10 Nov 2011

Dia Pemandu Yang Merbahaya, Idris Jala, Menteri Yang Tidak Tetap Pendirian

Idris Jala tukar pendirian, Malaysia tak akan bankrap

Ketua pegawai eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata Malaysia tidak akan terjerumus ke kancah kebankrapan, meskipun kenyataan itu bertentangan dengan amarannya tahun lalu.

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebelum ini berkata bahawa Malaysia akan berakhir seperti negara-negara Eropah yang dilanda hutang jika subsidi tidak dikurangkan.

Sebaliknya,, hari ini beliau berkata, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai status ekonomi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Beliau berkata usaha itu disokong oleh Program Transformasi Ekonomi pentadbiran Najib (ETP) yang menghasilkan hasil yang positif.

"Malaysia melakukan apa sahaja yang mampu dibuat untuk mengubah negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

"Menerusi program dan dasar yang diperkenalkan, saya yakin kita tidak akan jatuh muflis," katanya dipetik Bernama ketika taklimat media selepas menyampaikan ucaptama pada forum anjuran Ernst & Young mengenai "Memecah kod DNA ETP" di Kuala Lumpur.

Pada 27 Mei tahun lalu, Idris berkata rakyat Malaysia mesti bersedia menghadapi pengurangan subsidi kerajaan, atau apa yang disebut sebagai "rasionalisasi subsidi", atau negara akan menghadapi kebankrapan menjelang 2019.

"Kita tidak mahu berakhir sebagai satu lagi Greece," katanya pada hari tersebut.

Subsidi untuk petrol, makanan, elektrik, dan beberapa barangan keperluan lain membentuk sebahagian besar perbelanjaan operasi kerajaan persekutuan dan merupakan hampir lapan peratus daripada KDNK. -mk

Berita sebelum ini:

Idris Jala: Malaysia masih ada risiko jadi muflis

KUALA LUMPUR, 1 Nov ― Datuk Seri Idris Jala hari ini menegaskan semula bahawa Malaysia masih berhadapan dengan risiko menjadi negara muflis dalam satu dekad lagi jika ia membelanjakan wang yang dipinjam untuk perbelanjaan-perbelanjaan operasi seperti subsidi berbanding menggunakannya bagi tujuan pelaburan.

“Jika ekonomi kita mengalami pertumbuhan kurang empat peratus dan jika kita tidak memotong perbelanjaan operasi kita, jika kita pinjam pada kadar 12.5 peratus, jika hutang tahunan kita meningkat 12.5 peratus dan pulangan kita pula tidak berkembang, maka ia akan berlaku,” kata Jala hari ini selepas mengumumkan perkembangan terkini mengenai pelaburan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Beliau mencetuskan kebimbangan yang sama tahun lalu ketika ramai membicarakan mengenai isu subsidi, yang kemudiannya menjadi kontroversi.

Hutang kebangsaan Malaysia meningkat 12.3 peratus untuk mencecah RM407 bilion tahun lalu, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan minggu lalu.

Meskipun ekonomi mengalami pertumbuhan 7.2 peratus tahun lalu, defisit fiskal tahun lalu mengekalkan hutang awam lebih 50 peratus berbanding kadar KDNK bagi tahun kedua berturut-turut.

Pakar ekonomi juga berkara bahawa pertumbuhan ekonomi negara boleh perlahan ke paras 3.6 peratus tahun depan daripada kadar 4.3 peratus yang dijangkakan tahun ini ekoran risiko kemelesetan berganda global.

Bagaimanapun kata beliau, Malaysia tidak akan melalui kemelesetan tetapi akan melalui perkembangan ekonomi yang perlahan ekoran merebaknya krisis kewangan di Eropah.

Katanya, jangkaan beliau tidak bermakna Putrajaya akan berhenti daripada membuat pinjaman.

“Kita harus membuat pinjaman dengan syarat wang itu digunakan untuk pelaburan berbanding untuk perbelanjaan operasi,” kata beliau lagi.

“Kita harus memastikan pinjaman kita sepadan dengan pelaburan,” katanya lagi. -TMI


Ulasan GB

Pertamanya, ada kemungkinan Idris Jala telah disergah oleh menteri-menteri kabinet yang lain kerana kenyataan awalnya menyatakan negara masih ada risiko menjadi muflis membawa banyak kemudharatan kepada BN di dalam pilihanraya nanti.

Kedua, justifikasi untuk melaraskan (baca: menghapuskan) subsidi sudah di kesan oleh rakyat.

Sebelum ini GB sudah mengulasnya. Petikan:

Sebenarnya kita sudah dapat membaca... kenyataan Idris Jala tersebut adalah justifikasi kerajaan Najib untuk melakukan "penyelarasan subsidi" sekali lagi - dalam erti kata menarik subsidi daripada beberapa barang keperluan dan sekali gus bererti kenaikan harga bagi barangan tersebut.

Beliau menggunakan alasan bahawa negara mungkin bankrap jika negara terus memberikan subsidi... ke atas barangan keperluan.

GB ingan tegaskan kepada Idris Jala yang telah membutakan matanya mengenai Laporan Audit 2010 bahawa: kebankrapan negara BUKAN disebabkan oleh subsidi tetapi adalah disebakan oleh ketirisan, rasuah, pembaziran, ketidak-cekapan, ketidak-berkesanan yang menjadi amalan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib kini.

Justeru itu jangan jadikan alasan pemberian subsidi sebagai sebab negara jadi bankrap. Tetapi adalah diakibat dari faktor-faktor kerajaan BN sendiri yang projek NKRAnya hanya mitos dan gimik yang sedap didengar tetapi hampas belaka.

