mengingatkan ratusan rakyat Malaysia di sini bahawa PKR berjuang untuk melakukan reformasi dan tidak memerlukan “media Umno atau duit.”

Ini kali kedua Anwar mengecam Zaid secara tidak langsung berhubung pendirian beliau tentang perjalanan pemilihan parti.

“Semalam, saya diberitahu saya tidak boleh bercakap kepada akhbar tertentu. Saya pun tidak tahu kepunyaan siapa Karangkraf. Saya pun tidak tanya kepada wartawan dia kepunyaan siapa?

“Tidak kiralah siapa punya pun Karangkraf atau Utusan, tiada akhbar lain yang hentam saya lebih banyak daripada Utusan, tetapi saya, apabila dijemput oleh Utusan, saya tidak kata boikot,” kata Zaid.

Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat ditemu bual oleh Mingguan Malaysia Ahad lalu dengan tajuk “Jangan halang saya bertanding”.

Pelbagai pihak dalam PKR membidas tindakan itu dengan ada yang menyindir beliau yang dipecat Umno hujung tahun 2008 dan menyertai PKR pertengahan 2009 sebagai “ejen Umno”.

Mereka mengkritik kerana Zaid sanggup ditemu bual oleh media Umno itu walaupun menjadi serangan bertubi-tubi ketika bertanding kerusi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu.


“Saya sebenarnya tidak tahu secara sahih, ia hanya percakapan orang. Setakat ini tidak ada orang menyokong saya secara terbuka.

“Saya juga tidak tahu sama ada Azmin disokong oleh Anwar secara terbuka.

“Pada saya perkara ini tidak begitu penting sangat kerana dalam politik sokongan yang nampak jelas pun tipu juga, yang tidak cakap apa-apa pun sokong kita. Saya tidak terlalu bimbang dari segi wayang atau permainan ini kerana yang lebih penting ahli- ahli faham apa isu di dalam pemilihan ini,” kata Zaid dalam wawancara itu.

Dalam temu bual dengan Sinar Harian keluaran hari ini, Zaid yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan berkata, dalam politik “kita tidak tahu hari ini dia hentam kita, mana tahu esok lusa dia puji semula.”

“Saya tidak bertanya Star dan NST milik siapa, walaupun saya tahu ia milik siapa kerana kita perlu hormat tugas wartawan,” kata bekas menteri pusat ini.

Zaid berkata, pendiriannya ialah tidak kira siapa pun milik sesebuah akhbar, beliau tidak kisah dan akan menerima soalan yang diajukan untuk dijawab.

Menjawab soalan mengapa perlu ada arahan sedemikian daripada pucuk kepimpinan, Zaid berkata, “saya fikir mungkin kerana beliau (Anwar) telah kena banyak oleh Utusan.”

“Jadi, beliau anggap akhbar Umno ini musuh sebenar sehingga tidak mampu mengatakan sesuatu yang benar.


“Saya pun tidak tahu. Itu anda perlu tanya beliau sendiri,” kata Zaid lagi.

Zaid mengakui beliau juga kena “henjut juga” tetapi tidak sampai marah atau tidak percaya kepada sesiapa kerana bersikap terbuka dalam hal ini.

“Kalau Sinar Harian mahu hentam saya esok, tetapi puji saya minggu hadapan, saya tidak kisah kerana dalam bidang akhbar ini tanggungjawab anda bukan kepada saya, tetapi kepada kesemua pembaca Sinar Harian.


“Mereka perlu tahu perkara yang sebenar,” kata Zaid yang menduduki tempat kedua dalam pencalonan bagi kerusi timbalan presiden di belakang Naib Presiden Azmin Ali. -TMI

Ulasan GB

Itu contoh kematangan seorang ahli politik. Kita tidak hentam di atas isu yang remeh. Di dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku. Yang penting kita tidak perlu kritik calon lawan. Kritik atau hentam calon lawan, seperti yang dilakukan Azmin terhadap Zaid, jelas menampakkan Azmin takut dengan bayang-bayangnya.

Bagi sesetengah orang, Zaid dikutuk hebat kerana menggunakan Utusan, tetapi apabila Azmin menggunakan Berita Harian mereka mendiamkan diri.

Zaid dihentam hebat kerana mengkritik pimpinan, tetapi apabila Azmin mengkritik MB Selangor satu ketika dulu, itu tak mengapa.

