24 Okt 2010

[Video] 12 Ekspres Budaya Terbakar Malam Tadi, Kerugian RM6juta

12 Bas Ekspres Budaya Terbakar, Kerugian Dianggar RM6 Juta

KOTA BAHARU, 24 Okt - Dua belas bas Ekspres Budaya musnah dalam kebakaran di depoh simpanan bas itu di Kampung Panji, Pengkalan Chepa di sini, Sabtu malam.

Pegawai Operasi syarikat bas ekspres itu, Kamaruzaman Abdullah berkata kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan bernilai RM6 juta.

"Kebakaran semua bas yang diletakkan berhampiran dan tersusun antara satu sama itu disedari oleh pengawal keselamatan pada kira-kira pukul 12 tengah malam," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata bas ekspres itu baru sahaja diletakkan di situ selepas selesai menurunkan penumpang dari beberapa destinasi.

Kebakaran itu merebak terlalu cepat dan ketika bomba tiba, 70 peratus bas berkenaan telah musnah terbakar, katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. -- BERNAMA



Ada Ayam Bertaji Lima Di Kelantan

Ayam Jantan Milik Azrul Punya Lima Taji

KOTA BAHARU, 24 Okt - Kebiasaannya ayam jantan memiliki sepasang taji namun berbeza dengan seekor ayam milik seorang pembantu perubatan di sebuah klinik kesihatan di sini yang mempunyai lima taji.

Azrul Mahmood, 30, berkata tiga taji itu terletak di bahagian kaki sebelah kanan manakala dua lagi di kaki kiri ayam jantan itu.

"Taji-taji tersebut tumbuh secara berlapis antara satu sama lain," kata Azrul yang ditemui di rumahnya di Kampung Lundang di sini.


Beliau berkata satu lagi taji yang sebelum ini tumbuh di kaki kanan ayam tersebut bagaimanapun patah pada bulan puasa baru-baru ini selepas terlekat pada dawai kandang ayam kesayangannya itu.

Ayam jantan yang berumur lebih empat tahun itu baru dipelihara Azrul kira-kira dua tahun lalu iaitu selepas beliau bertukar ke sini. Sebelum ini beliau berkhidmat di Kedah selama beberapa tahun.

"Ayam ini asalnya dipelihara oleh keluarga saya di sebuah kampung di sini tetapi banyak-banyak ayam jantan yang ada, seekor inilah yang pelik apabila memiliki banyak taji dan kerana itulah saya mengambil keputusan mengambil dan memeliharanya sendiri," katanya.

Beliau mendakwa beberapa kejadian pelik berlaku yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ayam jantan itu bermula awal tahun ini apabila pada mulanya beliau melihat seekor burung besar besar yang tidak diketahui spesies hinggap di belakang pokok rumahnya dan kemudiannya hilang dalam sekelip mata.

"Burung itu bila terbang sayapnya lebih sedepa tangan orang dewasa dan hinggap di pokok belakang rumah tetapi hilang sekelip mata apabila saya cuba mendekatinya.

"Selepas beberapa hari pula tiba-tiba muncul seekor tupai yang jinak yang boleh dipegang keluarga saya dan kerana jinaknya tupai itu saya memeliharanya sebelum mengambil keputusan melepaskannya ke dalam hutan tiga hari selepas itu," katanya.

Azrul berkata minggu lalu rumahnya "dikunjungi" seekor kucing hutan dengan dua ekor anak yang cukup jinak namun hilang begitu sahaja dua hari berikutnya.

"Saya anggap kejadian pelik ini sebagai tanda kuasa Allah dan saya bersedia membenarkan mana-mana pihak untuk melihat keanehan ayam jantan saya ini," katanya.

-- BERNAMA

Ansari, Calon PKR Di Batu Sapi

Ansari calon PKR bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi

SANDAKAN - Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Ansari Abdullah dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Pengumuman pemilihan Ansari sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Hakka di sini.

Ansari, seorang peguam kanan profesional, juga merupakan ketua cabang PKR Tuaran.

Pilihan raya kecil Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Okt lepas.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan pada Selasa ini dan pengundian pada 4 Nov.

berita sebelum ini:

Batu Sapi: SAPP Umum Tanding, Yong Teck Lee Sebagai Calon


Kelantan Umum Cuti Peristiwa 4 Nov, PKR Teruskan Pemilihan?

