24 Okt 2010

Ada Ayam Bertaji Lima Di Kelantan

Ayam Jantan Milik Azrul Punya Lima Taji

KOTA BAHARU, 24 Okt - Kebiasaannya ayam jantan memiliki sepasang taji namun berbeza dengan seekor ayam milik seorang pembantu perubatan di sebuah klinik kesihatan di sini yang mempunyai lima taji.

Azrul Mahmood, 30, berkata tiga taji itu terletak di bahagian kaki sebelah kanan manakala dua lagi di kaki kiri ayam jantan itu.

"Taji-taji tersebut tumbuh secara berlapis antara satu sama lain," kata Azrul yang ditemui di rumahnya di Kampung Lundang di sini.


Beliau berkata satu lagi taji yang sebelum ini tumbuh di kaki kanan ayam tersebut bagaimanapun patah pada bulan puasa baru-baru ini selepas terlekat pada dawai kandang ayam kesayangannya itu.

Ayam jantan yang berumur lebih empat tahun itu baru dipelihara Azrul kira-kira dua tahun lalu iaitu selepas beliau bertukar ke sini. Sebelum ini beliau berkhidmat di Kedah selama beberapa tahun.

"Ayam ini asalnya dipelihara oleh keluarga saya di sebuah kampung di sini tetapi banyak-banyak ayam jantan yang ada, seekor inilah yang pelik apabila memiliki banyak taji dan kerana itulah saya mengambil keputusan mengambil dan memeliharanya sendiri," katanya.

Beliau mendakwa beberapa kejadian pelik berlaku yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ayam jantan itu bermula awal tahun ini apabila pada mulanya beliau melihat seekor burung besar besar yang tidak diketahui spesies hinggap di belakang pokok rumahnya dan kemudiannya hilang dalam sekelip mata.

"Burung itu bila terbang sayapnya lebih sedepa tangan orang dewasa dan hinggap di pokok belakang rumah tetapi hilang sekelip mata apabila saya cuba mendekatinya.

"Selepas beberapa hari pula tiba-tiba muncul seekor tupai yang jinak yang boleh dipegang keluarga saya dan kerana jinaknya tupai itu saya memeliharanya sebelum mengambil keputusan melepaskannya ke dalam hutan tiga hari selepas itu," katanya.

Azrul berkata minggu lalu rumahnya "dikunjungi" seekor kucing hutan dengan dua ekor anak yang cukup jinak namun hilang begitu sahaja dua hari berikutnya.

"Saya anggap kejadian pelik ini sebagai tanda kuasa Allah dan saya bersedia membenarkan mana-mana pihak untuk melihat keanehan ayam jantan saya ini," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.