2 Jan 2012

[BONGKAR] Misteri Orang Minyak Di Gombak, 3 Bekas Minyak Hitam Ditemui

Misteri bekas orang minyak

GOMBAK – Tiga bekas berisi minyak hitam dan satu botol minyak zaitun ditemui dalam sebuah rumah kosong di Jalan Laksamana 1/5.

Barangan tersebut ditemui susulan maklumat yang diterima unit rondaan penduduk mengenai satu lembaga yang melompat ke rumah tinggal berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Penduduk, Norhan Shafiq, 22 berkata, dia memberanikan diri memasuki kawasan rumah kosong bagi membuat pemeriksaan sebelum terjumpa bekas minyak berkenaan.

“Saya jumpa bekas berwarna kuning di dalam tandas manakala dua lagi bekas minyak dan satu botol minyak zaitun ditemui di bilik utamanya,” katanya.

Sementara itu pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa helai pakaian di dalam rumah tersebut.

Penduduk mensyaki rumah kosong tersebut menjadi lokasi sementara suspek menyembunyikan diri dan bertukar orang minyak.


Bagaimanapun rondaan sehingga jam 6.00 pagi tidak menemui sebarang perkara pelik di sekitar kampung tersebut.

Orang minyak' ganggu Kampung Laksamana

GOMBAK: Kebanyakan orang mungkin hanya pernah mendengar atau melihat 'orang minyak' dalam filem sahaja.

Namun, bagi penduduk Kampung Laksamana, serangan orang minyak dipercayai benar-benar berlaku di kampung itu.

Ini menyebabkan ramai penduduk kampung tidak lena tidur dan telah pun mengatur kumpulan sukarelawan melakukan rondaan di kawasan kampung.

Hampir 40 penduduk, yang terbahagi kepada kumpulan yang dianggotai antara lima dengan 10 orang setiap kumpulan, meronda kawasan kampung yang terletak kira-kira dua kilometer dari Batu Caves, awal pagi Khamis lalu.

Setiap anggota dilengkapi lampu suluh dan sebatang kayu.

Menurut penduduk kampung itu, mereka diganggu bukan satu tapi dua makhluk yang dipercayai orang minyak sejak 10 hari lalu.

Kebanyakan penduduk mendakwa mereka telah melihat atau mendengar gerakan orang minyak itu kawasan Pangsapuri Laksamana dan Jalan Laksamana 1.

Kesemua mereka mendakwa kedua-dua orang minyak itu hanya memakai cawat dan badan mereka kelihatan berkilat kerana disaluti minyak hitam.

Menurut salah seorang penduduk yang mengaku pernah ternampak kedua-dua orang minyak itu, Encik Aslam Khan, 33 tahun, salah seorang orang minyak itu agak tinggi, berbadan tegap dan botak, manakala seorang lagi orang minyak agak kurus dan berambut kerinting.

'Saya nampak orang minyak yang botak itu bersembunyi di belakang tangki air sebuah rumah sekitar 2 pagi. Bunyi nafas orang minyak itu cukup kuat seperti seekor lembu,' katanya.

Tambahnya, penduduk kampung telah menemui beberapa tempat yang dipercayai digunakan oleh kedua-dua orang minyak membaca mantera dan mandi minyak.

Mereka telah membuat laporan polis, selain cuba mendapatkan bantuan bomoh dan menunaikan solat hajat sebagai memohon perlindungan.

Tambah Encik Aslam, sehingga orang minyak itu tertangkap, penduduk kampung akan terus menjalankan rondaan.


Orang Minyak Mengganas Di Gombak

Gara-gara trauma akibat diganggu orang minyak, sebuah keluarga di Kampung Laksamana dekat sini terpaksa meninggalkan rumah mereka buat sementara waktu bermula Sabtu lalu.

Mangsa, Kamal Bahari Satar, 36, berkata, keputusan itu diambil selepas keluarga diganggu orang minyak selama lima hari berturut-turut.

“Adik ipar yang datang ke sini tidak tahan selepas diganggu oleh orang minyak yang muncul beberapa kali di dalam dan luar rumah,” katanya ketika ditemui semalam.
Anehnya kemunculan orang minyak itu hanya boleh dilihat oleh ahli keluarga perempuan sahaja.

Menurutnya, kejadian kemuncak berlaku awal pagi Sabtu lalu apabila orang minyak tersebut bertindak mengunci pintu rumah dari dalam sewaktu ahli keluarganya berada di dalam rumah.

“Apa yang pasti, lembaga itu yang bersembunyi di bawah meja makan dicucuk dengan buluh runcing oleh orang kampung dan terdapat kesan darah pada buluh tersebut. Makhluk itu kemudiannya masuk ke rumah sebelah dan kelibatnya disaksikan oleh isteri jiran saya sendiri,” katanya.

Menurutnya, turut ditemui kesan tapak tangan berminyak di tembok dan tapak kaki sewaktu kelibat itu muncul di luar rumah dan kesan ini ditemui oleh anggota polis sewaktu melakukan pemeriksaan.

Kamal Bahari berkata, adik iparnya yang dicalit minyak hitam oleh makhluk itu juga terpaksa dibawa menjalani rawatan alternatif selepas terdengar bunyi bisikan memanggilnya keluar dari rumah selepas itu.

