16 Dis 2009

Tidak tahu Prioriti. Jawapan 2 MP PAS Dikesalkan

Ekoran kegagalan hadir sewaktu undian menolak bajet sulung Datuk Seri Najib pada lewat malam Isnin lalu, dua dari lima Ahli Parlimen PAS yang dihubungi hari ini memberi penjelasan, demikian lapor Dzulfikar Mashoor untuk Harakahdaily.

Mereka masing-masing Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Hulu Langat Dr. Che Rosli Che Mat.

Mahfuz ketika dihubungi memaklumkan beliau berada di Jakarta pada tarikh tersebut atas urusan peribadi dan telahpun memaklumkan lebih awal kepada Presiden Parti, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu beliau juga memberitahu tidak mendapat maklumat berhubung hasrat pakatan mahu menolak bajet 2010 yang dibentang Najib sebelum ini.

"Saya sebenarnya sudah maklumkan kepada Presiden (PAS) seminggu yang lalu... saya mahu ke Jakarta Jumaat lalu atas urusan peribadi.

"Sehingga hari saya ke Jakarta (Jumaat), saya tidak tahu tentang hasrat Pakatan nak tolak Bajet 2010 (pada) 11 malam Isnin lalu," jelas Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.

Seorang lagi ahli parlimen, Dr. Che Rosli Che Mat pula menjelaskan beliau terpaksa meghadiri satu program anjuran Pakatan Rakyat di Sungai Besi bagi mewakili PAS menggantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang tidak dapat hadir ke program tersebut.

"Saya terima sms (sistem pesanan ringkas) lewat petang, ketika itu saya di Sungai Besi dalam perjalanan ke Hulu Langat.

"(Sebagai) tuan rumah, saya terpaksa hadir suatu majlis Pakatan (demi) menggantikan Nizar (Ahli Parlimen Bukit Gantang) yang tidak hadir,"

Beliau juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang menuduh beliau cuba lari dari tanggungjawab ekoran kejadian itu.

"Saya bukannya lari tugas," katanya lagi.

Kedua-dua mereka juga bercadang menghantar surat penjelasan kepada presiden parti dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Isnin lalu bajet 2010, yang dibentangkan oleh Najib sebelum ini hanya diluluskan dengan majoriti tiga undi sahaja iaitu 66 menyokong dan 63 menentang dalam pengundian lewat malam tersebut.

15 ahli parlimen Pakatan Rakyat masing masing lima dari PAS dan bakinya dari PKR dan DAP gagal hadir pada sesi pengundian tersebut.

Manakala 70 Ahli Parlimen dari BN juga gagal hadir pada pengundian tersebut.

Selain Mahfuz dan Dr. Che Rosli, tiga lagi wakil rakyat PAS adalah Ahli Parlimen Kuala Krai Dr. Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Baling Taib Azamuddin dan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Harakahdaily bagaimanapun sedang berusaha meminta penjelasan dari ketiga-tiga wakil rakyat PAS yang belum dapat dihubungi hari ini.

Kegagalan kesemua ahli parlimen pakatan rakyat hadir pada proses pengundian tersebut dikritik hebat oleh media khususnya blog yang mendakwa mereka penyebab Pakatan gagal menolak bajet Najib.


SILAP LETAK PRIORITY

Keputusan Bajet 2010 diluluskan melalui majoriti tiga ( 3 ) undi sahaja tidak sepatutnya menjadi Isu besar. Saya bersetuju dengan Tan Sri Speaker yang Ahli ParlimenPakatanRakyat seharusnya bersikap Gentleman dimana kehadiran wakil kita juga kurang. Lirik lagu ” Kita Serupa” nyanyian Zainal Abidin terpakai disini. Saya tertarik dengan komen Datuk Sri Nazri Aziz (dalam Berita TV) dimana YB-YB dari Pakatan Rakyat pun ramai yang ponteng iaitu kehadiran mereka disekitar 60 orang sahaja. Wakil-Wakil dari Pakatan tidak sepatutnya terikut-ikut dengan cara mereka dalam BN. Sebagai sebuah Gagasan yang dikatakan cukup bersedia mengambilalih Pemerintahan Negara perkara sebegini sama sekali tidak patut berlaku. Peluang keemasan supaya kita dilihat lebih bersedia dan komited telah terbuang begitu saja.

Di luar sana ahli-ahli politik PR menghurai kepada khalayak umum betapa Borosnya Kerajaan kita membuat Cadangan Perbelanjaan Tahunan melalui Bajet yang dibentang. Tetapi apabila bantahan itu mahu dikira kehadiran pula tidak solid menentangnya. Peluang untuk meningkatkan moral Pakatan Rakyat telah dipersia-siakan. Tidak secara langsung kita telah meremehkan hasrat pengundi-pengundi kita.

Semua ini terjadi kerana tersilap memberi Keutamaan ( Priority). Alasan seperti terpaksa hadir di majlis-majlis kenduri demi menjaga hati penyokong tidak boleh diterima sama sekali. Di setiap kawasan pihak Ahli Parlimen boleh melantik Pegawai-Pegawai Khas membantu mereka menyelesaikan masaalah rakyat tetapi TIDAK di Persidangan Parlimen. Pelajaran yang macam mana lagi diperlukan supaya bijak meletakkan sesuatu Priority? Tentu ada yang mencemuh saya kerana terlalu pandai menegur dan mengemukakan soalan. Saya tak kisah apa orang nak kata. Yang pastinya saya bukan seorang Wakil Rakyat. -ahmadzawawi


Ulasan GB

Jawapan Mahfuz Omar menyatakan bahawa beliau berada di Jakarta atas urusan peribadi dan telahpun memaklumkan lebih awal kepada Presiden Parti menjelaskan bahawa Mahfuz tidak memperdulikan sidang parlimen yang sedang berjalan sebaliknya mendahului (mengutamakan) urusan peribadinya sekalipun telah mendapat izin dari Presiden parti.

