22 Feb 2011

Bapa Fail Notis Usul Mohon Bedah Siasat Kedua

Shah Alam - Seorang bapa hari ini memfailkan notis usul memohon supaya bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat anaknya kerana mendakwa wujud unsur-unsur penderaan yang membawa kepada kematian anak perempuannya itu yang baru berkahwin lima bulan lalu.

M Subramaniam, 52, seorang pemandu lori, memfailkan notis itu melalui peguamnya, Gurmit Singh Hullon di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini. Subramaniam memohon perintah untuk satu bedah siasat kedua dan berkecuali dijalankan ke atas mayat anaknya, S Pakiam, 23, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya oleh Pakar Patologi Forensik Dr Karunakaran Mathiharan.

Beliau juga memohon agar mayat Pakiam yang kini berada di Hospital Serdang dibawa ke PPUM dengan serta merta bagi tujuan bedah siasat untuk mengetahui sebab kematiannya mengikut Seksyen 328 Kanun Prosedur Jenayah.

Subramaniam juga antara lain memohon agar mahkamah mengarahkan satu inkues diadakan berkenaan kematian anaknya segera, selain memohon seorang peguam yang dipilih pihaknya dibenarkan menghadiri bedah siasat.

Dalam afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan itu, Subramaniam berkata, Pakiam baru berkahwin selama lima bulan secara 'diatur' dan semasa perkahwinannya, anaknya tidak mempunyai sebarang kelemahan daripada segi mental, fizikal atau kesihatan. -Bernama


BERITA SEBELUM INI


Gigi dicabut, tangan dicucuh

KUALA LUMPUR: Luluh dan hancur hati seorang bapa selepas anak perempuan yang dikahwinkan lima bulan lalu atas pilihan keluarga meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan kerana terdapat kesan luka akibat dicucuh dengan rokok pada tangan selain kuku tangan dan giginya dicabut.

Lebih pilu, wanita berkenaan, S Pakiam, 23, dipercayai menamatkan riwayat dan penderiaan dialami dengan minum racun di rumah mentuanya di Padang Serai, Kulim, Kedah tiga hari lalu.

Mayatnya dihantar untuk bedah siasat di Hospital Kulim tetapi laporan dari hospital tidak menyatakan apa-apa mengenai punca kematian itu.

Bapa mangsa, M Subramaniam, 51, terpaksa menangguhkan upacara pengebumian anaknya itu selepas tidak berpuas hati dengan laporan perubatan hospital berkenaan.

“Saya hanya mendapat berita anak kedua saya itu meninggal dunia pada malam Sabtu lalu kira-kira jam 11.30 malam, selepas dihubungi seorang anggota polis dari Balai Polis Padang Serai.

“Anggota itu memaklumkan anak saya mati akibat minum racun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Puchong, di sini semalam.

Menurutnya, sekiranya anak perempuannya mati disebabkan bunuh diri kenapa laporan perubatan tidak tercatat sedemikian.

Katanya, lebih mengejutkan, pada mayat anaknya penuh dengan kesan dera seperti kuku dan gigi dicabut serta luka pada badan dicucuh rokok.

“Itulah penderitaan yang anak saya perlu lalui sebelum menghembuskan nafas terakhir dipercayai selepas didera,” katanya.

Subramaniam berkata, anaknya berkahwin dengan menantunya lima bulan lalu selepas keluarga masing-masing bersetuju menjodohkan mereka.

“Anak saya berkahwin dengan menantu selepas keluarganya (menantu) menyukai anak kedua saya itu dan kami terus bersetuju menyatukan mereka kerana beranggapan keluarga pihak menantu akan menjaganya dengan baik,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga kerap kali menghubungi anaknya itu, tetapi tidak dapat bercakap kerana keluarga mentua anaknya sering memberikan alasan dia tiada di rumah.

“Setiap kali menghubungi telefon Pakiam, orang lain akan menjawabnya dan mengatakan dia tiada di rumah atau sedang sibuk,” katanya.

Menurutnya, sebaik mengetahui berita sedih itu, dia sekeluarga pergi ke Padang Serai untuk menuntut mayat anaknya itu.

“Saya yang melihat keadaan mayat anak saya kemudian cuba membuat laporan polis berhubung kejadian itu selain tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat yang tidak menyatakan apa-apa tetapi polis enggan menerima laporan itu.

“Disebabkan itu kami terpaksa membawa pulang mayat Pakiam ke sini (Puchong) dan membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada keluarga mentua mangsa memaklumkan mangsa mati akibat minum racun.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -hm



Apa Hal PERKASA Sibuk Di Merlimau?

PAS Melaka membantah kehadiran Perkasa yang dilaporkan berkempen untuk Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Merlimau, 6 Mac ini.

Ketua Penerangan PAS Melaka, Kamaruddin Sidek (gambar) berkata, Perkasa tidak sepatutnya dibenarkan berkempen di Merlimau kerana ia bukan parti politik.

“Rakyat Melaka tidak senang dengan kehadiran Perkasa di Merlimau. Keadaan mungkin menjadi semakin kacau dengan kehadiran Perkasa.

“Selalunya kalau Umno lawan PAS, keadaan menjadi tegang. Kehadiran Perkasa akan menyebabkan keadaan menjadi semakin panas,” katanya.

Pilihanraya kecil Merlimau akan diadakan pada 6 Mac depan ekoran kematianya Datuk Mohd Hidsir Abu Hassan akaibat serangan jantung.

Menurut Kamaruddin, Perkasa telah membuka bilik gerakan mereka d Merlimau dengan memasang kain rentang di sekitar premis berkenaan.

“Mengapa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mengambil tindakan ke atas Perkasa? SPR tidak buat apa-apa.

“NGO tidak perlu datang ke Merlimau, mereka tidak kena mengena dengan pilihanraya.
“Saya mendapat tahu mereka berkempen untu BN khusus untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

“Kononnya untuk menampung kekurangan 21 peratus pengundi Cina yang menyebelahi pembangkang,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan Sabtu ini hari penamaan calon dan 6 Mac sebagai hari mengundi.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan akibat serangan jantung Januari lalu.

Sementara itu PAS membuat laporan polis kerana mendakwa kerajaan negeri menggunakan Politeknik Merlimau sebagai tempat berkempen untuk pilihanraya Merlimau.

Laporan itu dibuat Yang DiPertua PAS Jasin Mejar (B) Jasme Tompang di balai polis Merlimau kira-kira jam 10 pagi tadi.

Kamaruddin berkata, pihaknya mahu pihak berkuasa menyiasat mengenai perkara tersebut.

