16 Sep 2010

Anak Sosilawati Dijaga Bergilir-gilir Oleh Ahli Keluarga

Kes bunuh Sosilawati: Sepakat jaga anak saudara

Gambar: ADIK ipar Datuk Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, (kanan) kelihatan sebak ketika menerima kunjungan jiran-jiran dirumahnya di Kampung Sri Menanti, Seri Medan, Batu Pahat. foto: BH

Meskipun Datuk Sosilwati Lawiya telah kembali ke Rahmatullah, nasib anaknya bakal terbela berikutan adik-beradik jutawan kosmetik itu sepakat bergilir-gilir ke ibu kota bagi menjaga kebajikan dan memberi sokongan moral dan semangat kepada mereka.

Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata, perkara berkenaan diputuskan hasil muafakat adik-beradik mereka bersama anak ahli perniagaan berkenaan baru-baru ini bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Di saat sukar seperti ini, sudah tentulah sokongan dan semangat berterusan daripada ahli keluarga diperlukan bagi mereka menghadapi tragedi yang menimpa.

“Walaupun, mereka nampak tenang pada zahirnya, kita tidak tahu apa yang terpaksa batin mereka tanggung terutama apabila kes ini terungkai satu demi satu di dada akhbar dan media elektronik.

“Saya dan adik-beradik Kak Wati yang lain sendiri tidak sanggup lagi menatap mahupun mendengar laporan berita mengenai kes ini yang didedahkan, bayangkan apa yang terpaksa dilalui anak Kak Wati ketika ini.

“Hancur luluh hati ini melihatkan mereka terpaksa menanggung keperitan ini dalam usia yang masih muda,” katanya sebak.

Misjan berkata, adik-beradik Sosilawati juga berjanji memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka selagi anak ahli perniagaan itu mahukan serta perlukan.

“Jasa Kak Wati kepada kami semua amat besar dan ini antara yang termampu kami lakukan bagi membalas budinya dan sebagai tanda kasih sayang kami yang tulus ikhlas.

“Selagi anak Kak Wati memerlukan kehadiran kami, selagi itu kami rela berkorban apatah lagi sehingga kini hasil ujian ujian asid deoksiribonukleik (DNA) belum diperoleh,” katanya. -HM

2 ulasan:

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.