“Syukur adik ipar saya kini sudah sembuh sepenuhnya daripada gangguan tersebut, namun keluarga masih trauma dengan keadaan itu terutama adik perempuan saya yang berumur 22 tahun,” katanya.


Lagi Kes Bawa Anak Semasa Berasmara

Guru berkhalwat bawa anak

AMPANG - Taktik seorang guru menggunakan dua anaknya berusia tujuh dan empat tahun ketika berasmara dengan seorang lelaki bagi mengaburi pihak berkuasa tidak menjadi, apabila dicekup awal pagi semalam.

Pasangan itu ditahan Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat dan Pegawai Masjid Al-Azim dalam operasi cegah maksiat di hotel murah di Ampang, Taman Seraya dan Pandan Indah, kira-kira jam 2.30 pagi, selepas mendapat maklumat pasangan bukan muhrim menjadikan hotel murah untuk memadu asmara.

Ketika penguat kuasa menyerbu bilik hotel berkenaan, wanita berusia 28 tahun, yang mengajar di Perak bersama pasangannya berusia 29 tahun itu bertegas mereka suami isteri, tetapi gagal menunjukkan sijil nikah.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, wanita berkenaan dipercayai membawa anaknya bagi melindungi tindakan jijik bersama pasangannya.

“Orang ramai akan menyangka pasangan itu suami isteri apabila ada anak bersama dalam bilik hotel berkenaan, tetapi kami membongkar rahsia pasangan itu setelah disoal siasat secara berasingan,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu berkhidmat sebagai guru sandaran di sebuah sekolah, manakala pasangannya seorang kontraktor.

“Lelaki berkenaan memakai singlet dan berseluar panjang, manakala pasangannya berpakaian lengkap dan berkain batik,” katanya.

Di hotel berasingan, sekumpulan pemuzik lelaki perempuan bukan muhrim dari Singapura dicekup tidur sebilik.

“Difahamkan mereka pertama kali datang ke Kuala Lumpur untuk membuat persemba-han,” katanya.

Beliau berkata, turut ditahan, seorang lelaki warga Pakistan bersama pasangannya warga Indonesia.

Wanita yang berusia 26 tahun itu bekerja sebagai pembantu pelayan restoran, manakala pasangannya berusia 31 tahun itu seorang kontraktor.

Operasi yang bermula jam 10 malam dan berakhir jam 6 pagi itu mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Pegawai Masjid Nurrusaadah di Kampung Cheras Baru, Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan dan Masjid Masjid Ubudiah Kampung Tasek Tambahan.

Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995. Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali. -SH

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Tragedi UPSI: Safwan Dakwa Ditumbuk, Ditendang, Akan Ambil Tindakan Mahkamah

Safwan akan ambil tindakan mahkamah insiden di UPSI

KUALA LUMPUR, 2 Jan — Mohd Safwan Anang, mahasiswa yang mendakwa dibelasah teruk oleh anggota polis ketika insiden demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa atas kecederaan yang dialaminya.

Peguam kepada Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) ini, Mohd Khairuddin Othman mendakwa pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak berkuasa berkenaan dalam masa terdekat.

“Safwan mendakwa dia dipukul menggunakan lutut oleh anggota polis terbabit sehingga pecah bibir, sakit dada, dan keadaannya sekarang stabil dan dia sudah sedarkan diri.

“Sehubungan itu, keluarganya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak polis dalam masa terdekat, dan antara defendan adalah Ketua Polis Negara, Ketua Polis Perak, dan anggota polis yang terlibat dalam kejadian awal pagi tahun baru itu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut Khairuddin, keluarga Safwan akan membuat pemeriksaan kesihatan lanjutan berikutan pihaknya kini masih lagi belum memperoleh sebarang laporan kesihatan daripada Hospital Hospital Slim River.

Laporan The Malaysian Insider semalam menyatakan bahawa polis telah menafikan dakwaan mereka memukul beberapa aktivis mahasiswa semasa menghuraikan demonstrasi aman di UPSI dan menegaskan “tiada pergelutan” berlaku apabila tangkapan dibuat.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan sementara itu berkata “tindakan perlu” diambil demi keselamatan awam dan salah seorang mahasiswa “tercedera sendiri”.

“Kumpulan mahasiswa tidak mendengar arahan polis supaya bersurai dan kami terpaksa bertindak dengan menangkap mereka.

Menurut Khairuddin lagi, seorang pegawai penyiasat pihak polis hari ini ada berjumpa Safwan dan mengambil keterangannya.

“Keadaan Safwan masih lemah, dan sementara ini kami akan kumpulkan bukti, apabila Safwan sudah pulih sepenuhnya, kami akan membawa kes ini ke mahkamah,” katanya lagi.

Awal pagi tahun baru lalu, sekumpulan 60 mahasiswa telah mengadakan demonstrasi aman di perkarangan pintu masuk UPSI dan mendakwa telah berlaku pergelutan dengan pihak polis.

Ketika insiden tersebut, seramai 17 antara mahasiswa terbabit telah ditahan polis Tanjung Malim, dan kemudiannya dibebaskan.