Kelantan isytihar 4 Nov hari cuti peristiwa

KOTA BARU, 24 Okt — Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan 4 November iaitu Khamis depan sebagai hari cuti peristiwa sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohd Aiseri Alias menerusi surat pekeliling arahan pentadbiran SUK kepada Bernama di sini hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Oktober ini. — Bernama


Ulasan GB

Cuti 4 Nov. Yes, baru betul. Ini akan menggagalkan mana-mana pihak untuk mengurangkan jumlah pengundi yang akan turun mengundi. GB terhidu hal demikian apabila SPR membuat pilihanraya di hari bekerja. Allah membimbing TGNA apa yang perlu dilakukan untuk mengatasi tipudaya mereka.

Kedua, PKR, berilah kerjasama sedikit. Apa pasal tak boleh tangguh pemilihan? Hanya di Batu Sapi sahaja tangguh, Galas tidak. Pemilihan di Pusat sepatutnya boleh ditangguhkan untuk seluruh pemimpin dan ahli PKR membantu pilihanraya Galas jika ada semangat setiakawan. Tu GB kata di dalam ulasan yang lalu, PKR turun tapi tak sepenuhnya untuk membantu di Galas. Tak sporting dan tak supporting betul kan? ... huhu....

Berita sebelum ini: Aziz Wakili BN Lawan Dr.Zul Dari PAS Di Galas

Aziz Wakili BN Lawan Dr.Zul Dari PAS Di Galas (updated)

Setiausaha Umno Gua Musang Aziz Yusof dipilih bagi mewakili Barisan Nasional (BN) merampas kerusi DUN Galas daripada penguasaan PAS.

Pemilihannya diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini sebentar tadi.

Tiga hari lalu, pengamal perubatan yang juga pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima daripada PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus 27 September lalu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

SEMENTARA itu di Batu Sapi BN akan meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi 4 November ini. Dalam gambar 2 dari kiri.

Beliau adalah timbalan ketua Wanita PBS Elopura dan isteri kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Ketua Menteri Sabah yang juga pengerusi BN negeri, Datuk Musa Aman berkata, jawatankuasa BN negeri sebulat suara memilih Linda bertanding di Batu Sapi.

Katanya, BN yakin dengan kemampuan calon BN itu untuk meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

pilihan raya kecil itu, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian pada 4 November.


Fitnah: Dr Zulkefli akan ambil tindakan undang-undang

GUA MUSANG, 24 Okt: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil N.45 Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Dr Zulkefli Mohamad berkata, isu beliau ditangkap khalwat yang dibangkitkan Umno-Online adalah dilakukan dengan sengaja bagi memfitnahnya.

Sehubungan dengan itu, beliau bersama peguamnya, akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya fitnah itu tidak ditarik balik.

“Tindakan pertama ialah meminta supaya didropkan fitnah itu daripada web Umno-Online, dan sekiranya tidak dipatuhi maka tindakan selanjutnya akan menyusul.

“Kedua, tempoh bagi tindakan adalah bergantung kepada tindakan dilakukan Umno-Online terhadap permintaan yang pertama itu,” katanya pada sidang media semalam.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Hadir sama ialah Peguam Abu Daud Wan Abdul Rahim dari Azmi & Co.

Terbaru selepas diisytiharkan calon PAS bagi Dun Galas, Dr Zulkefli dilaporkan media Umno-Online bahawa Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang itu pernah ditangkap khalwat dengan ‘isterinya’ sekarang, Ramlelah Mat Jusoh.

Bagaimana pun, Dr Zulkefli dengan tegas menafikannya kerana Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya, sedangkan isterinya ialah Zainab Jalar.

“Berkenaan dengan hak yang dikeluarkan dalam Umno-Online yang dikatakan saya terlibat dalamkes khalwat, kemudian diletak pula nama Ramelah binti Mat Jusoh.

“Ramelah binti Mat Jusoh itu adalah sebenarnya emak saya, dan untuk kes khalwat ini sepatutnya dibuat semakan di mana-mana Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah untuk dipastikan, dan (kes yang dibangkitkan ini) saya menafikan sekeras-kerasnya.

“Sebenarnya tidak ada kes ini, (hanya) dibangkit sebagai fitnah saja,” tegasnya.

Sementara itu, Abdul Halim Abdul Rahman ketika mengulas perkara itu berkata isu timbul tanpa ada asasnya.