Persoalannya: dimana prioriti? Anda diberi mandat oleh rakyat dan dibayar gaji dan elaun untuk urusan kepentingan peribadi andakah di luar negara sedangkan di waktu itu anda sepatutnya berada di Dewan Rakyat? Anda tahu bahawa tarikh persidangan Dewan Rakyat, tetapi memilih tarikh yang sama untuk melakukan urusan yang tidak ada kena mengena dengan rakyat yang memilih anda!

Apa urusan peribadi yang hebat sangat sampai terpaksa diutamakan dari kepentingan parti dan negara? Apa sebab yang mendesak sangat sehingga terpaksa melakukannya di masa Dewan rakyat bersidang? Berkahwin? Berubat? Berbomoh? Malah jika bertemu dengan Presiden Susilo pun tidak dikira prioriti.

Soal tidak tahu berhubung hasrat pakatan mahu menolak bajet 2010 yang dibentang Najib sebelum ini pun hujjah yang lemah kerana di dalam apa juga situasi, ahli PR perlu "alert". Di medan perang, musuh boleh menyerang tiba-tiba, dan anda tidak ada! Tidakkah anda merasa berdosa?

Jawapan Dr. Che Rosli Che Mat pula menjelaskan beliau terpaksa meghadiri satu program anjuran Pakatan Rakyat di Sungai Besi untuk mengganti Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga tidak boleh di terima. Memalukan. Anda sudah terima SMS tetapi mengabaikannya. Malahan jika anda bagitahu pengerusi majlis anda dan sidang hadirin yang ada pun bahawa anda perlu ke Parlimen kerana urusan penting, penganjur dan para hadirin boleh menerimanya kerana tanggungjawab di Palimen itu lebih utama untuk anda tunaikan. Anehnya Datuk Seri Nizar boleh berada di Dewan rakyat.

Blog anda pun dah berbulan tak dikemaskinikan.

Inikah sikap Ahli Parlimen PAS yang konon ingin menjadikan PAS sebuah "kerajaan yang dinanti"? Tak tahu meletakkan keutamaan?

Rakyat menasihatkan anda: Kedua-dua tarik diri dari bertanding di PRU akan datang.

OK Next.

Kerugian RM 8 Bilion MAS Harus Disiasat

Pakatan Rakyat menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara menyiasat dokumen yang mendakwa Sistem Penerbangan Malaysia menanggung kerugian RM 8 bilion.

Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub berkata Parlimen perlu memberi perhatian kepada salinan surat dari bekas Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Komersil kepada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mengesyaki ada unsur-unsur jenayah disebalik kerugian ini.

“Apa yang membangkitkan kemusykilan dan keresahan saya ialah, kemungkinan MAS telah ditipu atau diperdayakan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM 8 bilion daripada tahun 1994 sehingga tahun 2001. Dokumen yang dikatakan sebagai surat daripada Pengarah Bahagian Siasatan Komersial PDRM kepada PM itu mencadangkan supaya tindakan undang-undang diambil kepada beberapa orang individu warganegara Malaysia dan juga warganegara asing”, ujar Salahuddin Ayub.

Surat bertarikh 21 Julai ini mendakwa adanya unsur penipuan dan sabotaj sehingga menyebabkan syarikat penerbangan nasional ini menanggung kerugian sejak 1994 sehingga tahun 2001.

Soal beliau sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku, mengapa tiada sebarang tindakan diambil sedangkan cadangan untuk menyiasat perkara ini telah diserahkan kepada Tun Abdullah pada tahun 2007 lagi.

“Kesahihan adakah dokumen itu benar merupakan surat daripada Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah PDRM kepada Perdana Menteri, harus disiasat dan adakah kandungan dokumen itu benar atau tidak juga harus disiasat kerana ia benar melibatkan kerugian rakyat sebanyak RM 8 bilion dalam MAS".


BN Bergegar : Naib Presiden Gerakan Umum Keluar Parti

Parti Gerakan dan Barisan Nasional terus mendapat tamparan hebat apabila naib presiden Gerakan yang digantung, Huan Cheng Guan (gambar) hari ini membuat pengumuman keluar dari parti itu dan menyertai Parti Cinta Malaysia.

Pada sidang media di lobi Parlimen, beliau menyatakan tidak lagi percaya terhadap kepimpinan lemah Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon, sebagai alasan.

"Dengan ini, saya keluar Gerakan, bukan lagi ahli mahupun naib presiden parti ini. Saya kini menyertai Parti Cinta Malaysia," katanya.

Beliau mengambil keputusan itu berikutan Gerakan enggan menarik balik penggantungannya selama tiga tahun, sebagaimana tuntutannya.

Huan yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan sebelum pilihan raya umum ke-12, pernah beberapa kali menyatakan hasrat keluar Gerakan tapi menarik semula keputusan itu.

Keputusan Naib Ketua Gerakan Bahagian Batu Kawan itu menyertai Parti Cinta Malaysia bukan suatu yang mengejutkan lantaran parti berkenaan didaftar di Pulau Pinang.

Malah, pemerhati politik berpendapat Huan turut terbabit dalam proses penubuhan parti berkenaan, sebagai persediaan jika dipecat pimpinan Gerakan.

Huan sebelum ini digantung sebagai Naib Presiden pada pada 1 Jun tahun lalu, selepas setiausaha agung Gerakan, Teng Chang Yeow memberi surat tunjuk sebab berikutan mengkritik kepimpinan parti.

Huan juga tidak sehaluan dengan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan yang dianggapnya hilang sentuhan di peringkat akar umbi. tamat.

Dengan penarikan diri Huan, beribu-ribu penyokongnya dijangka akan meninggalkan Gerakan dengan sebahagian daripadanya dipercayai akan menyertai Pakatan Rakyat atau DAP.