Sementara itu, PKR dan DAP terus mengkritik tindakan polis terhadap mahasiswa, semasa demonstrasi aman untuk memberikan sokongan kepada aktivis mahasiswa dan menuntut kebebasan akademik di UPSI, Tanjung Malim selepas tengah malam kelmarin.

Parti pembangkang mendakwa polis termasuk dua anggota dari Unit Cawangan Khas menggunakan tindakan kasar terhadap mahasiwa yang didakwa mereka seramai 100 orang berbanding 60 orang yang dikatakan peguam hak asasi Fadiah Najwa Fikri apabila kumpulan itu enggan bersurai.

Ketika kejadian berkenaan, Safwan dikatakan dipukul, ditumbuk dan ditendang sehingga tidak sedarkan diri. -TMI

Demo Upsi: Ketua Bebas dakwa ditumbuk, ditendang

SLIM RIVER - Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Safwan Anang mendakwa beliau ditumbuk dan ditendang ketika polis meleraikan perhimpunan mereka yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) awal pagi semalam.

Safwan yang mengalami kecederaan di bahagian muka dan mulut berkata, ketika kejadian, beliau hanya ingin membantu rakannya yang ditahan pihak polis.

Katanya, tiada provokasi dilakukan oleh mahasiswa seperti yang didakwa menjadi punca kekecohan.

"Ya! saya ditumbuk di muka dan ditendang oleh polis menggunakan lutut di tulang rusuk saya. Sekarang saya masih susah untuk bernafas," katanya pada sidang media di pekarangan Hospital Slim River di sini hari ini. -SH


Siswa: Saya dipukul ketika bantu rakan

Mahasiswa yang tercedera dalam perhimpunan prokebebasan akademik di Tanjung Malim semalam mendakwa beliau beliau dipukul di bahagian muka ketika membantu rakannya yang diseret polis.

Bercakap kepada sidang media selepas dibenarkan keluar daripada hospital hari ini, Muhammad Safuwan Anang, 23, juga mendakwa beliau tidak melawan langsung pasukan keselamatan dalam insiden di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tampil lemah dengan kerusi roda yang disorong isterinya, Muhammad Safuwan mendakwa, dalam kejadian semalam, polis juga menekan rusuknya menggunakan lutut dengan keras.

Pihak polis Perak semalam bagaimanapun menafikan menggunakan kekerasan dan mendakwa kecederaan peserta perhimpunan disebabkan "rempuhan sendiri" ke klinik berdekatan. - mk


Laporan Bervideo sebelum ini
klik untuk baca




Pasangan Bawa Anak Masing-masing Ke Hotel Bajet Buat Maksiat

Ibu muda, duda diserbu di hotel bajet menjelang tahun baru

KLUANG: Seorang ibu muda yang masih dalam proses perceraian tergamak membawa anaknya yang baru berusia setahun ketika memadu asmara semasa menyambut tahun baru di sebuah bilik hotel bajet di sini bersama seorang duda beranak satu yang juga turut membawa anaknya yang berusia lima tahun, pagi semalam.

Namun, helah pasangan itu yang pada mulanya mengaku sebagai pasangan suami isteri gagal mengaburi pasukan penguat kuasa Majlis Agama Islam Daerah Kluang apabila mereka akhirnya ditahan kerana disyaki berkhalwat selepas gagal menunjukkan sebarang bukti ikatan perkahwinan mereka.

Ketika serbuan dijalankan sekitar hotel bajet itu, pasangan terbabit mengambil masa hampir 20 minit sebelum membuka pintu selepas pegawai bertugas mengetuk bilik mereka.

Sebaik pintu dibuka duda berusia 29 tahun itu dilihat hanya memakai seluar pendek dan kemeja yang tidak berbutang dan ibu muda 24 tahun itu memakai seluar ketat dan kemeja, manakala kedua-dua anak itu sedang tidur di atas katil.

Pegawai Penguat Kuasa Majlis Agama Islam Daerah Kluang, Ustaz Anuar Kosnin yang mengetuai operasi cegah maksiat ambang tahun baru itu berkata, pasangan terbabit yang mengaku dalam perjalanan dari Pahang ke Batu Pahat itu memberi alasan keletihan dan hanya singgah berehat di hotel berkenaan.

“Bagaimanapun mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat apabila hasil soal siasat akhirnya mereka mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan sah suami isteri, selain mengaku akan berkahwin tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pada operasi cegah maksiat selama enam jam di sekitar daerah ini.

Dalam operasi cegah maksiat bersepadu sempena sambutan tahun baru yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Cawangan Penyiasatan Khas Kem Mahkota bermula jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi, tiga pasangan lain termasuk dua pasangan warga Indonesia ditahan.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan yang dilakukan di Simpang Renggam, sepasang kekasih berusia 35 dan 24 tahun, masih tidak serik apabila ditangkap berkhalwat untuk kali ketiga.

Pasangan itu yang juga pekerja di sebuah kilang papan dikenali di kalangan penguat kuasa agama daerah ini kerana pernah diberi kaunseling dan nasihat di hadapan keluarga masing-masing sebelum ini.

Ketika ditahan pihak berkuasa, pasangan itu langsung tidak menunjukkan reaksi cemas, sebaliknya sanggup memberi alasan mahu melepaskan rindu.