“Sengaja diada-adakan isu,” katanya. -harakahdaily


Urut Batin Tu Apa?

Layan pelanggan terpilih di rumah

KUALA LUMPUR: Sekali imbas, sebuah rumah di Ampang, dekat sini, kelihatan seperti kediaman biasa dihuni sekumpulan anak gadis dari desa yang merantau ke ibu kota untuk mencari rezeki.

Namun selepas diselidik, rupa-rupanya rumah itu menyimpan pelbagai rahsia penghuninya, termasuk menawarkan khidmat urut tiga dalam satu iaitu urut biasa, batin atau khidmat seks jika bayaran ditawarkan pelanggan memuaskan.

Segala-galanya bermula apabila seorang penghuni rumah itu diperangkap menerusi perbualan di laman sosial selepas Metro Ahad memperoleh maklumat mengenai kegiatan itu.

Siasatan mendapati ‘perniagaan’ gadis itu, Ana, 20, agak unik apabila dia meminta deposit 50 peratus sebagai tempahan dan bayaran itu perlu dimasukkan ke dalam akaunnya.

Selepas wang dimasukkan, dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memberitahu alamat kediamannya, selain menentukan masa perkhidmatan.

Tanpa menyedari dirinya terperangkap, Ana menceritakan aktiviti itu dilakukan untuk mencari wang dengan cara mudah dan selamat.

Aktiviti ini saya lakukan secara ‘part-time’. Bila ada pelanggan hubungi saya menerusi laman sosial, baru saya melayan. Jika tiada, saya melepak bersama rakan.

“Lagipun, bukan susah untuk mengurut. Kebetulan, saya pandai mengurut. Ada yang mahu saya urut betul-betul. Ada juga yang hanya mahukan urutan batin dan khidmat seks.

“Biasanya saya tidak menyediakan khidmat seks. Namun jika ada yang memujuk dan membayar lebih, saya menerimanya,” katanya yang mampu memperoleh pendapatan hingga RM3,000 sebulan.

Menurut Ana, rakan serumahnya turut melakukan aktiviti sama.

Malah, katanya, setiap pelanggan yang mahukan khidmat berkenaan diberi alamat rumah dan diminta datang ke situ.

“Saya menjalankan aktiviti di rumah. Saya dan rakan menyewa rumah sebagai tempat kediaman tetapi jika mahu khidmat kami, pelanggan akan datang ke rumah.

“Begitupun, saya meminta mereka memasukkan wang ke dalam akaun saya terlebih dulu sebelum memberi alamat dan nombor telefon. Takut nanti mereka memperalatkan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Ana hanya menjalankan kegiatan haramnya pada waktu siang ketika waktu pejabat bagi mengelak aktiviti itu dihidu jiran atau pihak berkuasa.

Baginya, tempoh lapan jam itu mencukupi untuk mendapatkan pendapatan ala eksekutif muda setiap bulan tanpa perlu bekerja keras dan hanya menunggu pelanggan di rumah.

“Siapa mampu beri semua ini kepada saya? Jika bukan berusaha sendiri, saya tidak dapat miliki semua ini. Walaupun sekadar separuh masa, pulangannya lumayan.

“Paling banyak saya dapat mengumpul RM3,000 sebulan. Jika diikutkan, ia cukup banyak bagi kerja separuh masa,” katanya.

Selain Ana, Linda, 20, turut menjalankan aktiviti sama. Dia yang terpengaruh dengan rakannya mula berjinak-jinak dengan aktiviti itu seawal usia 19 tahun.

Menurut Linda, rakannya sering menayangkan kemewahan di depannya dan disebabkan perasaan ingin tahu, dia mula bertanya dan kemudian turut mencuba.

“Dulu, saya melayari laman sosial hanya di rumah. Jika ada pelanggan, saya bawa mereka ke rumah rakan. Mula-mula takut juga tetapi bila sudah biasa, ia tidak menjadi masalah.

“Saya mengenakan bayaran RM100 bagi setiap sesi urutan. Begitupun, saya tidak menawarkan khidmat seks. Terpulang kepada pelanggan mahu yang mana satu, urut biasa atau batin,” katanya yang beroperasi di sebuah kondominium di ibu kota.

Pada mulanya, Linda mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, namun apabila terjebak dengan kemewahan cara mudah, impian itu dilupakan.

“Bukan mudah untuk hidup senang sekarang. Bagi saya, pelajaran belum tentu menjamin masa depan. Jadi apa salahnya saya bekerja seperti ini?