Apabila Gerakan menggantung keahlian Huan selama tiga tahun, beberapa pemimpin cawangan dan bahagian mengugut untuk meninggalkan parti itu.

Antara pemimpin berkenaan ialah dari cawangan Kubang Ulu, Penanti, Sungai Lembu, Telok Wang, Seberang Jaya dan Samagagah adalah antara 1,000 ahli yang mahu mengikuti jejak Huan.

Sentimen ini turut dikongsi oleh ketua bahagian Kepala Batas, Jeffrey Beh yang mengumumkan sokongannya kepada Huan.

Kemelut dalam BN terus menjadi-jadi seperti barah yang sukar dibendung lagi. Umno yang menjadi tunjang BN bercakaran sesama sendiri. Dua sayap pentingnya MCA dan MIC juga menghadapi senario yang sama.

MCA sehingga kini masih belum dapat menentukan hala tuju mereka dengan tiga puak yang masing-masing diketuai presidennya, Ong Tee Keat, timbalannya Chua Sor Lek dan naib presiden Liow Tiong Lai mahu menguasai parti, bukan hendak menyelesaikan persengketaan.

Campurtangan dari timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin, kemudian perdana menteri Najib Razak gagal membawa mereka ke peringkat perundingan.

Kepimpinan MIC di bawah Sammy Vellu juga menghadapi masalah sama. Ramai pemimpin kanannya tidak sebulu lagi dengannya.

PPP pula menyaksikan pertempuran presidennya Kayveas dengan bekas ahli majlis tertinggi parti itu, Murugiah hingga terpaksa dibawa ke mahkamah untuk menentukan ’siapa bos’.

Pertikaian PPP makin meruncing apabila Kayveas membuat laporan polis terhadap Murugiah. -Fazallah Pit(FMT)

Layakkah Mahathir Bidas Dasar "Pro-Amerika" Najib.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kecewa dengan perubahan dasar luar Malaysia terhadap Amerika Syarikat khususnya dalam isu menyentuh Iran baru-baru ini, G.Manimaran menulis di dalam Malaysian Insider.

Kata beliau, sedangkan dunia mengharapkan Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Barack Obama akan mengubah dasar-dasarnya, Malaysia pula sudah mengambil langkah menukar dasar.

"Tetapi kita sudah tukar. Dahulu kita pertahan negara-negara yang ditindas Amerika Syarikat. Sekarang kita sokong Amerika Syarikat menindas Iran," kata beliau dalam blognya.

Beliau melahirkan persoalan itu ekoran keputusan Wisma Putra baru-baru ini memanggil balik Wakil Tetapnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Mohd Arshad M. Hussain.

"Tetapi sekarang duta kita dipanggil balik untuk disoal kenapa tidak sokong Amerika.

"Dasar-dasar lama memang patut dihapuskan. Tetapi inikah dasar baru kita?" kata beliau.

Awal bulan ini, Hamidon dipanggil pulang oleh Menteri Luar untuk konsultasi berhubung pengundian terhadap resolusi berkaitan isu nuklear Iran yang diluluskan mesyuarat Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bulan lepas.

Menurut Kementerian Luar, pengundian itu dilihat tidak selaras dengan tatacara kerajaan dan oleh sebab itu wakil berkenaan dipanggil pulang oleh Menteri Luar Negeri untuk konsultasi.

Dalam mesyuaratnya pada 27 November lalu, Lembaga Gabenor IAEA telah meluluskan resolusi bertajuk Resolusi Mengenai Pelaksanaan Triti Pengawalan Nuklear (NPT) Perjanjian Perlindungan dan peruntukan berkaitan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) 1737 (2006); 1747 (2007); 1803 (2008) dan 1835 (2008) di Republik Islam Iran) yang dibentangkan Jerman dan disokong 25 negara anggota IAEA.

Malaysia bersama-sama Cuba dan Venezuela mengundi menentang resolusi itu manakala enam negara lain berkecuali.

Dalam tulisannya, Dr Mahathir berkata Obama berjanji akan tukar dasar-dasar Amerika Syarikat seiring dengan slogan manifesto pemilihan jawatan presiden tahun lalu.

"Tetapi jauh daripada menukar Obama sudah tambah tentera Amerika di Iraq dan Afghanistan. Kem tahanan Guantanamo pun masih diteruskan," katanya.

Menurut Dr Mahathir, yang sudah menggunakan senjata nuklear ialah Amerika Syarikat dan Israel bukan sahaja di Hiroshima tetapi semasa Perang Teluk dan di Gaza.

"Mereka guna "depleted uranium" daripada bahan nuklear. Kita relakan. Secara rasmi kita tidak protes.

"India punyai senjata nuklear. Begitu juga Pakistan. Kenapa Iran tidak boleh?" katanya lagi.

Oleh itu beliau persoal lagi, "gilakan Iran hendak lancar perang nuklear dengan dua biji bom nuklear?"

"Jika India, Pakistan, China, Perancis, Britain, Amerika Syarikat dan Israel boleh memiliki senjata nuklear kenapa Iran tidak boleh?" soalnya lagi.

Dengan menyentuh soal sekatan ke atas Iran, bekas perdana menteri menambah, Malaysia tidak membantah perkembangan terbaru ini.

"Tetapi kita tidak pernah sokong sekatan," katanya.

Ulasan GB

Kenyataan baru mantan PM itu tidak samasekali memberikan imej bahawa beliau anti-Amerika.

Satu ketika di zaman reformasi dahulu, seorang sahabat saya, Bakar (Penarik Beca) ada menulis dan tulisannya masih ada di dalam arkib mahazalim. Ikutilah tulisannya:


BAGAIMANA AKU BOLEH MEMAAFKAN MAHATHIR?

