16 Sep 2010

Anak Sosilawati Dijaga Bergilir-gilir Oleh Ahli Keluarga

Kes bunuh Sosilawati: Sepakat jaga anak saudara

Gambar: ADIK ipar Datuk Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, (kanan) kelihatan sebak ketika menerima kunjungan jiran-jiran dirumahnya di Kampung Sri Menanti, Seri Medan, Batu Pahat. foto: BH

Meskipun Datuk Sosilwati Lawiya telah kembali ke Rahmatullah, nasib anaknya bakal terbela berikutan adik-beradik jutawan kosmetik itu sepakat bergilir-gilir ke ibu kota bagi menjaga kebajikan dan memberi sokongan moral dan semangat kepada mereka.

Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata, perkara berkenaan diputuskan hasil muafakat adik-beradik mereka bersama anak ahli perniagaan berkenaan baru-baru ini bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Di saat sukar seperti ini, sudah tentulah sokongan dan semangat berterusan daripada ahli keluarga diperlukan bagi mereka menghadapi tragedi yang menimpa.

“Walaupun, mereka nampak tenang pada zahirnya, kita tidak tahu apa yang terpaksa batin mereka tanggung terutama apabila kes ini terungkai satu demi satu di dada akhbar dan media elektronik.

“Saya dan adik-beradik Kak Wati yang lain sendiri tidak sanggup lagi menatap mahupun mendengar laporan berita mengenai kes ini yang didedahkan, bayangkan apa yang terpaksa dilalui anak Kak Wati ketika ini.

“Hancur luluh hati ini melihatkan mereka terpaksa menanggung keperitan ini dalam usia yang masih muda,” katanya sebak.

Misjan berkata, adik-beradik Sosilawati juga berjanji memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka selagi anak ahli perniagaan itu mahukan serta perlukan.

“Jasa Kak Wati kepada kami semua amat besar dan ini antara yang termampu kami lakukan bagi membalas budinya dan sebagai tanda kasih sayang kami yang tulus ikhlas.

“Selagi anak Kak Wati memerlukan kehadiran kami, selagi itu kami rela berkorban apatah lagi sehingga kini hasil ujian ujian asid deoksiribonukleik (DNA) belum diperoleh,” katanya. -HM

Ada Hakim Yang Gemarkan Syurga Dunia Berbanding Akhirat

Di Malaysia, Hakim Dilayan Sebagai 'Ahli Sukan'

Kerajaan pemerintah di Malaysia dilihat lebih gemar melayan hakim sebagai seorang ahli sukan yang perlu patuh kepada setiap telunjuk seseorang jurulatih - watak yang menjadi kegemaran mereka.

"Sebagai ahli sukan, mereka perlu patuh kepada telunjuk jurulatih dan ahli politik di Malaysia tidak pula akur kepada hakim, sebaliknya menukarkan mereka apabila keputusan tidak memihak kepada mereka..."

Demikian analogi yang diberi bekas Presiden Majlis Peguam, Suleiman Abdullah pada sidang media sempena pelancaran fasa keenam kempen Perlembagaanku di Bazar Bijou, Jalan Bangkung, Bangsar di sini, hari ini.

Beliau kesal kerana kebanyakan ahli politik tidak menghormati profesion kehakiman dan menggunakan kuasa eksekutif mereka untuk 'menjatuhkan hukuman' kepada hakim yang tidak menyebelahi kepentingan mereka.

Bagi Suleiman yang masih mengganggotai Majlis Peguam, semua hakim perlu dihormati semua pihak walaupun keputusan penghakiman mereka disukai atau sebaliknya, malah hakim sepatutnya memiliki kehidupan tersendiri yang unik dan 'sunyi'.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua masyarakat termasuk badan bukan kerajaan dan pengamal media supaya berganding bahu dalam memastikan intitusi kehakiman di negara ini benar-benar bebas dan berkecuali.


"Di negara luar terutama England, rakyat dan media sentiasa bersama-sama mempertahan intitusi kehakiman. Kita harap semua ini akan berlaku di Malaysia," katanya.

Suleiman turut mengingatkan hakim yang beragama Islam supaya bertanggung jawab dan adil ketika membuat penghakiman lantaran ajaran Islam jelas menyebut, hanya seorang dari nisbah tiga layak ke syurga.

"Akan tetapi, ada sesetengah hakim di Malaysia lebih gemar syurga di dunia berbanding di akhirat," katanya, sinis.

Pada program itu, pelbagai acara sambutan Hari Malaysia turut berlangsung termasuk bazar membeli-belah dan acara pentas yang dikunjungi pelbagai lapisan rakyat tempatan dan warga asing.

Ulasan GB

GB telah lama perjuangkan kebebasan institusi kehakiman ini sekalipun kadang-kdang terpaksa mengharungi pelbagai ancaman dan risiko. GB terpaksa menggunakan nada suara yang tinggi apabila institusi kehakiman semakin lama semakin punah apabila kebenaran dan keadilan sudah diinjak dan dilacurkan ke tahap paling rendah dan hina.

GB pernah menulis dengan tajuk Sistem Kehakiman Negara Yang Bobrok Runtuhkan Istana Keadilan dan GEMPAR: Gani Patail Ada Hubungan Sulit Dengan Azailiza.

Kita berharap, sepertimana harapan Suleiman Abdullah, semua masyarakat termasuk badan bukan kerajaan dan pengamal media supaya berganding bahu dalam memastikan intitusi kehakiman di negara ini benar-benar bebas dan berkecuali.

Restoran Dimana Sosilawati Dilihat Kali Terakhir

Pembunuhan kejam Sosilawati: Mangsa dilihat kali terakhir di restoran

Gambar: DATUK Sosilawati dikatakan dilihat kali terakhir di restoran makanan laut berdekatan tempat pembunuhannya bersama tiga individu lain di Banting, Selangor. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya kali terakhir dilihat berada di sebuah restoran makanan laut, tidak jauh dari lokasi mereka dibunuh di Ladang Gadong dekat sini, lewat petang 30 Ogos lalu.