Buka lembaran Laporan Audit 2010 itu dan perbaiki segala kepincangan yang didedahkan. Ambil tindakan segera ke atas pegawai-pegawai dan jabatan-jabatan yang inefficient dan uneffective terutama yang melakukan korupsi.

Sekiranya itu tidak dilakukan, tunggu sehingga hukum kebenaran dan keadilan mengambil tempatnya: BN should get out from Putrajaya!


[Video & Bergambar] Turki Digoncang Gempa Bumi Lagi, 9 Terbunuh

Ankara: Gempa bumi bermagnitud 5.7 mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang di timur Turki awal pagi ini, kurang tiga minggu selepas gempa bumi kuat yang mengorbankan lebih 600 orang di kawasan sama, menurut stesen televisyen TRT.

Lebih ramai mangsa dipercayai terperangkap di bawah runtuhan dan anggota penyelamat sedang berusaha mencari mereka yang terselamat.

Sebanyak 25 bangunan termasuk dua hotel runtuh dalam gempa bumi itu. Salah sebuah hotel yang runtuh tersebut ialah hotel enam tingkat di dalam bandar Van dimana para wartawan dan petugas bantuan ditempatkan, demikian lapor BBC

Seramai 23 orang sudah diselamatkan amun masih ada 100 orang yang masih tertimbus.

Gempa bumi itu berlaku pada 1923 GMT (0323 MST) dengan pusat gempa di daerah Edremit, kira-kira 15 kilometer dari Wilayah Van.











Perancangan Jahat SPR: Pengundi Pos Lembah Pantai Naik Mendadak

Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini menimbulkan kebimbangan beliau mengenai kenaikan mendadak jumlah pengundi pos di kawasannya seperti yang tercatat pada daftar pemilih yang terbaru yang dikeluarkan pada 2 Nov lalu.

Bercakap di lobi Parlimen hari ini, Nurul Izzah berkata bilangan pengundi pos naik 1,363 peratus, dalam tempoh dua bulan. Jumlah itu hanya 149 orang pada 26 September tahun ini tetapi naik kepada 2,180 pada 2 November.

Lebih buruk lagi, kata Nurul Izzah, semakan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya mendedahkan bahawa 457 pengundi pos ini adalah dari Kampung Bohol di Bukit Jalil yang berada di luar kawasan Lembah Pantai.

"Terdapat 2,180 anggota polis yang merupakan pengundi pos, dan ini tidak termasuk isteri-isteri mereka. Majoriti kemenangan PKR di Lembah Pantai pada pilihan raya umum yang lalu adalah 2,895 undi."

Nurul Izzah berkata bahawa perkara itu diadukan kepada SPR dengan satu salinan dikemukakan kepada Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen (PSC). -mk

Daftar pemilih Lembah Pantai pincang

KUALA LUMPUR, 10 Nov: "Pameran awam daftar pemilih yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di kawasan Parlimen seluruh Malaysia bagi sesi 2011/2012 menimbulkan banyak keraguan," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Tambah Nurul Izzah lagi pameran daftar tersebut dilakukan bagi mendapatkan maklum balas dan juga bantahan orang ramai dan juga setiap parti yang akan bertanding pilihan raya akan datang.

Namum jelasnya tindakan SPR ini bagaimana pun dilihat penuh kemusykilan apabila pemberitahuan tentang pameran tidak dibuat kepada Ahli Parlimen termasuk tempoh pameran dan maklumbalas yang begitu suntuk.

"Saya melihat selain tidak dimaklumkan tentang tempoh pameran tersebut, prosedur yang menyulitkan ini mengambil masa seperti mana yang diketahui setiap individu hanya boleh membantah secara maksima sepuluh nama dengan yuran sepuluh ringgit untuk setiap nama yang dicurigai.

"Walaupun terpaksa berkejar menyiapkan bantahan, saya ingin menyatakan tentang wujudnya kepincangan dalam daftar pemilih SPR bagi kawasan Parlimen Lembah Pantai.

"Melalui pemeriksaan yang dilakukan, saya dapati seramai 457 nama pemilih yang bukan sahaja tidak bermastautin di Lembah Pantai tetapi merupakan kakitangan di Pusat Tahanan Polis Bukit Jalil yang malangnya mereka telah disenaraikan di dalam daftar pemilih Parlimen Lembah Pantai bagi suku ketiga sesi 2011/2012," jelasnya yang juga Naib Presiden PKR.

Nurul Izzah memberitahu senarai nama yang meragukan itu melibatkan empat pusat pengundian polis iaitu Balai Polis Pantai dengan 469 nama pemilih dengan penambahan sebanyak 75 nama pemilih.

Manakala Balai Polis Petaling dengan 497 nama penambahan sebanyak 63 nama pemilih, Balai Polis Bangsar/Travers penambahan sebanyak 121 nama dengan daftar pemilih seramai 478 orang, Balai Polis Kerinci pula seramai 41 nama pemilih dengan penambahan sebanyak 25 nama pemilih.

Dalam pada itu terdapat dua pusat pengundian baru polis yang dibuat di Parlimen Lembah Pantai iaitu Ibu Pejabat Polis dan Polis Pantai Dalam yang membabitkan tiga nama pemilih baru.

"Selain itu juga kita menemui senarai pengundi di lokaliti kosong iaitu pendaftaran nama pemilih di Kampung Haji Abdullah Hukum di mana kampung tersebut tidak lagi wujud setelah penduduk asal dipindahkan atau diusir dengan pembayaran pampasan di bawah projek KL ECO CITY usahasama SP SETIA-DBKL.

"Bagaimana mungkin wujud pengundi di kampung yang sudah lagi tidak wujud. Apa yang lebih mengejutkan ialah pada masa yang sama berlakunya penambahan nama pemilih daripada 3,204 nama pemilih kepada 3,300 pemilih, penambahan sebanyak 96 nama pemilih walaupun Kampung Haji Abdullah Hukum tidak lagi wujud di dalam peta Lembah Pantai," sambung Nurul Izzah lagi.

