5 Okt 2010

Nyatakan Kebenaran Walaupun Pahit

Akta Hasutan: Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit!

Oleh Fadiah Nadwa binti Fikri

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan penangkapan dan penahanan seorang kartunis tanahair, Zunar di bawah Akta Hasutan 1948. Umumnya, perkataan hasutan membawa sebuah konotasi berbentuk negatif, di mana perkataan hasutan merujuk kepada perbuatan mengajak atau mempengaruhi seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan yang salah dan berniat jahat.

Seorang kartunis adalah seorang pelukis yang menggunakan seni lukisan kartun yang dihasilkan bagi tujuan menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat. Hasil karya seni seorang kartunis ini dikenali sebagai "satira". Satira mengikut definisi Kamus Oxford bermaksud "penggunaan janaka, ironi, atau sindiran yang bertujuan untuk mengkritik sesuatu kebodohan atau kejahatan terutamanya dalam konteks politik dan isu-isu semasa."

Satira telah menjadi medium penyampaian sesuatu mesej berbentuk politik dalam proses mengetengahkan sesuatu maklumat yang berkait rapat dengan konflik poltik yang melanda sesebuah masayarakat. Seni satira merupakan salah satu bentuk manifestasi prinsip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat sepertimana yang telah diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 19 Pengisytiharan Hak Asasi Sejagat.

Satira politik

Satira politik secara khususnya dihasilkan bertujuan untuk menimbulkan isu-isu penting berkenaan kepincangan sistem politik yang seringkali cuba ditenggelamkan pihak pemerintah dalam usaha menyembunyikan hakikat sebenar sesuatu isu atau sesuatu fakta yang menjurus kepada kebenaran yang terselindung di sebalik pembohongan. Satira politik seringkali memaparkan episod-episod hangat sesuatu isu politik yang dicemari penyalahgunaan kuasa, pencabulan hak asasi dan pembohongan secara terang-terangan yang bisa dirujuk dengan fakta yang tidak pernah berdusta.

Satira politik yang dihasilkan seseorang kartunis untuk paparan masyarakat bukan sahaja bertujuan untuk meraikan prinsip kebebasan bersuara seseorang individu, tetapi ia juga dipaparkan kepada masyarakat untuk mencuit nurani dan daya pemikiran masyarakat untuk memikirkan secara mendalam kepincangan politik yang menular dalam pemerintahan negara, dan bagaimana ia mampu memberi kesan buruk kepada negara dan kehidupan masyarakat sekiranya ia dibiarkan bermaharajalela.

Proses yang berakar umbi daripada prinsip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat ini amat penting dalam melahirkan masyarakat yang peduli dan tidak hanya mementingkan diri sendiri. Melalui proses ini, nilai-nilai keadilan, kebebasan dan kebaikan diberikan tempat yang tertinggi dalam senarai tanggungjawab yang wajib diperjuangkan oleh setiap rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran. Perjuangan dalam memartabatkan kemuliaan manusia dan perjuangan untuk membina masyarakat madani adalah berlandaskan prinsip menegakkan kebenaran dalam apa cara jua sekalipun di mana kebenaran tidak boleh dibiarkan berkubur tanpa pembelaan.

Dengan kesedaran yang dizahirkan melalui penggunapakaian prinsip kebebasan bersuara, kebenaran dapat ditegakkan di mana ia tidak mampu lagi untuk disembunyikan di mana rakyat akan menjadi hakim yang mengadili pembohongan dan cubaan untuk menyembunyikan sesuatu kebenaran oleh pihak pemerintah.

Oleh yang demikian, cubaan-cubaan untuk mengekang kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat dengan menggunakan undang-undang yang tidak berlandaskan prinsip kebebasan dan hak asasi seperti Akta Hasutan oleh pihak pemerintah adalah satu tindakan bacul dan primitif yang jelas bertentangan dengan norma-norma masyarakat yang mendukung prinsip demokrasi dan hak asasi sejagat.

Penangkapan Zunar

Penangkapan dan penahanan Zunar, seorang kartunis yang lantang mengkritk kepincangan sistem politik pemerintah dan sistem kehakiman negara menunjukkan betapa terdesaknya kerajaan Malaysia dalam cubaan menutup penyalahgunaan kuasa dan kebatilan pemerintahan mereka yang jelas lagi nyata. Tindakan tidak bertamadun pihak kerajaan ini jelas dilakukan dengan tujuan untuk membisukan suara-suara keramat rakyat yang berani bangun untuk menyatakan kebenaran yang cuba diselindungi pembohongan demi pembohongan.