Keempat-empat mangsa dikatakan berada di restoran itu kira-kira setengah jam bersama seorang lagi lelaki sebelum dilihat beredar dengan beberapa kenderaan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada lelaki bersama mereka adalah suspek utama kes berkenaan yang juga seorang peguam bergelar Datuk.

Seorang pekerja restoran itu yang enggan dikenali berkata, beliau melihat Sosilawati ke restoran berkenaan bersama empat lelaki pada petang pada hari kejadian.

“Saya tidak mengenali Sosilawati dan hanya mengecam wajahnya apabila melihat gambarnya di akhbar selepas usahawan produk kecantikan itu dilaporkan hilang.

“Sosilawati tak makan atau minum kerana ketika itu bulan puasa,” katanya ketika ditemui di restoran berkenaan, masa itu. -BH


Khalid Abu Bakar Sepatutnya Sudah Lama Dipecat

Shamsul Sedia Beri Keterangan Jika Dipanggil Berbuat Demikian

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyuarakan kesediaan beliau bekerjasama dengan pihak polis jika dipanggil untuk merakamkan keterangan beliau.

Ini ekoran kenyataan Ketua polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini bahawa beliau akan memanggil Shamsul untuk dirakam kenyataan berhubung kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya.

Shamsul berkata, beliau bukanlah peguam seperti yang didakwa oleh Khalid dan beliau tidak tahu langsung berkenaan perincian kes ini tetapi beliau sanggup memberikan kerjasama.

"Menurut akhbar Utusan Malaysia hari ini, KP Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mahu memanggil saya untuk merakam kenyataan saya berhubung kes pembunuhan Datuk sosilawati Lawiya.

"Saya ingin menegaskan bahawa pertama, saya bukanlah peguam tersebut seperti didakwa dan kedua, saya tidak tahu langsung berkenaan kes ini, tetapi saya akan bekerjasama dengan pihak polis," tegas beliau.

Membidas kenyataan Khalid bahawa beliau 'bercakap ikut sedap mulut' dan ia merupakan kenyataan paling 'merepek' yang pernah didengar Khalid, Shamsul berkata, ayat seperti itu tidak patut datang dari seorang individu yang berjawatan tinggi dalam institusi kepolisan.

"Pada pendirian saya, yang pertama, ya saya bersetuju memberikan kerjasama kerana tugas menjaga keselamatan bukan hanya pada polis, tetapi juga tanggungjawab kita sebagai seorang rakyat Malaysia. Apabila wartawan bertanyakan berkenaan kes ini, pertamanya saya merakam ucapan takziah dan kedua berasa geram terhadap pembunuhan kejam seorang wanita dan tiga rakannya," tegas beliau.

Beliau juga turut memuji kecekapan pihak polis menyelesaikan kes pembunuhan hartawan kosmetik yang mendapat liputan meluas media.

Walau bagaimanapun, beliau menggesa pihak polis supaya memberikan lebih tumpuan untuk mengurangkan kadar jenayah di negara ini berbanding terlalu 'menjaga tepi kain' ahli politik.

"Saya ada terbaca dalam akhbar bahawa sudah beberapa kes serupa difailkan ke atas suspek sebelum ini dan banyak lagi kes sebegini di kawasan tersebut. Persoalan yang saya ingin bangkitkan ialah mengapa kes tersebut tidak disiasat secara mendalam?," tanya beliau.

Shamsul seterusnya berkata jika polis mengambil tindakan proaktif, menyiasat dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kes-kes yang difailkan sebelum ini, beliau yakin kes pembunuhan Datuk Sosilawati tidak mungkin boleh berlaku.

Bahkan ujarnya, beliau tidak akan berhenti menyuarakan kebenaran kerana ia berkaitan dengan keadilan untuk Datuk Sosilawati dan tiga rakannya yang mati dibunuh dengan kejam.

"Saya bersama ketua pimpinan yang lain sempat menziarahi keluarga Allahyarhamah Datuk sosilawati dan bersimpati serta saya tidak mahu kes sebegini berlaku lagi dalam negara kita.

"Saya harap KP Selangor berfikir dahulu sebelum membuat tindakan sebegini kerana bagi saya ini satu perkara yang cukup memalukan dan saya juga tidak akan teragak-agak untuk menyaman beliau kerana ini mencabar kredibiliti saya," kata Shamsul lagi. -TVS

Ulasan GB

Ketua Polis Selangor yang bernama Khalid Abu Bakara ini memang seorang lansung tidak ada integriti menjadi ketua polis negeri. Di dalam tindakan-tindakannya yang lalu beliau dikenali sebagai sangat berat sebelah, pilih kasih, diskriminasi dan lebih dilihat sebagai bonse UMNO daripada sebagai seorang anggota polis.

Setiap demo aman Pakatan rakyat, manusia bernama Khalid inilah yang akan menyibuk mengeluarkan arahan tangkapan dan seumpamanya tetapi di dalam demo-demo haram UMNO, Khalid akan bersembunyi.

Senang-senang dia cakap nak ambil dan merakam keterangan orang untuk menakut-nakutkan rakyat.

Dia tidak sedar bahawa beliau juga boleh dipanggil rakyat dan diambil serta dirakam keterangannya di hadapan rakyat. Beliau sepatutnya telah lama dipanggil oleh SELCAT kerana melakukan kerja secara tidak professional.

Jenayah begitu berleluasa di Selangor malah kes Sosilawati ini adalah kerana wujudnya pembunuh-pembunuh bedebah itu yang telah sekian lama memain peranan di negeri Selangor. Siapa Ketua Polis Selangor kalau bukan Khalid Abu Bakar? Beliau sepatutnya sudah lama disiasat dan dipecat daripada menjadi anggota polis.