“Bezanya, saya mengurut di rumah dan bukan di pusat urutan mahupun spa. Sekurang-kurangnya, saya mendapat bayaran bersih dan tidak menerusi orang ketiga.

“Lagipun, mengurut di rumah lebih selesa. Tidak ramai tahu aktiviti kami dan saya hanya memilih pelanggan yang tidak dikenali.
Namun, jika pelanggan mahu urutan melegakan kesakitan, saya tetap melayan,” katanya yang menawarkan khidmat sepenuh masa, termasuk malam.

Ulasan GB

Urut Batin tu apa ya? Ada jampi-jampi? Atau jenama lain untuk urut Badin?

Pening dibuatnya kita sebab dalam zaman serba cacamarba ni memacam ada.

Sampai yang nak belajar pun boleh tersangkut sebab tiba-tiba terjumpa bab nafsu gila untuk hidup senang.


Ada Masyarakat India Nak Protes Kedatangan Manmohan Rasmi Little India

Protes jika Manmohan rasmi

RAWANG – Badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kemajuan Pelajar-pelajar Tamil Malaysia (PKPPTM) tidak bersetuju dengan cadangan perasmian Little India di Brickfields akan dilakukan Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh(gambar) 27 Oktober ini.

Presidennya, M S Arjunan berkata, pihaknya bersedia dengan sekitar 5,000 hingga 6,000 ahli badan bukan kerajaan (NGO) untuk memprotes sekiranya majlis itu tetap dirasmikan Manmohan.

Katanya, protes bukan sahaja melibatkan ahli PKPPTM yang seramai 12,000 di seluruh negara setakat ini, tetapi akan bergabung dengan ahli daripada 15 NGO India tempatan lain.

“Jika Manmohan datang juga merasmikan Little India, kami wakil bagi masyarakat India di Malaysia akan memakai baju hitam dan mengibarkan bendera hitam sebagai membantah secara aman perasmian berkenaan.

“Kami tidak bantah kedatangan beliau ke Malaysia, tetapi lebih baik Perdana Menteri, atau orang tempatan sendiri dalam kalangan pemimpin India sendiri misalnya boleh datang merasmikannya,” katanya, semasa pertemuan berhubung isu berkaitan, di sini, semalam.

Hadir sama dalam perjumpaan berkenaan ialah Ketua Angkatan Muda PKPPTM, A Kalaimughilan.

Mengulas mengenai perkara itu, Arjunan berkata, ia kerana ketidakpuasan hati terhadap pemimpin itu berikutan banyak perkara belum dapat diselesaikan oleh Kerajaan India.

“Perkara ini termasuk berkaitan dengan masyarakat keturunan India di Malaysia dan beliau (Manmohan) akan mendapat jawapan sekiranya melawat estet di luar bandar.

“Selain itu, Little India adalah salah sebuah pusat membeli belah oleh masyarakat India, tetapi banyak bangunan di situ dimiliki oleh orang lain, manakala bayaran sewa begitu tinggi.

“Sebab itu kita harap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan memainkan peranan penting menukar hak milik tempat ini kepada peniaga (India), di sini,” katanya.

Katanya, ini disebabkan peniaga cuma ada ruang untuk berniaga sahaja, tetapi tiada kuasa untuk memiliki tempat berkenaan.

Kalaimughilan berkata, sebagai Perdana Menteri India, Manmohan seharusnya membantu dan campur tangan dalam banyak perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan kuasa yang beliau ada, tetapi malangnya beliau tidak berbuat demikian.

“Jadi, kedatangan Manmohan ke negara ini tiada erti bagi kami. Sedangkan kami negara kecil masih dapat menolong negara lain seperti Afghanistan, Palestin dan Bosnia,” katanya. -SH


Perdana Menteri India Mulakan Lawatan Tiga Hari Ke Malaysia Mulai Selasa Ini

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh akan melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia mulai Selasa ini bagi membalas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu Januari lepas.

Dr Manmohan yang akan diiringi oleh isteri beliau Gursharan Kaur, mengetuai anggota delegasi seramai 16 orang.

"Lawatan itu menandakan satu lagi usaha dalam perkembangan hubungan dua hala Malaysia-India bagi mengukuhkan keyakinan dan persefahaman bersama antara kedua-dua negara, menurut kenyataan Wisma Putra di sini.