“Kerajaan negeri menggunakan Politeknik Melaka sebagai salah satu tempat mereka berkempen bagi pilihanraya kecil Merlimau.

“Perjumpaan dengan guru-guru tahmir telah diadakan di poliklinik tersebut. Begitu juga dengan perjumpaan dengan pelajar Melaka yang baru balik dari Mesir.

“Kementerian Pengajian Tinggi pula tidak mengambil sebarang tindakan walaupun Poliklinik Melaka di bawah bidang kuasa mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini. -FMT

Teoh Terima SMS Lagi Di Hari Kematiannya

SMS kepada Teoh: ‘Ada orang kata awak mati terjun bangunan’

Suruhanjaya siasatan untuk kematian Teoh Beng Hock hari ini mendedahkan beberapa isi kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) dari telefon bimbit milik setiausaha politik Exco Selangor itu.

Jurubahasa Mandarin menterjemah beberapa SMS tersebut dan antara yang menarik perhatian adalah SMS yang diterima pada hari kematian Teoh (16 Julai 2009) daripada seseorang yang bimbang dengan keadaannya.


Ia tertulis “Beng Hock awak sudah popular, awak macam mana, kami bimbangkan awak, sudah keluar nanti jangan lupa hubungi kami yang awak selamat” dan “Beng Hock apa khabar, tadi ada orang mengatakan awak mati terjun bangunan, saya sangat takut buat saya terkejut. Selepas itu ada orang kata awak tak apa-apa, baru senang hati, harap awak tidak apa-apa, kak Lan”.

Kedua-dua SMS tersebut dibuka dari ‘‘inbox’’ telefon bimbit mendiang oleh seseorang yang masih tidak diketahui dan terdapat juga SMS yang menyatakan kehadiran pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tindakan mereka memeriksa komputer.


Pada inkues lepas di Mahkamah Koroner Shah Alam, pihak yang terlibat tidak pernah menyoal mengenai maklumat di dalam telefon ini.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Seksyen Jenayah Komputer Inspektor Mohd Zaidi Abu Hassan memberitahu bahawa Teoh menerima panggilan terakhir pada 15 Julai 2009 pada pukul 6.18 petang dan panggilan terakhir yang dibuat Teoh adalah pada pukul 6.15 petang hari yang sama iaitu pada ketuanya, Yong.

Panggilan terakhir yang tidak dijawab pula direkodkan pukul 5.19 petang pada 15 Julai 2009 oleh Anggota Majlis Perbandaran Kajang Lim Kee Hiong.

Mengenai siapa yang membuka beberapa SMS tersebut selepas Teoh meninggal dunia, Mohd Zaidi berkata bukan beliau yang membacanya kerana beliau hanya perlu mengeluar serta mencetak maklumat yang telah dibuka.

Selain Mohd Zaidi, ahli kimia dari makmal forensik Jabatan Kimia Petaling Jaya, Zaraiha Awang turut memberi keterangan hari ini dan menyatakan beliau memeriksa dua sample darah, iaitu spesimen air kencing serta isi perut milik Teoh.

Hasil pemeriksaannya didapati tiada sebarang kesan dadah, racun serta alkohol dikesan daripada badan Teoh.

Suruhanjaya ini dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ‘‘keputusan terbuka’’ berhubung kes itu.

Di awal prosiding, Hakim Foong memaklumkan bahawa suruhanjaya akan mendedahkan siapa yang dilantik sebagai penyiasat persendirian tidak lama lagi dan akan memanggil wakil syarikat telekomunikasi DIGI memberi keterangan berhubung transaksi panggilan.

Beliau turut menyatakan pihak suruhanjaya telah menghubungi dua pakar patologi iaitu Dr Pornthip Rojanasunand dan Prof Dr Peter Vanezis tetapi masih belum mendapat sebarang jawapan.

Seorang pakar tulisan tangan dari United Kingdom juga akan dipanggil member keterangan, katanya. — Bernama

Pemilihan Kampus: Pro-M Sudah Kuasai 8 IPTA

Pemilihan kampus: Pro Mahasiswa kuasai lapan IPTA, luaskan pengaruh

Calon-calon barisan Pro Mahasiswa mencatatkan prestasi lebih baik dengan menguasai lapan daripada 13 universiti yang mengadakan pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) semalam.

Berbanding sesi lalu, pilihan raya kali ini menyaksikan Pro Mahasiswa mencatatkan sejarah dengan menawan kepimpinan MPP di beberapa universiti selepas tempoh yang lama dikuasai Pro Aspirasi.

Ini termasuklah MPP Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sains Malaysia kampus Kubang Kerian, Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan dan Universiti Malaysia Kelantan.

Meskipun kedua-dua kumpulan itu bukan badan formal di pusat pengajian tinggi awam tetapi lazimnya mereka sinonim dengan arah aliran sokongan dan landskap politik di luar kampus.

Pro Mahasiswa dikaitkan dengan sokongan kepada pembangkang manakala Pro Aspiras lebih cenderung kepada parti pemerintah kerajaan pusat.

“Prestasi kali ini jauh lebih baik berbanding sesi pengajian lalu... bukan baik tetapi jauh lebih baik, khususnya di universiti-universiti awam yang berada di Lembah Klang,” kata anggota Majlis Tertinggi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Hilman Idham kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Pada sesi lalu kami kalah di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, malah kalah teruk di Universiti Putra Malaysia dengan tujuh calon Pro Mahasiswa telah dibatalkan kelayakan... tetapi keputusan kali adalah sebaliknya,” kata beliau lagi.

Kali ini kata beliau, walaupun kalah di Universiti Putra Malaysia tetapi jumlah calon Pro Mahasiswa yang menang adalah seramai 11 orang.

Di universiti itu, calon Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum.

Hilman yang juga pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, keputusan ini menunjukkan bahawa mahasiswa mahukan perubahan dalam banyak aspek membabitkan universiti-universiti awam termasuk berhubung cara pilihan raya kampus dikendalikan.

“Selain itu mereka sebagai pelajar universiti menyampaikan mesej yang jelas ekoran penindasan yang dilalui ketika pilihan raya kampus sesi lalu,” katanya yang turut menambah, kejayaan ini akan digunakan untuk meningkatkan kualiti perjuangan kepada komuniti pelajar negara ini.

Selain MPP Universiti Putra Malaysia, kumpulan Pro Aspirasi juga menguasai kepimpinan pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur.

Calon-calon Pro Mahasiswa tidak bertanding di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Hari ini pilihan raya kampus diadakan di Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Teknologi Mara.