Politik juga wadah untuk sampai kepada kebenaran. Dahulu Zaid di dalam UMNO, puas sudah dihentamnya PAS. Tetapi akhirnya apa yang beliau dapat? Tiba-tiba dia mendapati dirinya sudah bersebelahan dengan TG Nik Aziz. Dan perjalanan Zaid ke puncak kebenaran masih terus berjalan.

Pimpinan tertinggi parti perlu terbuka apabila dikritik. Teguran itulah yang menguatkan parti. Apabila Zaid menyatakan Presiden PKR adalah boneka, saya juga sebenarnya ingin menyatakan perkara yang sama. Bererti Zaid sudah membawa mesej yang saya dan ramai lagi nak kata.

Di dalam Islam, tiada sebenarnya apa yang dikatakan "kesetiaan membabi buta". GB juga sering kritik Presiden PAS. Tetapi bukan bererti GB benci kepadanya. Malah GB juga tetap berdoa beliau mendapat bimbingan dan rahmatNya. Kita kritik kualiti kepimpinan beliau apabila lemah untuk beliau bangkit dengan segala kekuatan dan lebih bertenaga, kritik UG bukan kritik peribadi.

Katakanlah : Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)

Gobala Akan Kerjasama Dengan Yang Kalah : Mereka Juga Ahli PKR

Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan yang berjaya mendapat 397 undi berbanding Shamsul Anuar Abdullah 219 undi dan V Sandrasekharan 157 undi dalam pemilihan jawatan Ketua PKR Cabang Padang Serai akan memastikan PKR cabang berkenaan aktif pada masa akan datang.

Selain itu, beliau turut berjanji akan bekerjasama dengan semua calon yang kalah untuk memastikan PKR terus mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat di Padang Serai.

Beliau mengatakan kemenangan yang diperolehnya berpunca dari sokongan padu yang diberikan oleh ahli dan mahu beliau terus menerajui parti itu.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua yang telah mengundi saya. Selepas ini saya akan berehat dua tiga hari sebelum berjumpa dengan semua ahli PKR Cabang Padang Serai.

"Saya juga akan memberikan kerjasama dengan calon yang kalah kerana mereka juga merupakan ahli PKR. Sebenarnya kalah atau menang bukan perkara penting kerana ia hanya pemilihan dalam parti," katanya.

Gobalakrishnan berkata, apa yang lebih penting pihaknya harus bekerja keras untuk memenangkan calon Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 supaya impian untuk menawan Putrajaya akan menjadi kenyataan.

Menjawab perihal bantahan yang dibuat terhadap keputusan pemilihan PKR Cabang Padang Serai beliau berkata, PKR mengamalkan konsep demokrasi di mana siapa sahaja yang terdiri daripada ahli PKR boleh membuat bantahan terhadap sebarang permasalahan.

Menurutnya, pemilihan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang membimbangkan sejak ia bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

Beliau berkata, setiap bantahan yang dibuat akan dihalusi oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Tentang bantahan dibuat oleh calon yang bertanding pada pendapat saya, mereka mempunyai hak selagi mereka ahli PKR. Semua permasalahan yang timbul akan dinilai semula oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat dan keputusan akan ditentukan pihak berkenaan.

"Apa yang penting, sepanjang pemilihan dijalankan tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini. Ini menunjukkan PKR mempunyai permuafakatan yang erat antara ahli," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau berterima kasih kepada semua kerana telah menjalankan tugas serta tanggungjawab yang diberikan untuk memastikan pemilihan kali ini berjalan dengan baik. -SH

Tiada Siapa Nak Serta PKR Jika Ahli Baru Diragui

PKR harus hargai dan hormati anggota baru

PETALING JAYA: Seorang pemimpin peringkat cabang PKR di Sabah melahirkan rasa kecewa dengan sikap beberapa pemimpin tertinggi parti kerana memperkecil-kecilkan anggota-anggota baru.

"Saya kecewa dengan beberapa pemimpin PKR berulang kali memperkecilkan anggota-anggota baru dalam parti, sama ada melabel mereka sebagai tidak boleh dipercayai atau masih mentah dalam politik," kata Ketua Cabang Kota Belud, Saidil Simoi (gambar).