"Malahan lawatan itu juga akan membolehkan kedua-dua Perdana Menteri mengadakan tindakan susulan mengenai perjanjian dan persefahaman yang dicapai semasa lawatan Najib ke India," tambah kenyataan itu.

Sejak 53 tahun lepas, kedua-dua negara menikmati hubungan sangat baik dan teras hubungan persahabatan ini adalah hubungan rakyat-ke-rakyat yang begitu lama serta hubungan sejarah dan ekonomi.

Semasa lawatan itu, Dr Manmohan akan diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat delegasi di mana kedua-dua Perdana Menteri dijangka membincangkan isu berkaitan hubungan dua hala, rantau dan antarabangsa.

Najib dan Dr Manmohan juga dijadual menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian kerajaan-ke-kerajaan dan memorandum persefahaman.

Dr Manmohan dan isteri akan juga menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara.

Salah satu kemuncak atur cara lawatan itu adalah pelancaran bersama 'Little India di Brickfields' oleh kedua-dua Perdana Menteri.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan menjadi hos majlis jamuan makan malam untuk tetamu itu di Seri Perdana, Putrajaya.

Wisma Putra menyatakan bahawa Najib dan Dr Manmohan dijadual melancarkan mesyuarat pertama Forum Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia-India, Perdana Menteri India itu juga dijangka menyampaikan satu syarahan pada Khazanah Global Lectures.

-- BERNAMA


Tiada Jodoh: Rozaliya Kembalikan RM3,000 Dan Cincin Tunang

Putus tunang: Kedua sekeluarga sepakat

KEMAMAN: Sah putus. Pertunangan Rozaliya Mat Lazim, 20, dengan pasangannya Mohd Helmi Mohd Noor, 24, putus selepas keluarga kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenainya, semalam.

Bapa Mohd Helmi, Mohd Noor Juah, 53, yang tiba dari Kampung Sebaso Paya Redan, Muar, Johor kira-kira jam 3 petang bersama isteri, Mariani Hussin, 46, berkata dia datang ke rumah Rozaliya di Bandar Cheneh Baru, di sini, kerana menunaikan permintaan gadis itu dan keluarganya bagi memutuskan pertunangan berkenaan.

Katanya, mereka menghormati permintaan keluarga Rozaliya yang meminta mereka datang untuk memutuskan pertunangan seperti disiarkan dalam akhbar beberapa hari lalu, sekali gus menyelesaikan segala salah faham antara dua keluarga itu.

“Kami datang dengan cara baik untuk berbincang demi kepentingan anak saya, Mohd Helmi dan Rozaliya. Namun jika itu keputusan (memutuskan pertunangan) diambil, kami menerimanya dengan hati terbuka dan tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

Mungkin setakat ini hubungan Mohd Helmi dan Rozaliya kerana jodoh sudah tiada dan semuanya berakhir di sini, apatah lagi semua yang berlaku sekarang adalah berdasarkan kata putus mereka berdua. Kami sebagai ibu bapa menghormati keputusan itu,” katanya.

Mohd Noor berkata, sebelum ini keluarganya tersinggung dan menanggung malu dengan jiran dan saudara mara di atas tuduhan dilemparkan keluarga Rozaliya yang mengatakan Mohd Helmi melarikan anak gadis mereka.

“Hanya Allah tahu perasaan kami ketika itu kerana semua penduduk kampung, khususnya saudara mara, mempunyai tanggapan negatif terhadap Mohd Helmi dan keluarga kami.

“Kami membacanya dalam akhbar dan sedih dengan tuduhan sebelum ini mengatakan Mohd Helmi dikatakan melarikan Rozaliya dan kami datang untuk bersemuka serta berbincang,” katanya.

Sementara itu, Mariani berkata, apa diharapkan ialah keputusan memutuskan pertunangan itu dapat memenuhi kehendak Rozaliya dan keluarganya serta berharap segala masalah yang timbul dapat diselesaikan.

“Biar mereka berdua menentukan sendiri masa depan mereka selepas ini dan kita sebagai ibu bapa ada kalanya perlu menghormati keputusan mereka,” katanya.

Mohd Helmi ketika ditemui pula berkata, dia menerima keputusan memutuskan pertunangan itu dengan hati terbuka dan menganggap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

“Saya menyayanginya tetapi apakan daya, takdir yang menentukan segala-galanya dan hubungan saya dengan Rozaliya hanya sampai di sini,” katanya.