Pada masa yang sama Nurul Izzah juga memberitahu penemuan-penemuan itu membuktikan wujudnya kecacatan di dalam senarai pemilih yang dipamerkan oleh SPR.

"Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera atas penyelewengan yang wujud dalam daftar pemilih tersebut.

"Sebaliknya sistem sedia ada dan keengganan SPR bersikap dengan lebih terbuka membantutkan sebarang usaha untuk membersihkan daftar pemilih yang akan digunapakai di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

"Ini bukti jelas bahawa daftar pemilih belum bersih sepenuhnya dan saya berharap pihak berkuasa bertindak dan bukan bersekongkol dengan SPR," jelasnya lagi pada sidang media di lobi Parlimen. -HD




Ulasan GB

Sekadar menjengah rekod dahulu:



Skandal Feedlot Dilaporkan Ke SPRM, 5 Pemimpin Umno Perlu Disiasat

Kuala Lumpur 10 Nov: Sebuah NGO membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana RM250 juta oleh Syarikat National Feedlot Corporation (NFC) milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Laporan itu dibuat oleh Pengerusi Jingga 13, Fariz Musa di pejabat SPRM Shah Alam.

Mereka mendesak SPRM menyiasat lima pemimpin tertinggi Umno termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana berbohong di dewan rakyat dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang meluluskan projek dan pinjaman RM250 juta itu.

Selain itu Jingga 13 mendesak SPRM menyiasat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sekarang, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kerana memutarbelit isu itu di parlimen serta Shahrizat sendiri yang mendapat keuntungan dari penglibatan keluarganya dalam skandal itu.

Bercakap kepada Keadilan Daily, Fariz berkata, SPRM juga perlu menyiasat segera dakwaan penyelewengan oleh NFC membeli kondominium mewah menggunakan wang rakyat berjumlah RM9.8 juta.

“Kondominium mewah itu dibeli keluarga Sharizat menggunakan wang dari dana yang diberi kerajaan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC),” kata nya kepada Keadilandaily.com hari ini.

Ia susulan pendedahan KEADILAN hari ini terhadap bukti pembelian itu yang diperoleh melalui empat traksaksi pindahan wang dari akaun semasa NFC di Bank CIMB cawangan Taman Tun Dr Ismail kepada Bandar Raya Developments Berhad pada Disember 2009.

Menurut Fariz, ia jelas merupakan pecah amanah, selain empat transaksi itu hanya dibuat dalam masa sehari dengan jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM9,758,140.

“Dengan bukti empat transaksi ini membuktikan kenyataan pemimpin Umno semasa di dewan rakyat sebelum ini kononnya baki 250 juta sebelum ini belum diserahkan kepada NFC adalah bohong,” katanya.

Beliau turut membidas kenyataan menteri pertanian dan industri asas tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kerana memutarbelitkan isu itu di parlimen.

“Dakwaan menteri dan Khairy kononnya setiap transaksi memerlukan kelulusan kerajaan dan dipantau ketat adalah bohong.

“Kalau betul adanya pantauan ketat, sudah tentu wang sejumlah RM9.8 juta tidak boleh dipindah begitu sahaja untuk membeli kondominium mewah yang tiada kaitan dengan industri penternakan dan penyembelihan lembu,” katanya.

Oleh itu, beliau mendesak SPRM bertindak segera dengan menyiasat, mengheret dan mendakwa lima pemimpin tertinggi Umno ke muka pengadilan selain turut mendesak Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bersidang segera untuk menyiasat perkara itu.

Syarikat projek lembu beli kondo mewah RM9.8 juta

PKR hari ini mendakwa syarikat milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Shahrizat Abdul Jalil telah menggunakan dana melalui National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) untuk membeli satu unit kondominium mewah dengan bayaran berjumlah RM9.8 juta.

Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution mendakwa, tindakan berkenaan merupakan satu bentuk penyelewengan memandangkan bayaran untuk pembelian unit kondominium mewah itu di Bangsar bertentangan dengan tujuan pinjaman wang kepada NFC.

Beliau mendakwa, bayaran penuh bagi pembelian kondominium itu telah dibuat melalui empat transaksi pindahan akaun NFC kepada satu pemaju hartanah terkemuka pada 2 Disember 2009.

"Bayaran untuk pembelian kondominium (dengan harga) RM9.8 juta ini direkodkan sebagai 'hutang' National Meat and Livestocks Corporations Sdn Bhd (NMLC) kepada NFC," kata Saifuddin lagi, dengan menambah bahawa NMLC juga sebuah syarikat yang dimiliki oleh anggota keluarga menteri berkenaan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di bangunan parlimen hari ini, ahli parlimen Machang itu mendakwa jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada RM83 juta hutang NMLC kepada NFC pada 31 Disember 2009.

"Dakwaan ini wajar disiasat secepat mungkin kerana ia melibatkan integriti keseluruhan kerajaan Malaysia," katanya yang turut mahu perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin disiasat berhubung dakwaan itu.

Katanya, perdana menteri perlu disiasat berhubung kenyataan menteri kewangan itu mengenai jumlah dana yang telah dipindahkan daripada jumlah RM250 juta.

Muhyiddin pula, tambahnya, perlu disiasat selaku kedudukannya sebagai menteri pertanian yang meluluskan projek dan pinjaman untuk projek feedlot berkenaan sebelum ini, manakala penggantinya Datuk Seri Noh Omar perlu disiasat berhubung penjelasan menteri berkenaan sebelum ini.

Saifuddin menambah, individu yang perlu disiasat ialah Shahrizat selaku menteri pembanguan wanita, keluarga dan masyarakat.