Beliau berkata, "hari ini, saya terbaca kenyataan akhbar Naib Presiden Azmin Ali, yang akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden, meremehkan pesaingnya Datuk Zaid Ibrahim, hanya kerana beliau adalah anggota baru dalam PKR.

Ujar beliau, "nada suara para pemimpin ini bercanggah dengan aspirasi parti apabila inisiatif diambil untuk meminda perlembagaan. Pucuk pimpinan mengalu-alukan anggota-anggota baru dengan tangan terbuka selepas pilihan raya umum 2008.

"Parti sanggup memendekkan tempuh masa menjadi ahli kepada hanya setahun untuk membolehkan mereka menawarkan diri sebagai calon dalam pemilihan parti," katanya dalam kenyataan media hari ini.

"Namun kini, anggota-anggota baru dipandang dengan perasaan curiga dan seolah-olah tidak diperlukan. Adakah kita menyatakan mana-mana anggota baru yang ingin menawarkan diri untuk komited dengan perjuangan parti secara otomatik digantung kerana disyaki sebagai pengacau?

"Adakah mereka tidak diperlukan kerana mereka tidak condong kepada mana-mana kumpulan yang dipilih oleh beberapa pemimpin parti," soal beliau.

Beliau berkata, peristiwa ini mengingatkan kita kepada kes seorang yang dilantik sebagai Bendahari Agung selepas pemilihan parti tahun 2007 merupakan anggota baru dan hampir tidak dikenali dalam parti. Namun demikian, pelantikan itu dibuat tanpa sebarang bantahan.

"Jika inilah halnya, maka demokrasi tidak akan berkembang dalam parti, seperti mana yang dikehendaki oleh sistem mengundi secara terus. Demokrasi hendaklah berasaskan kepada kuasa anggota dan bukan ditentukan oleh segelintir," katanya. -FMT

GALAS : 70% Undi Cina Diyakini Berpihak Kepada Pas

Dewan Himpunan Penyokong Pas yakin lebih 70 peratus dari 2,500 undi masyarakat Cina yang akan membuang undi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan berpihak kepada Pas.

Ketuanya, Hu Pang Chaw berkata, momentum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu menunjukkan masyarakat bukan Melayu memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) tidak berubah, sekali gus memberi kelebihan kepada Pas untuk mempertahankan kerusi Galas.

“Analisa awal menunjukkan sokongan masyarakat Cina di Gua Musang terutama di Galas tidak berubah, mereka masih memberi sokongan penuh kepada rakan PR tidak kira apa parti sekalipun,” katanya kepada Sinar Harian.

DUN Galas mempunyai 10,330 undi yang diwakili masyarakat Melayu 65 peratus, Cina 22.3 peratus, India 1.8 peratus manakala lain-lain 10.5 peratus.

Dalam pada itu, Pang Chaw berkata, pihaknya tidak bermasalah untuk mendapatkan undi bukan Melayu termasuk masyarakat Orang Asli di Galas.

Katanya, kelebihan itu penting buat Pas untuk mempertahankan kerusi itu tetapi perlu memasang strategi khusus untuk menarik sokongan kaum Melayu.

Mengenai persiapan sayap baru Pas itu, Pang Chaw berkata, pihaknya kini hanya menunggu arahan untuk menggerakkan jentera parti dan pihaknya tidak bermasalah untuk mengumpulkan jentera parti. -SH

JPP Perlu Bertindak Ke Atas Azmin

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR digesa untuk mengambil tindakan ke atas Azmin Ali, calon Timbalan Presiden ekoran dari kelaku buruknya menyerang peribadi lawan seperti yang telah dilaporkan oleh media.

Azmin didakwa telah menganggap Zaid Ibrahim, calon lawannya sebagai seorang pendatang baru dalam parti. Bukan itu saja, Azmin menyifatkan Zaid sebagai "desperado" dalam satu wawancara dengan Berita Harian.

Ahli Parlimen Kelana Jaya semalam melahirkan rasa sedih dan kecewa jika Azmin sengaja bersikap sedemikian.

"Serangan peribadi tidak perlu dan sesuatu yang tidak baik. Dengan menyebut-nyebut nama merupakan satu tindakan kebudak- budakan. Saya sungguh tidak percaya pemimpin veteran dan matang seperti Azmin berkata sesuatu seperti ini.