Malah, turut memanggil nama timangan masing-masing iaitu 'papa dan mama' di hadapan semua pegawai operasi yang bertugas tanpa rasa bersalah dan janggal ketika soal siasat dijalankan.

Semua pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) (a) & (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. -BH

Tragedi UPSI: Pandangan Dr. Juanda Dan Dr Asri

Juanda: ‘Polis patut bertindak dengan bijaksana bukan kemarahan’

KUALA LUMPUR, 1 Jan — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menegaskan anggota polis perlu mengambil tindakan dengan bijak dan bukan bertindak di luar batasan sehingga menyebabkan kepada kecederaan orang awam.

Menurut Juanda, insiden tindakan kasar polis semasa menghuraikan demonstrasi aman mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi amat membingungkan.

Beliau berkata sekiranya tindakan itu diambil dengan perasaan marah ia tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan bertambah teruk.

Tambah Juanda, sepatutnya kedua-dua belah pihak berunding untuk mencari jalan penyelesaian terlebih dahulu bagi mengelakkan masalah lain seperti kecederaan.

“Pembantaian mahasiswa di UPSI amat membingungkan. Kenapa sampai perlu menumpahkan darah sesama sendiri yang diharamkan oleh agama? Apakah pintu musyawarah (berunding) sudah tertutup?

“Kemarahan tidak akan selesai dengan memarakkan kemarahan. Masing-masing ada hak untuk bertindak, maka jagalah batasan hak masing-masing,”
katanya dalam tulisannya di laman Facebook.

Awal pagi tadi beberapa mahasiswa yang mengadakan demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik di UPSI telah ditahan polis kerana ingkar arahan pihak berkuasa yang mengarahkan mereka bersurai.

Kumpulan mahasiswa itu mendakwa polis telah bertindak kasar dengan “memukul, menendang dan menumbuk” mereka, yang menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Muhammad Safwan Anang dihantar ke Hospital Slim River kerana tidak sedarkan diri.

Difahamkan dianggarkan seramai 60 orang mahasiswa telah mengadakan demonstrasi di kampus itu bermula malam tadi bagi memprotes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan menuntut solidariti untuk Adam Adli Abdul Halim, yang menjadi perhatian kerana menurunkan kain rentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur bulan lalu.

Pemimpin PKR dan DAP mengkritik tindakan kasar polis terhadap kumpulan mahasiswa itu.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan anggotanya bertindak kasar semasa menghuraikan demonstrasi dengan menegaskan “tiada pergelutan” yang berlaku semasa tangkapan dibuat.

Tambah Juanda, pihak polis sepatutnya bertindak secara bijaksana dalam menghuraikan demonstrasi itu.

“Sewaktu api fitnah sedang mara menjulang, pihak berkuasa sewajarnya mencari sesuatu yang sudah semakin hilang pada hari ini, iaitu kebijaksanaan.

“Ya, anda ada kuasa, tetapi biarlah orang hormat dan hargai kuasa anda, bukannya memarakkannya dengan fitnah kebencian,” katanya. -TMI

Dr Asri: Dua formula selesai isu demo Upsi

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengadakan satu suruhanjaya bagi menyiasat kontroversi terbaru membabitkan perhimpunan menuntut kebebasan akademik di pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) semalam yang bertukar ganas, kata Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Selain itu, pemerhati politik dari Universiti Sains Malaysia ini juga menyarankan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang sebelum ini menjadi fokus isu-isu generasi muda dan penuntut universiti, agar mengadakan satu pertemuan antara polis dan mahasisawa yang terbabit dalam perhimpunan bagi mencari jalan penyelesaian.

Asri berkata, beliau telah memberi pendapat itu kepada Saifuddin semalam, beberapa jam selepas insiden di pintu masuk utama Upsi pada awal pagi tahun baru 2012.

"Saya juga telah beri pendapat tadi (semalam) kepada Datuk Saifuddin agar berjumpa dengan ketua operasi polis dan pihak pelajar secara tertutup.

"Siasat. Bawa peguam yang baik untuk bersoal jawab. Mungkin hakikat sebenar dapat ditemui," kata bekas Mufti Perlis ini dalam satu kenyataannya awal pagi ini.

Laporan media menyebut beberapa pelajar pusat pengajian tinggi tercedera manakala 17 orang ditahan polis. Bagaimanapun kesemua mereka yang ditahan telah dibebaskan petang semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Shukri berkata dakwaan yang tersebar di beberapa blog mengenai kecederaan dua anggota SMM akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan adalah tidak benar dan merupakan fitnah.

Bagaimanapun tindakan polis dikritik beberapa pihak.

Peguam-peguam yang mewakili mahasiswa terbabit bercadang mengadakan tindakan undang-undang.

Asri yang kini merupakan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford berkata, bukan semestinya pihak berkuasa bersetuju dengan tuntutan kumpulan mahasiswa yang mengadakan perhimpunan, tetapi mereka tidak wajar diperlakukan sedemikian.

"Jika mahu tahan, tahan dengan prosedur yang betul, bukan pukul. Menindas mereka hanya membangkitkan sentimen kebencian kepada pihak kerajaan yang nanti tidak dapat diubati lagi.

"Kena ingat apa yang berlaku di Tunisia.