"Kita tak serang ketua wanita umno. Kita serang menteri yang secara terang-terang melalui kaitan keluarganya terbabit dalam konflik kepentingan yang jelek ini," tambahnya.

Selain itu, beliau turut menuntut supaya ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin disiasat kerana didakwa cuba memutarbelitkan fakta dan "terang-terang tampil untuk melindungi (perbuatan) pecah amanah."

Beliau berkata demikian dengan merujuk kenyataan Khairy semalam bahawa wang berkenaan tidak boleh dipindah dengan mudah dan perlu melalui kelulusan oleh satu jawatankuasa khas.

"Saya nak tanya (Khairy) sekarang. Beli kondo RM9.8 juta, jawatankuasa teknikal mana yang luluskan? Mesyuaratnya bila? Siapa yang pengerusikan? Cek-cek ini siapa tandatangan. Di mana kawalan ketat?

"Kalau (ahli parlimen) Rembau seorang yang punya itegriti dan wibawa, dia kata dikawal ketat, akaun khas bermacam jargon hebat digunakan, macam mana dia nak jelaskan kelulusan RM9.8 juta (untuk beli kondominium)? Apa rasionalnya luluskan? Lembu nak tidur di situ?" soalnya.

Ketika ditanya dalam sidang media sama, pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli pula berkata, parti itu mendapat maklumat berhubung dakwaan transaksi untuk pembelian kondominium berkenaan melalui satu sumber yang enggan didedahkan.

"Kalau kita sudah berani buat dan kita sudah melawat ke (kondominium) ini, ini dakwaan yang kita buat dan kita berani bawa ke SPRM. Tanggungjawabnya kalau nak buktikan kami tidak betul adalah tanggungjawab PM, TPM, menteri pertanian, ketua Wanita Umno dan ketua Pemuda Umno," tambahnya.

Beliau turut mencabar supaya pihak berkenaan menunjukkan penyata bank pada tarikh 2 Disember 2009, didakwa melibatkan bayaran melalui satu cawangan bank di Taman Tun Dr Ismail kepada pemaju hartanah terkemuka itu.

"Saya cabar tunjuk bank statement kepada rakyat. Kalau dia tak tunjuk, nak saman pun bolehlah saman bila-bila masa," katanya lagi. -mk


Misteri Pembunuhan Adrian Jay Pereira Terungkai

Malang - Misteri pembunuhan Adrian Jay Pereira pada Isnin lalu mula terungkai apabila polis Indonesia semalam mendedahkan bahawa dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal kapcai dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut

ANGGOTA polis Indonesia mencari bukti-bukti di luar kawasan rumah sewa Adrian di Malang semalam bagi mengenal pasti pembunuhnya.

Perkara itu diperoleh hasil penemuan bukti dan siasatan polis forensik di Tempat Kejadian Perkara (TKP) yang dilakukan bersama Pasukan Identifikasi Polis Jawa Timur yang mengambil keterangan daripada beberapa saksi yang mempunyai maklumat.

"Kita ketahui pelaku melibatkan dua lelaki yang menunggang motosikal kapcai," kata Ketua Polis Daerah Kota Malang, Adjutan Pesuruhjaya Besar Polis (KBP) Teddy Minahasa yang ditemui Detiksurabaya.com di sini semalam.

Menurut Teddy, dua suspek yang menaiki motosikal kapcai itu juga memakai baju hujan dan mereka memakai topi keledar menutup muka.

Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya yakin kedua-dua suspek yang membunuh mahasiswa semester lima Fakulti Kedoktoran di Universiti Brawijaya itu merupakan penjenayah yang berpengalaman dalam kegiatan mencuri motosikal.

Ia berdasarkan modus operandi yang digunakan oleh suspek sehingga Adrian terbunuh di depan rumah sewanya.

"Dua suspek itu diyakini penjenayah tegar," ujar Teddy.

Hasil siasatan TKP itu, kata Teddy, pihaknya sedang mengumpulkan seluruh data suspek yang terlibat dalam kes-kes kecurian motosikal yang pernah dilakukan sebelum ini.

Katanya, siasatan kes Adrian yang melibatkan pasukan khas diharapkan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat.

"Kerjasama daripada orang ramai amatlah diperlukan untuk menyegerakan siasatan kes ini," kata beliau.

Teddy berkata, motif pembunuhan Adrian jelas disebabkan jenayah. -kosmo


Pembunuh Mahasiswa Malaysia Pakai Sepeda Motor
Muhammad Aminudin - detikSurabaya

Malang - Misteri pelaku pembunuhan Adrian Jay Pereira sedikit terkuak, setelah polisi memastikan pelaku berjumlah dua orang dengan mengendarai motor bebek.

Temuan itu diperoleh petugas dari hasil olah Tempat Kejadian Perkara (TKP) yang digelar dua kali bersama Tim Identifikasi Polda Jatim, serta keterangan sejumlah saksi.

"Kita ketahui pelaku dua orang dengan mengendarai motor bebek," kata Kapolres Malang Kota AKBP Teddy Minahasa ditemui detiksurabaya.com di mapolres Jalan Jaksa Agung Suprapto, Rabu (9/11/2011).

Ia membeberkan, pelaku berjumlah dua orang kala itu beraksi berboncengan mengendarai motor bebek serta mengenakan jas hujan, pelaku juga menutupi bagian wajahnya dengan helm full face. "Jadinya wajah pelaku tak terlihat," tandasnya.

Pihaknya memastikan kedua pelaku atau pembunuh mahasiswa Fakultas Kedokteran semester V ini merupakan pelaku lama dalam aksi kejahatan dengan sasaran kendaraan bermotor.