Pada pertemuan itu Keluarga Rozaliya memulangkan wang tunai sebanyak RM3,000 yang juga sebahagian daripada wang hantaran berjumah RM6,000 yang diberi kepada keluarga itu sebagai persediaan majlis perkahwinan, termasuk sebentuk cincin pertunangan. -metro

Pengawal Keselamatan Terkena Tembakan Rakan Meninggal Dunia

Pengawal keselamatan terkena tembakan meninggal dunia

KANGAR -- Seorang pengawal keselamatan, Zakaria Mat, 57, yang cedera parah akibat terkena peluru penabur daripada senapang patah milik rakan setugasnya, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini malam semalam.

Mangsa yang berasal dari Mata Ayer dekat sini, menghembuskan nafas terakhir pukul 11.18 malam di sisi isteri serta enam anak berusia antara 6 dan 24 tahun, setelah lebih 24 jam tidak sedarkan diri.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari pada Khamis lepas, mangsa cedera parah di bahagian perut dan pinggang setelah terkena 11 butir peluru penabur akibat senapang patah yang meletup secara tiba-tiba dalam van sebuah syarikat keselamatan.

Isteri Allahyarham, Azizul Man, 52, berkata ketika kejadian beliau berada di rumah dan segera ke HTF setelah dimaklumkan oleh rakan sekerja Allahyarham kira-kira 2 petang.

Katanya suaminya berkhidmat sebagai pegawai keselamatan di syarikat berkenaan selama kira-kira tujuh tahun selepas bersara sebagai anggota tentera dan setakat ini, pihaknya belum bercadang mengambil tindakan undang-undang.

"Kakak mahu menguruskan urusan pengebumian arwah suami terlebih dahulu, dan buat masa sekarang tidak mahu memikirkan tentang perkara itu lagi," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Supt Abdul Rahman Noordin ketika dihubungi berkata setakat ini, polis masih menunggu laporan hasil bedah siasat terhadap mangsa. -- BERNAMA

20 Parti Politik Baru Sedang Berbaris Tunggu Kelulusan

ROS: 20 parti politik baru tunggu kelulusan

KAPIT, 23 Okt – Sebanyak 20 parti politik baru di negara ini masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk didaftarkan, menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Ketua Pengarah JPPM Datuk Md.Alias Kalil berkata sehingga ini mereka masih belum meluluskan permohonan pendaftaran parti politik baru itu.

“Walaupun semua permohonan itu telah mematuhi kriteria yang ditetapkan, tetapi ROS memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji setiap permohonan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutupan kursus pengurusan bagi 53 pertubuhan di sini hari ini.

Adalah difahamkan antara 20 parti politik baru itu, dua daripadanya adalah dari negeri Sarawak iaitu Parti Ekonomi Rakyat Sarawak (PERS) dan Parti Peace.

Md Alias juga berkata ROS tidak sewenang-wenangnya membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan tanpa memberi peluang dan masa yang cukup untuk memperbetulkan masalah atau peraturan dalam pertubuhan tersebut.

Setakat ini, sebanyak 2,843 pertubuhan berdaftar di Sarawak dan tahun lepas 37 pertubuhan dibatalkan dan sehingga bulan lepas tahun ini, kurang 10 pertubuhan dibatalkan pendaftarannya.

Sementara itu, pada sidang sama, pembantu khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Loo Yeng Peng berkata Kementerian Dalam Negeri sedang dalam proses meminda atau memansuhkan beberapa akta termasuk Akta Kediaman Terhad, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat.

“Ini kerana akta seperti Akta Kediaman Terhad di mana seseorang yang disyaki melakukan kegiatan jahat dibuang daerah tidak berkesan ekoran dengan kemajuan teknoloji maklumat dan komunikasi (ICT) dan Internet,” katanya.

Loo berkata demikian ketika menjawab permintaan Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, yang hadir pada majlis itu, supaya kementerian itu menghentikan tindakan membuang daerah penjenayah ke Kapit dan bandar di kawasan pedalaman seperti Song dan Belaga.

Alexander berkata jika orang jahat tidak sesuai di tempat asal mereka maka mereka juga tidak sesuai di Kapit, Song atau Belaga atau mana-mana tempat di negeri itu. – Bernama

Ulasan GB

Bayangkan jika kesmua 20 parti politik ini diluluskan sebelum PRU13 dan kesemuanya mahu masuk bertanding merebut kerusi di dalam pilihanraya. Itu tak dicampur lagi dengan calon Bebas.