Isu-isu yang dipaparkan melalui kartun-kartun Zunar bukanlah suatu imaginasi kosong atau cerita rekaan semata-mata yang sengaja diada-adakan tanpa sebarang basis, tetapi kartun-kartun tersebut sarat dengan fakta-fakta dan persoalan-persoalan sah berikutan episod-episod pelik tapi benar ceritera politik Malaysia. Ugutan, penangkapan dan penahanan oleh pihak berkuasa tidak akan bisa menghentikan pencarian dan penyebaran fakta-fakta yang tidak pernah bisu dalam usaha menegakkan kebenaran dan menghapuskan pembohongan.

Realitinya, tindakan berterusan pihak kerajaan mengugut, menangkap dan menahan rakyat yang berpegang kepada prisip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat di bawah Akta Hasutan jelas membuktikan bahawa Akta Hasutan ini dijadikan alat kepentingan politik pihak kerajaan dalam usaha menutup kebenaran yang bisa memakan diri pihak pemerintah jika tidak dikekang. Dengan menggunakan undang-undang yang tidak berlandaskan prinsip kebebasan dan hak asasi untuk menghalang usaha-usaha rakyat untuk menyampaikan sesuatu fakta dan kebenaran, ia jelas menunjukkan bahawa pada pandangan kerajaan, usaha menyampaikan kebenaran ini adalah sesuatu yang berbentuk hasutan dan berniat jahat.

Betapa ironinya realiti ini dari kacamata pemeritah? Sedangkan ahli-ahli falsafah dunia sejak sekian lama telah berjuang dalam penulisan dan lakaran sejarah agar kebenaran dan keadilan dijadikan matlamat tertinggi yang wajib didukung sesebuah masyarakat dalam usaha memartabatkan ketamadunan manusia.

Kepahitan kebenaran

Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit. Kepahitan yang jelas tergambar dalam sistem pemerintahan yang korup, sistem kehakiman yang tidak berpaksikan keadilan, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan kezaliman terhadap rakyat kebanyakan, bukanlah isu-isu yang asing bagi kita. Isu-isu ini jika dibiarkan tanpa diketengahkan oleh rakyat yang peduli soal keadilan akan menular dan lama-kelamaan akan menghakis nilai-nilai keadilan dan kebenaran yang sekian lama dicabar dan dicabuli pihak berkuasa.

Oleh yang demkian, masa depan kemuliaan tamadun manusia bergantung kepada kita, rakyat yang tidak jemu untuk menegakkan keadilan dan menumbangkan penindasan dengan mempertahankan prinsip kebebasan bersuara tanpa intimidasi dan ugutan. Usaha-usaha untuk mengekang kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat ini wajib ditentang sekeras-kerasnya kerana tindakan ini jelas mencabul proses pencarian sebuah kebenaran.

Ini dapat dilihat daripada reaksi penagkapan dan penahanan Zunar, seorang kartunis politik yang kritikal dalam menyampaikan isu-isu politik semasa tanah air kepada masyarakat umum, di mana masyarakat sivil dari segenap pelusuk dunia bangun menentang tindakan primitif kerajaan ini.

Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Committee to Protect Journalists (CPJ), Pakistan Press Foundation (PPF) dan Reporter without Borders (Paris-RSF) mengecam tindakan kerajaan yang menangkap dan menahan Zunar di bawah Akta Hasutan. Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa ini menegaskan bahawa tindakan kerajaan ini bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara dan tindakan ini jelas digunakan untuk mengekang kritikan terhadap kepincangan sistem poltik yang sekian mencengkam rakyat dan negara Malaysia.

Ugutan yang sering digunakan di bawah topeng Akta Hasutan ini perlu diberhentikan di mana Akta Hasutan yang bertindak sebagai alat politik pihak pemerintah ini perlu dimansuhkan agar hasrat sebenar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara dapat direalisasikan. Usaha ini penting dalam membentuk masyarakat yang lebih demokratik dan lebih matang dalam menilai suasana politik semasa dalam usaha memperbetulkan kepincangan yang membelenggu negara Malaysia yang dicintai berlandaskan prinsip keadilan dan kebenaran.

Katakanlah kebenaran, walaupun ia pahit! -MR

*Fadiah Nadwa Binti Fikri, ahli Lawyers for Liberty dan Setiausaha Kehormat Pusat Bantuan Majlis Peguam Kuala Lumpur.

2 ulasan:

  1. pemimpin negara buat jahat mesti takut, kalau tak salah, apa nak bimbang?

    BalasPadam
  2. firaun mesti takut kepada para nabi...

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.