Suspek Mempunyai Harta Lebih RM100 juta

Pembunuhan kejam Sosilawati: Suspek ada harta lebih RM100j

Aset dipercayai diperoleh secara tipu, pemilikan guna nama proksi

Peguam dan ahli perniagaan yang juga suspek utama kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lagi rakannya dipercayai memiliki kekayaan luar biasa, termasuk aset bernilai lebih RM100 juta, kebanyakannya menerusi penipuan sehingga membawa kepada pembunuhan.

Ia merangkumi hartanah seperti bangunan komersial, ruang pejabat, stesen minyak, kilang, rumah mewah, ladang, kedai makan, pusat penternakan dan lot tanah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Malah, peguam dan ahli perniagaan bergelar Datuk itu mempunyai beberapa perniagaan di Chennai, termasuk menjadi rakan kongsi jutawan India, Allal Kathan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang di Malaysia, 18 Januari lalu selepas menemui suspek di Banting atas urusan perniagaan.

Difahamkan, usaha mengesan mangsa dijalankan sejak lapan bulan lalu, namun gagal dan saudagar batu permata itu dipercayai menerima nasib yang sama seperti Sosilawati dan tiga lagi rakannya.

Sumber memberitahu Berita Harian, sebagai pengamal undang-undang, suspek mahir dalam prosedur berkaitan pemilikan harta, selain licik menyembunyikan aset daripada dikesan pihak berkuasa jika kegiatan jenayahnya terbongkar.

“Kebanyakan harta bukan atas namanya, sebaliknya menggunakan nama proksi paling dipercayainya termasuk kenalan rapat dan ahli keluarganya. Suspek memang membuat persediaan awal dengan mengambil kira segala kemungkinan, termasuk jika kegiatan jenayahnya terbongkar,” katanya.

Sumber yang pernah bekerja dengan suspek, berkata bekas majikannya menggemari kehidupan mewah, termasuk memiliki sekurang-kurangnya 15 kereta mewah terutama jenis Mercedes Benz dan BMW.

“Bagaimanapun, hanya sebuah kereta Toyota Camry yang didaftarkan atas namanya, manakala yang lain atas nama beberapa individu dipercayai orang kepercayaannya. Difahamkan, sembilan kenderaan sudah dirampas polis untuk tujuan siasatan, manakala enam yang lain disembunyikan sebaik suspek ditahan,” katanya.

Katanya, kaedah sama turut digunakan dalam pemilikan hartanah, termasuk 10 rumah mewah, masing-masing empat di Banting dan sebuah di Puchong, manakala selebihnya sedang dikesan.

“Suspek mempunyai empat stesen minyak, termasuk yang terbaru di Kuala Lipis, Pahang yang dibeli menggunakan hasil penipuan. Secara dasarnya, memang beliau memiliki aset itu tetapi atas dokumen memang tiada namanya. Sebagai peguam sivil, suspek cekap dalam jenayah kolar putih, terutama penipuan dokumen jual beli dan kontrak perjanjian, tetapi selalu terlepas daripada tindakan walaupun ada laporan polis dibuat terhadapnya,” katanya.

Sumber yang berhenti kerja kerana tidak mahu bersekongkol dalam kegiatan jenayah suspek, berkata bekas majikannya turut terbabit dalam kegiatan kongsi gelap.

“Biasanya, suspek akan dibantu satu kumpulan (kongsi gelap) dari Klang dalam kegiatan haram dengan sebahagian besar anggota kumpulan itu baru keluar dari Pusat Tahanan Simpang Renggam. Seorang saudara terdekat yang mahir dalam bidang teknologi maklumat akan memberi panduan kepadanya dalam urusan jual beli aset itu,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian akan merujuk kepada lima peguam kepercayaannya, termasuk adik lelakinya yang juga suspek kedua kes Sosilawati supaya setiap perlakuannya tidak disabitkan kesalahan. -BH


Datuk lawyer's 'killer fortune'

The Datuk lawyer in the centre of the hideous quadruple slaughters in Banting has a personal wealth of more than RM100 million, it emerged today.

His younger brother who is also a suspect in the kill and burn atrocity could have amassed up to RM20 million, sources said.

The estimated fortunes of the brothers were based on their bank accounts that the authorities know of and the properties they owned.

The police’s anti-money laundering division have got an order from the Attorney-General’s Chambers to freeze the assets, including bank accounts, of the two lawyers.

Millions are reportedly in single accounts, said the source. Checks are underway to ascertain if they had parked money in offshore banks.

While it is known that they own several parcels of land in and around Banting, including the 1.6ha farm where the killings are thought to have occurred, the authorities believe there are more.

The brothers own several shophouses and a medical clinic in Banting besides lavish homes, notably their mansion where both of them live. They also have a fleet of high-end luxury cars.

The gained their wealth allegedly through money-laundering, obtaining properties illegally and land scams.

It is believed the brothers secured dozens of land grants as collateral in illegal money-lending deals. Caveats on properties were also their way of extorting money, said a source.

The source said the lawyers often asked for jewellery as security when giving loans.

Police yesterday seized files from his law firm in Banting town believed to contain vital information on dubious land deals and money-lending activities.

The seized files are also thought to contain land grants that have now put the owners in a fix as these documents would be crucial in investigations and perhaps later as court exhibits.

Financial institutions have extended full co-operation in the declaration of transactions undertaken by the brothers.

Investigations into their financial transactions could be time-consuming as it is believed there were numerous movements of money in and out of the country.