PRU13 Selepas Najib Habis Putar Satu Malaysia Mulai Tahun Depan

Najib tinjau seluruh negara tahun depan, dilihat bayangan PRU-13

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Dilihat sebagai bayangan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan mengadakan tinjauan ke seluruh negara untuk bertemu dengan ahli-ahli Umno dan rakyat mulai tahun depan.

Najib mengumumkan programnya itu ketika banyak pihak mengandaikan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan suku kedua tahun depan walaupun mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013.

Ia dilihat sebagai kunjungan menyeluruh pertama beliau sejak dilantik sebagai perdana menteri 18 bulan yang lalu.

Beliau telah pun mengunjungi sebahagian besar negeri sebelum ini.

“Mulai tahun depan, saya mengambil keputusan bersama timbalan presiden, kami akan turun ke negeri-negeri... kami akan berjumpa ahli-ahli Umno dan rakyat, saya mahu Umno sediakan, lawatan kedua-dua kami supaya lawatan ini cukup memberangsangkan.

“Balik ini buat persiapan, persiapan di negeri (masing-masing),”
kata beliau yang juga Presiden Umno ketika menutup Perhimpunan Agung Umno 2010 kira-kira 6 petang tadi.

Bagaimanapun Najib tidak menyebut tarikh khusus dan negeri pertama yang akan dikunjungi bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri.

Cuma beliau meminta agar kepimpinan Umno negeri membuat persiapan.

Beliau juga mengumumkan akan melakukan perubahan kepimpinan negeri selepas ini.

“Saya akan membuat perubahan kepimpinan peringkat negeri. Moga dengan susunan yang akan datang ini, akan lengkapkan persediaan kita, saya akan berunding dengan timbalan presiden dan naib-naib presiden, saya nak kita cukup kuat.

“Jadi, kita akan turun padang dan sentiasa berada di padang,” kata beliau.

Pada Rabu lalu, perwakilan Pemuda Umno dari Kedah menggesa agar kepimpinan parti menukar pengerusi-pengerusi perhubungan yang ‘diimport’ dari negeri lain sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal dari Sabah kini merupakan pengerusi Umno Kedah.

“Datuk Seri Shafie ini orang hebat, dia mampu menangkan negeri Kedah ini. Tapi kita kena realistik.”

Shafie dilantik sebagai pengerusi Kedah bersama dengan dua naib presiden lain iaitu Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masing-masing menerajui kepimpinan Umno Terengganu dan Pulau Pinang.

Najib pula merupakan pengerusi Umno Selangor manakala Muhyiddin mengetuai Umno Wilayah Persekutuan.

Perhimpunan Agung Umno sejak 19 Oktober lepas bermula dengan perasmian serentak tiga sayap parti iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri oleh Muhyiddin manakala Perhimpunan Agung Umno dirasmikan Perdana Menteri kelmarin.

Dalam ucapan penutup, Najib juga berkata, model politik baru yang diusulkan beliau baru-baru ini akan bertemakan “Umno Dahulukan Rakyat”.

Dengan mengambil kira elemen itu, Presiden Umno berkata, pihaknya telah memulakan usaha dengan meminda perlembagaan parti tahun lalu.

“Kita sudah memulakan transformasi dengan kita meminda perlembagaan,” kata beliau dengan menekankan bahawa dalam sejarah enam dekad lalu Umno telah melalui tiga detik penting iaitu penubuhan parti, parti diharamkan dan pindaan perlembagaan tahun lalu.

Pindaan perlembagaan telah membolehkan sistem kuota dimansuhkan dan pucuk kepimpinan pusat dipilih oleh 140,000 ahli bukannya 2,500 perwakilan.

Menurut Najib, model politik baru Umno akan bertunjangkan tujuh teras iaitu mengutamakan maruah dan kepentingan parti berbanding maruah dan kepentingan diri, bekerja sebagai satu pasukan besar, memenangi pemikiran hati dan jiwa rakyat dengan amalkan aspek inklusif, muncul juara media baru, memikat pengundi baru, menuju sifar masalah dan Umno mesti mendahulukan rakyat. -TMI

Dr M yakin p'raya bukan dalam masa terdekat
Okt 23, 10 11:52pm
Kongsi
Bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat pilihan raya umum ke-13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat meskipun terdapat gesaan daripada Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak agar perubahan-perubahan parti dilakukan dengan segera.