Hal itu diketahui dari modus kejahatan yang dilakukan sebelum menghabisi korban tepat di depan rumah kontrakannya Jalan Kembang Kertas Dalam Kav 21 RT 04/RW 09 Kelurahan Jatimulyo Kecamatan Lowokwaru, Kota Malang, Senin (7/11/2011), malam.

"Mereka kami yakini pelaku lama," ujar Teddy.

Menurut Teddy, dari hasil olah TKP itu pihaknya tengah mengumpulkan seluruh data para pelaku kejahatan pencurian kendaraan bermotor yang pernah ditangani, hingga kini penelusuran dari para pelaku itu tengah dijalankan.

"Tunggu saja hasilnya nanti," tuturnya.

Dalam mengungkap kasus pembunuhan ini, pihaknya juga melibatkan Mabes Polri serta Polda Jatim dengan membentuk tim khusus, ia berharap dalam waktu dekat aktor dari kasus pembunuhan ini bisa terungkap.

"Semoga bisa segera terungkap, peran aktif masyarakat kita butuhkan saat ini," harapnya. -detiksurabaya


Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan SYABAS

Kuala Lumpur, 9 Nov: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas ) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan menolak permohonan pihak Syabas untuk memenjarakan Ahmad Lutfi Othman dan peguam Kerajaan Selangor, Fahdah Nur Ahmad Kamal di atas dakwaan menghina mahkamah.

Pada 5 Julai lalu, Hakim Tuan Mohamad Arif Md Yusuf menolak permohonan Syabas yang mendakwa artikel Harakah yang bertajuk 'SAR bantu kempen bantah kenaikan tarif air ' adalah satu penghinaan mahkamah.

Mohamad Arif di dalam keputusannya memutuskan artikel tersebut bukan satu penghinaan kepada mahkamah meskipun ianya diterbitkan dalam keadaan kes Syabas menyaman Kerajaan Selangor masih dalam proses mahkamah.

Hakim tersebut memutuskan artikel Harakah tersebut adalah menyentuh kepentingan awam dan Ahmad Lutfi dan Fahdah dilindungi oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara yang merangkumi kebebasan media.

Beliau juga mengarahkan Syabas membayar kos RM20,000 kepada Ahmad Lutfi dan RM20,000 kepada Fahdah.

Ketika menolak rayuan pihak Syabas, hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Zainon Ali, Datuk Ramly Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim memutuskan bahawa mereka tidak nampak wujudnya kesilapan di dalam keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan enggan mengganggu keputusan tersebut.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan supaya Syabas membayar kos RM60,000 iaitu RM30,000 kepada Ahmad Lutfi dan Fahdah.

Ahmad Lutfi diwakili oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin manakala Fahdah pula diwakili peguam Tommy Thomas. -HD

Berita berkaitan
Klik untuk baca




Gobala Diberi Amaran Keras, Tidak Minta Maaf Bukti Beliau Bukan Lelaki Sejati

Ahli parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan semalam diberi amaran oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam supaya tidak memberi sebarang komen membabitkan perbicaraan kes yang sedang berjalan.

Gobalakrishnan diperintahkan hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya yang didakwa 'menyerang' peribadi Manjeet Singh Dhillon, peguam dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Kenyataan ahli parlimen itu diterbitkan di dalam akhbar Utusan Malaysia di bawah tajuk 'Manjeet selalu burukkan kerajaan' pada 16 Ogos lepas dan kenyataannya itu turut disiarkan dalam Buletin Utama TV3 pada hari yang sama.

Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata Gobalakrishnan tidak sepatutnya membuat komen yang tidak betul dan subjudis terhadap kes yang sedang berjalan apatah lagi beliau tidak pernah hadir ke mahkamah untuk mengikuti kes itu.

Beliau berkata apa yang membimbangkannya ialah ahli parlimen itu telah melibatkan mahkamah dan memanipulasikannya untuk tujuan politik.

"Biar saya beritahu anda, hakim-hakim di Malaysia lebih bebas daripada apa yang kamu fikirkan. Kami tidak bodoh dan hanya duduk di sini membenarkan timbalan pendakwa raya dan peguam lakukan apa yang mereka mahu.

"Kami berlandaskan undang-undang. Saya tidak bercadang untuk ambil tindakan kepada kamu hari ini kerana saya percaya untuk memberi peluang kedua. Saya akan memberi amaran kepada kamu dan ini adalah amaran terakhir, ada apa-apa kamu nak cakap," kata Akhtar.

Gobalakrishnan kemudian memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengingati komen yang diberikannya.

Akhtar berkata beliau telah memanggil wartawan Utusan Malaysia yang menemubual ahli Parlimen itu dan berdasarkan penjelasan wartawan berkenaan Gobalakrishnan didapati telah mengeluarkan komen tersebut.

"Jika anda lelaki sejati anda akan meminta maaf, jangan ulangi lagi. Saya tidak mahu membuang masa saya. Awak boleh pergi jika awak mahu," kata Akhtar.

Gobalakrishnan yang hadir memakai kemeja panjang biru, berseluar hitam dan berkasut sukan kemudian dilihat terus meninggalkan mahkamah.


Sebelum ini, Akhtar turut memberikan amaran yang sama kepada ketua pengarang dan wartawan Utusan Malaysia, Raja Syahrir Abu Bakar serta memerintahkan penerbit Buletin Utama TV3 untuk hadir ke mahkamah bagi memberi penjelasan berhubung penyiaran kenyataan anggota Parlimen Bebas itu.

Pada 18 Ogos lepas, Manjeet yang mewakili tertuduh pertama dalam kes berkenaan, N.Pathmanabhan, membangkitkan mengenai penerbitan artikel tersebut yang didakwa subjudis terhadap perbicaraan kes itu.