“Kami yakin Pro Mahasiswa akan menang di UIA memandangkan setakat ini sudah pun memperoleh 14 kerusi tanpa bertanding,” kata Hilman.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, seramai 6,686 graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini mengundi bagi memilih seramai 15 anggota MPP universiti itu tahun ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata pemilihan yang diadakan setiap tahun itu menggunakan system e-Undi melalui komputer, berbeza dengan universiti-universiti di Pantai Barat yang masih menggunakan kertas undi.

“Saya dapati pemilihan hari ini berjalan lancar dan tidak ada sebarang gangguan berlaku. Cuma kalau universiti besar itu, hangat sedikit kerana banyak kelompok serta pengaruh dari luar. Pemilihan MPP UMT tidak dimasuki unsur luar atau pengaruh politik dari luar . . .,” katanya ketika ditemui di sini.

Dr Yahaya berkata pemenang MPP akan bertanggungjawab merancang dan melaksanakan program-program sebagaimana yang dirancang dan membawa usul kepada pengurusan universiti untuk meperbaiki kemudahan dan kebajikan penuntut.

“Mereka akan mewakili universiti ke peringkat nasional bersama dengan MPP universiti-universiti lain dan banyak program-program yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, mereka akan mengikutinya,” katanya.


P'raya kampus: Kubu Aspirasi mula bocor



Prestasi kumpulan pro-Mahasiswa disifatkan jauh lebih baik tahun ini dengan kejayaan merampas dua daripada lima universiti awam utama pada pilihan raya kampus yang diadakan semalam.

Paling signifikan, kejayaan mereka di Universiti Malaya (UM), - universiti pertama negara ini di mana calon-calon pro-M memenangi 23 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Mereka juga berjaya menyapu bersih semua sembilan kerusi kampus yang dipertandingkan dan 14 daripada 32 kerusi fakulti.

Ini adalah kejayaan besar bagi kumpulan itu sejak kumpulan Aspirasi menang pada pilihan raya kampus tahun lalu.

Ketika itu, mereka cuma mampu meraih 17 kerusi.

Kumpulan pro-M adalah pergerakan mahasiswa yang sering kali dikaitkan dengan mereka yang agak kritikal terhadap kerajaan dan menuntut mahukan pembabitan yang lebih menyeluruh di kalangan pelajar dalam pentadbiran kampus.

Seteru mereka melabelkan diri mereka sebagai pro-Aspirasi (pro-A) kerana dikatakan cuba mempertahankan "aspirasi kerajaan", dan secara tradisionalnya adalah penyokong pihak berkuasa.

UM secara tradisional adalah kubu bagi aktiviti perjuangan pelajar tetapi kumpulan pro-A sejak kebelakangan khususnya sedekad lalu dikatakan berjaya mendapat pengaruh.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kumpulan pro-Mahasiswa juga berjaya mengakhiri kemarau tujuh tahun bagi menguasai universiti kebangsaan itu.

Mereka menang 22 kerusi manakala kem Aspirasi mendapat 15. Antara lain, kumpulan pro-Mahasiswa mendakwa pelajar mengundi mereka kerana tidak berpuas hati dengan bekalan air yang tidak menentu di asrama serta perkhidmatan Internet yang tidak stabil.

Di Universiti Sains Malaysia (USM), kumpulan pro-Mahasiswa tidak memenangi kebanyakan kerusi tetapi berjaya memperbaiki kedudukan dengan merampas 14 kerusi, meningkat daripada 7 yang dimenangi tahun lalu. Kem pro-A masih selesa dengan 24 kerusi manakala seorang calon bebas menang satu lagi.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM), kem pro-Mahasiswa mengekalkan kedudukan mereka dengaan 11 kerusi, seperti pada tahun sebelumnya.

Mereka dibelasah teruk oleh kumpulan pro-A yang memenangi 31 kerusi.

Sebuah lagi kerusi dimenangi calon bebas.

Sementara itu, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), prestasi pro-Mahasiswa bertambah buruk berbanding tahun sebelumnya, mereka hanya mendapat 12 kerusi berbanding 18 sebelumnya.

Kumpulan Aspirasi menang 38 kerusi manakala lima lagi diboloti calon bebas.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) akan mengadakan pemilihan wakil pelajarnya hari ini. Namun kumpulan pro-Mahasiswa dijangka tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk menguasai universiti berkenaan. -mk



Lelaki Ditahan Cuba Seludup Masuk Lima Ekor Cicak Gecko

Johor Baharu -- Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Johor berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk lima ekor cicak Gecko selepas menahan seorang lelaki rakyat Indonesia di Jeti Stulang Laut, di sini, Ahad.

Gambar: Kakitangan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia menunjukan seekor cicak Gecko atau Tokek yang diletakkan dalam botol mineral sebelum diseludup oleh seorang rakyat Indonesia.

Penolong Pengarahnya Siti Nur Ahmad berkata lelaki berusia 40 tahun yang tiba dengan feri dari Batam, Indonesia, itu ditahan kira-kira pukul 6.30 petang oleh pegawai MAQIS bersama anggota Kastam Diraja Malaysia yang menjalankan pemeriksaan di jeti berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati setiap Gecko yang masih hidup itu diletakkan di dalam botol plastik dan dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Gecko itu disedari dibawa masuk ketika diperiksa di mesin pengimbas," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

Siti Nur berkata siasatan mendapati lelaki itu masuk secara sah ke negara ini dan dia dilepaskan selepas direkodkan keterangan.

Beliau berkata Gecko itu dianggarkan seberat 300 gram setiap seekor dan dipercayai mampu mencecah harga RM35,000 seekor di pasaran tempatan.

"Gecko atau dikenali sebagai Tokek oleh masyarakat tempatan dipercayai diseludup masuk ke negara ini selepas mendapat permintaan tinggi bagi tujuan perubatan," katanya.

Kes itu, katanya disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. -- BERNAMA

Guna Kekerasan - Kedudukan Ghaddafi Di Ujung Tanduk

Penggunaan Kekerasan Jasikan Kedudukan Gaddafi Kian Di Ujung Tanduk

42 tahun kekuasaannya tergoncang hebat, dan di tengah kerusuhan yang melanda negaranya pemimpin Libya Muammar Gaddafi menggunakan kekerasan sehingga membuat kedudukannya bertambah lemah dan kian terjepit.