The brothers are among six suspects held in connection with the murders of cosmetics millionaire Datuk Sosilawati Lawiya, 47, 44, her financial adviser and CIMB bank officer Noorhisham Mohammad, 38, lawyer Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 and her driver Kamarudin Shamsuddin who were reported missing on Aug 30.

The killings were believed to have occurred after Sosilawati had gone with the others to confront the lawyer regarding the transfer of a land title in a deal believed to be worth RM25mil.

Police have yet to establish if Sosilawati had actually brought RM4mil for their meeting with the Datuk as speculated.

The lawyer brothers’ known wealth

● THE 1.6ha poultry farm and land.
● Properties worth millions of ringgit.
● Semi-detached house in Banting.
● Bungalow house in Puchong where the Datuk lawyer’s wife and two sons live.
● Shophouse where their law firm is located in Banting town.
● Medical clinic run by their youngest sister.
● Nine high-end cars including seven Mercedes Benz.

Police are investigating how the brothers amassed such wealth and are looking at alleged involvement in money-laundering, obtaining properties illegally and land scams.

The police’s anti-money laundering division has applied to the Attorney-General’s Chambers for an order to freeze the assets, including bank accounts, of the two lawyers.

Investigations on the purchase of the farm land are underway and police are trying to contact the former owner. -malaymail


16 September: Kemaraan PR Ke Putrajaya Masih Menghantui UMNO BN

Kain rentang 'ulang tahun pembohongan Anwar' jadi tumpuan

Beberapa jam sebelum upacara rasmi sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu berlangsung, satu kain rentang yang dipasang berhampiran dan tertulis perkataan "16 September Selamat Menyambut Hari Malaysia dan Ulang Tahun Pembohongan Anwar Ibrahim ke Putrajaya," menjadi tumpuan ramai.

Pemasangan kain rentang itu menarik perhatian orang ramai yang berkunjung ke tempat bersejarah tersebut kerana tarikh 16 September telah dikaitkan dengan pembohongan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor Bernama.

Bagi rakyat negara ini yang mengetahui perkembangan politik tanah air, 16 Sept 2008 akan diingati sebagai tarikh bila Anwar menjanjikan kerajaan baru pimpinannya di Putrajaya.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan sehingga ada yang menganggap 16 September sebagai tarikh pembohongan Anwar.

Setakat ini, tidak diketahui pihak mana yang bertanggungjawab memasang kain rentang tersebut.

Hakikatnya, 16 September merupakan tarikh istimewa dan penuh bermakna untuk negara kerana pada tarikh tersebut, Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia.

Sambutan Hari Malaysia diadakan sebagai memperingati sejarah dan pengorbanan pemimpin lampau yang menjayakan pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan perutusan khas pada majlis itu. --Bernama

Ulasan GB

Ia menunjukkan betapa UMNO BN masih dihantui oleh peristiwa itu - peristiwa di mana Pakatan Rakyat dikatakan akan mengambil-alih Putrajaya dari Barisan Nasional.

Tarikh 16 September 2008 - diingati oleh rakyat. Harapan untuk melihat PR ke Putrajaya tidak menjadi kenyataan apabila beberapa ahli parlimen BN dilarikan ke Jepun untuk menggagalkan rencana Datuk Ser Anwar Ibrahim.

Sekalipun gagal - ia tetap merisau dan meresahkan Najib. Sejak dari itu, Najib menjalankan konspirasinya, "menghilangkan" beberapa ADUN PR Perak yang kemudiannya merampas kuasa kerajaan Perak bagi melicinkan perjalanannya menjadi Perdana Menteri. Rencana diatur untuk memenjarakan Anwar dengan konspirasi liwat 2 menggunakan Saiful Bahri Azlan hasil perancangan Peguam Negara bersama KPN waktu itu.

Itu sebab mengapa Najib masih pertahankan Gani Patail. Masih terpaksa menaikkan gaji polis dan terkini, berterima kasih kepada polis lantaran konon "kecekapannya" di dalam kes Sosilawati sedang umum melihat polis telah gagal membendung jenayah. Ia adalah kerana kekuatan Najib dan UMNOnya bergantung kepada dua manusia ini - AG dan KPN.

Namun apakah pengertian pengibaran kain rentang itu pada hari ini?

Apakah ianya hanya hendak menonjolkan tentang apa yang dikatakan "pembohongan Anwar"?

Tidak. Ia menonjolkan ketakutan Najib yang amat sangat. Ia mengempas-kempiskan nafas UMNO BN yang ketara. Ia juga menonjolkan mesej tersirat kepada Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat supaya berusaha lebih gigih supaya hasrat untuk menawan Putrajaya menjadi kenyataan!

Malah tarikh 16 September yang diisytiharkan cuti seluruh Malaysia sudah cukup untuk melambang kemenangan Pakatan Rakyat.

Memetik kata-kata ADUN Tronoh, YB Sivakumar:

Tekanan dan desakan telah diberikan oleh Pakatan Rakyat terhadap kerajaan untuk membuka tirai menyambut Hari Malaysia yang penuh bermakna ini. Atas desakan tersebut, maka pada tahun ini kerajaan telah mengisytiharkan 16 September sebagai hari cuti umum. Kerajaan telah sedar dan menjadikan pertikaian yang diungkitkan oleh Pakatan Rakyat sebagai satu pedoman untuk mengambil tindakan ini. Kerajaan juga mengaku kesilapan yang telah dilakukan olehnya selama 45 tahun tidak memberi keutamaan yang sewajarnya kepada Hari Malaysia. Pemberian cuti umum pada 16 September ini merupakan satu kejayaan besar kepada usaha Pakatan Rakyat menanam Semangat Malaysia dikalangan rakyat jelata.

Siapa tahu tarikh 16 September tahun-tahun mendatang akan benarbenar menjadi sambutan manis untuk pakatan Rakyat pula?

