5 Okt 2010

GALAS : 70% Undi Cina Diyakini Berpihak Kepada Pas

Dewan Himpunan Penyokong Pas yakin lebih 70 peratus dari 2,500 undi masyarakat Cina yang akan membuang undi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan berpihak kepada Pas.

Ketuanya, Hu Pang Chaw berkata, momentum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu menunjukkan masyarakat bukan Melayu memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) tidak berubah, sekali gus memberi kelebihan kepada Pas untuk mempertahankan kerusi Galas.

“Analisa awal menunjukkan sokongan masyarakat Cina di Gua Musang terutama di Galas tidak berubah, mereka masih memberi sokongan penuh kepada rakan PR tidak kira apa parti sekalipun,” katanya kepada Sinar Harian.

DUN Galas mempunyai 10,330 undi yang diwakili masyarakat Melayu 65 peratus, Cina 22.3 peratus, India 1.8 peratus manakala lain-lain 10.5 peratus.

Dalam pada itu, Pang Chaw berkata, pihaknya tidak bermasalah untuk mendapatkan undi bukan Melayu termasuk masyarakat Orang Asli di Galas.

Katanya, kelebihan itu penting buat Pas untuk mempertahankan kerusi itu tetapi perlu memasang strategi khusus untuk menarik sokongan kaum Melayu.

Mengenai persiapan sayap baru Pas itu, Pang Chaw berkata, pihaknya kini hanya menunggu arahan untuk menggerakkan jentera parti dan pihaknya tidak bermasalah untuk mengumpulkan jentera parti. -SH

1 ulasan:

  1. Itu sbelum UBN melonggokkan 'bukit emas' mereka. Sebutan 70% seawal mungkin berselirat dengan maksud tersembunyi. Orang berpolitik mana boleh lepaskan peluang-peluang menunjukkan nilai.Supaya UBN dapat buat perkiraan nilai sebenar yang patut ditawarkan. Selagi ia menguntungkan UBN maka semuanya dikira halal.
    Helah demikian hampir menjadi di Manik Urai. Pas hampir gigit jari kaki.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.