Penarik Beca

Bila Dr Mahathir menembak kata-kata pedasnya terhadap musuh orang-orang tertindas, Amerika, Yahudi dan pengganas-pengganas ekonomi yang menjajah pasaran bebas, mahu rasanya saya maafkan penjenayah itu. Tetapi bila teringat penjenayah Mesir bernama Gamal Abdel Nasser yang tak kurang pedas lidahnya membuas terhadap Amerika, niat saya ditahan kewarasan.

Sejarah meriwayatkan, di waktu siang Nasser mencaci Amerika, di waktu malam presiden Mesir itu menelefon duta Amerika memohon maaf. Ada pula penonton lakonannya yang meriwayatkan bahawa ucapan-ucapan Nasser membantai Amerika sebenarnya ditulis oleh CIA. Siapakah saya hendak menolak kemungkinan bahawa Dr Mahathir juga mungkin pelakon jempolan seperti Nasser itu? Siapa saya mahu memalingkan akal dari kemungkinan bahawa Dr Mahathir juga adalah seorang lagi "clever operator"? (Meminjam istilah dia sendiri).

Bgaimana pula saya melupakan bahawa kerajaan Dr Mahathirlah yang menjadi salah satu lanjutan tangan Amerika di dalam Majlis Keselamatan PBB untuk membuat ketetapan menyerang Iraq dalam Perang Teluk dahulu? Mengapakah penjenayah-penjenayah itu memangsakan rakyat tertindas Iraq yang tak berdosa dan berpura-pura tak pandai menangkap Saddam yang kejam dan munafiq itu? Nyatalah penjenayah-penjenayah itu sengaja memangsakan orang tak berdosa demi bermain wayang untuk menyelamatkan rakan mereka yang jahat dan sesat itu.

Tak berdaya saya yang lemah ini untuk memaafkan Dr. Mahathir bila Allah s.w.t. melaknatkan orang-orang yang zalim seperti itu. Siapa saya mahu berlawan dengan Tuhan? Sungguh saya tak mahu melakukannya. Dalam hadith qudsi, Allah s.w.t. memberi amaran: "Suruh orang-orang yang zalim untuk tidak berzikir dengan nama-nama-Ku kerana sudah menjadi kewajipan-Ku untuk menyebut orang-orang yang menyebut nama-Ku. Setiap orang yang zalim yang menyebut nama-Ku, maka aku pun akan menyebut namanya dengan melaknatnya". Siapakah saya mahu merasa kasihan dan memaafkan Dr. Mahathir bila Allah s.w.t. sendiri melaknat orang-orang yang zalim seperti doktor itu?

Berkesankah kemaafan kepada orang-orang seperti itu? Apa terjadi kalau penjenayah-penjenayah zalim seperti Dr. Mahathir itu selalu saja dimaafkan dan dibiarkan banyak? Tidakkah dunia ini akan ditimpa badai dan gelombang kesengsaraan? Dan, bolehkah orang-orang yang tak berdosa terlepas bebas bila bala Tuhan menerkam untuk menghukum gerombolan penzalim?

Adakah rakyat tertindas seperti saya harus merasa kasihan kepada si zalim seperti Dr. Mahathir, tidak membalas kejahatan mereka serta melupakan firman Allah dalam Surah An-Nahl ayat 126: "Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu".

Bila Dr. Mahathir digigit krisis demi krisis, siapakah yang dia panggil untuk menolongnya? Bukankah ketika kita susah,h anya sahabat sejati yang datang menolong? Siapakah sahabat sejati Dr. Mahathir yang datang menolong ketika dia dibelasah kesusahan kalau bukan Solomon, Smith and Barney, yahudi laknatuLlah, yang perut mereka penuh terisi dengan darah dan penderitaan golongan tertindas atau mustadh'afin?

Kaum yahudi selalu dipanggil lintah darat. Siapa lagi yang menjadi sahabat lintah darat kalau bukan lintah darat juga? Atau memang benar kata orang, "It takes a satan to help a satan"?

Tolonglah! Bagaimana saya mahu memaafkan si zalim? Bagaimana saya mahu meaafkan lintah darat? Bagaimana saya mahu memaafkan "satan"



Hampir 1 juta 1 Hari Untuk Senggara Kapalselam - Maklumat GB Sebelum Ini Benar

Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi memberitahu kerajaan membelanjakan RM290 juta setahun untuk kos pengoperasian dan senggaraan dua kapal selam yang pembeliannya menimbulkan kontroversi.

Beliau berkata nilai kontrak perolehan kapal selam berkenaan ialah Euro1.084 bilion (RM5.382 bilion) meliputi harga pembelian dua kapal selam baru, latihan untuk warga kapal selam, pakej bantuan lojistik bersepadu dan alat ganti serta penyediaan kemudahan pelatih kapal selam dan tim projek.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) yang ingin tahu mengenai ancaman yang dihadapi oleh Malaysia yang memerlukan penggunaan kapal selam dan apakah tugas dan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, selain kos penyelenggaraannya setiap tahun.

Dr Ahmad Zahid berkata penggunaan kapal selam bukanlah disebabkan ancaman yang dihadapi oleh negara tetapi lebih kepada keupayaan memberi cegah rintang kepada bakal musuh.

“Pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersandarkan kepada ‘capability-based’ yang harus dimiliki untuk melaksanakan misi dalam pelbagai dimensi pada masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau, keupayaan negara menyediakan satu angkatan perang yang moden dan berwibawa untuk memusnahkan angkatan musuh akan menggerunkan musuh malah mereka akan lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang perkiraan yang kurang rasional untuk mengancam dan menyerang negara ini.

Beliau berkata kehadiran kapal selam yang canggih dalam inventori negara akan memberi impak yang besar terhadap pertahanan negara kerana keupayaan kapal selam yang boleh beroperasi di mana sahaja di bawah permukaan dengan senyap akan menyukarkan pihak musuh untuk mengesan kedudukan kapal selam tersebut.

“Kehadiran kapal selam juga dapat meningkatkan keupayaan peperangan bawah air TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) dan menjadikan ia sebuah angkatan yang lebih seimbang, kredibel dan berwibawa,” katanya.