Dan Bernama, ayuh laporkanlah lagi. Kita saksikan siapa benar dan berjaya akhirnya nanti. :-)


Pembunuh Bededah Itu Ada 7 Kes Jenayah Komersial

Polis mengenal pasti suspek peguam dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mempunyai tujuh laporan jenayah komersial yang membabitkan jumlah RM7.1 juta sejak 2005.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata maklumat itu diperoleh daripada siasatan polis dan penilaian semula kes yang dilaporkan di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPPD) Kuala Langat.

Sementara itu, mengulas kes kehilangan dua individu sebelum ini, beliau berkata, kes pembunuhan seorang gadis 19 tahun dan ahli perniagaan dari Chennai, India, S Usharani, 24, yang akan disiasat.

Katanya, siasatan kes kehilangan ahli perniagaan itu baru bermula kerana isteri mangsa hanya membuat laporan polis pada 8 September lalu.

Bagi kes kedua pula, Khalid berkata, pihaknya tidak pernah menutup kes terbabit, sebaliknya polis masih belum menemui petunjuk bagi membantu siasatan.

"Apabila suami wanita yang hilang dipanggil memberi kenyataan buat kali kedua, kami mendapati beliau menceritakan apa yang berlaku seperti diterangkan kepada pihak media," katanya ketika mengiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sempena Hari Polis Bertemu Masyarakat di sini, sebentar tadi.

Khalid berkata, bagi tujuh kes jenayah komersial dan kehilangan dua individu sebelum ini akan disiasat polis Selangor, manakala kes Sosilawati akan disiasat polis Bukit Aman dan Kuala Lumpur. -BH

Kes Bunuh Sosilawati: Taktik Licik Hapus Bukti

Taktik siasatan polis berdasarkan teori ‘No Body, No Murder’ digunakan suspek utama yang juga seorang peguam berstatus Datuk dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dekat sini, baru-baru ini.

Teori itu dikatakan digunakan suspek ketika dia cuba menghapuskan segala bukti fizikal dengan membakar semua mayat sebelum abunya dibuang ke dalam sungai.

Malah bagi mengelirukan polis, suspek turut membuang abu mayat mangsa, barangan peribadi, senjata digunakan dan bahan yang ada kaitan dengan kes itu ke dalam beberapa sungai yang terletak berhampiran ladang berkenaan. Dengan perancangan rapi dilakukannya, lelaki berkenaan disifatkan sebagai bijak kerana mengetahui cara terbaik menghapuskan barangan kes.

Sebagai peguam, dia sendiri mengetahui ketiadaan bukti fizikal seperti mayat atau senjata pembunuhan akan menyulitkan pihak polis untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah andai kata dia tertangkap.

Malah, dia boleh dianggap sebagai ‘Mastermind’ kerana menggunakan pekerjanya sendiri sebagai budak suruhan dengan meminta mereka melakukan pembunuhan terbabit tanpa dia perlu ‘menyentuh’ semua mangsa.

Selain itu, kuasa wang turut digunakan untuk membayar gaji tambahan kepada setiap pekerjanya yang sanggup melakukan pembunuhan kejam terbabit.


Jumlah ganjaran yang diberikan kepada setiap pekerjanya juga dikatakan mencecah ribuan ringgit membuatkan mereka setia dan patuh dengan arahan yang diberikan majikan mereka itu. Setakat ini, polis sudah menemui beberapa tulang dalam kawasan ladang yang dijadikan tempat pembakaran semua mangsa terbabit.

Menurut sumber forensik, biarpun tulang ditemui, namun ia belum menentukan ia milik empat mangsa terbabit kerana mungkin ia adalah tulang haiwan atau tulang orang lain.

“Buat masa ini, kita sudah menghantar semua tulang berkenaan ke makmal untuk dilakukan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan setakat ini kes terbabit agak sukar untuk diklasifikasikan sebagai bunuh.

“Semuanya bergantung kepada hasil laporan ujian DNA yang dilakukan itu,” katanya. Sehingga kini, kematian Sosilawati, pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, belum dapat dipastikan kesahihannya kerana memerlukan ujian DNA.

Bagaimanapun, selepas enam hari penahanan lapan suspek, polis menemui pelbagai petunjuk yang mungkin mampu membawa suspek ke muka pengadilan. Biarpun pelbagai barang peribadi milik mangsa sudah ditemui, namun apa yang dinanti kini hasil laporan ujian DNA yang dilakukan bagi menentukan sama ada sepadan dengan mangsa dan kerja terbabit perlu dilakukan dengan teliti berikutan membabitkan mangsa yang ramai.

Selain itu, motif sebenar pembunuhan kejam terbabit turut masih belum diketahui bagaimanapun siasatan awal polis mendapati ia berkaitan dengan wang dalam urus niaga jual beli tanah antara Sosilawati dan peguam berkenaan.

Bagi menutup rahsianya, peguam terbabit dikatakan sanggup membunuh semua mangsa semata-mata tidak mahu perbuatan kejamnya itu terbongkar.

Malah, pembunuhan kejam itu juga dikatakan turut dirancang peguam terbabit berikutan dia terlebih dulu menghubungi pekerjanya kira-kira jam 10 pagi 30 Ogos lalu meminta mereka menyediakan ‘persiapan’ untuk membunuh. -hmetro

Wanita Keadilan & Muslimat PAS Adakan Majlis Tahlil Untuk Sosilawati

Wanita KEADILAN, Dewan Muslimat PAS Adakan Majlis Tahlil Untuk Sosilawati

Seramai lebih 50 anggota Wanita KEADILAN dan Dewan Muslimat Gombak mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil di kediaman jutawan kosmetik Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya di Taman Harmonis pagi tadi.

Rombongan Wanita KEADILAN diketuai Ketua Wanita Selangor, Haniza Talha yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan manakala Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Ustazah Nuridah Salleh mengetuai rombongan Dewan Muslim.