Ujar beliau, adalah benar Zaid adalah baru dalam parti, tetapi kita harus menghormati beliau bahawa beliau mempunyai pengalaman yang luas dan merupakan seorang ahli politik yang mempunyai prinsip dan boleh memberi sumbangan kepada parti.

"Adakah kita cepat lupa bahawa penyertaan Zaid disambut meriah pada suatu ketika dahulu kerana beliau adalah bekas menteri yang memprotes tentang salah guna ISA oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional?" soal beliau.

Gwo Burne berkata, "oleh itu, saya menggesa anggota-anggota parti supaya adil dan konsisten dengan pemilihan parti.

"Kelihatan seolah-olah beberapa pemimpin parti mengamal "double standard", memilih untuk menyerang calon kerana wawancaranya tersiar di akhbar arus perdana dan pada masa yang sama, memejamkan mata apabila calon yang satu lagi berbuat demikian," terangnya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah memberi amaran kepada calon-calon bertanding agar tidak sama sekali menggunakan media milik Umno, yang dilihat sebagai ‘musuh’ Pakatan Rakyat.

“Calon-calon (yang bertanding) seharusnya berwaspada agar tidak dieksploitasi oleh media Umno untuk menyerang polisi-polisi dan pemimpin-pemimpin kita.

“Jangan benarkan parti (PKR) digunakan oleh media Umno dan propaganda (mereka),” kata pemimpin ini pada satu majlis di sini.

Kata Anwar, tindakan meluahkan rungutan dalam media ketika pemilihan parti seolah-olah mengikut rentak agenda Barisan Nasional (BN) untuk membangkitkan masalah dalaman PKR dan menjauhkan diri daripada isu lebih besar seperti rasuah.

“Kesemua pemimpin adalah penting, tetapi sesetengah akan menang dan sesetengah yang lain akan kalah,” kata Anwar sambil menegaskan, mereka yang menang tidak harus menggondol semua manakala yang kalah tidak wajar mengetepikan agenda besar PKR mahu membawa pembaharuan.

Kerusi timbalan presiden bakal ditanding Azmin, Zaid dan seorang lagi naib presiden Mustaffa Kamil Ayub.

Bagaimanapun ada dua lagi nama yang turut layak untuk bertanding kerusi itu iaitu Menteri Besar Selangor Tan Khalid Ibrahim dan Pengarah Strategi PKR Tian Chua.

Sementara itu pelbagai pihak kesal dengan tindakan Azmin berkenaan.

MB Selangor, tan Sri Khalid Ibrahim juga pernah menasihatkan calon-calon yang bertanding supaya menjjaga kelakuan dan tatatertib sewaktu berkempen.

Beliau berkata anggota parti mesti matang untuk menerima keputusan pemilihan sama ada kalah atau menang dan ia ditentukan menerusi kertas undi.

“Dalam kempen juga, ia mesti dilakukan dengan tertib, tidak boleh mencerca lawan sebaliknya berbincang bagaimana calon boleh meningkatkan prestasi parti," tegas Khalid.

Seorang pengkomen yang menamakan dirinya anhipokrit telah menghantar komen di dalam blog Kelab GB yang diantara lain menulis:

kalau mendabik dada...akulah yg hebat...akulah yg paling lama.... akulah yg paling banyak berjasa...dan mcm2 lagi jasa nak dihebahkan, bermakna sudah tidak ada keikhlasan dalam perjuangan anda wahai si Azmin... apakah niat anda sebenarnya menceritakan kerjabuat anda selama ini?... bukankah ini namanya riya'...ujub.... dll.. Sepatutnya bukan anda yg menceritakan amalan diri sendiri, tetapi bila anda menceritakannya...maka terbuktilah selama ini anda tidak ikhlas... anda berkata anda tahan diuji...sebenarnya anda TEWAS... TEWAS kepada NAFSU anda sendiri! Anda mungkin MENANG di dunia...tetapi anda akan TEWAS diakhirat! Bukanlah jangkamasa itu sebagai pengukur untuk melayakkan anda menerima redha Allah... tetapi keikhlasan anda itulah penentu segala-galanya! Org yg pendek umurnya tetapi ikhlas amalannya akan akan diterima oleh Allah drp org yg panjang umurnya tetapi tidak ikhlas amalannya! Buangkanlah sifat2 munafik yg bersarang didalam hatimu sebelum terlambat! Bartaubatlah kpd Allah sementara umur masih ada. Sanggupkah anda memakan daging saudara2 anda sendiri? Bertandinglah secara berhikmah, bijaksana... bukannya mencela sahabat2 seperjuangan! kalau beginilah sikap anda... maka lebih baik anda berundur... atau anda akan kami undurkan!...atau lebih dahsyat lagi kalau anda dimalukan oleh Allah s.w.t. di hari yg tidak ada org yg yg akan menyokong anda di akhirat kelak!