Keretakan makin terkuak di dalam kabinet Gaddafi, semalam, para pejabat pemerintah di dalam dan luar negeri meletakkan jawatan, dua juruterbang pesawat tempurnya belot sementara para pemrotes, yang ditindas, semakin membuak di ibu kota negerinya, Tripoli. Kutukan juga menerjang pemimpin yang paling lama berkuasa di negara Arab tersebut.

Pihak keselamatan pro-Gaddafi diberitakan oleh pejabat-pejabat berita transnasional berkeliling di Tripoli dan menggunakan pembesar suara untuk memberi tahu warga agar tidak keluar rumah. Pasukan keselamatan juga dilaporkan meredam kerusuhan yang telah bergolak di beberapa bahagian timur negeri itu. Tapi kota terbesar kedua, Benghazi, menurut laporan, tak dapat dipertahankan dan jatuh ke dalam kekuasaan para pemrotes.

Stesyen TV negara, yang dipantau media internasional, menyatakan pihak tentera telah menyerbu tempat persembunyian para pengkhianat dan mendesak masyarakat agar mendukung pasukan keselamatan.

Sementara itu, pemrotes menyerukan demonstrasi di Lapangan Hijau di pusat kota Tripoli dan di luar kediaman Gaddafi, tetapi beredar khabar terjadi penindasan di berbagai tempat.

Anak muda yang berusaha berkumpul di jalan diberitakan dibubarkan secara paksa dan berlarian untuk mencari tempat berlindung dari tembakan peluru.

Gaddafi sendiri, yang keadaannya tak diketahui -ada desas-desus ia telah pergi ke Venezuela, tampil sebentar di stesyen televisyen negaranya, malam semalam.

Pemimpin yang berusia 68 tahun tersebut tampaknya telah kehilangan dukungan dari sebahagian masyarakat, beberapa satuan tentera dan diplomatnya sendiri, termasuk delegasi ke PBB. Wakil Duta Besar Libya di PBB Ibrahim Dabbashi dilaporkan menuduh pemimpin yang paling lama berkuasa di negara Arab itu melakukan pembunuhan terhadap rakyatnya sendiri dalam krisis ketika ini.

Saluran komunikasi di ibu kota Libya kelihatannya telah diputuskan. Beredar juga berita penduduk tak dapat dihubungi melalui telefon dari luar negara. Pendukung Gaddafi ditayangkan oleh TV negara berkumpul di Lapangan Hijau.



Libya akan mandi darah: Saif

TRIPOLI: Anak pemimpin Libya, Saif al-Islam Gaddafi, memberi amaran negara itu berdepan dengan perang saudara dan ‘sungai darah’ ketika keganasan pihak berkuasa masih gagal mengekang kebangkitan rakyat, semalam.

Ketika Saif al-Islam menjanjikan pelaksanaan reformasi di Libya dan menuduh kebangkitan rakyat didalangi kuasa asing, bunyi tembakan berterusan di jalan raya Tripoli.

Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW), menyatakan jumlah korban protes antikerajaan meningkat kepada 233 orang.

Kata Saif al-Islam, 38, Libya kini berada di persimpangan.

“Jika kita tidak bersetuju mengenai reformasi hari ini, sungai darah akan mengalir di seluruh Libya,” katanya melalui ucapan disiarkan stesen televisyen.

Tindakan itu dilihat usaha terdesak rejim Gaddafi meredakan kemarahan rakyat yang bosan dengan pentadbirannya sejak 41 tahun lalu.

Kata Saif al-Islam, kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan berjuang ‘sehingga peluru yang terakhir.’ “Kita akan menghancurkan elemen penghasut. Jika semua orang bersenjata, perang saudara akan tercetus dan kita saling berbunuhan.

“Libya bukan Mesir atau Tunisia,” katanya.

Tanpa diberikan peranan dalam politik Libya, dia dianggap mempunyai pengaruh besar dalam pentadbiran negara.

Sementara itu, Kementerian Luar Korea Selatan berkata, kira-kira 500 rakyat Libya menyerbu dan menjarah sebuah pusat pembinaan negara itu berhampiran Tripoli, menyebabkan 15 pekerja Bangladesh cedera.

Turut menjadi mangsa, tiga pekerja warga Korea Selatan.

Di London pula, syarikat petroleum gergasi Britain, BP, berkata pihaknya mengadakan persiapan mengeluarkan sesetengah pekerjanya dari Libya.

Negara kesatuan Eropah dilaporkan bekerjasama menyelaraskan kemungkinan membawa rakyat masing-masing meninggalkan Libya, terutama yang ada di Benghazi. - AFP


3 Beradik Hampir Kebulur Dikurung

Pasir Gudang – Tiga beradik malang yang ditemui terkurung di dalam rumah mereka sendiri di Taman Chendana di sini bukan sahaja tidak terurus malah keadaan mereka, malah begitu kelaparan.

Setiap kali ibu mereka pergi ke tempat kerja, setiap kali itulah mereka akan terkurung di dalam rumah tanpa disediakan bekalan makanan.

Tetapi kali ini nasib anak-anak itu lebih malang apabila ibu mereka langsung tidak pulang menyebabkan mereka hampir kebulur.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, ibu ke kanak-kanak malang itu dikatakan mencari rezeki di sebuah stesen minyak untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Menurutnya, wanita tersebut yang merupakan ibu tunggal langsung tidak mengambil berat soal keselamatan anaknya yang ditinggalkan dalam keadaan rumah tidak terurus.

“Saya kerap melihat mereka bertiga ditinggalkan kelaparan dan pernah sebelum ini salah seorang daripada mereka memakan najisnya sendiri kerana terlalu lapar.

“Jiran ada membantu menghulurkan makanan kerana kasihan melihat tetapi ibunya akan mengamuk dan memukul anaknya jika mengetahui mengambil makanan daripada kami,” katanya.

Beliau turut mendakwa kerap melihat asap keluar dari rumah kanak-kanak yang dikurung itu kerana adik yang masih kecil bermain api, tetapi sempat dipadam.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, ibu kanak-kanak itu adalah penerima bantuan perumahan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij).

Menurutnya, pihaknya menerima aduan mengenai tiga kanak-kanak yang ditinggalkan sendirian sejak keluarga itu menetap di rumah pangsa itu tiga tahun lalu.

“Kita difahamkan kanak-kanak itu pernah dihantar ke pusat perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini, tetapi diambil ibunya, kecuali anak sulungnya berumur 10 tahun masih di Rumah Anak Yatim Darul Hanan Pasir Gudang.

Menurutnya, hasil bantuan anggota polis dari Balai Polis Pasir Gudang, kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dan dibawa ke balai polis untuk dihantar ke pusat perlindungan kanak-kanak JKM kerana keselamatan di tempat itu lebih terjamin.