Mereka tiba di kediaman Alllahyarhamah kira-kira pukul 10.45 pagi dan kemudian mengadakan bacaan yasin dan tahlil di ketuai oleh Ustazah Nuridah.

Haniza dalam ucapan ringkas beliau berkata Wanita KEADILAN mendoakan agar ahli keluarga Allahyarham menguatkan semangat untuk meneruskan kehidupan.

"Walaupun siasatan DNA oleh pihak polis belum konklusif namum kita mendoakan yang terbaik dan sudah tentunya ada rahmat disebalik apa yang berlaku," kata Haniza.

Nuridah pula berpesan kepada anak-anak Allahyarhamah agar sentiasa mengingati Allah dan mengerjakan suruhanNya supaya hidup lebih tenang dan selamat," kata beliau.

Selasa lalu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali mengunjungi keluarga Allahyarhamah Sosilawati. -SK

Suspek Utama Beli Gelaran 'Datuk' RM180,000

Peguam bergelar 'Datuk' yang merupakan suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dipercayai mengeluarkan RM180,000 bagi membeli gelaran tersebut.

Gambar Hiasan: Dato' David Arumugam & Dato' Khatijah Ibrahim dengan pingat masing-masing.

Siasatan polis di setiap negeri bagi menjejaki pihak yang mengurniakan gelaran Datuk kepada suspek berusia 41 tahun itu gagal menemui sebarang petunjuk, kata sumber.

Sumber mendakwa, pihak yang 'menjual' gelaran itu kepada suspek berjanji bahawa namanya akan termasuk dalam senarai penerima gelaran Datuk.

Dikatakan bahawa ahli perniagaan berkenaan memberitahu suspek bahawa dia boleh menggunakan gelaran tersebut berikutan penyenaraian namanya itu.

Sumber mendedahkan, polis juga sedang menjejaki ahli perniagaan terbabit.

Di Banting, Bernama melaporkan bahawa pasukan forensik polis menemui lebih banyak objek di Sungai Panchau yang dapat membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.

Sepasukan polis dilihat membawa beberapa objek, termasuk apa yang dipercayai sebagai serpihan tulang.

Pihak media tidak dibenarkan menghampiri tempat kejadian malah skrin kanvas dipasang di kawasan tersebut, menjadikan keadaan lebih sukar untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Turut dilihat berada di tempat kejadian, Pengarah Unit Forensik, Datuk Abdul Malek Harun. -mstar

Ulasan GB

GB telah persoal dan ulas sebelum ini, siapa beri gelaran "datuk" kepada peguam lahanat itu.



Psikiatri: Suspek Utama Waras Semasa Melakukan Jenayah

Personaliti psikopatik boleh sorok peribadi sebenar

Suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain berkemungkinan mempunyai personaliti psikopatik, namun pakar psikiatri yakin peguam bergelar Datuk itu waras ketika melakukan jenayah berkenaan.

Ciri-ciri sama juga ditonjolkan suspek kedua yang juga adik kepada suspek pertama dengan kedua-dua suspek mempunyai perilaku manipulatif yang berjaya menyembunyikan personaliti sebenar mereka daripada mata masyarakat selain memperdayakan mangsa.

Personaliti psikopatik tidak sama dengan gila kerana penghidapnya sedar perbuatan yang dilakukan, tetapi ditakrifkan sebagai orang gila tanpa gangguan mental.

Pakar perunding kanan psikiatri dan psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Azhar Zain, yakin kedua-dua suspek utama waras ketika pembunuhan berdasarkan fakta, ia mempunyai motif, dirancang dan perbuatan dilakukan secara berkumpulan.

“Orang tidak waras melakukan perbuatan (jenayah) secara bersendiri kerana gangguan mental seperti mendengar bisikan suara-suara ghaib mendesak mereka melakukan perbuatan itu untuk tujuan tertentu seperti menyelamatkan diri, masyarakat atau negara. Mereka juga tidak dapat membezakan apa yang benar dan yang tidak benar. Jika jenayah dilakukan dengan motif jelas dan terancang, apatah lagi berkumpulan, ia bermakna mereka siuman,” katanya semalam.

Prof Azhar juga berkata ada perbezaan jelas antara individu waras dan penjenayah kerana mereka mampu membezakan antara realiti, manakala minda dan tindakan penjenayah cenderung kepada melanggar peraturan tanpa rasa bersalah.

“Malah, bagi penjenayah, mereka berasakan melanggar undang-undang adalah hak mereka. Seseorang yang mempunyai masalah personaliti selalunya tidak seperti apa yang kelihatan pada luarannya. Mereka berkebolehan memanipulasikan orang lain dengan imej, perilaku yang baik dan naif sehingga mengaburkan sesiapa yang mengenalinya. Jika kita fikir, mana mungkin seorang peguam yang normal akan melakukan perbuatan seperti ini,” katanya.

Prof Azhar berkata suspek kedua berkemungkinan mempunyai ‘dependent personality’ atau personaliti kebergantungan yang mengikut telunjuk suspek pertama yang lebih berkuasa atau dominan.

Katanya, psikologi penjenayah juga bergantung kepada beberapa faktor, antaranya faktor genetik yang diwarisi, cara pembesaran dan contoh individu yang membesarkan mereka selain faktor persekitaran dibesarkan, termasuk pengalaman ketika kecil.

INFO

Psikopatik

Tidak sama dengan gila (skizofrenia atau psikosis) kerana penghidapnya sedar perbuatan yang dilakukan. Ia ditakrifkan sebagai orang gila tanpa gangguan mental.

Berdasarkan kajian pakar perubatan, satu peratus daripada penduduk dunia menghidap psikopatik dan amat sukar dikesan serta disembuhkan.