Sementara itu, pelbagai pihak mendesak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) supaya berlaku adil dan saksama di dalam bertindak. Kegagalan JPP untuk berlaku adil akan hanya menjadikan mereka sebagai "boneka" sepertimana kerajaan UMNO BN memperalatkan Polis, SPRM, institusi kehakiman dan lain-lain agensi kerajaan sebagai alat mereka untuk menekan Pakatan Rakyat.

Media PKR seperti Suara Keadilan dan TVS turut dilihat tidak berlaku adil dimana ruang seluas-luasnya diberikan kepada Azmin tetapi hampir tiada ruang untuk Zaid.

"Jika kita marahkan orang lain tidak adil, mengapa di dalam parti sendiri berlaku ketidak-adilan itu?. Mengapa cakap tak serupa bikin?" tegur seorang ahli.

"Kita lihat semacam sudah ada agenda tertentu dari peringkat tertinggi parti menyebelahi Azmin. Menggunakan jentera parti untuk menetapkan calon-calon tertentu untuk jawatan-jawatan tertentu. Malah penggunaan nama-nama pemimpim-pemimpin parti untuk membuat kenyataan media terhadap sokongan terbuka beberapa kerat pemimpin parti terhadap Azmin jelas menunjukkan adanya agenda tertentu itu," tambahnya.

Di dalam hal Zaid Ibrahim yang dikecam hebat oleh pihak tertentu, ia dilihat hanya sebagai mainan Azmin yang takut dengan bayang-bayangnya.

“Individu ini baru setahun menyertai PKR tetapi tidak faham agenda reformasi yang ditegaskan dalam dekrelasi Permatang Pauh 10 tahun yang lalu,”katanya.

Azmin menambah, "adakah pemimpin ini yang hendak kita pilih menjadi pemimpin parti kita."

Serangan melulu Azmin itu dilihat sebagai kebudak-budakan kerana tiada siapa boleh menghalang ahli parti tanpa mengira usia keahliannya, untuk bertanding mana-mana jawatan di dalam parti.

"Jika demikian, parti kena buat syarat nak masuk PKR, jangan bertanding dulu, duduk jadi lembu selama dua tahun kemudian baru boleh bertanding," bentak seorang ahli yang memakai baju "Trojan Horse" sebagai sindiran kepada pihak tertentu di dalam parti.

"Tak ada parti dalam dunia buat syarat sedemikian. Malah dalam sejarah Islam pun tak ada. Tak der kita dengar kisah hatta para muallaf pun yang dihalang menjadi pemimpin umat Islam. " tegasnya.



UMNO Tiupkan Api Perkauman Untuk Kekal Berkuasa

Tindakan-tindakan perkauman pegawai awam akan berterusan selagi Umno memerintah negara ini, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, Umno tiada pilihan lain untuk terus kekal berkuasa selain terus meniupkan api perkauman seperti mereka lakukan sejak dahulu lagi.

"Apa lagi yang pemimpin Umno hendak cakap selain perkauman? Bila bercakap soal demokrasi, rakyat mencemuh mereka kerana mereka tidak demokratik.

"Bila bercakap soal ekonomi, penyokong-penyokong Umno sendiri mempersendakan mereka seperti yang terjadi kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dicanang-canangkan oleh (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak), " katanya.

Sebab itulah, kata Mahfuz, amaran Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan kononnya kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap pegawai awam yang menyentuh soal sensitiviti kaum dan agama tidak lebih dari semata-mata cakap mulut atau 'lip service' sahaja.

"Kalaupun berlaku pegawai kerajaan bertindak mengapi-apikan perkauman, pemimpin Umno di dalam kerajaan akan berdolak-dalik dan tidak mahu mengambil tindakan.