Dalam pada itu, Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar berkata, kanak-kanak itu akan ditempatkan di wad selama semalaman untuk pemeriksaan perubatan sebelum dibawa ke mahkamah pada hari ini untuk mendapatkan perintah perlindungan siasatan selama 30 hari.

“Dalam tempoh 30 hari kanak-kanak itu akan dihantar ke Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Juwita, Johor Bahru sebelum siasatan terhadap ibu dilakukan untuk mengenal pasti siapa layak menjaga mereka,” katanya. -SH

Maut Dipanah Petir

Teluk Intan: “Ketika itu bot kami hampir tiba di jeti, seketika saya ternampak cahaya terang memancar dari jauh sebelum terdengar dentuman kuat menyebabkan saya dan arwah rebah,” kata Mohd Fadli Yunus, 22, anak saudara kepada Yahya Mokdar, 59, yang maut dipanah petir ketika pulang memancing udang galah, petang kelmarin.

YAHYA bersama udang galah yang dipancing baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang berhampiran jeti Kampung Sungai Jelawat, Sungai Perak, Yahya maut di tempat kejadian manakala, Mohd Fadli cedera ringan dan dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan susulan.

Sebelum kejadian, arwah bersama Mohd Fadli dan seorang lagi rakan, Sofian Saroji, 33, keluar memancing udang galah di Sungai Perak seawal jam 7 pagi.

“Sebaik dentuman itu, saya rebah tidak sedarkan diri dan tidak menyangka kejadian itu meragut nyawa bapa saudara saya. Itu kali pertama arwah mengikut kami memancing udang galah,” katanya.

Sofian berkata, mereka membuat keputusan pulang selepas mendapati cuaca tidak mengizinkan.

Katanya, melihat arwah dan Mohd Fadli rebah tidak sedarkan diri menyebabkannya panik.

“Saya cuba mengejutkan arwah, namun tiada reaksi sebelum mendapati Mohd Fadli menunjuk tindak balas. Ketika itu, saya terasa bahang dan sakit sebahagian badan termasuk kebas di tangan dan kaki.

“Risau sesuatu yang buruk berlaku, saya membawa sampan ke jeti dan meminta pertolongan daripada pemilik bot sebelum menghubungi pihak ambulans,” katanya.

Katanya, arwah disahkan meninggal dunia ketika tiba HTI manakala Mohd Fadli pula dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan susulan.

Sofian berkata, arwah tidak banyak bercakap ketika memancing dan membawa pulang dua kilogram hasil udang ditangkap bersama.

Isteri mangsa, Siti Rafingah Abd Wahab, 56, berkata, arwah sempat minum kopi sebelum keluar rumah untuk memancing kelmarin.

Katanya, arwah sebenarnya bukan seorang kaki pancing kerana banyak menghabiskan masa di sawah yang diusahakan.

“Dia (arwah) mengikut Mohd Fadli memancing kerana tiada sebarang aktiviti di bendang pada hari itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan mangsa maut akibat dipanah petir. -hm

PAS Buat Laporan Polis: UMNO BN Peralatkan Politeknik Merlimau

PAS mahu pengarah Politeknik Merlimau disiasat

PAS Jasin membuat laporan polis berhubung tindakan BN dan Umno yang didakwa menjadikan Politeknik Merlimau sebagai bilik gerakannya dengan menjalankan program untuk kempen pilihan raya kecil di DUN Merlimau.

Laporan dibuat kira-kira jam 10.30 pagi tadi oleh Yang Dipertua PAS Jasin, Mejar (B) Jasme Tompang di Balai Polis Merlimau.

Menurut Jasme, PAS membantah sekeras-kerasnya tindakan yang dianggap tidak bertamadun oleh Umno dan BN, sekali gus mahu parti itu menghentikan segera semua program yang berjalan atau akan dijalankan di situ.

Dakwanya, tindakan itu tidak adil kepada PAS dan Pakatan Rakyat yang tidak dibenarkan menggunakannya.

NONE"Kami mahu pihak berkuasa menyiasat sekiranya wujud penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa ke atas Pengarah Politeknik Merlimau, Dr Arshad Kassim yang membenarkan program Umno dan BN diadakan di situ.

"Para pelajar juga terganggu dari segi emosi, pembelajaran, keselamatan dan sebagainya disebabkan kehadiran ramai orang yang tidak dikenali bebas keluar masuk ke dalam kawasan politeknik itu," laporan polis itu dipetik.

Turut mengiringinya ADUN Banda Hilir, Khoo Poay Tiong, Ketua Dewan Pemuda PAS Jasin, Aminuddin Jalil, Ketua Dewan Muslimat PAS Jasin, Shapiah Ahmad dan beberapa ahli jawatankuasa (AJK) PAS Jasin.

Ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Merlimau, Jasme berkata, antara program yang dijalankan Umno dan BN adalah pelancaran jentera pilihan raya BN (24 Januari) oleh Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan program suai-kenal bapa angkat dengan AJK peti undi BN Merlimau.

"Umno dan BN juga menyalahgunakan lokasi berkenaan berikutan mengadakan majlis jamuan dan Tahun Baru Cina bersama Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 19 Februari lalu.

"Jelas penyalahgunaan berlaku apabila mereka mengadakan kursus untuk memenangi DUN Merlimau kepada petugas Umno dan BN pada 20 Februari lalu dan terbaru, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mengadakan pertemuan dengan Pengerusi dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri Melaka," katanya.

Katanya, memandangkan Politeknik itu digunakan sebagai pusat penamaan calon serta pusat penjumlahan undi pada dalam pilihan raya 6 Mac nanti, Jasme mendakwa ia memberikan kelebihan kepada BN untuk "memanipulasi serta peluang mensabotaj PAS". -mk


Kes Hakim Berkhalwat : 22 Mac Keputusan Pindah Perbicaraan

George Town — Hakim Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya menetapkan 22 Mac bagi membuat keputusan permohonan memindahkan perbicaraan kes khalwat hakim syarie dan pasangannya ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Nik Bukhari Hashimy membuat keputusan itu setelah menimbangkan bahawa pihak pendakwaan perlu meneliti bantahan bertulis daripada pihak pembelaan yang baru difailkan hari ini kerana menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes itu.