Dalam artikel dan berita tersebut, Gobalakrishnan dilaporkan memberi komen berhubung tindakan Manjeet yang didakwa beberapa kali meminta mahkamah mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap pihak pendakwaan dalam kes pembunuhan itu.

Manjeet kemudian memfailkan saman fitnah pada 26 September lepas bagi menuntut gantirugi am serta khas berjumlah RM2.5 juta dan beliau menamakan Gobalakrishnan, Raja Syahrir, Utusan Melayu (M) Berhad dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) sebagai defendan-defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, peguam itu mendakwa tindakan kesemua defendan menyebabkan reputasi dan keperibadian termasuk profesionalisme beliau telah tercemar di mata rakyat Malaysia dan antarabangsa.

Sementara itu, saksi ke-65 pendakwaan, pegawai perubatan dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Amir Saad Abdul Rahim, 40, memberitahu prosiding perbicaraan bahawa sampel darah isteri dan tiga anak salah seorang mangsa, pegawai bank Noorhisham Mohamad, telah diambil pada 19 September tahun lepas untuk dibuat perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA).

Turut memberi keterangan pada hari ini ialah jurutera utama DiGi Telecommunication Chong Chee Wah dan penolong pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Sarjan Syed Mohd Nazri Syed Darus, 51.

Pathmanabhan, bekas peguam, dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Khatavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan yang masuk hari ke-47 bersambung hari ini. - Bernama

Ulasan GB

Semakin menjadi-jadi kedajalan Gobala dan semakin banyak kehinaan menimpanya semenjak keluar dari PR.

Baru sahaja beliau dihalau keluar dari Dewan Rakyat lalu.

Dia menyangka dia kebal undang-undang untuk berbuat dan bercakap sesuka hatinya apabila telah menjadi ahli parlimen bebas. Dia berfikir, BN akan bantunya di dalam setiap tindakan.

Semalam diberi pula amaran keras oleh mahkamah. Hakim berkata "Jika anda lelaki sejati anda akan meminta maaf" tetapi apa yang dilakukan Gobala ialah "Gobalakrishnan yang hadir memakai kemeja panjang biru, berseluar hitam dan berkasut sukan kemudian dilihat terus meninggalkan mahkamah."

Rumusan: Gobala bukan lelaki sejati.

Mengapa PERKASA Tak Berani Dajjalkan Sama Marina Mahathir?

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan sama ada kumpulan pendesak Melayu, PERKASA akan juga melabelkan anak mantan perdana menteri, Datin Paduka Marina Mahathir sebagai dajal kerana menyokong dan pernah merasmikan program Seksualiti Merdeka sebelum ini?

Menurut Mahfuz, beliau hairan Marina, yang bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga penaung PERKASA tidak didajalkan oleh kumpulan itu atau mana-mana "pertubuhan rasis yang setiap hari berbohong kononnya memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam".

"Mengapa tidak ada seorang pun dari gerombolan itu yang mendajalkan, menuntut supaya dilucutkan kewarganegaraan Marina dan dihalau dari negara ini?

"Tak tahulah kalau-kalau Dr Mahathir yang dilaporkan sebagai penaung PERKASA atau (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk) Mukhriz (Mahathir) yang akan tampil sebagai junjungan besar puak itu dan mendajalkan serta menuntut dilucutkan kewarganegaraan Marina serta dihalau dari negara ini.

Hawa nafsu

"Maklumlah, sebelum ini PERKASA melabelkan Ambiga sebagai dajal dan menuntut supaya ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyokong program songsang itu dan beberapa pertubuhan rasis pula menuntut dilucutkan kewarganegaraannya dan dihalau dari negara ini," kata Mahfus yang dipetik oleh organ rasmi PAS, Harakahdaily.

Pada 2 November lalu, PERKASA menerusi Ketua Wiranya, Irwan Fahmi Ideris melabelkan pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai 'dajal' kerana bersetuju merasmikan program Seksualiti Merdeka yang dijadualkan pada 9 November.

Katanya, pejuang pejuang dan pendokong hak sivil itu sedang membawa "agama baru" yang bergabung sama dengan hak asasi dan menggalak homoseksual.

Bagi Mahfuz, tidak dapat disangkal lagi penentangan kumpulan rasis berkenaan terhadap Seksualiti Merdeka bukan didorong oleh kesedaran agama dan moral tetapi semata-mata diapi-apikan oleh hawa nafsu oportunis untuk menghukum Ambiga yang pernah terlibat menuntut pilihan raya adil dan bersih.

"Bila anak Dr Mahathir bertegas dengan pendiriannya, mereka tutup mulut rapat-rapat. Sikap dan perangai mereka jelas membuktikan bahawa bukan Tuhan, halal haram dan akhlak yang menjadi perkiraan dan penyebab tindakan mereka.

"Apa mereka peduli tentang Tuhan, halal haram dan akhlak sedangkan tidak henti-henti nafsu oportunis mereka menggasak upah dari pemimpin-pemimpin perasuah dan perompak harta negara?" katanya lagi.

Kelab maksiat

Harakahdaily juga memetik pemimpin PAS itu berkata, pertubuhan-pertubuhan rasis seperti PERKASA, tidak pernah lantang pun sebelum ini tentang keruntuhan akhlak dan kebejatan moral.

"Bersepah-sepah kelab-kelab maksiat, lorong maksiat serta sarang pelacuran dan pondan, mereka tidak ambil peduli, kerajaan tidak ambil peduli dan polis juga tidak mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan sebarang pengharaman.

"Agaknya kerana Ambiga tidak merasmikan kelab, lorong dan sarang-sarang itu," sindir beliau.

Akibat desakan kumpulan pelampau itu dan campurtangan pemimpin politik tertentu, polis juga mengharamkan semua acara anjuran Seksualiti Merdeka.