Memetik laporan Bernama, berhubung dengan petunjuk prestasi utama (KPI) TLDM, Dr Ahmad Zahid berkata untuk menentukan keselamatan dan perairan negara sentiasa terpelihara, kapal selam akan dioptimumkan untuk menyokong KPI tersebut.

Urusan pembelian kapal selam ini dibuat secara runding terus dan bukannya menerusi tender terbuka yang menyebabkan harganya melambung berkali ganda, termasuk komisyen lebih RM500 juta yang diperolehi oleh Abdul Razak Baginda, rakan karib Perdana Menteri Najib Razak.

Juga jika pembelian dua kapal selam itu dibuat menerusi tender terbuka, kos pengoperasian kedua-dua kapal itu hanya 10% atau kira-kira RM30 juta setahun berbanding RM290juta yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Ulasan GB

Di dalam tulisan sebelum ini GB sudahpun mengeluarkan anggaran perbelanjaan senggaraan kapalselam Scorpene di SINI

GB ulangi:

Dari maklumat yang diperolehi, belanja penyenggaraan sebuah Scorpene termasuk membersihkan kapalselam tersebut dari lumut dan sebagainya mencecah RM1 juta untuk satu hari.

Kirakan sahaja penyenggaraan tahunan untuk 2 buah Scorpene. (1 lagi kapalselam diberitakan akan tiba ke negara initidak berapa lama lagi).

Petronas Ditimpa Bala Lagi - Kebakaran Di Pam Minyak

Mangsa melecur kereta terbakar di stesen minyak

KUANTAN: Seorang wanita yang hamil empat bulan melecur selepas kereta dipandunya disambar api ketika berhenti untuk mengisi minyak di sebuah stesen di Jalan Sultan Abdullah, Bandar Indera Mahkota di sini, semalam.

Noraini A Malik, 26, yang mengandung anak sulung, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini akibat melecur di muka, tangan kiri dan kaki selain rambutnya turut terbakar.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, mangsa berada dalam kereta bersama kakaknya, Norzaitul Akmal, 32, manakala suaminya, Faizal

Hassan Louis keluar untuk mengisi petrol di stesen berkenaan.

"Tiba-tiba saya ternampak api marak keluar daripada bawah kereta dan menyambar keseluruhan kereta menyebabkan saya menjerit sekuat hati menyuruh isteri dan kakak ipar keluar," kata Faizal ketika ditemui di HTAA.

KEADAAN rambut Noraini yang terbakar, semalam.

Beliau berkata, dalam keadaan cemas itu, kakak iparnya sempat keluar menyelamatkan diri namun isterinya yang berada di tempat duduk pemandu mengalami kesukaran untuk keluar daripada keretanya yang marak disambar api.

"Mungkin keadaannya yang mengandung menyebabkan beliau lambat bergerak namun saya sedaya upaya membawanya keluar. Tetapi disebabkan api terlalu pantas merebak menyebabkan isteri saya melecur," katanya.

Faizal berkata, sebelum kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Bandar Indera Mahkota, di sini, selepas membawa isteri membuat pemeriksaan di sebuah klinik berhampiran.

"Saya sendiri pelik dari mana datangnya api berkenaan kerana ketika mengisi minyak enjin kereta Perodu Myvi saya sudah dimatikan. Seingat saya, ketika mengisi minyak ada sebuah lagi kenderaan bersebelahan," katanya.

Faizal berkata, dia turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 12.33 tengah hari semalam berhubung kejadian itu.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Indera Mahkota, Iskandar Jamaluddin, berkata kejadian itu berlaku kira-kira lima minit dan tindakan pantas pekerja di stesen minyak terbabit berjaya mengawal keadaan daripada menjadi lebih serius.

Sementara itu, Petronas Dagangan Berhad (PDB) menyuarakan rasa kesal terhadap kebakaran yang berlaku di Stesen Petronas Bandar Indera Mahkota, semalam.

PDB, dalam satu kenyataan berkata stesen itu sudah ditutup dan kakitangannya berada di tempat kejadian bagi menyelaras langkah pencegahan serta melakukan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran.

PDB menasihatkan semua pelanggan mematuhi syarat keselamatan di semua Stesen Servis Petronas dan Stesen NGV yang melarang sama sekali penggunaan telefon bimbit, merokok dan mengisi minyak tanpa mematikan enjin kenderaan. -BH

Ulasan GB

GB dah pun menulis mengenainya di SINI

GB ulangi:

Petunjuk sudah ada. Sebelum ini, Petronas Dagangan telah mencatatkan penyusutan keuntuntungan kepada RM823.188 juta berbanding RM849.700 juta dalam tempoh suku kedua berakhir 30 September tahun ini berbanding keuntungan sebelum cukai tahun lalu.

GB dapat merasakan bahawa berita "buruk" untuk Petronas akan terus terhidang di dada media selagi Petronas gagal menunaikan kewajipannya membayar royalti kepada pihak yang sepatutnya menerimanya.

1Petronas juga bakal terbalik dan pecah perut?

Nik Amalina Jangan Emosinal - Fatah

Nik Amalina, anak kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diminta menyertai parti politik supaya beliau mengetahui asam garam yang ada dalam bidang tersebut.

Gesaan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun ketika mengulas kenyataan terbaru Nik Amalina dalam blognya yang menyiarkan kenyataan supaya salah seorang Exco Kerajaan Negeri meletakkan jawatan berhubung dengan masalah politik dalaman yang berlaku di negeri ini.

Abdul Fatah berkata, Nik Amalina seharusnya bersikap rasional dan tidak terlalu emosional dalam menyelesaikan isu yang dibangkitkan terhadap diri dan keluarganya.