Pada prosiding lepas pihak pendakwaan, yang diwakili Ketua Pendakwa Syariah Zulhairi Aziz, membuat permohonan supaya perbicaraan kes khalwat Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang Adam Tumiran, 43, dan pasangannya Nurul Izani Md Isa, 34, dipindahkan dari Mahkamah Rendah Syariah ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Adam dan Nurul Izani, yang bertugas sebagai penasihat kewangan di Kuala Lumpur, dituduh melakukan kesalahan itu pada 5 Dis 2010 pukul 2.05 pagi di rumah nombor 18B, Kuarters Kerajaan Negeri, Jalan Masjid Negeri di sini.

Adam dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Pulau Pinang manakala Nurul Izani dituduh mengikut Seksyen 27 (b) enakmen sama.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah juga membenarkan jaminan kedua-dua tertuduh dilanjutkan. Adam dan Nurul Izani diwakili peguam bela Munawir Abdul Aziz. — Bernama

Pasangan Ditangkap Di Bawah Katil

Nibong Stesen – Jarak umur tidak menghalang niat seorang janda menjalinkan hubungan sulit dengan teman lelaki yang usianya jauh lebih muda.

Bagaimanapun perbuatan tidak bermoral membabitkan wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan lelaki masih belasan tahun di sebuah rumah Jalan Nibong Stesen itu terbongkar berikutan serbuan pihak berkuasa syariah sebaik menerima aduan orang ramai.

Akhirnya, berdasarkan bukti yang boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah syariah, kedua-dua pasangan yang tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 29, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, kerana perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Pendakwaraya Syarie, Azmi Tengah, ketika serbuan dilakukan di rumah terbabit kira-kira jam 9 pagi, 4 Julai tahun lalu, pintu dibuka oleh seorang wanita (tertuduh wanita) dikenali dengan Hidayah (bukan nama sebenar).

Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki, Syafuddin (bukan nama sebenar) dalam keadaan bogel sedang bersembunyi di bawah katil.

Setelah mendengar rayuan tertuduh wanita dan mengambil kira hujah pendakwaraya, Hakim Syarie, Shamsudin Ngah akhirnya menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau tiga bulan penjara ke atas Hidayah sebagai pengajaran atas kesalahan dilakukan.

Pasangannya yang berasal dari Jalan Sekolah Pusat itu bagaimanapun gagal hadir dan satu perintah waran tangkap dikeluarkan ke atasnya sementara menunggu kesnya disebut semula pada 18 April nanti. -SH

Muallaf Wanita Terpaksa Solat Secara Sorok-sorok

Kuala Lumpur: Seorang wanita mualaf mendakwa bekas suami tidak membimbingnya menjadi Muslim yang baik sepanjang lima tahun perkahwinan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Gambar fail: Audrey Amira keluar dari mahkamah mendukung anaknya Alya Natasha

Menurut Audrey Amira Goon Abdullah, 34, bekas suaminya, Ablen Rosmon Gamid, 35, dan ahli keluarganya juga tidak mengamalkan ajaran Islam dengan baik.

Katanya, sepanjang tinggal dengan mentua, tidak pernah lihat mereka menunaikan solat dan solat Jumaat selain turut percaya perkara syirik.

Bekas suaminya juga pernah menceritakan pernah minum arak dan ke kelab malam ketika ke luar negara.

“Saya terpaksa solat secara sorok-sorok kerana tidak mahu diketahui ahli keluarga mentua sebab takut dikatakan berlagak.

“Sekali-sekala adik bekas suaminya juga membawa pulang kawan perempuannya dan tidur bersama satu bilik dalam pengetahuan ibu bapa mentua,” jelasnya yang turut mengakui pernah tidur bersama bekas suaminya di rumah sama sebelum berkahwin.

Pengurus Kanan Korporat Kewangan itu berkata demikian ketika memberi keterangan berhubung tuntutan hak penjagaan anak Alya Natasha, 5, daripada bekas suaminya. -hm

Anak Ayah Pin Cemerlang Dalam Pelajaran

Jertih: “Saya tidak tertekan dengan kisah ayah yang menjadi tumpuan rakyat negara ini, sebaliknya ia membakar semangat untuk berjaya dalam pelajaran,” kata Mohd Khairul Adhar Arifin, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Hulu Besut, yang memperoleh 4A, sekali gus menjadi antara 12 pelajar cemerlang STPM Terengganu 2010.

Gambar: MOHD KHAIRUL menunjukkan slip keputusan peperiksaan STPM diterimanya, semalam.

Mohd Khairul berkata, sejak ayahnya yang lebih dikenali masyarakat sebagai Ayah Pin, meninggalkan ibunya Che Jaharah Awang, 52, di Kampung Batu 13, Hulu Besut, melarikan diri daripada pihak berkuasa kerana menyebarkan ajaran sesat, dia bertekad berjaya dalam pelajaran bagi membalas jasa ibunya.

Beliau yang mendapat A dalam subjek Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sastera dan Seni Visual berkata, hanya mengetahui mendapat keputusan cemerlang selepas dihubungi guru sekolahnya dan berhasrat memasuki pusat pengajian tinggi untuk merealisasikan cita-citanya menjadi guru.

“Saya datang ke sekolah hari ini (semalam) selepas menerima panggilan guru untuk menerima slip keputusan STPM,” katanya ditemui selepas menerima keputusan STPM daripada Ketua Penolong Pengarah Akademik (Bahasa) Jabatan Pendidikan Terengganu, Che Soh Muda di sekolah itu semalam.

Selain Mohd Khairul, seorang lagi pelajar sekolah itu yang mendapat 4A ialah Nor Masrina Masri, 18, tetapi tidak dapat hadir ke sekolah kerana bekerja sementara di klinik swasta di Kuala Lumpur. -BH

Ulasan GB

GB berharap berita di atas diterima sebagai satu berita semata-mata. Bukan bertujuan untuk mempromosi ajaran Ayah Pin.

Jangan pula selepas ini ramai ibubapa berpusu-pusu nak cari Ayah Pin untuk menuntut ilmunya sehingga mendapat anak yang pandai.

Moralnya, sesiapa pun, tak kira anak penoreh, anak penyapu sampah, anak menteri, malah anak orang sesat seperti Ayah Pin pun, jika rajin belajar akan memperolehi kejayaan.

Peragut Maut Tercampak Dan Tertonggeng Dalam Longkang

Ampang: Seorang peragut yang kelam-kabut melarikan diri sejurus meragut beg tangan seorang wanita, terbunuh manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki merempuh kereta mangsa yang ketika itu nekad mengejar penjenayah terbabit di Taman Mega Jaya, Bukit Teratai di sini, semalam.