Suruhanjaya siasatan perlu dibuat. Saya di UK, diberikan pelbagai maklumat dari pelbagai pihak. Ada yang sokong, ada yang marah," katanya yang turut mengulas isu ini menerusi Twitter semalam.

Tambah beliau, "saya juga menjemput sekali lagi anggota polis di mana sahaja, membaca surat terbuka saya kepada polis yang saya tulis beberapa bulan lepas."

"Mungkin ada yang boleh diambil manfaat. Saya sedar polis juga ada tanggungjawab mereka, tapi kena cermat dan teliti," katanya lagi.

Surat itu disiarkan oleh beberapa portal pertengahan tahun lalu ketika isu perhimpunan Bersih 2.0 hangat diperkatakan.

Sambil berkata beliau terkejut melihat beberapa mahasiswa yang menyertai demonstrasi tercedera, Asri berkata, jika terbukti pihak polis yang memukul mereka, ia sesuatu yang malang bagi negara.

"Apa pun kena siasat siapa yang salah," kata beliau sambil menambah, "saya berpendapat golongan terpelajar mesti diberi ruang bersuara dengan syarat aman daripada (kejadian) rusuhan."

"Jika mereka diganggu atau dicederakan, ia petanda kezaliman sesuatu pemerintahan," katanya lagi. -SH


[VIDEO] 7 Maut Dalam Kemalangan Kereta-Treler, Mayat Bersepai & Isi Perut Terburai

Sitiawan: Perjalanan pulang 10 rakan sekampung selepas membeli barang keperluan untuk menyambut tahun baru berakhir dengan tragedi apabila tujuh daripadanya, termasuk empat pelajar maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung treler dan sebuah kereta lain di Batu 6 Lekir, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian di ambang Tahun Baru 2012, kira-kira jam 10.30 malam itu turut mengakibatkan pemandu treler cedera parah, manakala tiga lagi penumpang dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki 10 orang itu serta pemandu sebuah lagi kereta jenis Honda Civic, cedera.

Enam mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian terdiri daripada dua beradik, Badrul Isa Sulaiman, 19; dan Mohamad Hadi, 17; sepupu mereka, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15 serta Mohamad Kamil Samsuri, 15; Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15 dan Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16.
Pemandu Honda Stream, Mohd HisamMat Zaki, 22, meninggal dunia di Hospital Seri Manjung (HSM) pada jam 8.35 pagi semalam. Pemandu treler, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, yang berasal dari Ayer Itam, Pulau Pinang dilaporkan parah di muka dan tangan serta masih dirawat di HSM.

Penumpang yang duduk bersebelahan Mohd Hisam di bahagian depan, Khairul Faiz Mohd Noor, 17, serta dua lagi penumpang remaja perempuan yang tidak diketahui identiti mereka serta pemandu kereta Honda Civic dilaporkan cedera ringan dan diberi rawatan pesakit luar.

Mohamad Kamil, Ahmad Faizal, Mohamad Shadan dan Muhammad Shafik Redzuan adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 10 Lekir; Mohd Hisam dan Badrul Isa pula bekerja di sebuah kilang di Kampung Acheh, Sitiawan, manakala Mohamad Hadi sepatutnya melaporkan diri mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pagi semalam.

Semua yang terbunuh berasal dari Kampung Batu 15 Lekir kecuali Muhammad Shafik Redzuan dari Kampung Batu 14 Lekir dan Mohd Hisam yang berasal dari Kampung Sungai Mekong, Jeli, Kelantan.

Kemalangan berlaku apabila Honda Stream dari arah Sitiawan memotong beberapa kenderaan dari sebelah kiri sebelum masuk semula ke laluan di depan Honda Civic secara mengejut sehingga hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dari arah Teluk Intan.

Pertembungan mengakibatkan bumbung Honda Stream tercabut dan melayang kira-kira 50 meter dari tempat kejadian, manakala kenderaan itu berpusing dan terbalik beberapa kali sehingga beberapa penumpangnya terpelanting keluar, termasuk seorang yang terjatuh di atas kereta Honda Civic.

Treler pula terbabas ke kanan jalan dan merempuh beberapa gerai buah-buahan di tepi jalan sebelum terperosok ke dalam kebun kelapa sawit.


Keadaan di tempat kemalangan amat mengerikan apabila mayat bergelimpangan di tengah jalan dan ada yang tercampak sehingga ke laluan ladang sawit dengan satu mayat ditemui tanpa kepala dengan otak bersepai, mata tersembul dan isu perut terburai dengan cebisan daging dan otak bertaburan sehingga jarak 50 meter dari tempat kejadian.

Anggota bomba dan penyelamat terpaksa mengutip cebisan daging dan otak serta mencari kepala salah seorang mangsa yang kemudian ditemui tidak jauh dari situ.

Difahamkan, ketika kejadian, penumpang Honda Stream dalam perjalanan balik ke Kampung Batu 15 selepas selesai membeli barang keperluan dan bersiar sekitar Teluk Batik, manakala treler pula dalam perjalanan menghantar tong gas dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Pulau Pinang.

Ketua Trafik Daerah Manjung, Asisten Superintendan Ismail Munajat, berkata semua mayat dibawa ke HSM untuk bedah siasat pagi semalam dengan enam daripada mangsa dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Batu 15 sebelum Asar, manakala jenazah Mohd Hisam dibawa ke Jeli untuk dikebumikan di sana.