Meskipun sedih dan terkilan dengan keputusan itu, penganjurnya memutuskan semua acara-acara awamnya yang dijadualkan tidak akan diteruskan demi menjaga keselamatan orang ramai yang bakal hadir.

Program bagi memperkasakan hak golongan homoseksual (golongan lesbian, gay, bisexual and transgender - LGBT) agar mereka dihormati dan diterima di masyarakat negara ini telah dianjurkan sejak tahun 2008. -mk

[Waspada] "Bak Kut Teh" Halal Diragui

Seorang pengguna yang mengunjungi sebuah pasar raya di Damansara Damai di sini, terkejut apabila mendapati Mi Segera Sayuran ‘bak kut teh’, yang sering dikaitkan dengan penggunaan babi sebagai salah satu ramuan, dijual secara terbuka, dua minggu lalu.

Gambar: YUSMARIATI menunjukkan mi bak kut teh dengan logo halal yang dibelinya di sebuah pasar raya di Damansara Damai, Pataling Jaya.

Tambah mengelirukan pengguna terbabit, Yusmariati Yusof, 32, mi segera jenama A1 yang dikilang sebuah syarikat dari Johor itu bukan saja dipamerkan bersama produk halal lain oleh pengurusan pasar raya berkenaan, malah turut mempunyai tanda halal dikeluarkan Islamic Food Research Centre Asia (IFRCA)

“Saya kesal dengan tindakan pengurusan pasar raya berkenaan yang dilihat tidak sensitif dengan isu ini sedangkan umum mengetahui ‘bak kut teh’ sinonim dengan babi.

“Bagaimana makanan dengan ramuan haram dimakan umat Islam boleh mendapat sijil halal serta dijual secara terbuka tanpa sebarang pemberitahuan kepada pengguna,” katanya ketika ditemui Sentral di sini.

Kesal dengan kejadian berlaku, Yusmariati kembali semula ke pasar raya itu keesokannya untuk membeli mi segera berkenaan sebagai bukti tetapi mendapati ia tidak lagi dipamerkan diatas rak, sebaliknya disimpan di dalam stor oleh pengurusan pasar raya.

“Pengurusan pasar raya itu berkeras tidak mahu menjual produk berkenaan tetapi apabila saya berkeras, mereka akhirnya bersetuju, itu pun pembelian dilakukan tanpa resit, tanda harga serta plastik yang tertera nama pasar raya itu,” katanya.

Tinjauan Sentral mendapati, stok mi segera sayuran bak kut teh itu, kini tidak lagi dijual di pasar raya dimaksudkan.

Pengurus A K Koh Enterprise Sdn Bhd, (A K Koh) Law Teng How ketika dihubungi mendakwa produk mi segera sayuran bak kut teh yang dikilangkan syarikat itu, tidak mempunyai ramuan babi seperti dikatakan pengguna.

“Kami sedia maklum dengan kekeliruan yang timbul disebabkan nama produk ini tetapi ingin saya jelaskan, mi segera sayuran bak kut teh keluaran A K Koh tidak mengandungi babi, sebaliknya hanya resipi sup herba daging.

“bak kut teh sebenarnya membawa maksud sup daging tulang, dan boleh dimakan sama ada dengan daging lembu atau kambing dan tidak semestinya babi seperti disangkakan kebanyakan pengguna.

“Produk kami disahkan tidak mengandungi ramuan terlarang, termasuk babi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan A K Koh sendiri kini dalam proses memohon sijil halal daripada badan itu sejak Julai lalu.

“Kami juga dalam proses menukar nama serta pembungkusan bagi produk ini kerana menurut JAKIM ia menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna, terutama sekali umat Islam,” katanya.

Sementara itu, wakil JAKIM ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan memberi maklum balas segera berhubung produk keluaran A K Koh itu. -BH

K'jaan Selangor Akan Beri Bayaran Kepada Mereka Yang Lapor Rasuah

Orang ramai yang melaporkan rasuah bakal menerima hadiah di bawah satu geran RM15 juta yang akan dilaksanakan di bawah bajet Kerajaan Selangor 2012.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, geran itu merupakan duit yang dahulunya hilang akibat rasuah dan ianya kini digunakan bagi melaksanakan program pembasmian rasuah yang lebih berkesan dan sistematik.

Abdul Khalid berkata pelapor kes rasuah dan penyelewengan di dalam agensi Kerajaan Negeri Selangor yang berjaya dibuktikan akan diberikan hadiah oleh Kerajaan Selangor.

"Kerajaan negeri menyediakan peruntukkan untuk masyarakat memerangi rasuah, dan ianya bukan sekadar cakap-cakap sahaja, tetapi dibuktikan dengan tindakan melalui peruntukan yang disalurkan.

"Kita mempunyai ketelusan dan kebertanggungjawaban, dan kerajaan negeri menyediakan peruntukan untuk memastikan kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang telus," kata Abdul Khalid semasa sidang media selepas pembentangan bajet.

Dana tersebut juga boleh diguna untuk mengaudit pihak yang menyalahgunakan peruntukan kerajaan, Abdul Khalid berkata.

"Dan jika ada pihak yang mempunyai maklumat berkenaan rasuah, dan memerlukan peguam untuk mendapatkan perlindungan, kita akan menilai perkara tersebut terlebih dahulu, dan jika dia benar-benar memerlukan, barulah kerajaan akan meluluskannya," katanya. -tvsnews



Projek Lembu: Apa Hubungan Shahrizat Dan Noh Omar Sehingga Saling Membela?

Shahrizat: Keluarga saya berhak dapat projek lembu

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil menegaskan bahawa keluarganya mendapat projek Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC) yang menelan jutaan ringgit, namun beliau percaya isu berkenaan telah digunakan untuk menyerang beliau selaku ketua wanita Umno dan pengerusi Wanita BN.