Tindakan berani arkitek wanita berusia 28 tahun yang juga anak bekas pegawai polis itu membuatkan dua lelaki terbabit panik sehingga mereka masuk ke laluan jalan mati di taman berkenaan sebelum berpatah balik dan merempuh kereta mangsa yang mengejar mereka.

Akibatnya, kedua-dua lelaki terbabit terpelanting ke longkang menyebabkan seorang daripada mereka maut di tempat kejadian selepas kerandut zakarnya pecah, manakala rakannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa sedang bersiap ke tempat kerja dan sejurus keluar dari kereta untuk menutup pintu pagar, dua lelaki terbabit meragut beg tangannya yang diletak di tempat duduk hadapan.

Mangsa cuba melawan, tetapi dia ditendang sehingga terjatuh.

Sebaik melihat mangsa terjatuh, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri, namun mangsa yang berang mengejar suspek.

Mangsa yang sudah biasa dengan laluan di kawasan itu memberhentikan keretanya di persimpangan jalan kira-kira 200 meter dari rumahnya selepas melihat lelaki terbabit melalui jalan mati.

Ketika itulah, lelaki yang panik berpatah balik dan memecut laju motosikal berikutan laluan terbabit agak berbukit sebelum mereka merempuh kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan suspek terpelanting dan tercampak ke longkang.

“Kedua-dua suspek berkenaan warga Indonesia dan lelaki yang mati itu berusia 35 tahun manakala rakannya yang parah berusia 24 tahun.

“Siasatan polis mendapati, suspek menggunakan motosikal curi dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun dan Seksyen 41 (1) A Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mahyudin Zakaria, 59, berkata, dia hanya menyedari anaknya diragut apabila terdengar jeritan di luar rumah.

Katanya, dia yang bimbang sesuatu berlaku ke atas anaknya bergegas ke luar rumah dan melihat anaknya tergesa-gesa menaiki kereta lalu mengejar lelaki terbabit.

“Saya mengekori anak dengan menaiki kereta kerana bimbang keselamatannya.

“Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian, saya melihat suspek sudah berada di dalam longkang dan mengalami kecederaan parah akibat merempuh kereta anak yang berhenti di simpang jalan,” katanya. -hm



KEMEK...keadaan kereta mangsa.


PECAH...motosikal dinaiki kedua-dua penjenayah.


ANGKAT...anggota bomba dan paramedik mengangkat suspek.


MANGSA...Amiruddin (kiri) berbincang dengan mangsa ragut, semalam.


Ibu Minta Anak Mati Di Lokap Disiasat & Sikap Polis Yang Biadab

Kuala Lumpur: “Saya mahu polis menyiasat semula punca kematian anak saya demi keadilan,” kata ibu kepada Hairul Amri Aliyas, 26, yang meninggal dunia dalam lokap di Balai Polis Kuala Selangor.

Zaleha Bahari, 48, mendakwa kesal tindakan polis yang seolah-olah ‘menyembunyikan’ punca sebenar kematian anak lelakinya itu, awal pagi 17 Februari lalu.

Dia yang hadir menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini, semalam memberitahu dia hanya dimaklumkan mengenai kematian anaknya selepas dua anggota polis datang ke rumahnya.

Zaleha berkata, anaknya ditahan dua anggota polis yang datang ke rumahnya di Kampung Baru Sungai Buluh, Jeram pada 11 Februari lalu kerana dituduh mencuri di sebuah pasar raya, kira-kira jam 9.30 malam.

“Dia direman di Balai Polis Kuala Selangor selama tujuh hari.

“Selepas tiga hari ditahan, anak saya mengadu sakit perut dan dihantar ke Hospital Tanjung Karang (HTK) untuk rawatan. “Sebaik dirawat, dia dibawa pulang ke lokap semula. Ketika itu, saya dibenarkan melihatnya.

“Sehari sebelum meninggal dunia, dia dibawa sekali lagi ke HTK kerana sakit perut dan diberi rawatan sebagai pesakit luar.

“Anak saya meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi keesokan harinya dalam lokap,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Zaleha berkata, hasil bedah siasat menyatakan punca kematian anaknya kerana ulser namun banyak terdapat kesan lebam pada badan dan bahunya.

Berikutan itu, dia mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam bagi membela kematian anaknya yang dianggap misteri.

Sementara itu, Manikavasagam berkata, pihaknya sudah menubuhkan badan khas untuk menyiasat kes itu dan berharap polis menjalankan siasatan semula bagi membela keadilan.

Ulasan GB

GB geram kalau menemui pegawai-pegawai penjawat awam yang bercakap dengan tangannya di pinggang atau di kocek.

Semacam awak seorang sajalah yang "berpangkat besar" dalam dunia ini.

Kelmarin kita siarkan seorang ketua pengawal bercekak pinggang sambil sebelah tangannya menutup mulut seorang mahasiswa. Kini seorang anggota polis menyeluk tangannya ke dalam saku sewaktu bercakap dengan orang awam.

Sikap pegawai polis berkenaan yang tidak berdisiplin dan tidak menghormati orang awam sangat-sangat dikesali. Ia tidak beretika dan menampakkan polis berkenaan cuba untuk menunjukkan dia paling berkuasa atas dunia.

Jika GB ada di tempat tersebut, perkara pertama GB akan tegur ialah "keluarkan tangan anda dari kocek anda" dan hormati rakyat yang membayar gaji anda!


Laporan Pilihanraya Kampus: Pro-M Menang Di UM & UKM, Tewas Di UPM & UTM

Semalam Kumpulan pro-Mahasiswa Universiti Malaya memenangi pilihan raya kampus universiti itu. Mereka menyapu bersih semua 9 kerusi umum dan mendapat 14 kerusi fakulti.

Lawan mereka hanya berjaya mendapat 16 kerusi fakulti. Manakala calon bebas menang dua kerusi fakulti.

Kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) juga menang di UKM. Mereka mmenangi 23 dari 37 kerusi yang dipertandingkan pada pilihanraya kampus (PRK) 2011.

Menurut keputusan yang dimaklumkan Ketua Jentera Pro Mahasiswa UKM, Mohammad Ismail Aminuddin, sehingga jam 12 tengah malam tadi, jentera Pro-M menang kesemua lima kerusi umum bagi tahun tiga dan empat. Sementara bagi kerusi umum tahun satu dan dua, Pro-M menang dua kerusi dari tujuh yang dipertandingkan.

Ismail menjelaskan, pihaknya kini sedang mengemukakan bantahan rasmi berhubung tindakan berat sebelah pengerusi jawatankuasa pelaksana majlis pemilihan perwakilan pelajar, Musa Zainal yang membenarkan dua orang calon Pro Aspirasi bertanding, walaupun tidak layak bagi PRK ini.