“Kejadian berlaku di jalan lurus berturap dan kering, manakala keadaan gelap kerana tiada lampu jalan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. -BH

LAPORAN & VIDEO HARIAN METRO


Ajal lepas rai 2012

MANJUNG: Mayat enam remaja belasan tahun bertaburan di sepanjang 30 meter jalan raya apabila kenderaan Honda Stream yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler dalam kejadian di Batu 6, Jalan Sitiawan - Lekir, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, semua mangsa baru pulang meraikan sambutan Tahun Baru 2012 di bandar Sitiawan.

Difahamkan ketika kejadian, seramai 10 orang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan sebelum bertembung sebuah treler membawa muatan tong gas memasak LPG yang dalam perjalanan dari arah Teluk Intan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan enam mangsa yang duduk di belakang MPV berkenaan dikenali Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd Termizi, 15, Mohamad Shadan Mohd Arshad, 15, Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 16, Mohamad Hadi Sulaiman, 17, dan Badrul Isa Sulaiman, 19, mati di lokasi kejadian.

Pemandu kenderaan MPV itu, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, yang cedera parah di kepala bagaimanapun meninggal dunia kira jam 8 pagi semalam di Hospital Seri Manjung (HSM), di sini, selepas menerima rawatan kecemasan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Shaharudin Abdullah, berkata kemalangan itu turut membabitkan sebuah lagi kereta model Honda Civic dipandu seorang lelaki.

Treler berkenaan turut melanggar kedai keropok lekor dan buah-buahan.

Menurutnya, semua penumpang MPV terbabit yang baru menyambut tahun baru dengan keluar minum di bandar Sitiawan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 15, Lekir di sini.

Hampir terpijak biji mata mangsa

MANJUNG: “Saya hampir terpijak biji mata seorang mangsa tercampak di atas jalan, malah ada tali usus mangsa turut terkeluar,” kata seorang pegawai kerajaan yang juga saksi kejadian, Hasni Hashim, 45.

Menurutnya, dia kebetulan berada di restoran berhampiran tergamam apabila mendengar bunyi dentuman kuat akibat pelanggaran lori dan kenderaan pelbagai guna, Honda Stream kira-kira 20 meter dari lokasi kedai makan berkenaan.

“Saya yang ketika itu sedang menghirup kopi panas, kelam-kabut melarikan diri selepas melihat treler sarat membawa tong gas itu terbabas dan meluru ke arah kedai makan.

“Treler itu yang meranapkan sebuah gerai keropok lekor di bahu jalan kemudian terperosok ke dalam kebun kelapa sawit terletak di belakang kedai,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas melihat insiden itu sebelum mendapati banyak tubuh remaja lelaki bergelimpangan di atas jalan dan tepi gerai.

“Suasana ketika itu amat mengerikan apabila ada tubuh mangsa yang putus hingga terkeluar isi perut, otak dan mata,” katanya ketika ditemui wartawan di lokasi kejadian.

Menurutnya, beberapa penduduk kampung kemudian bertindak menghubungi polis selain menutup tubuh mangsa dengan kertas surat khabar.

Sementara itu, seorang lagi saksi kejadian, Alice Tan, 55, mendakwa dihantui perasaan trauma selepas terpaksa mengutip cebisan mayat mangsa kemalangan yang melekat di gerainya.

Menurutnya, beberapa cebisan anggota badan mangsa turut tercampak ke dalam gerai buah-buahan miliknya, manakala darah mangsa juga turut terpercik mengenai barang perniagaannya.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang pekerja yang menjaga kedai saya pada jam 11 malam kelmarin.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati beberapa mayat bergelimpangan di atas jalan raya selain turut tertiarap di depan kedai,” katanya.

Menurutnya, ada antara mangsa yang turut cedera parah hingga hampir putus kepala selain kehilangan beberapa anggota tubuh penting.

“Pagi tadi (semalam) saya dapati beberapa cebisan daging dipercayai milik mangsa melekat di dinding gerai. Saya terpaksa mengutip dan mengumpul daging mangsa sebelum diserahkan kepada anggota polis,” katanya.




Tragedi UPSI: Safwan Semakin Pulih, Polis Minta Beliau Mengaku Terjatuh

Demo UPSI: 17 tahanan dibebaskan, Safwan semakin pulih

Kesemua tahanan termasuk Adam Adli yang ditangkap awal pagi tadi dalam satu perhimpunan yang berlangsung di depan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dibebaskan, pada kira-kira jam 4 petang tadi. Malah, Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Muhammad Safwan Anang yang dikejarkan ke hospital kerana kecederaan yang parah, kini semakin pulih, menurut sumber.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syukri Razab mengesahkan kepada MerdekaReview, bahawa 17 orang tahanan termasuk Adam Adli dan rakan-rakannya telah dibebaskan dari IPD Slim River tadi. Menurutnya, kira-kira 300 orang berada di luar balai polis berhimpun menuntut pembebasan tahanan siswa/i. Malah, sesetengah warga Facebook telah menyeru agar rakyat menelefon ke Balai Polis untuk mendesak agar tahanan dibebaskan mereka, sejak pagi tadi.