Dalam kegiatan jenayah, penghidap dikenali sebagai pembunuh, perogol dan perasuah. Lazimnya mempunyai penampilan sempurna, bijak dalam pertuturan, berkarisma, mempunyai daya tarikan luar biasa dan menyenangkan. -BH

Suspek Guna 16 Ekor Anjing Rottweiler Takutkan Mangsa

Suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain membela 16 anjing rottweiler bagi mengawal ladangnya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, di sini selain digunakan untuk menakutkan mangsa jika enggan mengikut arahan.

Semua mangsa suspek dikatakan diugut akan dicampak ke dalam kandang anjing berkenaan sekiranya tidak mahu bekerjasama atau enggan mematuhi arahan.

Difahamkan, ladang berkenaan juga mempunyai beberapa unit rumah seakan chalet menempatkan sebuah rumah yang eksklusif dan kolam renang.

Sosilawati dan rakannya juga dipercayai ditakutkan dan diugut akan dicampak ke dalam kandang anjing berkenaan. Malah, semua mereka dipercayai dibunuh selepas suspek berpendapat sukar mengawal mereka.

Semua mangsa dibelasah dengan kayu kriket sebelum dibunuh seorang demi seorang. Mayat mangsa dibakar sebelum abunya dibuang ke dalam sungai dengan tujuan melupuskan bukti.

Menurut sumber, sebelum ini pernah seorang lelaki dicampak suspek ke dalam kandang anjing berkenaan selepas ingkar arahan membabitkan satu urus niaga.


PERSINGGAHAN TERAKHIR...Sosilawati dilihat kali terakhir di restoran makanan laut berdekatan tempat pembunuhan jutawan kosmetik bersama tiga rakannya.


Suspek yang juga seorang peguam berstatus Datuk berusia 41 tahun ditahan serta adiknya berusia 38 tahun pada 11 September lalu bersama enam lain termasuk dua wanita sebelum kes pembunuhan kejam dilakukannya terbongkar.

Berdasarkan maklumat, suspek memiliki kekayaan melampau dalam akaun berjumlah jutaan ringgit di dalam dan luar negara, selain hartanah antaranya dua unit rumah semi-D di Banting, unit apartmen di Taman Kinrara, ladang ternakan ayam, lembu dan kambing di Batu Laut, Morib dan rumah sewa di Taman Cempaka.

Malah, kes pembunuhan Sosilawati juga ada kaitan dengan suspek kerana sebelum kejadian, berlaku transaksi bernilai jutaan ringgit daripada akaun jutawan itu ke dalam akaun milik suspek.

Sumber polis berkata, polis tidak menolak kemungkinan berlaku kes peras ugut berikutan penemuan bukti transaksi wang ke dalam akaun bank milik suspek yang ditahan polis berkenaan sepanjang tempoh kehilangan Sosilawati bersama tiga lain.

“Susulan penemuan wang terbabit, semua aset dan wang milik suspek utama terbabit akan dibekukan. Polis akan menggunakan Akta Anti Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) dalam usaha mengesan sumber wang terbabit diperoleh,” katanya.

Berdasarkan maklumat, peguam terbabit sebelum ini dipercayai pernah beberapa kali berurusan dengan Sosilawati, 47, berhubung urusan jual beli hartanah termasuk terbaru membabitkan tanah di Pulau Pinang.

Difahamkan, tanah berkenaan sebelum ini dibeli Sosilawati anggaran RM25 juta sebelum mahu dijual RM200 juta berikutan harga pasaran semasa meningkat. -hmetro

Nash Anggap Kamaruddin (Drebar Sosilawati), Sebagai Adik Kandung

Penyanyi Nash menganggap pemandu peribadi bekas isterinya, Datuk Sosilawati Lawiya iaitu Kamaruddin Shamsudin, 44, seperti adik kandung sendiri.

Nash atau nama sebenarnya Nasharudin Elias berkata, beliau dan Kamaruddin, 44, mula rapat sejak 25 tahun lalu selepas sering bekerjasama dalam bidang muzik.

Beliau berkata, Kamaruddin banyak membantunya melakukan kerja-kerja muzik, terutama sistem bunyi, sama ada di dalam studio mahupun konsert ketika dia masih bersama kumpulan Lefthanded suatu ketika dulu.

"Hubungan kami terlalu rapat dan keluarganya juga sudah seperti keluarga saya sendiri," katanya selepas melawat keluarga Kamaruddin di Indera Mahkota 2 di sini, hari ini.

Katanya, beliau juga rapat dengan anak-anak Kamaruddin yang dianggap seperti anak sendiri.

Sementara itu, bekas penyanyi Kumpulan XPDC, Mohd Ali Ismail pula menyifatkan Kamaruddin seorang yang suka bergurau dan disenangi rakan-rakannya.

Katanya, Kamaruddin sentiasa membantu persembahan kumpulan itu terutama dalam penyusunan sistem muzik, sekiranya terbabit dalam sebarang konsert di dalam dan luar negara.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan dia pada tahun lalu dan tidak menyangka itulah pertemuan terakhir kami berdua," katanya.

Sementara itu, kakak Kamarudin Ramlah Shamsudin, 49, berkata adiknya itu pernah menyuarakan hasrat untuk melihat anak bongsunya, Irfan Aiman, 8, menjadi seorang ustaz suatu hari nanti.

Ramlah berkata, ketika menyerahkan Irfan kepada beliau untuk dijaga sewaktu berusia dua hari, Kamarudin berpesan supaya anaknya itu diberikan pendidikan agama yang cukup.

"Saya akan pegang amanah adik saya sehingga Irfan benar-benar dididik dengan pendidikan agama yang secukupnya, malah pada tahun depan, saya bercadang untuk mendaftarkan Irfan di sebuah sekolah agama dekat sini," katanya.