“Ini kerana syarat utama untuk bertanding ialah setiap calon diwajibkan menghadiri bengkel pilihanraya. Dalam kes ini, calon dua Pro M tidak dibenarkan bertanding. Tetapi untuk calon Pro Aspirasi, mereka dibenarkan,” kata Ismail.

Sementara itu, keputusan tidak rasmi di Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan Pro-Aspirasi terus berkuasa.

Kumpulan Pro-Mahasiswa hanya berjaya mendapatkan 12 kerusi daripada 44 yang dipertandingkan.

Daripada jumlah 11 kerusi itu, 2 adalah kerusi umum, 8 kerusi fakulti manakala sebuah kerusi siswazah lanjutan.

Pro-Aspirasi pula mendapat 31 kerusi.

Di UTM pula, daripada keputusan yang diumumkan tengah malam ini, pro-A menang dengan mendapat 38 daripada 56 kerusi, lapor malaysiakini.

Pro-M mendapat 12 kerusi dan bebas 5. Satu kerusi tidak diketahui cenderung kepada pasukan mana.

Melepas tengah malam, pengiraan undi di USM masih berjalan.

Gambar ehsan NST




Pelik, Air Mani Saiful Ditemui Di Duburnya Sendiri

Peguam Anwar dakwa air mani Saiful dikesan di dubur sendiri

Prosiding kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini “dikejutkan” dengan dakwaan peguamnya bahawa salah satu profil DNA dikesan pada dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah milik pengadu dan saksi utama itu sendiri.

Ramkarpal Singh, salah seorang peguam Anwar berhujah, penemuan laporan kimia menunjukkan air mani yang ditemui pada bahagian rektal sebenarnya adalah milik Saiful (gambar) memandangkan profil DNA “12, 13” adalah lebih dominan berbanding profil DNA “Lelaki Y”.

“Saya mengesyorkan kepada anda profil dalam B8 adalah milik Saiful, oleh itu (ia) boleh ditafsirkan bahawa air mani yang dikesan di bahagian duburnya sendiri,” kata Ramkarpal di mahkamah hari ini.

Bagaimanapun Dr Seah menafikan perkara itu sambil berkata terdapat dua bentuk kesan di bahagian rektal iaitu sperma dan bukan sperma.

Profil DNA Saiful, menurut Dr Seah, tergolong dalam kategori pertama.

“Ya, meskipun profil DNA Saiful ‘12, 13’ dikategorikan di bawah pati bukan sperma, di mana Dr Seah tidak dijawab ialah DNAnya sendiri juga ditemui pada kesan sperma B8.

“DNA Saiful bukannya penyumbang utama dalam kes ini, tetapi ia juga dikesan dalam kedua-dua ekstrak,”
kata seorang lagi penguam Anwar, Sankara Nair kepada The Malaysian Insider kemudian.

Terdahulu pagi tadi, peguam-peguam Anwar meneruskan pemeriksaan balas ke atas Dr Seah dengan meminta beliau mengulas mengenai kesahihan laporan kimia.

“Anda mempunyai situasi di mana pancutan (air mani) ke dalam dubur adalah 56 jam sebelum laporan (dibuat). Adakah anda menduga untuk melihat kemerosotan kualiti sperma dan DNA?” soal Ramkarpal.

Menjawab soalan itu, Dr Seah berkata, tidak perlu mengambil langkah-langkah tambahan untuk menentukan kemerosotan kualiti meskipun air mani berada dalam dubur selama 56 jam. -TMI

Ulasan GB

Apa yang rakyat tertanya-tanya semalam ialah:

Jika benar ada seperma di dubur Saiful, apakah "pakar" berkenaan tersilap di dalam analisa DNAnya atau pencalit sperma tersalah calit sampel atau skrip Pendakwa Raya sendiri yang tersilap?

[Bergambar & Video] Kisah Seorang Padri Katolik Peluk Islam

Bukan saya yang mencari Islam, Islam yang menemukan saya," kata Idris Tawfiq. Ia berucap di hadapan para ahli akademik dan keluarga besar Universiti Cambridge. Di perguruan tinggi ini sedang berlansung acara tahunan Experience Islam Week, satu acara untuk pengenalan Islam dan toleransi.

Ia mengaku, tak ada masalah dengan masa lalunya. "Saya mencintai pekerjaan dan masa lalu saya, namun hati saya seperti dipandu memilih Islam," katanya. "Setelah menjadi Muslim, saya menemukan kedamaian yang tak pernah saya temukan sebelumnya."

Menurutnya, keputusannya memilih Islam adalah keputusan terbesar dalam hidupnya. Ia masih melakukan pelayanan, ketika kemudian hatinya berbicara lain. Sampai suatu ketika, timbul keberanian untuk menyatakan behenti dan letak jawatan (sebagai paderi). "Saya merasa sendirian setelah itu," katanya.

Pertama kali, ia menyatakan berhenti menjadi paderi. Namun, ia tetap memegang kayakinan lamanya, sambil terus belajar Islam. "Saya tidak bermaksud mengubah iman saya itu bukan bahagian dari rencana saya sama sekali," katanya.

Ia menyatakan, tinggal dan besar di Britain selama 40 tahun, ia punya pandangan stereotip tentang Muslim. Tapi saat menghabiskan cutinya di Mesir, ia bertemu dan berteman dengan banyak orang Muslim, dan mengatakan bahwa ia mulai menyadari persepsi tentang keyakinan Islam. "Keyakinan lama saya perlahan luntur, dan Islam menjadi lebih menarik perhatian saya," katanya.

Menurutnya, ajaran Islam sebenarnya sangat indah. "tak benar Islam mengajarkan kekerasan. "Jika anda menyelami ajaran Islam, anda akan menemukan ajaran agama ini benar-benar sangat indah, sangat lembut, dan manis," katanya.

Ia menyarankan satu hal bagi mereka yang tengah belajar Islam. "Sebelum anda membuah keputusan, tarik nafas dalam-dalam dan dengarkan apa kata Islam. Kemudian, penahi pola pikir anda," katanya.

Ketika ini, Tawfiq memutuskan untuk tinggal di Mesir. Ia mengaku tak mudah dengan perubahan politik di negeri itu. "Satu hal yang diajarkan Islam adalah, jangan pernah terkejut dengan apapun yang datang dalam kehidupan kita. Di Mesir, semua terbukti. Siapa yang menduga hanya dalam tiga minggu penzalim yang 30 tahun lebih berkuasa boleh tumbang," katanya.