Menurut Syukri, mereka tidak didakwa di bawah apa-apa akta, bagaimanapun, tahanan dikehendaki melaporkan diri di Mahkamah Majistret Tanjung Malim pada 20 Januari 2012. Beliau menambah, dirinya berasa gembira kerana solidariti siswa/i yang membebaskan mereka.

Menurut sumber dari laman We Are All Safwan Anang, yang ditubuhkan pagi tadi, Muhammad Safwan Anang yang dikejar ke hospital lantaran kecederaan parah kini semakin pulih keadaannya.

MPMUM kutuk tindakan polis

Di samping itu, dalam satu kenyataan tadi, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang menggunakan kekerasan terhadap para mahasiswa yang mengadakan perhimpunan secara aman di depan Universiti Pendidikan Sultan Idris malam tadi.

Sekumpulan mahasiswa mengadakan perhimpunan secara aman di depan UPSI malam tadi untuk menuntut pihak UPSI supaya menggugurkan kes Adam Adli yang menghadapi tindakan disiplin serta menyeru kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mengekang kebebasan akademik pensyarah dan mahasiswa.

Awal pagi tadi, kira-kira 100 mahasiswa yang mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan UPSI telah dibelasah dan dipukul sehingga menyebabkan beberapa mahasiswa cedera parah. Dalam insiden ini juga berlakunya satu kemalangan yang tidak diingini yakni Pengerusi BEBAS, Muhammad Safwan Anang Taib telah ditumbuk dan patah rusuknya dan keadaan beliau masih kurang stabil kini.

Sehingga kini, 17 mahasiswa telah ditangkap dalam pergelutan itu termasuk aktivis yang menurunkan bendera Najib, Adam Adli. Antara mahasiswa yang telah ditangkap polis ialah Timbalan Presiden PMIUM, Amir Nabil, Haziq Abdullah (Presiden KAMI), Syukri Razab (Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia), Shukri Kamaruddin, dan beberapa mahasiswa Universiti Malaya, UniSEL serta kampus sekitar Lembah Klang.

MPMUM menyatakan rasa kesal terhadap tragedi berdarah yang berlaku kerana sekumpulan mahasiswa yang berhimpun secara aman tidak mengakibatkan sebarang kesusahan dan kegugatan kepada orang awam ataupun polis dan MPMUM tidak bersetuju dengan tindakan polis dan FRU yang menggunakan kekasaran melampau terhadap para mahasiswa yang tidak memegang sebarang senjata.

MPMUM menuntut agar pihak polis tidak mengamalkan sikap "double standard" dalam menguruskan insiden sedemikian kerana pihak polis langsung tidak mengadakan sebarang sekatan terhadap tindakan Pro-Aspirasi yang mengadakan perhimpunan awam di Putrajaya baru-baru ini. MPMUM berharap agar pihak polis memainkan peranannya untuk melindungi keselamatan rakyat jelata dan tidak menjadi alat kerajaan untuk mengekang kebebasan mahasiswa dan menindas mahasiswa dengan zalim.

Sesungguhnya tindakan mahasiswa yang menuntut supaya AUKU dimansuhkan ataupun berhimpun secara aman merupakan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, tindakan polis dan FRU yang menzalimi mahasiswa malam tadi telah menjadikan janji Perdana Menteri, Najib yang ingin memberikan ruang yang lebih besar kepada mahasiswa sebagai komestik politik.

MPMUM menyeru pihak kerajaan memansuhkanAUKU yang mengekang kebebasan mahasiswa supaya prinsip demokrasi kampus dapat dihidupkan semula. -MR

Tragedi UPSI : Polis minta pelajar MENGAKU TERJATUH

Pelajar yang cedera parah dibelasah Polis dalam tragedi UPSI, Safwan Anang mendakwa polis memintanya mengaku bahawa kecederaan beliau adalah kerana terjatuh bukannya dibelasah polis.

Malaysiakini melaporkan bahawa Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) itu berkata dia diminta menandatangani satu dokumen selepas Jurugambar Polis mengambil gambarnya di hospital.

Inilah antara modus operandi pihak Polis bagi menutup kekejaman dan kebiadapan mereka membelasah rakyat.Ketua Polis Perak, Shukri Dahalan sendiri menafikan bahawa Polis bertindak keras sedangkan klip video dan gambar-gambar yang dimuat turun dalam internet menjadi bukti kekerasan dan kekasaran melampau pihak Polis.




Koleksi Video & Gambar Zizan & Ust Azhar Di Sambutan Tahun Baru Selangor

80,000 sertai Countdown 2012 kerajaan Selangor

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Gandingan dua selebriti hebat dari latar belakang berbeza, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus bersama pelakon, pelawak dan pengacara, Zizan Raja Lawak berjaya menarik kehadiran kira-kira 80, 000 orang ke Program Countdown 2012 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, malam tadi.

Difahamkan, jumlah ini jauh lebih memberangsangkan berbanding jumlah kehadiran ke program "Karnival Sayangi Selangor" dan sambutan malam tahun baru anjuran kerajaan BN di I-City yang dianggarkan sekitar 5,000 sahaja, meskipun dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tinjauan rawak ke laman-laman blog bukan politik hari ini juga mendapati rata-rata penulis mengulas mengenai kemeriahan program malam tadi serta memuat naik gambar-gambar dan video sekitar program.