“Politik ini sedap kita tengok dari luar, tetapi siapa yang berada di dalam mereka akan tahu, kita boleh komen tanpa batasan dari luar, tetapi implikasinya sangat besar,

“Oleh itu, saya berpesan kepada adik-adik saya ni supaya berfikir lanjut sebelum melontarkan pandangan,” katanya yang juga Pengarah Pilihan raya Pas Negeri.

Sebelum ini, Nik Amalina yang juga Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Abd Rahman mencabar salah seorang Exco Kerajaan Negeri meletak jawatan.

Melalui tulisan blognya, Nik Amalina berkata “Kalau ditanya saya, tentu saya jawab, kalau adapun Exco yang patut letak jawatan, saya wajibkan seorang Exco itu saja yang letak jawatan. Ada berani Exco yang seorang itu menyahut cabaran?”

Nik Amalina menjadi tumpuan ramai apabila blog Ahli Parlimen Pas, Dr Siti Mariah Mahmud menyiarkan suratnya, yang meluahkan perasaan berhubung isu peletakan jawatan suaminya itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK.

Abdul Ariffahmi, yang bergelut dengan kontroversi pelantikannya sebagai peneraju utama PMBK, bercadang menyerahkan notis pada 24 Disember ini sebelum peletakan jawatannya berkuat kuasa 23 Mac depan. -SH

Konvensyen Blogger: Usah Nafikan Kebenaran Itu

Tulisan GB yang mempersoalkan apakah konvensyen blogger PAS hendak MemBTNkan Blogger menjadi perhatian dan menerima ulasan dari banyak pihak.

GB hairan pula masih ada rupa-rupanya tahap pemikiran ahli-ahli kita masih di takuk lama, dalam ertikata enggan untuk menerima kepelbagaian dan kerencaman pandangan dan persepsi dan terus-terusan melabel "orang yang tak sehaaluan pandangan" dengan pelbagai panggilan, gelaran malah cacian dan makian.

Berbalik kepada isu Seminar Blogger PAS, sungguhpun sebelum ini GB menyatakan tidak akan hadir namun tidak pernah pula menghalang kepada sesiapa yang ingin hadir.

Salah seorang penganjur seminar, Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat di dalam satu tulisannya pagi ini menyatakan:


Benarkah ini konvensyen MemBTNkan Blogger?

Kita tidak menghalang sesiapa pun berblog dan menulis apa sahaja mengikut gaya mereka. Tapi bila sampai satu tahap mereka membawa imej parti maka, tulisan mereka juga kenalah sesuai dengan imej parti PAS. Sama juga adabnya bila kita pi kerja kat pejabat ada adabnya dan imejnya. Kalau pi ziarah rumah kawan-kawan pun kita kena beradab. Kalau kita pi luar negara dan bawa imej Malaysia pun kenalah ikut adab orang Malaysia, bukannya berubah hingga hilang identiti.

Saya memahami bahawa tidak semua orang boleh ikut peraturan walaupun peraturan itu baik. Allah larang mencuri, tapi ramai juga mencuri atas nama kebebasan. Allah larang menipu dan memfitnah tapi buat juga sebab seronok dan atas nama kebebasan bersuara. Jadi terpulanglah. Mungkin mereka rasa lebih bijak dari Allah.

Nak kata ini program nak mem'BTN'kan blogger. Bagi saya, itu pandangan peribadi beberapa rakan blogger. Hanya kerana ingin mendidik blogger ahli PAS, mereka sudah samakan program ini seperti BTN...kelakarkan. Kenapa tak sebut Usrah PAS sebagai Program BTN, begitu juga dengan ceramah-ceramah politik PAS sebagai ceramah BTN sekaligus.

Pada saya, itu hanya pandangan orang-orang yang kecewa. Dan mungkin mereka tak pernah rasa atau memang gagal jadi mak bapak yang baik pada anak-anak. Seorang mak bapak yang baik, mereka akan didik anak mereka, bagi panduan, tunjuk apa yang baik apa yang buruk. Mak bapak yang baik juga sentiasa buka ruang bertemu dengan anak-anak dan bagi ruang anak-anak bersuara secara direct. Dan pendidikan sebegitu tidak boleh disamakan sebagai program BTN.

Malanglah mak bapak yang didik anak-anak mereka melalui blog. Nak ajar anak makan, kena suruh anak itu baca blog mak dia, nak ajar anak berjalan kena suruh anak itu tengok blog bapak dia. Ada masanya kita berjumpa, ada masanya kita tak jumpa secara terus kat alam siber sahaja. Saya cakap ini kepada ahli PAS sahaja.

Saya melihat Konvensyen ini sebagai tempat bertukar-tukar pandangan jadi kita boleh beri pandangan kalau tak puas hati atau rasa ada idea yang lebih baik. Yang penting datang. Kalau kita asyik bincang tentang cara bawa kereta yang betul, tapi tak masuk dalam kereta dan hidupkan enjin dan masukan gear kemudian tekan minyak, maka sampai bila-bila pun kita hanya bercakap sahaj tapi tak bergerak ke mana-mana


GB menyatakan sebelum ini kecurigaan mengenai seminar ini berpunca dari kenyataan Ketua lajnah Penerangan sendiri yang telah dikecam oleh para blogger lantaran tidak menghargai "pandangan orang luar" terhadap parti dan kepimpinan parti.

GB ingin bertanya di sini, peraturan apa yang dimaksudkan yang hendak dikenakan kepada blogger? Apakah peraturan supaya semua para blogger perlu menyokong tindakan pimpinan dan jangan mengkritik pimpinan sekalipun tindakan dan kenyataan pimpinan itu merugikan parti seperti kenyataan Ketua Penerangan PAS tempohari yang mengundang kebencian orang luar terhadap parti?

GB menyebutkan tiga orang dimana kenyataan-kenyataan mereka bias dan tidak menguntung parti. Mereka adalah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ust Idris Ahmad dan Ketua Pemuda PAS Pusat, ust Nasruddin Hassan Tantawi.