"Lihat saja bagaimana (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) berdolak-dalik dan dengan jelas enggan bertindak terhadap seorang pengetua di Kulaijaya, Johor dan seorang guru di Bukit Selambau, Kedah yang didakwa mengeluar kenyataan berbaur perkauman.

"Sedangkan, sudah berpuluh-puluh tahun kita lihat begitu ramai guru dan pegawai kerajaan yang dikenakan pelbagai tindakan tindakan semata-mata kerana menyokong PAS.

"Bila hendak mengambil tindakan ke atas guru-guru dan pegawai awam yang menyokong PAS, tidak pula timbul soal bidang kuasa antara Kementerian Pelajaran atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz bagaimanapun melihat perbuatan mengapi-apikan perkauman itu akan menyebabkan Umno semakin dilihat sebagai jenama yang jijik. -harakahdaily

Keshvinder Singh Sertai PPP, Tidak Mahu Umum Berapa Habuan Yang Diterima.

Adun bebas Keshvinder Singh umum sertai PPP

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Malim Nawar, Keshvinder Singh yang sebelum ini keluar daripada DAP untuk menjadi wakil Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN), hari ini mengumumkan beliau akan menyertai Parti Progresif Penduduk (PPP).

Katanya, beliau memutuskan untuk menyertai parti komponen BN itu selepas dipelawa oleh Naib Presiden PPP Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff.

Permohonan akan dikemukakan selepas Presiden PPP Datuk M. Kayveas balik dari luar negara tidak lama lagi, katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Institut Darul Ridzuan di sini.

Keshvinder mengisytiharkan keluar daripada DAP pada 15 Jun lepas.

“Setelah mengambil kira PPP adalah sebuah parti yang dianggotai pelbagai kaum dan sesuai dengan jiwa saya maka saya menerima pelawaan itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika ditemui pada majlis sama, menyifatkan hasrat Keshvinder itu sebagai keputusan yang bijak.

Beliau berkata BN sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka untuk menerima sesiapa saja untuk menyertainya asalkan mereka bersedia menerima perjuangan BN. — Bernama

Ulasan GB

Pertama, Keshvinder Singh tak dedah berapa jumlah "cash" beliau sudah dapat dengan langkah keluar dari DAP untuk jadi bebas kemudian sertai BN.

Beliau dahulu sekadar menafikan ada menerima habuan, katanya di dalam akaun banknya tak ada wang tersebut. Jawapan untuk membodohkan orang. Kalau terima duit tak semestinya masuk akaun sendiri, boleh guna nama orang lain.

Kedua yang ajak beliau serta PPP ialah Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff. Kenal siapa Nik Sapeia? Yang tembak air lada ke mata Tun Dr Mahathir di Kota Bahru dulu.

Pada 14 Januari 2010, Majistret Azman Mustapha mendapati Nik Sapiea bersalah menyembur bahan pemedih mata ke arah Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2006. Keputusan bersalah diputuskan Mahkamah Majistret Kota Bharu . Dia juga dituduh menyebabkan kecederaan kepada Datuk Ibrahim Ali (58), Mohd Nasir Muda (48), dan Suberi Sahidan (50) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan pada 11 pagi 28 Julai 2006.

Peguam Nik Sapeia iaitu Saseedharan Menon memohon hukuman penjara 6 bulan ditangguhkan kerana hendak mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Raja Rozela Raja Toran menjadi timbalan pendakwaraya setuju dengan penangguhan itu.

Tiba-tiba pada 13 Mac 2010, Nik Sapeia menuntut saman malu RM20 juta kerana perniagaannya serta reputasinya terjejas. Defenden ialah Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Baharin Mohd Noh; bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Zulkifli Abdullah dan Kerajaan Malaysia.

PPP sebuah parti saingan kepada MIC. Tetapi masa depan PPP dikatakan lebih malap lagi selepas pilihanraya umum 2008 dengan kekalahan Presidennya, Kayveas kalah di parlimen Taiping dengan majoriti 11,298 undi apabila mendapat 16,800 undi berbanding lawannya daripada DAP, Nga Kor Ming yang mendapat 28,098 undi.

Dengan senario itu, sebenarnya Keshvinder selepas ini akan bersara dari politik. tetapi ramai percaya beliau sudah menjadi seorang jutawan Cashvinder Singh.