Antara yang diulas adalah mengenai keserasian Ustaz Azhar dan Zizan sewaktu forum soal jawab agama berlangsung dan petikan gitar oleh Ustaz Azhar sendiri.

Kemeriahan program turut diserikan dengan kehadiran bekas gitaris kumpulan Kamikaze, Shamril Salleh atau Sham Kamikaze yang sudah melakukan penghijrahan, pendakwah bebas, Ustaz Syed Nor Hisham Tuan Padang, juara program realiti tv pencarian imam muda, Imam Muda Ashraff serta selebriti Astro Oasis, Akhil Haiyy.

Rata-rata mereka juga mengharapkan program seperti ini yang menampilkan hiburan mendidik jiwa diteruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan juga negeri-negeri lain.

Ini membuktikan rakyat malaysia khususnya anak muda mula meminati program-program mendidik apatah lagi jika ianya ditampilkan "kena dengan caranya".

Antara pimpinan Pakatan Rakyat Selangor yang hadir malam tadi ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr. Halimah Ali, Haniza Talha dan Yaakob Safari serta Pesuruhjaya PAS Shah Alam, Khalid Samad. -HD

Berpuluh-ribu Banjiri Sambutan Tahun Baru Bercirikan Islam Selangor

SHAH ALAM, 1 JAN: Program Jom Santai Bersama GeMS kelolaan Kerajaan Negeri sempena sambutan tahun baru 2012 di Dataran Kemerdekaan di sini malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 100,000 orang terutama golongan muda.

Program GeMS - Generasi Idaman Selangor, itu diadakan dengan pendekatan menyambut tahun baru dengan tema keagamaan serta bersifat santai. Ia ternyata mendapat sambutan hebat dan ianya memberi nafas baru kepada penganjuran majlis.

Gabungan golongan agama dari generasi lama dan baru dan artis popular berjaya menarik perhatian pengunjung untuk mengikuti majlis dari awal hingga akhir.

Antara celebriti agama yang hadir adalah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Akhil Hay, Imam Muda Asyraf dan Syed Hisham dan artis popular, Sham dan Dakmie Kamikaze, Shahir dan Zizan Raja Lawak.

Malah detik sambutan tahun baru ketika jam tepat 12 tengah malam amat bermakna dalam suasana baru apabila semua hadirin termasuk tetamu kehormat, Exco Kerajaan Negeri, Dr Halimah Ali, Dr Yaakop Sapari dan Rodziah Ismail serta Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad bersama-sama mengalunkan nyanyian memuji kebesaran Allah dengan lagu 'Asma Ul Husna'. Ini disusuli doa penutup oleh Ustaz Azhar.

Program malam tadi bermula dengan solat Maghrib berjemaah dan Forum Maghrib dihoskan Ustaz Syed Hisham dan Asraf sebagai moderator dikuti solat Isyak berjemaah.

Ceramah Perdana menampilkan Ustaz Azhar dan Zizan mendapat sambutan hebat orang ramai kerana penyampaian ceramah agama secara santai dan lawak menerusi sesi soal jawab agama.

Persembahan artis seperti Sham dan Dakmie Kamikaze, Shahir dan Ustaz Akhil Hay dengan dengan lagu moden, nasyid dan bertema keagamaan sebelum jam 12 tengah malam turut menghiburkan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali ketika ditemui selepas majlis berkata Kerajaan Negeri mempraktikkan pendekatan itu kerana menyedari dan memahami akan minat dan citarasa golongan muda yang menyukai hiburan dan selebriti muda.

Dengan memasukkan elemen hiburan, katanya, pihaknya turut menyelitkan unsur keagamaan sebagai pendidikan supaya ianya berjalan serentak serta dapat diterima semua pengunjung yang hadir.

Katanya, berdasarkan sambutan diterima, pihaknya berpuas hati terutama kehadiran golongan muda sebagai golongan majoriti dalam program berkenaan.

"Ini adalah antara sebahagian daripada program anti- zina jadi kalau Kerajan Negeri tidak menguruskan keperluan, minat, citarasa, ciri-ciri orang muda itu kepada program yang bersifat positif maka mereka akan tertarik kepada program yang negatif dan seterusnya terjebak di dalam gejala sosial.

Jadi bila kita buatkan satu program seperti ini ianya agak santai, agak relaks dan mereka datang bersama keluarga dengan majoritinya orang muda maka mereka mendapat pendidikan yang membangunkan mereka dan mereka faham apa ertinya sambutan tahun baru," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memang menjangkakan saingan daripada pihak lain yang turut menganjurkan program sambutan tahun baru dan pihaknya berbesar hati dengan sambutan hebat diterima terhadap majlis itu dan ianya terbukti berjaya.

"Saya rasa ini di antara tanda positif sokongan kepada Kerajaan Selangor, keyakinan kepada program yang dianjurkan oleh Kerajaan Selangor yang dilihat bersifat pembangunan, membangunkan manusia," katanya lagi. -tvsnews

















Part Zizan tiru gaya Ustaz Azhar Idrus
lagi video...







Berapa meter kereta ustaz?







Kredit: Sebahagian video-video diatas kompilasi Oh!Cerita.com