Ketiga-tiga pimpinan ini dilihat sebagai golongan yang telah mengecam kenyataan Prof Abdul Aziz Bari, cuma kenyataan Datuk Tuan Ibrahim dilakukan secara berlapik tetapi kesannya sama: "Naib Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tanggapan atau persepsi salah terhadap parti dan pimpinan mestilah dicegah supaya ianya tidak merebak menjadi besar dan merosakkan perjuangan parti itu sendiri."

Dan ketiga-tiga pimpinan ini terlibat secara terus di dalam Konvensyen Blogger yang bakal diadakan. Kebetulan?

Dan apabila GB menyatakan ia untuk memBTNkan blogger?, ia merupakan satu pertanyaan. Apakah hasrat ketiga-tiga pemimpin itu hendak menindoktroninasikan blogger dengan hanya menerima pandangan mereka untuk membebalkan sekalian blogger daripada berfikir secara kritikal dan kreatif?

Jika dikatakan "Konvensyen ini sebagai tempat bertukar-tukar pandangan jadi kita boleh beri pandangan kalau tak puas hati atau rasa ada idea yang lebih baik", maka tidak perlu masa dibuangkan dengan ucapan-ucapan atau pembentangan dari mana-mana tiga orang pimpinan yang telah menjadi sasaran kecaman blogger sebelum ini.

Apatah lagi ucapan aluan, ucapan perasmian tidak ada perbahasan! Dan apabila tiada perbahasan mengenainya, di mana ruang untuk bertukar-tukar pandangan? Semasa pembentangan Kertaskerja? Sedang ruang masa untuk membahas kertas-kerja itu sendiri terlalu terhad inikan pula untuk membahaskan ucapan perasmian dan aluan!

Justeru itu GB melihat ia tidak ubah dari sebuah program BTN yang kita sendiri telah tentang tetapi kita menggunakan taktik yang sama kepada ahli-ahli kita.

Nak menyatakan pandangan GB sebagai "pandangan orang-orang yang kecewa. Dan mungkin mereka tak pernah rasa atau memang gagal jadi mak bapak yang baik pada anak-anak", pandangan kamu kamu punya pasal. Kecewa tentang apa? Gagal terhadap anak GB yang mana?

Sungguh kesasar!

Perjalanan GB di alam siber sejak di era reformasi lagi, alhamdulillah tidak pernah putus asa sekalipun sekali-sekala mungkin ada terkilan dengan sikap parti dan pimpinan parti yang jarang mengambil berat kebajikan ahli parti. Mungkin ada ujian dari Allah s.w.t. di sepanjang perjuangan GB, namun GB tak sekali-kali mengkhianati parti dan jemaah. Tidak pernah menyertai kumpulan apa yang dahulu dinamakan UG yang telah menyebabkan perpecahan hebat di dalam parti. Malah GB penentang yang paling awal dan insyaAllah konsisten sampai kiamat menentangnya jika ia datang menjenguk lagi.

"Allahumma, arinal haqqa haqqaan, warzuqnuat-tiba'ah
wa arinal batila batilaan, warzuqnaj-tinaabah"


Ya Allah, perlihatkanku kebenaran itu kebenaran, dan bimbinglah aku untuk mengikutinya
dan perlihatkanku kebatilan itu kebatilan, dan bimbinglah aku untuk menjauhinya.

Justeru itu, usah dinafikan kebenaran itu tatkala Allah telah menunjukinya.

Senarai Ahli Parlimen PR Yang Hampakan Rakyat

Ketika menanti temu janji di ibu negara malam tadi, seorang Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat (PR) dengan tenang berkata, “kita kalah tipis untuk menolak Bajet 2010.”

“Ini peluang terbaik, jika tidak esok kita akan ada Menteri Kewangan yang baru. Kami kurang bernasib baik.” Sambung wakil rakyat berkenaan.

Apabila mengulas lanjut, anggota Dewan Rakyat itu memberitahu, jika ucapan bajet ditolak bermakna ia petanda undi tidak percaya terhadap kerajaan.

Jika ia berlaku pihaknya boleh akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan agar diberi peluang bagi membentuk kerajaan baru. Mengambil kira pandangan beliau memang ia menjadi amalan House of Commons.

Ia biasanya mudah dilakukan apabila sesebuah kerajaan mempunyai majoriti mudah atau tipis. Malah ia juga akan melibatkan siri proses yang rumit.

Dalam keadaan semasa Barisan Nasional (BN) masih ada majoriti besar walaupun bukan dua pertiga di Dewan Rakyat. Walau apa pun kemungkinan-kemungkinan itu tidak boleh ditolak begitu sahaja.

Pokoknya apa yang berlaku semalam merupakan satu lagi senario politik yang tidak pernah disangkakan oleh mana-mana pihak bahawa apa yang lazimnya kita saksikan berlaku di luar negara juga boleh menjadi realiti di Malaysia.

Ini sebahagian kesan landskap politik baru di Malaysia.

Tahun lalu ada diutarakan idea supaya dikaji kemungkinan agar sidang Parlimen diadakan sepanjang tahun. Bukan setiap hari tetapi lebih kerap berbanding sekarang, yang diadakan pada jumlah hari tertentu yang bilangannya kecil dalam selang beberapa bulan.

Apabila pandangan itu dikemukakan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat ia tidak mendapat respons menggalakkan. Akhirnya idea itu terkubur begitu sahaja. Mungkin ada kebenaran mengapa idea tersebut ditolak begitu sahaja termasuk oleh sebahagian besar wakil rakyat yang dipilih menganggotai Dewan Rakyat.

Selepas kira-kira setahun alasan mengapa idea tersebut ditolak terbukti benar. Situasi yang dialami oleh BN dan PR malam tadi dengan sendirinya mencerminkan sebab kepada penolakan tersebut.