Ramlah juga berkata, sebelum kejadian malang menimpa adiknya itu, Kamarudin ada pulang ke Kuantan pada 27 Ogos untuk menemui Irfan dan membawa anaknya membeli baju raya. - Bernama


Anak Kamaruddin jatuh sakit selepas tahu beliau dibunuh

Anak perempuan sulung kepada Kamaruddin Shamsudin, pemandu jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, jatuh sakit sebaik mendapat tahu hari ini bahawa ayahnya dibunuh dengan kejam sebelum dibakar.

Menurut bekas isteri Kamaruddin, Noorfazilah Ab Sani, anak perempuan mereka itu, Balqis, 12, sangat rapat dengan Kamaruddin dan asyik menangis mengenangkan nasib ayahnya dan tidak menjamah sedikit makananpun sejak pagi tadi.

Noorfazilah, 33, berkata Kamaruddin sudah berjanji untuk menjemput anaknya itu menyambut lebaran di kampung Kamaruddin di Kuantan kali ini.

“Balqis dengan bekas suami memang rapat dan manja. Bila saya beritahu ayahnya sudah tiada, dia terus menangis, tidak mahu makan dan mengalami sakit kepala sehingga demam,” katanya kepada Bernama.

Semasa Kamaruddin dilaporkan hilang, Balqis sering memikirkan nasib ayahnya malah selalu bertanya apa juadah berbuka puasa ayahnya.

Perkahwinan Noorfazilah dengan Kamaruddin berakhir dengan perceraian pada 2006, setelah mendapat tiga cahaya mata — Balqis Dayana; Izran Akmal, 9; dan Irfan Aiman, 8.

“Izran masih keliru. Pada hari pertama ketika bekas suami dilapor hilang, dia menjerit-jerit menyatakan itu bukan ayah dia sehinggalah gambar Kamaruddin keluar dalam surat khabar, barulah dia terdiam,” kata Noorfazilah.

Anak ketiga mereka, Irfan Aiman tinggal bersama kakak Kamaruddin di Kuantan sejak kecil lagi. Noorfazilah tinggal di Rembau bersama dua lagi anaknya itu.

Mereka berkahwin semasa Kamaruddin bekerja di King Studio dan Noorfazilah ketika itu baru saja bertapak untuk menjadi artis rakaman dengan kelahiran sebuah album dangdut.

Pasangan suami isteri itu sangat rapat dengan penyanyi dan juga bekas suami Sosilawati iaitu Nash dan Noorfazilah percaya, bekas suaminya menjadi pemandu Sosilawati selepas diperkenalkan oleh Nash. Noorfazilah banyak bertanya tentang kejadian sebenar kerana hanya tahu perkembangan tragedi pembunuhan itu melalui akhbar hari ini.

“Saya sebak mengenangkan anak-anak saya. Balqis Dayana akan mengambil peperiksaan UPSR pada 22 dan 23 Sept ini, fikiran dia pula sudah pasti terganggu,” katanya.

Noorfazilah berkata beliau sedang berusaha memberi semangat kepada Balqis untuk belajar dengan rajin: “Kalau betul sayang ayah. Berdoa dan bacalah Yassin untuk ayah. Belajarlah rajin, jadi anak yang baik supaya ayah suka”.

Menurut wanita itu, bekas suaminya itu dikenali sebagai “Kamal King” oleh kawan-kawan lama dan tidak ramai yang mengecam kehilangan beliau di dada akhbar kerana mereka tidak mengetahui nama sebenar Kamaruddin. — Bernama


Isu PERKASA Perdalamkan Jurang Najib-Muhyiddin

Perkasa serlah perbalahan Najib, Muhyiddin

Tindakan berdiam diri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu Pertubuhan Pribumi Perkasa(PERKASA) yang diminta dijauhi oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menyerlahkan ketidaksefahaman kedua-dua pihak.

Sebelum ini, Utusan Malaysia media milik Umno yang membelakangi saranan Najib agar parti itu menjarakkan diri dari PERKASA demi menjaga survival parti bagi meraih sokongan dari komponen Barisan Nasional(BN).

Bagi Timbalan Angkatan Muda KEADILAN Pusat(AMK) Faris Musa, sikap Muhyiddin ini adalah lanjutan daripada kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini yang bertentangan dengan slogan 1 Malaysia yang dibawa 'bosnya' itu.

"Perpecahan dalaman Umno makin jelas, Muhyiddin mungkin makin selesa kerana mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara jelas telah mengarahkan kiblat sokongannya kepada Muhyiddin yang disifatkan sebagai berani dan paling layak menjadi Perdana Menteri kerana berjaya mendesak Abdullah Badawi berundur sebelum ini," katanya.

Tambahnya lagi, ini adalah detik terbaik bagi Muhyiddin menghalakan serangannya kerana ketika ini Najib semakin jelas menunjukkan sepupunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai regunya bagi menghakis pengaruh Muhyiddin dalam Umno.

"Sebagai ahli politik yang berpengalaman saya merasakan Muhyiddin tahu permainan ini dan beliau perlu melakukan sesuatu bagi menjamin politiknya terutama menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan datang," ujarnya.

Ditanya berkenaan ada desakan-desakan dari Umno sendiri agar Najib mengambil tindakan terhadap Utusan kerana dilihat lebih menyokong PERKASA. Faris yang juga Ketua AMK Terengganu menjelaskan perkara itu sukar dilakukan Perdana Menteri.

"Dalam keadaan ini Najib perlu menghormati mentornya iaitu Dr Mahathir yang masih berpengaruh terhadap Utusan ketika ini," katanya.

Untuk rekod, Pengerusi Eksekutif Utusan sekarang Tan Sri Mohamad Hashim Ahmad Makaruddin adalah seorang yang rapat dengan Dr Mahathir dan pernah menjadi setiausaha politik beliau.-TVS