5 Okt 2010

Zaid : Hari Ini Dia Hentam Kita, Esok Mana Tahu Dia Puji Kita?

Zaid Ibrahim: Saya bersikap terbuka, tidak mahu boikot media

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Datuk Zaid Ibrahim yang dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mahu mengambil sikap “memboikot” mana-mana media yang dilihat menyerang dan memusuhi kepimpinan parti itu dan Pakatan Rakyat pada amnya.

Zaid berkata, beliau mempunyai pendirian yang berbeza dalam isu itu walaupun Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta calon-calon yang bertanding pada pemilihan PKR mengelak daripada menggunakan media musuh untuk diwawancara.

Zaid (gambar) diwawancara oleh Mingguan Malaysia minggu lalu. Ia antara akhbar yang dilarang membuat aktiviti PKR sejak saban tahun.

Anwar yang juga Penasihat PKR memberi amaran kepada calon-calon bertanding agar tidak sama sekali menggunakan media milik Umno, yang dilihat sebagai “musuh” PR.

“Calon-calon (yang bertanding) seharusnya berwaspada agar tidak dieksploitasi oleh media Umno untuk menyerang polisi-polisi dan pemimpin-pemimpin kita.

“Jangan benarkan parti (PKR) digunakan oleh media Umno dan propaganda (mereka),” kata Anwar pada satu majlis di London Sabtu lalu.

Anwar mengingatkan ratusan rakyat Malaysia di sini bahawa PKR berjuang untuk melakukan reformasi dan tidak memerlukan “media Umno atau duit.”

Ini kali kedua Anwar mengecam Zaid secara tidak langsung berhubung pendirian beliau tentang perjalanan pemilihan parti.

“Semalam, saya diberitahu saya tidak boleh bercakap kepada akhbar tertentu. Saya pun tidak tahu kepunyaan siapa Karangkraf. Saya pun tidak tanya kepada wartawan dia kepunyaan siapa?

“Tidak kiralah siapa punya pun Karangkraf atau Utusan, tiada akhbar lain yang hentam saya lebih banyak daripada Utusan, tetapi saya, apabila dijemput oleh Utusan, saya tidak kata boikot,” kata Zaid.

Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat ditemu bual oleh Mingguan Malaysia Ahad lalu dengan tajuk “Jangan halang saya bertanding”.

Pelbagai pihak dalam PKR membidas tindakan itu dengan ada yang menyindir beliau yang dipecat Umno hujung tahun 2008 dan menyertai PKR pertengahan 2009 sebagai “ejen Umno”.

Mereka mengkritik kerana Zaid sanggup ditemu bual oleh media Umno itu walaupun menjadi serangan bertubi-tubi ketika bertanding kerusi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu.


“Saya sebenarnya tidak tahu secara sahih, ia hanya percakapan orang. Setakat ini tidak ada orang menyokong saya secara terbuka.

“Saya juga tidak tahu sama ada Azmin disokong oleh Anwar secara terbuka.

“Pada saya perkara ini tidak begitu penting sangat kerana dalam politik sokongan yang nampak jelas pun tipu juga, yang tidak cakap apa-apa pun sokong kita. Saya tidak terlalu bimbang dari segi wayang atau permainan ini kerana yang lebih penting ahli- ahli faham apa isu di dalam pemilihan ini,” kata Zaid dalam wawancara itu.

Dalam temu bual dengan Sinar Harian keluaran hari ini, Zaid yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan berkata, dalam politik “kita tidak tahu hari ini dia hentam kita, mana tahu esok lusa dia puji semula.”

“Saya tidak bertanya Star dan NST milik siapa, walaupun saya tahu ia milik siapa kerana kita perlu hormat tugas wartawan,” kata bekas menteri pusat ini.

Zaid berkata, pendiriannya ialah tidak kira siapa pun milik sesebuah akhbar, beliau tidak kisah dan akan menerima soalan yang diajukan untuk dijawab.

Menjawab soalan mengapa perlu ada arahan sedemikian daripada pucuk kepimpinan, Zaid berkata, “saya fikir mungkin kerana beliau (Anwar) telah kena banyak oleh Utusan.”

“Jadi, beliau anggap akhbar Umno ini musuh sebenar sehingga tidak mampu mengatakan sesuatu yang benar.


“Saya pun tidak tahu. Itu anda perlu tanya beliau sendiri,” kata Zaid lagi.