Buat julung kali sesuatu bajet diluluskan dengan majoriti tipis. Bajet 2010, yang merupakan belanjawan sulung buat Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri hampir-hampir ditolak. Boleh dikatakan bahawa nasib menyebelahi Najib selaku Pengerusi BN.

Pada Oktober 2008 Najib yang dilantik sebagai Menteri Kewangan telah membentangkan bajet pertamanya sebagai ketua perbendaharaan.

Pada tempoh masa yang sama tahun lalu kepimpinan BN mengambil langkah cukup berhati-hati ini apabila sebaik sahaja Projek 16 September Anwar gagal mencapai kenyataan.

Keseluruhan jentera begitu cermat dalam menghadapi cabaran sidang Parlimen.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Ahli Parlimen menerusi pilihan raya kecil Permatang Pauh. Dua hari selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen beliau mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat iaitu akhir bulan Ogos — dua hari sebelum Bajet 2009 dibentangkan.

PR meneruskan strategi untuk terus menjayakan Projek 16 September mereka dengan mencuri ruang yang sama yang dialami semalam.

Disebabkan BN berwaspada dengan kemungkinan-kemungkinan tersebut suasana cemas dilalui semalam telah dapat dielakkan.

Selepas setahun semua pihak terlupa. BN gagal mengambil langkah berwaspada. PR pula gagal dalam menyuntik semangat tahun 2009.

BN terselamat manakala PR keciciran peluang.

Seorang Ahli Parlimen dari DAP yang dihubungi memberikan pandangan beliau bahawa mereka sepatutnya berjaya dalam menolak Bajet 2010.

Beliau memberikan beberapa senario. Antaranya sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri, yang disempurnakan oleh timbalan menterinya sengaja dilewatkan bagi membolehkan kehadiran beberapa wakil BN termasuk Najib sendiri yang menghadiri satu majlis di ibu negara — kira-kira 15 kilometer dari bangunan Parlimen.

Selain itu katanya, Speaker Dewan Rakyat mengambil giliran bagi membolehkan dua timbalannya mengundi. Kedudukan mereka sudah cukup untuk mengimbangi kehadiran wakil rakyat PR.

Apa pun dia mengakui kesilapan dan kelemahan di pihak PR sendiri yang tidak bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. PR mempunyai 82 wakil dan tiga wakil Bebas.

Bermakna ada 19 wakil PR tidak berada di Dewan Rakyat ketika Bajet 2010 dibacakan buat kali ketiga.

Wakil DAP ini juga berpendapat sebahagian wakil PR merupakan muka-muka baru yang masih belum memahami selok belok perjalanan Parlimen. Mereka datang ke Parlimen untuk tujuan mencatatkan kehadiran dan tidak serius dalam urusan perbahasan.

Malah itu juga masalah di sebelah BN.

Di pihak BN yang mempunyai 137 wakil di Dewan Rakyat, jika hanya 66 orang mengundi bermakna seramai 71 orang tidak berada semasa kehadiran sangat diperlukan semalam.

Ini termasuk sebahagian anggota Kabinet sama ada menteri ataupun timbalan menteri. Di manakah mereka ketika itu?

Pada Julai lalu, BN juga berhadapan dengan suasana cemas seperti itu semasa membahaskan Rang Undang-undang DNA di peringkat jawatankuasa. Pada satu peringkat ia diluluskan dengan perbezaan satu undi.

Mengambil kira perkembangan masa lalu, BN dan PR masih belum belajar daripada pengalaman-pengalaman lama.

Ketika Najib sedang membuat penilaian Indeks Prestasi Utama (KPI), beliau mempunyai alasan kukuh untuk berbuat sesuatu yang drastik — sama ada menggugurkan mereka daripada Kabinet ataupun tidak menurunkan semula ketika pilihan raya umum akan datang.

Begitu juga bagi PR. Ini antara indeks yang boleh digunakan sebagai kad penilaian.

Malangnya, kita sentiasa lupa dan terus lupa. Jika pemimpin BN dan PR boleh terlupa apa yang berlaku kira-kira setahun yang lalu, apakah ia akan dijadikan panduan dan peringatan apabila pilihan raya umum ke-13 dipanggil dalam waktu terdekat ini? -G.Manimaran

Ulasan GB

Cakapnya berdegar-degar tetapi tidak berakhlak/berdisiplin. Mutu kerjanya tahap Pak Lah. Itulah hakikat yang ada pada ahli parlimen Pakatan Rakyat!

Mereka ini perlu bertanggungjawab menjelaskan kepada para penyokong mereka sebelum mereka dihumban keluar dari parlimen di dalam pilihanraya akan datang:

Kwsn Kerusi Parti
Nama
P008 Pokok Sena PAS Mahfuz Omar
P016 Baling PAS Taib Azamudden Md Taib
P043 Bagan DAP Lim Guan Eng
P046 Batu Kawan DAP P. Ramasamy
P049 Tanjong DAP Chow Kon Yeow
P050 Jelutong DAP Ooi Chuan Aun
P051 Bukit Gelugor DAP Karpal Singh
P052 Bayan Baru PKR Zahrain Mohamed Hashim
P057 Parit Buntar PAS Mujahid Yusof Rawa
P058 Bagan Serai PKR Mohsin Fadzli Samsuri
P094 Hulu Selangor PKR Zainal Abidin Ahmad
P098 Gombak PKR Mohamed Azmin Ali
P101 Hulu Langat PAS Che Rosli Che Mat
P103 Puchong DAP Gobind Singh Deo *
P109 Kapar PKR Manikavasagam Sundaram
P121 Pantai Dalam PKR Nurul Izzah Anwar
P122 Seputeh DAP Teresa Kok Suh Sim
P124 Bandar Tun Razak PKR Abd Khalid Ibrahim
P171 Sepanggar SAPP Enchin Majimbun @ Eric
P190 Tawau SAPP Chua Soon Bui