"Pada diri saya sendiri, saya lihat ini adalah agenda politik. (Ia) satu percubaan daripada pembangkang untuk melemahkan semangat dan tindakan Wanita Umno. Kami tidak semudah itu untuk dirobohkan," katanya.

"(Perkara) ini sudah dijawab dengan panjang lebar oleh menteri pertanian dan industri asas tani.

"Dan daripada apa yang saya dimaklumkan, jawapan daripada beliau itu sangat jelas dan nyata," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pameran Raja'ah oleh artis seni visual veteran, Dr Sulaiman Esa di Balai Seni Visual Negara di ibu negara petang ini.

Shahrizat berkata keluarganya tidak sepatutnya dilayan sedemikian dengan apa yang dikatakan oleh pembangkang.

Sebaliknya, kata beliau, keluarganya berhak mendapatnya (NFC) kerana mereka telah bekerja kuat.

"...menteri dah jawab, dan saya gembira kerana kementerian akan pantau kejayaan projek itu. Saya dah lama dalam politik," tambahnya.

"Mereka (pembangkang) bukan minat sangat dengan NFC. Itu memang diarahkan kepada saya, selaku ketua Wanita Umno, dan juga pengerusi Wanita BN," katanya lagi.

Dalam pada itu, Sharizat turut mengambil peluang untuk menempelak Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin kerana mengaitkan keluarganya dengan projek berkenaan.

"Agenda politik mereka begitu jelas. Mereka terumbang-ambing, macam ketua Wanita PKR tu. Saya malulah dia seorang wanita Malaysia macam tu," katanya sinis. -mk

Menteri mesti jawab segera penyelewengan NFC

KUALA LUMPUR, 9 Nov: PKR menasihatkan menteri dan wakil rakyat BN segera menjawab dakwaan mengenai penyelewengan dana rakyat melalui National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Setiausahanya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, selagi mereka mengelak daripada menjawab dakwaan ini, rakyat akan terus mempersoalkan penyelewengan yang terbukti melalui pemindahan dana berjumlah RM83 juta ke syarikat-syarikat milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Selain itu, penyelewengan juga terbukti melalui perbelanjaan luar negara dan keraian melampau sehingga mencecah RM828,000 setahun dan pemberian subsidi sebanyak RM3 juta menggunakan wang rakyat kepada restoran Meatworks milik keluarga Shahrizat.

"Ketiga-tiga perkara ini masih belum dijawab menteri dan wakil BN. Semakin lama mereka mengelak, semakin rakyat yakin bahawa BN cuba melindungi penyelewengan dalam NFC," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut mengenai NFC, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, tindakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin mempertahankan hanya RM181 juta daripada RM250 juta pinjaman disalurkan kepada NFC adalah satu pembohongan.

"Dalam kes pinjaman RM250 juta yang diambil NFC, PKR telah membuktikan bahawa wang-wang pinjaman sebanyak RM130 juta iaitu bayaran pertama dan RM120 juta iatu bayaran kedua telah masuk ke akaun milik NFC.

"Bukti jelas menunjukkan keseluruhan RM250 juta disalurkan kepada NFC berdasarkan rekod penyata bank, bukannya diletakkan dalam escrow account seperti yang dinyatakan BN," jelasnya.

Tambahnya, akaun-akaun NFC di Maybank dan Public bank bukan atas nama pihak ketiga seperti konsep berbentuk amanah (escrow account) tapi atas nama NFC.

Penjelasan Noh bahawa wang selebihnya masih berada dalam escrow account yang dikawal kementeriannya juga tidak boleh diterima kerana daripada rekod kewangan NFC, pelbagai perbelanjaan melampau dan pindahan wang dibuat sepanjang tahun 2008 dan 2009.

Selain itu, Saifuddin turut mempersoal cara perbelanjaan melampau yang dilakukan NFC sehingga aset bersihnya berjumlah RM239 juta pada 31 Disember 2009 jika Noh mendakwa hanya RM181 juta yang disalurkan.

"Ini adalah kepincangan-kepincangan alasan yang diberikan oleh BN setakat ini yang cuba mengaburi mata rakyat," katanya. -HD


Ulasan GB

Kes ini melibatkan wang rakyat yang beratus juta nilainya. Siasatan ke akar umbi perlu dilakukan.

Penyelewengan dan salahlaku seperti yang didedahkan oleh Jabatan Audit egara adalah jelas.

Alasan Shahrizat bahawa keluarganya berhak mendapat projek lembu berkenaan kerana mereka telah bekerja kuat adalah teramat lucu dan dilihat cuba "melembukan" orangramai.

Hubungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Md. Noh Omar dengan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu juga disiasat kerana Noh Omar terlalu kuat membela pemberian projek itu kepada Shahrizat. Dan Shahrizat pula cukup bergantung kuat kepada jawapan menteri berkenaan untuk menjustifikasikan keluarga beliau diberikan projek berkenaan.

"(Perkara) ini sudah dijawab dengan panjang lebar oleh menteri pertanian dan industri asas tani.

"Dan daripada apa yang saya dimaklumkan, jawapan daripada beliau itu sangat jelas dan nyata,"


Najib sepastinya akan menolak Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan kerana beliau juga telah terlibat awal-awal membela pemberian projek itu kepada Shahrizat.

Tiada pilihan lain, Pakatan Rakyat perlu menang di dalam PRU13 ini bagi mempastikan kesemua penyelewengan dan salahlaku ini terbongkar.

Yang bersalah, seperti yang GB katakan sebelum ini, mengikut hukum kebenaran dan keadilan, perlu dihambat masuk ke penjara. Itu kandang yang sesuai bagi mereka kerana mengkhianati wang rakyat dengan jumlah yang begitu besar.