"Saya tak ingatlah akan cepat. Ada masa lagi," katanya ringkas ketika ditemui selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menyentuh mengenai ucapan penggulungan Najib selaku presiden parti, Dr Mahathir berkata ia bukan sahaja membangkitkan semangat Umno yang dahulu malah turut menjawab banyak persoalan yang dibangkitkan dan menghapuskan kekeliruan.

Beliau turut menyokong rancangan Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk turun padang melawat lebih 20,000 cawangan Umno di negeri-negeri kerana ia akan merapatkan perhubungan antara pemimpin dengan rakyat.

Mengulas mengenai pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan yang diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, Dr Mahathir berkata ia adalah perubahan yang baik namun ia perlu dilaksanakan dengan tegas.

Muhyiddin, dalam sesi penggulungan perhimpunan antara lain mengumumkan bahawa mata pelajaran Sejarah dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013, selain dijadikan mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah. - Bernama


Ulasan GB

Soeperti yang diamalkan oleh PM terdahulu, Tun Mahathir dan Pak Lah, pilihanraya umum akan dipanggil hanya setelah Najib menghabiskan jelajah ke seluruh negeri-negeri di Semenanjung dan di Sabah & Sarawak.

Ia mungkin mengambil masa dalam 1 tahun. Walau apapun, hanya setelah habis siri jelajah itu barulah pilihanraya akan dipanggil.

Justeru itu, cakap-cakap menyatakan pilihanraya sudah dekat dan nada sempama itu tidaklah perlu dilayan sangat. Spekulasi yang menyatakan akan ada pilihanraya awal seperti orang itu dan orang ini tak betul. Kita tidak perlu susah-susah untuk memikirkan tarikh PRU lagi kecuali ada riak besar yang boleh merubah keadaan tersebut. Tuggu sehingga siri jelajahnya tamat.

Sultan Muhammad ke-V Sampaikan Geran Tanah Kepada 114 Penerima Di Gua Musang

114 terima geran tanah

GUA MUSANG - Sultan Muhammad ke-V, berkenan menyampaikan geran tanah kepada 114 penerima pelbagai kaum dari daerah Gua Musang di Istana Persinggahan, di sini.

Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid berkata, daripada 114 penerima, 13 daripadanya kaum Cina, dua masyarakat India dan selebihnya masyarakat Melayu.

Menurutnya, penerima menerima geran tanah untuk tempoh sama ada 33,66 atau 99 tahun bergantung kepada jenis geran tanah sama ada bangunan atau pertanian serta bergantung kepada penerima sama ada mereka merupakan anak Kelantan atau sebaliknya.

“Walau bagaimanapun kebanyakan geran dikeluarkan dalam bentuk pajakan 99 tahun dalam bentuk dusun, kebun getah atau kelapa sawit, tetapi ada juga tapak rumah pemindahan mangsa banjir.

“Pemberian tanah yang menjadi acara tahunan ini melibatkan semua mukim di daerah Gua Musang,” katanya kepada pemberita selepas upacara pengurniaan tersebut, di sini, semalam.

Sementara itu, penerima, Noriah Udin, 52 , dari Kampung Baru Limau Kasturi melahirkan rasa gembira kerana status tanah miliknya selama ini telah pun diperolehi.

Menurutnya, dia tidak dapat menggambarkan betapa gembiranya dia apabila diberitahu tentang pengurniaan tersebut.

“Saya gembira sebab akhirnya tanah yang dipohon untuk mendapatkan geran sejak tahun lalu diluluskan dalam tempoh yang agak singkat. Sekarang saya tidak perlu risau tentang status tanah ini lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Siti Hamidah Md Hasan, 58, juga dari Limau Kasturi, berkata, permohonan bagi mendapat geran tersebut dibuat lima tahun lalu.

Menurutnya, mulanya dia menyangka terpaksa melupakan hasrat memiliki geran terbabit.

“Saya diami tanah ini sejak 1984, dan mula memohon geran sejak lima tahun lalu, saya jangkakan terpaksa keluar dari tanah yang saya diami selama ini kerana tidak mendengar sebarang berita tentang geran yang saya pohon.

“Alhamdulillah, syukur, nampaknya hasrat saya akhirnya tercapai,” katanya.