Zaid mengakui beliau juga kena “henjut juga” tetapi tidak sampai marah atau tidak percaya kepada sesiapa kerana bersikap terbuka dalam hal ini.

“Kalau Sinar Harian mahu hentam saya esok, tetapi puji saya minggu hadapan, saya tidak kisah kerana dalam bidang akhbar ini tanggungjawab anda bukan kepada saya, tetapi kepada kesemua pembaca Sinar Harian.


“Mereka perlu tahu perkara yang sebenar,” kata Zaid yang menduduki tempat kedua dalam pencalonan bagi kerusi timbalan presiden di belakang Naib Presiden Azmin Ali. -TMI

Ulasan GB

Itu contoh kematangan seorang ahli politik. Kita tidak hentam di atas isu yang remeh. Di dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku. Yang penting kita tidak perlu kritik calon lawan. Kritik atau hentam calon lawan, seperti yang dilakukan Azmin terhadap Zaid, jelas menampakkan Azmin takut dengan bayang-bayangnya.

Bagi sesetengah orang, Zaid dikutuk hebat kerana menggunakan Utusan, tetapi apabila Azmin menggunakan Berita Harian mereka mendiamkan diri.

Zaid dihentam hebat kerana mengkritik pimpinan, tetapi apabila Azmin mengkritik MB Selangor satu ketika dulu, itu tak mengapa.

Politik juga wadah untuk sampai kepada kebenaran. Dahulu Zaid di dalam UMNO, puas sudah dihentamnya PAS. Tetapi akhirnya apa yang beliau dapat? Tiba-tiba dia mendapati dirinya sudah bersebelahan dengan TG Nik Aziz. Dan perjalanan Zaid ke puncak kebenaran masih terus berjalan.

Pimpinan tertinggi parti perlu terbuka apabila dikritik. Teguran itulah yang menguatkan parti. Apabila Zaid menyatakan Presiden PKR adalah boneka, saya juga sebenarnya ingin menyatakan perkara yang sama. Bererti Zaid sudah membawa mesej yang saya dan ramai lagi nak kata.

Di dalam Islam, tiada sebenarnya apa yang dikatakan "kesetiaan membabi buta". GB juga sering kritik Presiden PAS. Tetapi bukan bererti GB benci kepadanya. Malah GB juga tetap berdoa beliau mendapat bimbingan dan rahmatNya. Kita kritik kualiti kepimpinan beliau apabila lemah untuk beliau bangkit dengan segala kekuatan dan lebih bertenaga, kritik UG bukan kritik peribadi.

Katakanlah : Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)

6 ulasan:

  1. haha letih bab politik ni, apa pun selepas pemilihan nanti di minta semua pemimpin bertaut kembali , jgn keluar parti jika kalah atau macam macam alasan di beri,

    BalasPadam
  2. Cantik ler libasan Tuan GB.
    semuga ramai yang dapat menafaat dari penjelasan tuan.

    BalasPadam
  3. Assalammualaikum,

    Satu cabaran menuntut ketaatan diri kepada arahan. Kesetiaan ada di mana-mana. Di bibir, di mata dan di hati. Bezanya siapa kita. Pemimpin atau ahli biasa. Biar rumahku bergelimpangan, ruang dapurku bersepah, kamar tidur tidak berkemas. Di bilik mandi lampu terbiar nyala, air terbuka sebesar-besarnya.
    Aku, prinsipku, segalanya usah kau curiga lagi. Aku ahli yang setia.

    BalasPadam
  4. macam media UMNO hentam TGNA tapi puji TGHH, kita serupa....

    BalasPadam
  5. media UMNO hentam anwar tapi sokong zaid, tapi masa hulu selangor, keluar banyak isu zaid...

    BalasPadam
  6. Salam sejahtera,
    Cuba tunjuk parti politik yang ketika pemilihan sesuatu jawatan/kedudukan peringkat tinggi yang tidak ada insiden seperti berkenaan.
    PAS..!!?? Jangan nak buar lawak bodoh. Sama jugak. Penuh dah sampah sarap di bawah karpet tuh.
    Jika takut berlengan, jangan ke gelanggang. Azmin berpencak agrasif. Zaid cool, best and steady. Dah berpasir gigi dia orang ketika bersaing dan tutup gelanggang dua pendekar PKR ini akan duduk dalam sf solat yang sama dan menadah tangan kehadirat Ilahi, Tuhan mereka bersama..
    Yang kita dok bercelaru pasal apaa..
    Ampun maaf,
    Wassalam

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.